LEBIH 200 ketua-ketua jabatan dalam Kerajaan Negeri, penggiat industri dan pemimpin Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang (MPMPP) menyertai jamuan berbuka puasa bersama Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon.
Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengembangkan potensi perindustrian yang sedia ada di negeri berkenaan sungguhpun berdepan dengan perubahan senario ekonomi belakangan ini.
"Dalam pertumbuhan ekonomi negeri, ada masanya naik (berkembang) dan ada masa yang lain menurun (menguncup). Industri ini ada kitaranyya.
"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri yakin persekitaran ekonomi yang berdaya saing dengan prospek perdagangan berasaskan integriti akan terus menjadi kekuatan kita (Pulau Pinang) dalam menghadapi senario naik turun sekarang," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Hotel Traders, George Town baru-baru ini.
Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad, Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP), Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah) antara dif kehormat yang hadir pada majlis keraian tersebut.
Mohd Rashid berkata, golongan yang kreatif serta cepat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran sahaja mampu menempuhi senario tersebut, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan sektor perkhidmatan pelancongan.
Difahamkan, Pulau Pinang dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lepas berada pada anak tangga ketiga selepas negeri Johor dan Sarawak pelaburan keseluruhan bernilai RM0.85 bilion, lapor perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Laporan itu seakan menggambarkan ketidaktentuan ekonomi, termasuk dalam sektor E&E.
Pun begitu, PenangInvest dalam satu kenyataan menyebut, industri E&E di negeri berkenaan dalam suku kedua tahun ini masih diramalkan positif.
Ini, berdasarkan laporan Malaysian American Elektronics Industry (MAEI) yang dilaporkan menyebut bahawa eksport E&E dijangka meningkat antara 3 hingga 4 peratus.
Tidak cukup dengan itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diramal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Amerika Syarikat dalam tempoh sama turut berkembang antara 5 hingga 6 peratus.
Malah, dilaporkan, Dana Pelaburan Antarabangsa (IMF) menjangkakan sektor E&E akan menjadi pasaran utama dengan peningkatan pelaburan sebanyak 1.9 peratus.
"MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga melaporkan pelaburan tahun ini dijangka meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun lepas," lapor sumber.
No comments:
Post a Comment