05 August 2013

TYT, Abdul Malik agih 60 sumbangan Ramadan

TUN Abdul Rahman Abbas (lima dari kiri) bersama-sama kepemimpinan Kerajaan Negeri pada majlis jamuan berbuka puasa di sini baru-baru ini.

ABDUL Malik Abul Kassim (kiri sekali) menyerahkan sumbangan ehsan kepada seorang ibu sambil diperhati oleh Sim Tze Tzin (dua dari kiri) dan Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) dalam majlis amal di sini baru-baru ini.

YANG Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Abdul Rahman Abbas baru-baru ini menyertai Jamuan Berbuka Puasa bersama-sama lebih 200 warga Batu Maung di sini.

Mewakili tuan rumah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Kassim pula mengagih sumbangan kepada 60 Fakir dan Miskin sempena menyambut bulan Ramadan dan persiapan Hari Raya Puasa.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tujuan pensyariatan (maqasid asy-syariah) zakat antaranya adalah bagi mensucikan jiwa serta menyambung persadaraan antara golongan yang berkemampuan dan sebaliknya.

Justeru, katanya lagi, kewajipan membayar zakat fitrah melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) sekaligus membantu meringankan hidup golongan asnaf terpilih.

“Bantuan ini kita berikan setiap tahun bertujuan meringankan beban golongan miskin dan kurang berkemampuan, selain, menambah kegembiraan mereka menyambut (ibadah) Ramadhan,” ujar beliau.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon dan Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru turut hadir pada program amal tersebut.

ADUN seru NGO ikut kempen derma darah HYS

WONG Hon Wai (enam dari kir) bergambar kenang-kenangan bersama ahli jawatankuasa kumpulan Hui Yin Seh (HYS) di sini baru-baru ini.

AHLi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyeru lebih banyak lagi badan bukan kerajaan (NGO) mempromosi kempen derma darah sebagaimana yang dilakukan oleh Kumpulan Hui Yin Seh (HYS).

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesihatan Derma Darah di pusat membeli-belah Prangin Mall, George Town baru-baru ini.

”Saya berharap program ini diteruskan agar bekalan darah berterusan (mencukupi) dan berharap agar orang ramai meneruskan amalan murni ini," ujar beliau.

Menurut Hon Wai, HYS saban tahun menganjurkan program derma darah dan aktiviti kali ini bertemakan 'derma darah merupakan cinta yang tidak ternilai'.

Sebelum itu, pengarah penganjur, Zhang Yibin berkata, program kempen derma darah secara besar-besaran itu mensasarkan 500 paket darah untuk mengisi bank darah di tiga hospital di negeri berkenaan, iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Island dan Hospital Lam Wah Ee.

“Sejak 16 tahun lepas, kumpulan HYS menganjurkan kempen derma darah bulanan secara purata sebanyak 250 paket darah dan dua orang telah menerima anugerah pahlawan kerana telah menderma darah lebih 60 kali,” kata Yibin.

Difahamkan, HYS sejak 16 tahun lepas menganjurkan 211 kempen derma darah.

Dalam 14 bulan kempen derma darah secara besar-besaran, HYS direkodkan mengumpul sebanyak 47,389 beg darah.

Lim Siew Khim pecah tradisi masuk Masjid Jelutong

AYUNYA busana YB Lim Siew Khim semasa ditemui dalam Masjid Jamek Jelutong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim hari ini memcah tradisi di kawasan yang diwakilinya apabila menyertai jamuan berbuka puasa di Masjid Jamek Jelutong.

Penyokong Umno atau pelampau Perkasa mungkin menganggap insiatif Siew Khim meramahi umat Islam itu sebagai menghina rumah Allah.

Ini kerana, mereka berfahaman bahawa bukan Islam haram untuk memasuki masjid.

Walhal, ada Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengharuskan amalan itu dengan syarat-syarat yang jelas.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Harus atau haram YB non-Muslim DAP memasuki masjid?

PAS fatwa larang kerjasama dengan Kafir DAP yang dimanipulasi cybertroopers Umno dijawab!


Larang muslimah sertai Briged Wanita P.Pinang?

Pejabat KM fokus selesai isu warganegara

P. Ramasamy (empat dari kiri) bersama-sama Pegawai Pembantu Kewarganegaraan dalan satu sidang media di sini baru-baru ini.

PEJABAT Ketua Menteri giat mengumpulkan maklumat mengenai rakyat Pulau Pinang yang tidak mempunyai Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan atau sekadar mempunyai taraf pemastautian tetap di negeri berkenaan.

Demi menyelesaikan masalah malar segar itu, lima Pegawai Pembantu Kewarganegaraan dilantik membantu kumpulan sasaran supaya mampu mengemukakan permohonan warganegara lengkap sebagaimana digaris oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mereka, Chiam Heng Aik, Abdul Rahim Mohamed Nor, Ketanasamy @ Krishnsamy, A. Subramaniam, R. Gunalan.

"Kerajaan Negeri sememangnya mengambil initiatif pelantikan pegawai-pegawai kewarganegaraan walaupun pemohonan dapat dimukakan sendiri ke Jabatan Pendaftaran Negera Pulau Pinang.

"Ini disebabkan kebanyakan penduduk tanpa kerakyatan hanya mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan tidak begitu fasih dalam Bahasa Malaysia, proses permohanan kerakyatan melibatkan prosedur-prosedur yang rumit dan permohanan-permohanan yang dikemukakan mengambil masa yang lama untuk diproses," ujar Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P.Ramasamy di sini baru-baru ini

Difahamkan, data terkini yang direkodkan menunjukkan sebanyak 92 masalah yang dikenal pasti mengenai kelewatan daftar bagi mendapatkan sijil beranak dan kad pengenalan.

151 permohonan lain berkaitan taraf kewarganegaraan bagi penduduk Malaysia dengan status Pemastautin Tetap, manakala, baki 22 kes berkaitan imigresen. 

Inisiatif terbaru Kerajaan Negeri ini sekaligus menyerlahkan pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng cakna dengan masalah penduduk di negeri berkenaan.

TKM1 seru jabatan awam utamakan produk kehijauan

TiMBALAN Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon (gambar) menyeru semua jabatan kerajaan supaya mengutamakan pembelian produk kehijauan demi merealisasi kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau Selamat dan Sihat. 

Beliau semasa merasmikan majlis Taklimat Perolehan Hijau dan Garis Panduan 2013 berkata, Pulau Pinang dikatakan antara negeri yang berjaya melaksanakan kempen Tiada Beg Plastik Percuma serta larangan penggunaan polisterin yang lebih dikenali sebagai 'keranda putih'. 

Ekoran itu, katanya, tidak harianlah sekiranya kadar kitar semula di negeri berkenaan paling tinggi berbanding negeri-negeri lain, iaitu 24 peratus sekarang dan mensasarkan kadar 40 peratus pada tahun 2018 nanti. 

“Saya menyeru supaya jabatan-jabatan kerajaan memulakan pembelian hijau dan mempraktikkan amalan hijau di pejabat masing-masing. 

“Melalui amalan ini, kita akan dapat menyaksikan 'benih' ekonomi hijau yang dapat meningkatkan kesejahteraan manusia dan ekuiti sosial,” ucap beliau di sini baru-baru ini. 

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, Hari Alam Sekitar Sedunia yang diraikan baru-baru ini pun antara lain turut memberi perhatian pada pri penting penggunaan produk kehijauan. 

Perkembangan terbaru itu sekaligus dijangka mampu menarik minat lebih banyak pihak yang prihatin dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar supaya bertandang ke negeri berkenaan.

Dua lagi angkat sumpah Ahli Majlis MPPP

NUR Zarina Zakaria
ISTiADAT pelantikan dan mengangkat sumpah dua lagi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dilangsungkan di depan Yang di-Pertuanya, Ar. Patahiyah Ismail.

Mereka, Nur Zarina Zakaria mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mohd. Foaz Hamid mewakili badan bukan kerajaan (NGO).

Nur Zarina, 32 mempunyai sarjana dalam jurusan Kejuruteraan Awam dan kini bertugas sebagai pegawai khas di Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Mohd. Foaz, 47, pula merupakan Presiden bagi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), mempunyai diploma dalam Pengurusan Perniagaan dan kini masih sebagai perunding dalam sektor korporat.

MOHD. Foaz Hamid
Mohd. Foaz semasa ditemui kemudian berkata, beliau berharap pengalamannya dapat memartabat lagi peranan yang dimainkan oleh MPPP kelak.

“Saya diletakkan dibahagian Jawatankuasa Perancangan Bandar dan bagi saya ini bukanlah satu masalah kerana saya juga telah biasa dalam bidang ini.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang saya ada bagi meningkatkan lagi martabat MPPP dan harapan saya selama berkhidmat untuk tidak menghampakan MPPP,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Nur Zarina.

“Sebagai seorang wanita,semestinya tugasan ini sungguh mencabar, tambahan pula wanita sememangnya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga karier dan keluarga,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Kedua-dua mereka dan Ahli Majlis MPPP lain dilantik dalam tempoh Julai hingga 31 Disember depan.

Exco harap majikan tubuh pusat jaga kanak-kanak

CHONG Eng (lima dari kiri) bersama pemimpin wanita PWDC lain sedang meneliti Pelan Tindakan Dasar Penjagaan Kanak-Kanak Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas sidang media di Komtar, George Town di sini baru-baru ini.

PENUBUHAN Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Taska D'Komtar di sini diharap dapat mendorong majikan berwajib untuk mewujudkan inisiatif sama di tempat kerja masing-masing.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan pada pelancaran Pelan Tindakan Dasar Penjagaan Kanak-Kanak yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada bulan Mac lepas.

Beliau berkata, cadangan pemajuan pusat tersebut di atas keluasan lantai 1,680 kaki persegi dan mampu menampung sekitar 30 kanak-kanak pada fasa permulaan nanti.

"Kerja-kerja pengubahsuaian dijangka siap pada penghujung tahun ini...PWDC (Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang) akan bertindak kepada pelan pelaksana tersebut selama setahun. 

"Selepas itu, satu badan Hak Asasi Kanak-kanak dan Unit Penjagaan Kanak-kanak akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengambil alih tanggungjawab ini dengan bantuan semua pihak berkepentingan," ujar beliau pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Ketua Pengarah Eksekutif PWDC, Sri Husnaini Sofjan dan Wan Rosnah Wan Othman (Pegawai Perundangan dan Advokasi Jabatan Kemajuan Masyarakat PWDC) turut hadir pada majlis pengumuman penubuhan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Taska D'Komtar khusus untuk manfaat kakitangan awam di sini.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, Unit Penjagaan Kanak-Kanak tersebut mempunyai bajet dan programnya sendiri, sekaligus menjadi yang pertama seumpamanya di peringkat negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng turut malahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga Cyndy Koay Xin Lin yang meninggal dunia di pusat jagaan kanak-kanak dekat Bukit Mertajam baru-baru ini akibat tersedak susu.

Lif baru Kg.Melayu ‘dividen Ubah’ – KM

WONG Hon Wai (berbaju batik biru) bersama Mohd. Rashid Hasnon (baju melayu hijau) bergambar kenangan bersama-sama para pelajar Maahad Tahfiz Jelutong di sini baru-baru ini.

SATU lif baru siap dipasang di Flat Kampung Melayu dekat Air Itam baru-baru ini, manakala, dua lagi lif baru akan dipasang selepas musim Hari Raya Puasa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, semua kemudahan asas itu boleh dinikmati sebagai ‘dividen ubah’ disebabkan keberanian warga setempat meneruskan momentum perubahan dengan mengekalkan sokongan kepada kepemimpinan Kerajaan Negeri yang sedia ada semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

“Selama lima tahun ini (sejak tahun 2008), pelbagai perubahan dapat kita lihat di Flat Kampung Melayu terutamanya.

"Flat kini juga sudah berwajah baru (cat baru). Fasiliti dan kemudahan turut dipertingkatkan," ujar beliau di depan lebih 50 pelajar tahfiz al-Quran.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Mohd. Rashid Hasnon dan Wong Hon Wai (ADUN Air Itam) turut hadir pada majlis jamuan berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri itu.

Sebelum itu, Hon Wai melahirkan penghargaan kerana majoriti rakyat masih memberi sokongan kepada beliau pada PRU13 lepas.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengundi saya sekitar Air Itam.

"Ini juga satu pencapaian cemerlang apabila majoriti saya juga agak meningkat,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 200 hamper sumbangan fakir dan miskin diagihkan kepada penerima-penerima terpilih.

Itu, tidak termasuk 20 bertuah menerima sumbangan Khairat Kematian  selepas kematian waris keluarga.

Pertubuhan Kota Riders Superbikers yang menyertai majlis amal tersebut turut menyumbang berat sert duit raya kepada pelajar-peljar tahfiz berkenaan.

Pemandu teksi lebih perlu insentif RM300 - KM

KETUA Menteri (enam dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan insentif bernilai RM97,500 kepada Abd. Malik Darus (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh kepemimpinan Kerajaan Negeri serta pemandu-pemandu teksi bertuah dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

HAMPIR 3,000 pemandu teksi sekitar Pulau Pinang menerima sumbangan insentif tunai keseluruhan berjumlah RM97,500 atau RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri menjelang Hari raya Puasa baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, insentif itu adalah salah satu perkara yang dimaktubkan dalam Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

Justeru, beliau berharap, pemberian insentif itu dapat menggalakkan para pemandu teksi meningkatkan mutu perkhidmatan kereta sewa masing-masing demi menyemarak lagi industri pelancongan negeri.

"Dalam manifesto tersebut, Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi RM600 tiap-tiap tahun kepada semua (pemandu) teksi Pulau Pinang.

"Pemberian RM300 pada hari ini adalah pembayaran insentif permulaan untuk setengah tahun dan baki RM300 lagi akan dibayar kemudian dalam pertengahan tahun berikutnya," ujar beliau di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Kasthuri Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha MPSP) turut hadir pada Majlis Pemberian Insentif Kepada Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Sumbangan diserah kepada 325 penerima meliputi kedua-dua daerah itu melalui Presiden Gabungan Pertubuhan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (GABUNGAN), Abd. Malik Darus.

Gabungan terdiri oleh 12 persatuan dan jumlah keseluruhan ahli berdaftar sebanyak lebih 2,000 orang.

Difahamkan, majlis serupa turut dianjurkan di peringkat daerah Seberang perai Utara (SPU), Timur Laut (DTL) dan Barat Daya (DBD).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, insentif Kerajaan Negeri sebenarnya berbeza dengan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang PRU13.

TR1MA, katanya, seakan lebih menguntungkan kroni tertentu yang dilantik oleh Kerajaan Pusat berbanding pemandu-pemandu teksi sendiri.

Ini kerana, katanya lagi, baucer TR1Ma bernilai RM520 yang diterima oleh pemandu hanya boleh diganti dengan empat tayar di syarikat pengedar tertentu sahaja.

"Dengan sumbangan ikhlas ini, diharap semua pemandu teksi dapat menggunakan dengan berhemah untuk membeli keperluan penting dan persediaan menyambut Hari Raya (Puasa) tidak lama lagi," ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan komitmen untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa yang lengkap dengan sistem pengangkutan awam paling efisyen.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah merancang untuk mewujudkan sistem pengangkutan bas awam secara percuma ke seluruh Pulau Pinang, tetapi, hasrat itu terpaksa ditangguhkan ekoran mendapat layanan dingin daripada Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, beliau berkata, peranan yang dimainkan oleh pemandu teksi boleh menampung sedikit banyakkan keperluan mewujudkan sistem pengangkutan awam darat di negeri berkenaan.

Tuntas itu, beliau berkata, pihaknya menaruh harapan yang tinggi agar semua pemandu teksi berwajib boleh menjadi 'duta keci' bagi Kerajaan Negeri.

"Pemandu teksi merupakan 'duta kecil' Kerajaan Negeri yang mencerminkan budaya dan cara hidup orang Pulau Pinang,

"Berikanlah perkhidmatan terbaik dan layanan mesra kepada semua pelangan, tidak kira pengunjung tempatan atau pelancong antarabangsa," ujar beliau.

ABD. Malik Darus
Abdul Malik yang ditemui kemudian mengaku bahawa pemberian insentif secara tunai dan baucer masing-masing mempunyai keleihan dan kekuragan.

Namun, beliau berkata, sumbangan tunai boleh membantu pemandu teksi membuat persiapan raya.

"Bagi kita yang umat Islam, ini adalah sesuatu yang besar untuk menyambut Aidilfitri.

"Pemberian insentif secara tunai memberi peluang kepada pemandu teksi, sama ada untuk menyelenggara teksi mereka atau membuat persiapan raya mengikut keutamaan masing-masing," ujar beliau di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat wajar terus berusaha untuk mennyelami perasaan para pemandu teksi.

"Kalau boleh Kerajaan Negeri banyakkan pelancong ke kawasan pulau kerana pendapatan kita 90 peratus datang daripada pelancong-pelancong ini, lima peratus sahaja (pelanggan) orang tempatan," ujar beliau lagi.

T. Malakanu
Nada yang sama turut diluah oleh T.Malakanu, 76, yang ditemui kemudian.

“Saya sudah bekerja lebih 50 tahun, kerja memang susah dan sangat mencabar. Dengan insentif ini, bagus lah. Terima kasih banyak-banyak untuk Ketua Menteri.

“Pusat memang ada memberi empat tayar. Kalau baik, dapat tayar baik. Kalau tak baik, dapat tayar lama (atau) tiada kualiti. Ini semua nasib lah.

“Kalau bagi duit (seperti insentif RM300 oleh Kerajaan Negeri), lagi senang kerana kadang-kadang duit itu boleh digunakan untuk keperluan lain jika tayar teksi kita baru tukar. Takkan nak tukar tayar baru dengan tayar baru lain, rugi.

“Macam saya, dapat tayar yang sudah dipakai sebab saya tiada pilihan untuk tebus baucer (TR1Ma)...bunga tayar belum habis, tetapi, tayar sudah rosak ertinya itu tayar lama yang tidak berkualiti lagi.

KHOR Sok Boon
Khor Sok Boon, 76, mengaku bahawa kemampuan orang ramai memiliki kenderaan peribadi sedikit banyaknya menjejas mata pencarian beliau di Nibong Tebal berbanding era 1960-an dulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau sangat berterima kasih atas sumbangan insentif RM300 daripada Kerajaan Negeri.

“Macam saya di Nibong Tebal, tidak banyak pelancong menaiki teksi saya kerana George Town lebih menjadi tumpuan pelancongan.

“Jadi, kerja dari pagi hingga petang pun susah mahu cari makan. Mujur anak semua sudah besar dan tanggungan menjadi ringan.

“Bagi tayar pun, kita terima. Bagi duit (insentif RM300) pun, kita terima kerana kerja kita susah di sini.

“RM300 boleh guna untuk keperluan rumah, satu hari tak boleh habis insentif ini kerana jimat cermat,” ujar beliau.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan Kerajaan Negeri terbukti mengotakan janji Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang PRU13 demi kepentingan rakyat terbanyak di negeri berkenaan.

PAS mahu berkawan semua jenis anak muda, kata Zolkifly Md Lazim

ZOLKIFLY Md. Lazim (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan papan karom kepada anak muda tempatan Bayan Lepas, semalam.
IFTAR Jama'e bersama-sama pemimpin PAS Cawangan Bayan Lepas serta anak muda tempatan disambut dengan penuh sederhana serta harmoni.

Misi dakwah PAS adalah menyebarkan kasih sayang dengan penuh kesabaran kepada umat sama ada Islam atau bukan Islam.

Ketua PAS Cawangan Bayan Lepas, Zolkifly Md. Lazim berkata demikian dalam majlis Iftar Jama'e dan Majlis Penyerahan Karom di perkarangan Pasar Ramadan dekat Jalan Mahkamah, Bayan Lepas semalam.

"Kasih sayang telah membawa Rasulullah S.A.W mendekati semua manusia tanpa mengira apa jua latar belakang mereka.

"Sabar dalam mendekati manusia menyebabkan anak muda (Sahabat R.A.hum) yang kasar pada zaman itu pun boleh ikut Rasulullah.

"Rasulullah S.A.W bawa masej kasih sayang untuk berkawan semua orang, bukan memutuskan persaudaraan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan dakwahnya.

Sebab itu, bagi saya, PAS mahu berkawan semua jenis anak muda semacam yang Rasulullah s.a.w buat dulu," ujar beliau di sini, semalam.

Zolkifly menyampaikan tazkirah sedemikian semasa menjelaskan mengenai pengajaran daripada sepotong hadith yang bermaksud:
"Akan datang satu zaman, pemuda dalam beragamanya bak menggenggam bara api."
Justeru, katanya, hadith tersebut sepatutnya mengajar ahli-ahli PAS supaya bersabar dalam menyampaikan masej kasih sayang kepada semua pihak, bukan bebal menyalahkan kumpulan sasaran dakwah yang tidak menerima kehadiran dakwah PAS.

Hampir 30 orang, rata-rata anak muda tempatan menyertai keraian sederhana tersebut anjuran PAS Cawangan Bayan Lepas. 

Exco Agama rai 100 kanak-kanak Hospital P.Pinang

ABDUL Malik meramahi salah seorang kanak-kanak di sini baru-baru ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mengadakan lawatan mesra ke wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dalam satu keraian ringkas, beliau menyerahkan sumbangan duit raya kepada 100 kanak-kanak terpilih.

Sumbangan itu, katanya, sebagai menghibur mereka yang kurang bernasib baik, hatta tidak dapat menyambut Hari Raya Puasa di rumah masing-masing seperti kanak-kanak lain.

“Program lawatan ini mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Hospital Besar Pulau Pinang serta para ibubapa kanak-kanak di wad berkenaan,” ujar Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Program mesra itu diadakan saban tahun sejak 2010.

Exco Agama lawat Rumah St. Nicholas

ADBUL Malik Hasnon (kanan sekali) menerima balasan buah tangan daripada adik Siti Rohaya (tengah) sambil dibantu seorang staf Rumah St.Nicholas dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim baru-baru ini meraikan warga Rumah St. Nicholas dekat Jalan Bagan Jermal di sini sempena menyambut bulan Ramadan, seterusnya Hari Raya Puasa.

Mereka, 79 warga cacat penglihatan serta 63 staf pelbagai kaum masing-masing menerima sumbangan duit raya berjumlah RM30 dan RM20 tiap-tiap orang.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, majlis amal sepemama itu antara program-rogram rasmi dalam kalendar Kerajaan Negeri pada sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Pada tahun ini, kita (Kerajaan Negeri) bantu mengemaskini surau dalam St. Nicholas ini dan menyumbang Al-Quran untuk kegunaan staf dan penghuni beragama Islam,” ujar beliau dalam satu majlis ringkas baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas keterbukaan pentadbir St. Cicholas kerana membenarkan pendakwah dari JAIPP mengampaikan tazkirah dan kuliah-kuliah di rumah istimewa tersebut.

Wakil penghuni Rumah St. Nicholas, Yusoff Abd. Rahman yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan atas insiatif Exco menyerahkan sumbangan hari raya serta menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa.

"Semoga Allah akan memberkati kerja-kerja baik yang dilakukan pihak Yang Berhormat (Abdul Malik)," ujar beliau.

Lawatan tahunan serta penganjuran majlis amal di Rumah St. Nicholas itu dianjurkan saban bulan Ramadan sejak tiga tahun lepas.

Kembang potensi hadapi senario ekonomi - TKM1

MOHD. Rashid Hasnon (duduk atas kerusi, bersongkok) dan isteri bergambar kenang-kenangan dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa MPMPP dari pelbagai universiti tempatan di Hotel Traders, George Town baru-baru ini.

LEBIH 200 ketua-ketua jabatan dalam Kerajaan Negeri, penggiat industri dan pemimpin Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang (MPMPP) menyertai jamuan berbuka puasa bersama Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon.

Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengembangkan potensi perindustrian yang sedia ada di negeri berkenaan sungguhpun berdepan dengan perubahan senario ekonomi belakangan ini.

"Dalam pertumbuhan ekonomi negeri, ada masanya naik (berkembang) dan ada masa yang lain menurun (menguncup). Industri ini ada kitaranyya.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri yakin persekitaran ekonomi yang berdaya saing dengan prospek perdagangan berasaskan integriti akan terus menjadi kekuatan kita (Pulau Pinang) dalam menghadapi senario naik turun sekarang," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Hotel Traders, George Town baru-baru ini.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad, Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP), Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah) antara dif kehormat yang hadir pada majlis keraian tersebut.

Mohd Rashid berkata, golongan yang kreatif serta cepat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran sahaja mampu menempuhi senario tersebut, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan sektor perkhidmatan pelancongan.

Difahamkan, Pulau Pinang dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lepas berada pada anak tangga ketiga selepas negeri Johor dan Sarawak pelaburan keseluruhan bernilai RM0.85 bilion, lapor perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Laporan itu seakan menggambarkan ketidaktentuan ekonomi, termasuk dalam sektor E&E.

Pun begitu, PenangInvest dalam satu kenyataan menyebut, industri E&E di negeri berkenaan dalam suku kedua tahun ini masih diramalkan positif.

Ini, berdasarkan laporan Malaysian American Elektronics Industry (MAEI) yang dilaporkan menyebut bahawa eksport E&E dijangka meningkat antara 3 hingga 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diramal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Amerika Syarikat dalam tempoh sama turut berkembang antara 5 hingga 6 peratus.

Malah, dilaporkan, Dana Pelaburan Antarabangsa (IMF) menjangkakan sektor E&E akan menjadi pasaran utama dengan peningkatan pelaburan sebanyak 1.9 peratus.

"MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga melaporkan pelaburan tahun ini dijangka meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun lepas," lapor sumber.

Lima PGNK 4.0 STPM tercicir masuk IPTA - Ramasamy

P. Ramasamy (empat dari kiri) pada satu sidang media di sini baru-baru ini membangkitkan isu keciciran lima pelajar bukan Bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM dari mendapat tempat ke IPTA.

LiMA pelajar bukan Bumiputera yang mendapat keputusan Poin Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM) dikesan tercicir dari senarai masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). 

Justeru, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P.Ramasamy mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya memberi penjelasan mengenai nasib tiga pelajar Cina dan dua India malang berkenaan. 

“Pada sesi kemasukan pelajar ke IPTA sesi 2013/2014, terdapat pelajar yang mendapat PGNK 4.0 dalam STPM, iaitu pelajar India dan pelajar cina yang masing-masing tidak layak mendapat kursus yang mereka mohon iaitu Doktor Perubatan, dan Sains Seni Bina”, ujarnya di sini baru-baru ini. 

Ramasamy yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan sewajarnya respons isu yang dibangkitkannya itu. 

Ekoran itu, beliau mencadangkan supaya kemasukan ke Kolej Matrikulasi dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera memandangkan mereka juga berhak untuk menikmati kemudahan pendidikan yang sama dengan Bumiputera. 

Sunway Carnival, ADUN rai 25 anak yatim raya

AFIF Bahardin (tengah) bersama-sama wakil penganjur menyalakan lilin sebagai gimik perasmian majlis meraikan 25 anak yatim di sini baru-baru ini.

SUNWAY Carnival Mall Seberang Jaya meraikan 25 anak yatim dari Rumah Permata Kasih dalam satu jamuan berbuka puasa di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin sendiri merasmikan majlis amal bertemakan The Glow of Raya tersebut serta menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berupa sepasang baju raya dan duit raya kepada golongan terpilih berkenaan.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani semasa berucap merakamkan penghargaan atas komitmen Sunway Carnival mengadakan majlis amal tersebut sempena menyambut Hari Raya Puasa nanti.

“Saya bersyukur kerana masih lagi berkesempatan untuk menjalani aktiviti kebajikan seperti ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Sunway kerana sudi menjayakan majlis kebajikan seperti ini,” ujar Dr. Afif.

Justeru, beliau berharap lebih banyak badan korporat menganjurkan majlis amal sebagaimana yang dilakukan oleh Sunwar Carnival. -END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus