04 February 2015

TOL untuk tujuan agama akan diwartakan di P.Pinang, kadarnya tidak naik

LIM Guan Eng (empat dari kiri) menyerahkan surat balasan Kerajaan Negeri kepada Ooi Hock Keong (tiga dari kiri), sambil disertai oleh Chow Kon Yeow (kiri sekali) dan Lau Keng Ee (lima dari kiri) serta dua tetamu lain di sini pada petang tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Lesen pendudukan sementara (TOL) khusus untuk tujuan keagamaan diwartakan secara perundangan di Pulau Pinang tidak lama lagi, dengan kadar bayaran sedia ada tidak akan dinaikkan oleh Kerajaan Negeri pada masa depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian, sebagai mengulas isu sebuah tokong dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Weld di sini, yang dikenakan kadar bayaran TOL sebanyak RM2,500 pada tahun ini, berbanding lebih RM200 sahaja pada tahun lepas.

Menurutnya, isu tersebut timbul disebabkan tokong tersebut berada atas tanah TOL, yang berstatus komersial sebelum ini.

"(Kadar baru RM2,500 yang dikenakan ke atas tokong) itu ikut spesifikasi komersial kerana sebelum ini tidak pernah ada kategori keagamaan untuk TOL.

"Saya telah minta suatu kategori baru dibuat untuk membolehkan TOL untuk tujuan keagamaan kekal dengan kadar (bayaran) lama.

"Tunggu sehingga pewartaan yang baru, barulah bayar ikut kadar lama, (manakala) bagi yang telah membayar mengikut kadar TOL baru akan dipulangkan dalam (bentuk) rebet," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam kepada wartawan di sini pada petang tadi.

Penjelasan Guan Eng itu turut disampaikan secara langsung kepada pihak yang mula-mula membangkitkan isu tersebut kepada media arus perdana tertentu baru-baru ini, iaitu Pengurus Tokong Sun Hai Yim Yeong Lian, Ooi Hock Keong, 54.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee turut menyertai siang media tersebut.

Selain itu, Guan Eng turut menafikan dakwaan pihak tertentu di akhbar mesra pembangkang Pulau Pinang, kononnya Kerajaan Negeri turut menaikkan cukai tanah di negeri ini.

"TOL untuk perindustrian dan komersial sahaja yang naik, tetapi untuk tujuan keagamaan tak naik.

"Cukai tanah pun, kita (Kerajaan Negeri) tak naik langsung," tegas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih, sambil mengkritik media arus perdana tertentu yang didakwa seakan mengelirukan mengelirukan isu pokok sebenar.

Guan Eng bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pihak yang membangkitkan isu kenaikan kadar bayaran TOL untuk keagamaan, hingga membolehkan mutu tadbir urus Kerajaan Negeri terus diperbaiki.

1.3 juta rai Thaipusam di P.Pinang, KN sumbang RM200,000

JALAN utama ke Kuil Arulmigu Thandayuthapani di sini pada sambutan Hari Thaipusam kelihatan dibanjiri manusia baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

LIM Guan Eng (tengah) menyaksikan P. Ramasamy dikalungkan selendang sutera atau 'ponnadai' oleh R. Subramaniam (kanan sekali) sendiri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH - Kira-kira 1.3 juta pengunjung meraikan sambutan Thaipusam Peringkat Antarabangsa Kali Ke-229 di di Kuil Arulmigu Thandayuthapani dekat Air Terjun Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri pula menyumbang RM200,000 sebagai komitmen menghargai pengunjung, termasuk pelancong asing sempena perayaan penganut Hindu itu.

“Kerajaan Negeri memang memberi sokongan penuh pada perkembangan semua agama mengikut keperluan masing-masing, dan sumbangan RM200,000 ini tanda sokongan Kerajaan Negeri atas sambutan Thaipusam di Hilltop Temple ini.

“Sekarang, Pulau Pinang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di rantau ini, dan Hilltop Temple merupakan salah satu ikon tarikan pelancongan ke negeri ini, terutama pada musim perayaan,” kata Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam pada keraian tersebut di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga turut menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini supaya bersatu padu dalam mendepani rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dijadual berkuatkuasa pada 1 April depan.

“Tahun ini akan menjadi cabaran kepada semua rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama kerana masing-masing akan dibebankan dengan GST, tetapi, Kerajaan Negeri berharap semua teguh bersatu membantah (pelaksanaan GST) oleh Kerajaan Pusat biar sampai berjaya,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut memuji para ahli Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang atas tadbir urus yang baik berhubung hal ehwal agama dan penganut Hindu di negeri ini.

(Dari kiri) A. Thanasekharan, P. Ramasamy, Lim Guan Eng, R. Subramaniam di pentas utama majlis keraian Thaipusam Peringkat Dunia Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy berucap pada majlis sama berkata, pihaknya mensyor pemajuan sebuah keretapi kabel ke puncak Kuil Arulmigu Thandayuthapani di sini, sebagaimana didapati di kawasan pelancongan Bukit Bendera suatu hari nanti.

“Pembinaan kenderaan ini dianggarkan memerlukan peruntukan kira-kira RM6.2 juta, yang akan membolehkan pengunjung lebih mudah naik ke puncak kuil ini suatu hari nanti,” ujar Ramasamy yang juga ADUN Perai.

Nada yang sama turut diucapkan oleh Pengerusi Kuil Arulmigu Thandayuthapani, R. Subramaniam.

“Ini (Kuil Arulmigu Thandayuthapani) bukan sekadar kawasan keagamaan Hindu sahaja, bahkan, telahpun menjadi salah satu ikon pelancongan antarabangsa yang menarik di negeri ini,” ujar Subramaniam, sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan RM200,000 daripada Kerajaan Negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat telekomunikasi DIGI atas sumbangan RM160,000 khusus untuk aktiviti komuniti kuil di sini.

Exco Pembangunan Pelancongan merangkap ADUN Batu Lancang, Law Heng Kiang, Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera), T. Jayabalan (ADUN Batu Uban) dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut menyertai majlis keraian tersebut.

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia, bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Pada hari tersebut, penganut agama Hindu ada yang mengambil peluang untuk menunaikan nazar dan menebus dosa, atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini.

P.Pinang puji GITA anjur sidang a'bangsa 4 & 5 April, kata Kasthuriraani

P. Kasthuriraani (enam dari kiri), R.M. Ravi (kiri sekali) dan Anwar Fazal (tengah) bersama beberapa wakil NGO lain pada majlis mempromosi Persidangan GITA Antarabangsa Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini. | Foto: G. Reva

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEBUN BUNGAH - Persidangan GITA Antarabangsa Pulau Pinang 2015 yang dianjurkan oleh sebuah pertubuan bukan kerajaan (NGO) selama dua hari mulai 4 April depan diharap menyemarak lagi nilai perpaduan, kedamaian dan kemakmuran dalam kalangan rakyat majmuk, khususnya komuniti Tamil di negeri ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani semasa membacakan kenyatan Exco Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata, Kerajaan Negeri sangat menyanjungi usaha Global Intellectual Transcendental Association (GITA) Pulau Pinang atas usaha NGO tersebut menganjurkan persidangan yang buat julung kalinya diadakan di negeri ini.

“Saya sangat menyanjungi misi GITA yang memberi tumpuan pada menyemarakkan nilai perpaduan, keamanan dan kemakmuran, yang menjadi asas kepada keharmonian, kesihatan dan perkembangan masyarakat.

“Saya berharap dapat mengetahu apalagi projek kebiasaan besar yang dirancang oleh GITA, yang mensasarkan perubahan rakyat, membaiki kualiti hidup serta mengukuhkan semangat perpaduan dan keamanan (dalam masyarakat),” jelas Kasthuriraani pada majlis promosi media di sini baru-baru ini.

Pengerusi Penganjur Persidangan GITA Antarabangsa Pulau Pinang 2015, Ravichandar Ratnam dan Pengerusi NGO Think City, Prof. Dato' Anwar Fazal turut menyampaikan ucapan pada majlis mempromosi persidangan tersebut.

Sebelum itu, Ravi memberitahu, pihaknya merancang untuk menyerahkan sebanyak 4,000 naskah kitab suci agama Hindu, Bhagavad Gita kepada beberapa sekolah aliran Tamil, institusi pendidikan dan perpustakaan terpilih dalam satu majlis jamuan malam, bersempena persidangan tersebut nanti.

“Duta keamanan dunia yang terkenal, Prem Rawat pun dijangka akan berada di sini nanti,” kata Ravichandar Ratnam dalam ucapannya.

Hampir 30 perwakilan NGO hadir pada sidang media di sini, antaranya, Prem Rawat Foundation, Partner of Peace Malaysia, Sathya Sai Baba Center Taman Brown, Badan Amanah Kuil Bukit Bendera, Universal Peace Sanctuary Cawangan Pulau Pinang, Persatuan Penganut Hindu Pulau Pinang, Hindu Sangam Malaysia, Pertubuhan Pemuda Hindu Negeri Pulau Pinang, Pertubuhan Penganut Islam Pulau Pinang Tanjong, Gurdwara Bayan Baru, Persatuan Valalar, Mellisai Payennum dan SCI Penang.

Wakil-wakil badan korporat seperti Kumpulan Hartanah Pulau Pinang, KST International, NutriAgro Asia Sdn. Bhd., Praxis Synergy, Braintech, Global Asia Learning Centre, Nizel Tech, Mind's Academy dan Profile Ungul Sdn. Bhd. turut hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy pada sidang media berasingan berkata, tiga jalan utama ke Water Fall ke Kuil Thandayuthapani di sini ditutup pada 2 dan 3 Februari lepas, demi memberi laluan pada perayaan penganut Hindu sedunia, iaitu Thaipusam.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, pihaknya akan turun meninjau lebih awal ke beberapa kawasan perayaan berwajib, termasuk Jalan Transver, Jalan Macalister dan Jalan Western yang ditutup tersebut, supaya beberapa masalah berbangkit seperti tahun lepas tidak lagi berulang.

Pengerusi Kuil Thandayuthapati, R. Subramaniam dalam sidang media sama berkata, insiatif Kerajaan Negeri tersebut dilihat mengurangkan kesesakan trafik pada sepanjang belangsungnya Thaipusam di sini .

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus