15 March 2012

Tikus rompak 250 juta selamat!

DALAM sebuah Pekan, dekat negeri Bulan Terang, berlaku satu rompakan sejumlah 250 juta.

Tidak sesiapapun yang mengaku bertanggungjawab, termasuk tauke lembu, tauke kondo dan tauke restoran.

Tiada satu keluarga pun mengaku. Tiada seorang menteri dalam kabinet memanda menteri pun mengaku.

Tetapi, ada seorang menteri bukan lelaki telahpun meletakkan jawatan.

Rumus awal menunjukkan perompak itu lari ke hutan. Perompak itu bukan politikus, tetapi tikus.

Hendak tangkap tikus di dalam hutan memang payah. Maka, Memanda Menteri kemudiannya memanggil seluruh polis dunia untuk siasat dan menangkap tikus yang merompak 250 juta itu.

Polis CIA kata, "memanda menteri, kami perlukan masa selama 30 hari untuk tangkap tikus itu."

Polis Australia kata mereka perlukan seminggu. Polis Thailand dan Polis Singapura pun kata mereka perlukan seminggu untuk tangkap tikus yang merompak itu.

Memanda Menteri turut bertanya kepada Polis Raja Di Malayan. Mereka kata, "kami perlu 24 jam sahaja, memanda menteri."

Terkejut Memanda Menteri. Kagum.

Cukup sejam, ketua Polis Raja Di Malayan datang bertemu Memanda Menteri lalu berkata, "Kami sudah membawa saspek. Selepas sejam kami soal siasat tikus ini, dia sudah mengaku merompak 250 juta. Kes ini boleh dirujuk pada kamar sarkas untuk dibicarakan."

Memanda Menteri jadi hairan. "Betul ke kamu merompak? Mengapa kamu begitu besar?"

"Saya beruang lah, bukan tikus atau politikus. Saya mengaku merompak 250 juta sebab tak sanggup kena siasat serta didera dalam lokap," kata saspek itu dalam ketakutan.

Menanda Menteri dan ketua Polis Raja Di Malayan saling telopong, buntu. -END

________________
MORAL: JANGAN JADI POLITIKUS ATAU TIKUS YANG SUKA MEROMPAK. (cerita ini adalah rekaan semata-mata yang tiada kena mengena dengan mana-mana pihak yang hidup atau mati.)

Yang bising itu bukan menggegar 'Arasy Tuhan...

SEMUA kita mengimpikan rumah tangga yang damai. Yang lelaki, mengimpikan isteri sekental Hajjar atau Khadijah. Jika perempuan, lelaki seluhur Muhammad s.a.w menjadi mimpi walaupun di siang hari.

Saban hari menunggu ikatan halal, kalimah cinta, rindu, setia dan bahagia kekal hingga ke Syurga meniti bibir basah pasangan sejoli.

Kalau boleh peristiwa akad nikah dan malam pertama mahu terus dihangatkan walaupun dimamah usia.

Ada impian terus memekar sehingga ke anak cucu. Ada yang kahwin tak sampai sebulan, malam siang berentakan rumah tangga sampai tidak jumpa pintu kedamaian.

Bagi yang pernah melalui pengalaman kaunseling atau memberi kaunseling kepada pasangan yang cuba menggegar Arash Tuhan ini, tentu pahit untuk menelannya.

"Mengapa isteri saya tidak seperti dulu? Mengapa terasa bosan sahaja bila di rumah? Mengapa gemok? Busuh?" Itulah luahan suami mendambakan sesuatu daripada pasangan hidupnya.

Kalau isteri, "mengapa suami saya sanggup menduakan saya? Tak kasihankah kepada anak-anak? Mengapa suami asyik pulang lewat malam? Hujung minggu bersama kawan? Herdik, pukulku tanpa rasa belas kasihan."

Lebih malang, lahir perasaan saling membalas dendam.

"Kalau isteriku selekeh di rumah, tak salah membaja kasih dengan perempuan-perempuan seksi di pejabat."

"Kalau suami boleh main kayu tiga, takkan 'timba tak boleh cari telaga yang baru' juga?"

Tanpa sedar, anak menjadi mangsa. Ibu bapa dan mertua sedih.

Rumah tangga yang dibina atas perasaan kasih dan cinta akhirnya retak menunggu rebah.

Jika ada perasaan yang jernih, air yang keruh boleh didamaikan.

Tak kiranya sesiapapun yang bersalah, yang penting saling memaafkan.

Terimalah pasangan anda seadanya. Kasih sayang, cinta, belas kasihan, rindu, saling memahami tidak pernah tua biarpun usia kita kian menjengkal.

Berfikiran positif. Rumah tangga yang berentakan ada kalangan bukan meruntuhkan, tetapi mengukuhkan kalau kena caranya.

Dalam usrah pemuda di Alor Setar baru-baru ini, saya ditanya mengenai keadaan keluarga seorang sahabat yang khabarnya kucar-kacir.

"Kadang-kadang, orang yang mendengar riuh rendah dalam rumah tangga orang menyangka bawa keluarga itu sedah menggegar 'Arasy Allah. Sebenarnya, ketua keluarga itu mungkin sedang memaku rumah, meneguhkan tiang seri atau mengindahkan rumah dengan mengubah perabot-perabot. Memang bunyinya bising, tetapi bising yang memeriahkan..." kata saya.

'Betul' yang wajar diperbetulkan...

SANGAT malang sekiranya semua fikiran serta tindak-tanduk kita acap kali dilihat betul oleh teman-teman sekeliling kita.

Lebih malang, jika kita mendambakan segala pendapat atau pemikiran hatta amalan yang diluahkan oleh kita dianggap betul belaka oleh diri kita sendiri.

Sindrom 'saya betul' sebenarnya ada pada setiap manusia sama ada sang penguasa, agamawan, intelektual, buruh hatta orang kebanyakan.

Cuma, sindrom ini kronik atau tidak dalam diri kita masing-masing.

Pada era dakwah Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s, sindrom 'saya betul' ini dilihat ada pada peribadi Firaun.

Firaun dikatakan mulai menghadapi sindrom ini disebabkan Sang Diktator itu tidak pernah menghidapi sakit atau demam.

Tanpa sedar segala nikmat kesihatan atau ujian sakit itu semuanya datang daripada Allah, Sang Diktator itu mula menjadi alpa dibuai tidak kenal diri sendiri di depan Sang Pencipta.

Firaun menghadapi sindrom yang cukup kronik hatta mengaku dirinya sebagai Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai kaumku! Bukankah aku yang memerintah Mesir dan sungai-sungai ini mengalir di bawah kekuasaanku. Tidakkah kamu lihat?" az-Zukhruf : 51

Punca lahirnya sindrom 'saya betul' antara disebabkan rasa ego tidak dipelihara di dalam diri.

Rasa ego dalam hati kecil Firaun membawa dia menolak kebenaran agama Allah yang dibawa oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s.

Rasa ego membawa pada tidak senang dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Rasa ego membawa pada terpaksa menolak pendapat orang lain.

Rasa ego membawa seseorang pada stres, amarah, jiwa kacau yang akhirnya memangsa Sang Egoisme itu melampaui batas.

Demikianlah ego yang melampau-lampau sehingga menguasai Firaun untuk melampaui batas.

Lawan bagi api keegoan atau sindrom 'saya betul' hanya boleh dipadam dengan cabaran berterusan oleh mereka yang dekat dengan suluhan hidayah Tuhan.

Demikianlah firman Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s. supaya mencabar sindrom 'saya betul' atau ego yang berakar dalam jiwa Firaun.

Firman Allah yang bermaksud:

"Berikanlah kepadaku wahai hamba-hamba Allah (apa-apa yang menandakan kamu menerima kerasulanku) . Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, yang diutuskan kepada kamu. Dan janganlah kamu berlaku sombong takabbur terhadap Allah. Sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata." Ad-Dukhan: 18-19

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israel dari azab yang menghina dari penindasan Firaun. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takabbur lagi terbilang dari orang yang melampaui baatas (dalam keganasan dan kekejamannya) ." Ad-Dukhan: 30- 31

Yang betul sebenarnya bukan sindrom 'saya betul'. Yang betul adalah kita selalu bermuhasabah diri.

Jika keluarga menteri di bawah kabinet diserlahkah menyeleweng wang rakyat untuk membeli kondo, restoran mewah dan sebagainya; sudah tiba masanya untuk kita jauhi sindrom 'saya betul' kerana sindrom itu warisan Firaun.

Serahkan amanah kepemimpinan kepada mereka yang lebih adil.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu telah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." an-Nisa': 58

Bersihkanlah jiwa yang kotor bak benak Firaun itu dengan sifat rendah diri, berfikiran terbuka, berlapang dada serta senantiada berdiri teguh atas radar ilmu yang sejahtera.

Jika sumber hukum syarak yang disepakati sendiri terdiri oleh al-Quran, al-Hadir, ijmak dan al-Qiyas semata-mata, mengapa perlu memaksa orang lain melihat kita senantiasa betul walaupun dalam perkara yang bersalahan dengan syarak tersebut?

Kepada golongan agamawan yang selalu mahu dilihat sakeral juga wajar jauhi dari sindrom 'saya betul' kerana dibimbangi menutup kebenaran sebenar sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun dan seangkatannya.

Yang jernih adalah kita menghargai dan bersetuju untuk berbeza pendapat. Paling baik adalah memegang pendapat yang rajih, ilmiah lagi rasional biarpun ia datang bukan dari cetusan idea ijtihad kita.

Ini kerana, pendapat yang betul itu lebih betul berbanding sindrom 'saya betul' yang memusnahkan kepemimpinan serta empayar Firaun.

Insaflah! Jika kita selalu dilihat betul atau mempunyai perasaan 'saya betul' dalam segala perkara, sudah sampai masanya kita koreksi diri dan kembali koreksi diri.

Justeru, 'Betul' yang wajar diperbetulkan! -END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus