12 August 2015

Rakan Pelaksana Projek Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang akan diumumkan tidak lama lagi, kata Exco

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) memgumumkan pemberian Letter of Award kepada pembida terpilih yang dicadangkan sebagai Rakan Pelaksana Projek bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, pada sidang media bersama-sama Lim Guan Eng (dua dari kiri), Jagdeep Singh Deo (paling kiri) dan Lim Hock Seng (paling kanan) di Komtar dekat George Town pada petang tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Nama pembida yang dipilih sebagai Rakan Pelaksana Projek bagi Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang hanya akan diumumkan selepas syarikat terbabit bersetuju dengan Surat Anugerah daripada Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pengumuman itu adalah hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pagi tadi.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telahpun memutuskan untuk mengeluarkan Letter of Award kepada pembida yang berjaya, untuk dilantik sebagai Project Delivery Partner untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang dari sekarang (tahun 2015) hingga 2030.

“Mulai hari ini, tandatangan membabitkan kedua-dua belah pihak (syarikat dengan Kerajaan Negeri) akan dibuat dalam tempoh enam bulan ini, jika proses (berwajib) tidak sempurna akan ditangguh lagi.

“Nama syarikat hanya akan diumumkan selepas mereka menerima tawaran ini,” ujar Kon Yeow pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini.

Turut serta, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Sementara itu, Guan Eng memberitahu bahawa Letter of Award yang akan diserahkan kepada pemida berjaya sebenarnya dilangsungkan oleh Kerajaan Negeri melalui proses tender terbuka.

“Ini, dilakukan oleh Jawatankuasa Tender Negeri dan disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Dan, Jawatankuasa Tender Negeri ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri secara perundangan, maka keputusan yang dibuat (Dato' Seri) Farizan (Darus) ini adalah disokong oleh Kerajaan Negeri,” jelas Guan Eng.

Terdahulu, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang ini yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri pada 25 Mac 2015 sebenarnya adalah hasil perbincangan beberapa pihak berwajib, antara lain demi menangani menangani cabaran kesesakan trafik di negeri ini.

Kerajaan Negeri pada 16 Mei 2014 membuat ketetapan bahawa pelan tersebut akan dilaksanakan dengan konsep Project Delivery Partner.

Susulan itu, mereka yang berminat untuk menjadi Rakan Pelaksana Projek bagi pelan tersebut diminta mengemukakan Request for Proposal (RFP) kepada Kerajaan Negeri mulai bulan Ogos, dan tarikh tutup adalah pada 16 Mei baru-baru ini.

Enam pembida menghantar Proposal Permintaan untuk dinilai oleh Jawatankuasa Tender Negeri, yang dipengerusikan sendiri oleh pegawai Kerajaan, iaitu Farizan.

Penilaian enam pembida ini meliputi inti cadangan RFP, keupayaan teknikal, pengalaman pembida memperoleh kelulusan daripada agensi Kerajaan, strategi pelaksanaan yang dikemukan, nilai tawaran cadangan, kedudukan kewangan, model dapatan dan perniagaan serta kitaran risiko yang akan dikenakan jika projek tertangguh.

Pada 23 Jun 2015, Kerajaan Negeri melalui keputusan Lembaga Perolehan Negeri mencadangkan pembida terbabit sebagai Project Delivery Partner.

Kon Yeow pada 12 Ogos 2015 mengumumkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk memberi Surat Anugerah berwajib, demi mendapatkan maklum balas muktamad daripada pembida terbabit.

Nilai Pembangunan Kasar 81 DLAP ke P.Pinang berpuluh bilion ringgit, Exco Perumahan tuntut penjelasan Putrajaya

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan kepada wartawan mengenai Surat Rasmi daripada Mohamad Yusoff Ghazali, yang mendedahkan Kementerian mengaku menerima 81 permohonan DLAP di sini pada petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN - Putrajaya digesa menjelaskan secara terperinci mengenai 81 pemohon Lesen Pemajuan Dan Permit Iklan (DLAP) projek ke negeri ini serta jumlah sebenarnya Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang sepatutnya disumbangkan kepada Kerajaan Pusat.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Pusat dianggarkan mendapat sumber berpuluh bilion ringgit sekiranya tidak melengah-lengahkan proses kelulusan kesemua 81 DLAP yang dimohon oleh pemaju berwajib.

“Daripada 81 projek pemajuan ini, kita (Kerajaan Negeri) nak tahu siapakah pemajuan dan berapakah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang saya sudah pasti akan mencecah berpuluhan bilion ringgit.

“Ini kerana, dalam mana-mana projek pemajuan, akan ada pembayaran cukai (DLAP) kepada Kerajaan Pusat juga,” tegas Jagdeep pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini, petang tadi.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Jawatan Lisan kepada Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) di Dewan Rakyat pada 6 April lalu antara lain mendedahkan sebanyak 48 pemohonan DLAP untuk Pulau Pinang dalam tempoh bulan Ogos 2014 hingga 2015.

Daripada jumlah itu, 30 permohonan masih disemak untuk kelulusan, manakala 18 yang lain telahpun diluluskan.

Jagdeep dalam surat rasmi kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek pada 24 Jun lalu mengesa diperjelas punca kelewatan proses kelulusan DLAP berwajib.

Jagdeep dalam sidang media 13 Julai lalu, turut mengumumkan langkah Kerajaan Negeri untuk meneroka serta mengkaji langkah perundangan sewajarnya, demi mendepani layanan dingin daripada Putrajaya.

Ekoran itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negera, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali dalam satu surat rasmi bertarikh 27 Julai menjelaskan bahawa kementerian menerima 81 permohonan DLAP dari negeri Pulau Pinang dan sebanyak 34 permohonan telahpun diluluskan.

Reaksi terbaru itu akhirnya dipersoal oleh Jagdeep pada sidang media petang tadi.

“Yang mengejutkan ialah sehingga 27 Julai 2015, sebanyak 81 permohonan, suatu jumlah yang begitu besar berbanding 48 permohonan sehingga bulan Februari lalu...ertinya 33 permohonan dalam tempoh empat bulan.

“Kita (Kerajaan Negeri) nak tahu apakah sebab kelewatan ini, kerana semua permohonan DLAP ini tidak ditolak dan tiada jawapan mengenainya oleh kementerian,” tegas Jagdeep sambil memberitahu bahawa beliau akan menulis sepucuk surat rasmi lagi kepada berhubung perkara berbangkit tersebut.


Ringgit susut, RMK-11 tak relevan lagi, kata Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN - Ringgit Malaysia (RM) jatuh mencecah RM4 bagi sedolar AS dengan angka merosot serendah 4.0035 pada jam 9.35 pagi tadi dan meningkat sedikit pada nilai RM3.99 sedolar AS pada jam 9.50 pagi, lapor Bloomberg.

LIM Guan Eng
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kejatuhan nilai RM kira-kira 20 peratus dalam tempoh 12 bulan terakhir ini bukan sahaja menjadikan prestasi paling teruk di Asia, berbanding krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Bahkan, katanya, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas seakan tidak lagi relevan kini.

“Ini kejatuhan paling rendah sejak krisis kewangan Asia pada 1997.

“Rancangan Malaysia Ke-11, saya fikir tidak lagi relevan (kerana keadaan ekonomi pada ) tahun lepas dan sekarang sangat berbeza,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini petang tadi. 

Difahamkan, kemerosotan nilai matawang negara antara lain berpunca oleh kejatuhan harga minyak mentah 'Brent' yang mengurangkan hasil negara, selain perubahan kadar faedah rizab persekutuan AS.

Daripada aspek politik pula, dilaporkan, Najib sendiri belakangan ini dilihat menjadi perhatian dunia, susulan kemasukan sumbangan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, selain, kontroversi 1MDB yang melanda politik ekonomi tanah air.

Lesen kuari diluluskan Kerajaan dulu, Guan Eng respons laporan NST

MUKA depan akhbar NST, 11 Ogos 2015.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - The New Straits Times (NST) sepatutnya mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Negeri terdahulu yang jelas-jelas meluluskan pembukaan kuari begitu banyak membabitkan kawasan bukit bukau negeri ini

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada laporan berita “Penang to check on quarrying” pada 11 Ogos lepas di muka depan akhbar arus perdana itu.

“Kelulusan kuari itu dilakukan oleh Kerajaan (Negeri Pulau Pinang) lepas.

“Jika kami membatalkan lesen (kuari itu), apa ayang akan berlaku kepada kami jika membatalkan kelulusan yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Negeri lalu (sebelum 2008).

“Kami perlu membayar papasan, adakah kami mempunyai begitu banyak wang untuk pampasan ini,” jelas Guan Eng pada sidang media di sini, petang tadi.

Menjawab soalan daripada seorang wartawan NST, Guan Eng menegaskan, akhbar arus perdana itu sepatutnya lebih adil dalam melaporkan latar belakang isu berbangkit tersebut.

“Lesen kuari ini diluluskan oleh Kerajaan terdahulu, kenapa akhbar kamu (NST) tidak memberikan laporan yang lebih adil kepada Kerajaan hari ini.

“Kita tidak meluluskan lesen kuari ini...maka, hentikanlah penipuan ini,” tegas Guan Eng lagi.

Terdahulu, NST mendedahkan operasi kuari berleluasa di Juru, Bukit Tambun, Kubang Semang dan Simpang Empat, sehingga menjejaskan alam semula jadi.

Operasi kuari di Juru umpamanya, turut menjejaskan pemandangan umum pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang dari George Town ke Seberang Perai Tengah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus dalam reaksi spontan dilaporkan mengaku bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara berbangkit tersebut.

Manakala, Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi Pulau Pinang pula antara lain melaporkan Laporan Siasatan Tanah hendaklah disediakan dengan lebih lengkap dan terperinci supaya status tanah dapat ditentukan dengan lebih tepat bagi membantu pihak berkuasa negeri dalam membuat keputusan permohonan pemberimilikan, kata laporan itu. 

Laporan sama turut menyentuh mengenai kuari beroperasi tanpa permit di negeri ini, dan menyatakan bahawa terdapat empat pengusaha di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan menjalankan kerja-kerja pengeluaran dan pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan atau permit daripada Pihak Berkuasa Negeri.

"Tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kuari yang menjalankan aktiviti pengeluaran dan pemindahan bahan batuan tanpa permit adalah tidak memuaskan," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, kelemahan seperti hasil royalti terkurang kutip, kelewatan menjelaskan royalti, kelulusan memperbaharui permit lewat dikeluarkan dan pencemaran udara dan bunyi harus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Rabiatul Adawiyah naib johan renang paralimpik, minat reka fesyen

RABIATUL Adawiyah Mohd. Azhar bersama-sama ayahnya.

MELIHATNYA, mengingatkan pada filem Taare Zameen Par (maksud: Bagaikan Bulan di muka bumi) arahan aktor terkenal Bollywood, Amir Khan.

Filem ini mengisahkan seorang murid autisme, lakonan adik Darsheel Safary.

Berkat pengalaman, rasa empeti dan kesabaran seorang guru, akhirnya berjaya mencungkil bakal pelajar autisme tersebut.

Sangat indah hasilan tangan yang begitu, hatta membuka mata rakan dan guru-guru yang selama ini tidak mencermati keistimewaannya.

Adik Rabiatul Adawiyah Mohamad Azhar, 17, yang dipilih menerima Anugerah Olahragawati Paralimpik 2014 agak kekok semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di Gelugor baru-baaru ini.

Dengan dorongan ayahnya, Rabiatul Adawiyah berkongsi serba-sedikit mengenai dirinya.

“Masuk tiga kategori dan menang dua (kategori). Saya naib johan saja (dalam SUKMA 2014 di Perlis)

“Saya dapat satu (pingat) perak dan empat (pingat) gangsa dalam SUKMA (Sukan Malaysia) di Pahang 2012...semua lima pingat,” kata Rabiatul Adawiyah.

Sejak kecil lagi, Rabiatul Adawiyah seringkali dibawa oleh ayah ke kolam renang dalam kawasan Universiti Sains Malaysia (USM).

Di sana, beliau belajar berenang, sebelum mendapat bimbingan lanjut di bawah jurulatih “Cikgu Jason”.


EPILEPSY
Difahamkan, Rabiatul Adawiyah mula dikesan mengidapi sakit Epilepsy atau sawan sejak darjah tingga.

Selepas itu, Rabiatul Adawiyah belajar di kelas aliran khas sehingga kini.

“Di sekolah cikgu ajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, tetapi saya paling minta mencanting batik dan berkebun.

“Ayah latih renang dan saya berengan dulu dengan kakak. Ada yuran RM5 untuk ayah dan RM0.50 untuk saya sekali masuk ke pusat renang USM,” jelas Rabiatul Adawiyah.

Anak dua daripada tiga beradik ini sehingga kini menjadi kebanggaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong, kerana mewakili kontinjen Pulau Pinang menyahut cabaran di peringkat kebangsaan.

Menurut ayahnya, Rabiatul Adawiyah sendiri turut dibawa ke kolam renang tiga hari dalam seminggu.

“Kadang-kadang takut renang juga sebab takut kalah.

“Kadang-kadang saya takut rahang (terkunci) atau kejang kaki di kolam renang,” jelas beliau.


MINAT REKA FESYEN
Masa lapang selalunya dihabiskan di rumah, dengan menonton kartun Jepun melalui saluran Animax di Astro.

Rabiatul Adawiyah turut minat melukis, khususnya melukis reka fesyen pakaian wanita.

Sekali tengok koleksi lukisannya, boleh membuatkan kita percaya rekaannya itu saling tak tumpah macam dihasilkan oleh seorang pelukis profesional.

“Saya memang nak jadi pereka fisyen...ayah kata saya sejak tadika boleh kawal kontrol ton warna.

“Apa yang saya fikir, saya akan lukis. 

“Saya tak belajar benda ini di sekolah, tetapi saya ada fikir mengenainya di rumah.

“Saya minat melukis, tetapi ayah cakap minat saya pada reka fisyen.


LANJUT PELAJARAN
Rabiatul Adawiyah berkata, ayahnya mencadangkan beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej, jika mempunyai peluang.

“Sekarang umur saya 17 tahun, mungkin dua tahun lagi saya di sini (SMK Nibong Tebal).

“Jika ada peluang, sayang ingin ke GIAT MARA Kampus Melaka, kerana ada kursus melukis di sana,” jelasnya lagi.


HARAPAN
Kini, Rabiatul Adawiyah mengaku bahawa dorongan ibu bapa sedikit banyaknya menjadi sumbu keyakinan dalam dirinya.

Walaupun masih banyak perkara tidak boleh dilakukan seperti remaja normal yang lain, sekurang-kurangnya beliau mempunyai rekod kejayaan tersendiri.

“Saya dapat RM2,400, (iaitu) RM1,400 untuk dua pingat yang saya dapat masa MASUM Perlis dan RM1,000 lagi (Anugerah Olahgarawati Paralimpik 2014) daripada Kerajaan Negeri.

“Kawan-kawan yang macam saya boleh cuba melukis atau melakukan apa-apa yang boleh buat dengan dorongan ayah dan ibu.

“Ayah selalu sebut saya ini ‘Budak Dari Syurga’ dan tiap-tiap apa yang Allah jadikan pada kita akan ada lemah dan istimewa sebab Dia Maha Sempurna.

“Jangan putus asas, kerana Tuhan jadikan keistimewaan yang (berbeza-)beza untuk kita hidup,” jelas Rabiatul Adawiyah. 

Bawa anak-anak OKU renang, riadah – Chong Eng

MOHAMAD Nur Faris Ghazali.jpg

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

PADANG LALANG - Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) wajar diberikan peluang oleh ibu bapa dan guru masing-masing untuk mengembangkan bakat di Kompleks Renang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Jalan Betek.

Exco Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata demikian selepas menyaksikan kebolehan seorang pelajar OKU, Mohamad Nur Faris Ghazali, 10, mampu berenang seperti orang normal.

“Di kalangan kita (ibu bapa), ada yang berpendapat bahawa anak-anak OKU ini tidak boleh melakukan apa-apa dan patut duduk di rumah sahaja.

“tetapi, anak-anak kita mempunyai bakat tersendiri jika diberi peluang seperti kanak-kanak normal yang lain,” jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang kepada wartawan di sini baru-baru ini.

CHONG Eng (paling kiri) dan Maimunah Mohd. Sharif (dua dari kiri) serta pemimpin Kerajaan Negeri merakamkan gambar dengan adik Mohamad Nur Faris Ghazali (dua dari kanan) dan seorang lagi pelatih OKU di sini baru-baru ini.
Menurut Chong Eng, sukan bukan sahaja merupakan salah satu aktiviti untuk OKU membukti kemampuan masing-masing, bahkan boleh meraih sumber pendapatan tersendiri jika seseorang itu berpeluang mewakili negeri ke sukan paralimpik di peringkan nasional atau antarabangsa.

“Ia (sukan) boleh merawat fizikal dan pemikiran...saya mendapat ramai OKU mencapai keputusan yang cemerlang sampai ke peringkat Sukan SEA dan Paralimpik Asia.

“Kalau mereka (OKU) diberikan peluang, kadang-kadang prestasi mereka lebih baik dengan membawa pulang pingat kepada negari,” jelas Chong Eng lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji atlet OKU negeri, Rabiatul Adawiyah Mohamad Azhar, 17, yang berjaya merangkul pingat Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perak, serta dipilih menerima Anugerah Olahragawati Paralimpim 2014 daripada Kerajaan Negeri.

Ujar Chong Eng lagi, Kerajaan Negeri turut menyumbang peruntukan sebanyak RM20,000 tiap-tiap tahun kepada Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Pulau Pinang, demi menyokong program-program membabitkan OKU di negeri ini.

Sementara itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak RM200,000 diperuntukan pada tahun ini untuk tujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur fizikal supaya lebih mesra OKU, berbanding RM100,000 sahaja pada tahun sebelumnya.

Manakala, Pengerusi PESRON merangkap Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta pula memberitahu bahawa terdapat 10 lokasi untuk pelbagai jenis sukan di negeri ini untuk OKU beriadah serta mencungkil potensi masing-masing.

Pada sidang media sama, ibu kepada Mohamad Nur Faris, Halizah Ismail, 45, melahirkan penghargaan kepada pihak Sekolah Pendidikan Khas Permatang Tinggi dan Kerajaan Negeri kerana memberi sokongan kepada anaknya.

“Saya dan suami (Ghazali Saad, 46) memang terkejut apabila jurulatih renang serta guru sekolah memberitahu bahawa tidak lama lagi anak saya mampu berenang seperti kanak-kanak normal yang lain, pada peranti pelampung lagi,” jelas beliau.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teik Aun dan Pengerusi Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON) merangkap Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta turut sertai sidang media mempromosi program riadah dan gaya hidup sihat membabitkan komuniti OKU di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus