16 October 2013

Dua pemimpin, dua karektor

Selalunya pemimpin yang tegas dari segi pengucapan, tindakannya lunak.

Pemimpin yang lunak dari segi pengucapan pula, selalunya tegas dari segi tindakan.

Di bawah ini adalah antara ucapan tersohor Abu Bakar As-Siddiq, yang dianggap lunak dari segi pengucapan:

"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu.

"Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya.

"Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.

"Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.

“Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku."

[Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361]

Pun begitu, ijtihadnya melancarkan perang Riddah ke atas golongan yang tidak membayar zakat membayangkan Khalifah Ar-Rasyidin pertama itu tegas dari segi tindakan.

Di bawah ini pula ucapan tersohor Umar Al-Khattab, yang dianggap tegas dari segi pengucapan:

"Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt ."

Umar sangat berhati-hati semasa menyiasat aduan awam mengenai Sa'ad bin Abi Waqas, Amru bin Al-'As, Mujasha' bin Mas'od, Yazid bin Abi Sufyan, Abu Bakrah dan banyak lagi membayangkan Khalifah Ar-Rasyidin kedua itu lunak dari segi tindakan.

Kedua-dua pengucapan serta tindakan Abu Bakar dan Umar membayangkan kedua-dua pemimpin unggul itu mempunyai karektor kepemimpinan yang berbeza.

Karaktor kedua-dua ini sungguhpun berbeza, masing-masing menjadi kekuatan pada era kepemimpinan masing-masing.

Ada telahan menyebut, arwah Datuk Fadhil Noor dari segi pengucapan lunak kerana "perlu masa yang lama untuk panas enjin", berbanding, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sangat hebat pidatonya sama ada pada zaman muda atau sekarang.

Pun begitu, ijtihad mendahului Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS dengan pergi ke rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kenalannya dipecat sebagai TPM, menubuhkan GERAK hatta melahirkan tahalluf siyasi BA membayangkan tindakan arwah Datuk Fadhil Noor mendekati ketegasan Abu Bakar.

Lembaga Disiplin PAS mengambil masa yang lama untuk ketetapan ke atas Datuk Hasan Mohd. Ali, Nasharuddin Md Isa, Hafiz Nordin dan banyak lagi membayangkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang seorang pemimpin yang berhati-hari serta mendekati kelunakkan tindakan Umar.

Karaktor arwah Datuk Fadhil Noor dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini sungguhpun berbeza, kedua-kedua pemimpin no.1 PAS ini masing-masing menjadi kekuatan pada era kepemimpinan masing-masing.

Setuju?

Noh Gadut menjauhi fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi, Harun Taib?

Pendapat Datuk Noh Gadut dan Datuk Harun Taib (sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia) seakan menjauhi Fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi seperti di bawah:

"Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Fatwa Dr. Yusof Al-Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 -

Dr Asri: Takkan seluruh dunia Arab murtad, lapor Malaysiakini

TiNDAKAN memurtadkan umat Islam yang membenarkan penganut Kristian menyebut kalimah Allah mempunyai kesan yang amat besar sehingga melibatkan seluruh dunia Arab dan ulama-ulama terkemuka, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ini kerana, selain semenanjung Malaysia, seluruh dunia Arab, sejak zaman permulaan Islam lagi membenarkan golongan Kristian menyebut kalimah Allah, kata bekas mufti Perlis itu.

"Sejak seribu tahun lalu, sejak zaman Nabi Muhammad lagi mereka menggunakan perkataan Allah. Tiada isu selagi mereka menggunakannya merujuk kepada zat yang sebenar, bukan untuk berhala," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Dr Asri (atas) bagaimanapun enggan merujuk langsung kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya menyebut "pihak tertentu".

Dr Asri berkata, jika pandangan itu jika diambil kira, bermaksud sarjana terkemuka Islam Dr Yusof Qardawi dan Dr Wahbah Zuhaili - yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian - juga dianggap murtad.

Menurutnya lagi, pandangan itu juga memberi kesan kepada negeri yang lagu rasminya menggunakan kalimah Allah, serta penggunaan tulisan Allah untuk logo polis dan tentera, termasuk bukan Islam. 

"Kena hati-hati pada kesan sesuatu pandangan. Pandangan ini tidak munasabah. Jadi, pihak tersebut mesti tampil menjelaskan macam mana yang dikatakan sesat itu" katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut hari ini memberi amaran, umat Islam yang mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes penggunaan kalimah "Allah" boleh menjadi kafir dan murtad.

Kalau Islam dihalang guna 'Isa' bagaimana?

Sementara itu, pendakwah bebas Wan Ji Husein (bawah) pula tampil dengan beberapa persoalan berkaitan kalimah Allah yang menurutnya patut diperjelas oleh Nooh, antaranya:

(1) Status ayat al-Quran yang menyatakan sembelihan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) yang dibacakan nama Allah boleh dimakan.

(2) Status agama Yahudi dan Kristian yang menggunakan kalimah Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi.

(3) Suruhan Allah dalam al-Quran yang menyuruh orang Kristian bersumpah dengan nama Allah jika mereka menafikan sesuatu tuduhan jenayah.

(4) Yahudi dan Kristian sejak zaman penurunan wahyu sendiri mempunyai kefahaman yang berbeza dengan Islam apabila menyatakan Uzair dan Isa anak Allah, seperti dirakam dalam al-Quran.

"Makanya, apa logiknya kata Yahudi dan Nasrani dulu tak sama dengan Yahudi dan Nasrani zaman sekarang? Nooh Gadut ada jawapan tak?" tulis bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu.

Wan Ji juga menimbulkan persoalan berhubung sikap umat Islam jika mahkamah di negara yang diperintah orang Kristian, seperti England, melarang umat Islam menyebut nama Nabi Isa dalam al-Quran dengan alasan

"Noh Gadut setuju atau tidak dengan mahkamah England itu?" soalnya lagi?

Kalimah Allah: Harun Taib 'puas hati', lapor Utusan



KETUA Dewan Ulamak PAS Datuk Harun Taib menyokong ketepan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam majalah mingguan bukan Islam The Herald, lapor Utusan Malaysia.

"Memang umat Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik wajib sama-sama perjuangkan akidah dan syiar Islam, semua itu mesti menjadi pegangan kita (umat Islam). 

"Saya juga berpuas hati dan menyokong penuh keputusan Mahkamah Rayuan semalam tidak membenarkan kalimah Allah digunakan dalam majalah The Herald

Dalam bab akidah, Islam kena jaga," dalih Harun yang juga Ahli Majlis Syura PAS Pusat, dipetik lidah rasmi Umno Barisan Nasional tersebut.

Sehingga jam 5.00 petang tadi, dikesan, Harun masih belum memberi respons mengenai laporan Utusan Malaysia di sesawang Harakahdaily.net, iaitu lidah rasmi PAS.

Terdahulu, Harakahdaily.net pada 4 Februari lepas melaporkan, Harun pernah berkata, PAS tidak akan melayan sebarang desakan dari mana-mana pihak berhubung isu penggunaan kalimah Allah memandangkan ianya telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Harun Taib berkata, keputusan oleh bandan tertinggi PAS itu sebelum ini adalah sangat jelas dan semua pihak harus menghormati keputusan tersebut.

"Ianya dibuat secara kolektif setelah melalui perbincangan yang mendalam oleh Majlis Syura Ulamak PAS dan ianya bukan diputuskan secara individu.

"Kita meminta agar mana-mana institusi dan individu-individu tertentu agar menghormati pandangan dan keputusan PAS ini sepertimana dalam kenyataan rasmi oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Pada 13 Januari lalu, mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah suci itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula menegaskan, Kalimah Allah: Islam benarkan tapi jangan salah guna, lapor Harakahdaily.net.


Dalam perkembangan sama, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut dilaporkan mengeluarkan pendapat bahawa orang Islam bolej jadi kafir dan murtad sekiranya mempertikai keputusan Mahkaah Rayuan yang melarang kembali bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

Namun, 'fatwa' Noh Gadut itu dipersoal oleh Wan Ji At-Ta'addudi serta Datuk Prof. Madya Dr. Muhd Asri Zainal Abidin yang lebih dikenali sebagai  "MAZA" (bekas Mufti Perlis). -END

Kalimah Allah: Wan Ji pertikai 'fatwa' Noh Gadut

PENGASAS Sekolah Pemikiran As-Syatibi - grup yang mempopularkan pengajian maqasid asy-syariah - Ustaz Wan Ji Wan Wan Hussin At-Ta'addudi (gambar kanan) hari ini mempersoal pendapat terbaru Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut.

Nooh Gadut dilaporkan mengeluarkan pendapat bahawa orang Islam bolej jadi kafir dan murtad sekiranya mempertikai keputusan Mahkaah Rayuan yang melarang kembali bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

Itu, ekoran ketetapan Mahkamah Rayuan baru-baru ini sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald.

"Kalau Mahkamah England halang muslim di sana menyebut kalimah Isa dalam Quran di negara mereka dengan alasan cara faham Isa yang muslim faham tidak sama dengan cara faham Kristian, agak-agak la, Noh Gadut setuju atau tidak dengan (ketetapan) Mahkamah England itu.

"Dalam quran dinyatakan sembelihan ahli kitab (yahudi dan nasrani) boleh di makan...sebab, sembelihan mereka dibacakan nama Allah...Noh Gadut rasa ayat al-Quran ini betul atau salah," tanya Wan Ji.

Wan Ji, pendakwah bebas yang lebih dikenali sebagai "Pak Sheikh Muka Buku di laman sosial Facebook.

Sinar Harian melaporkan, Nooh sebelum ini berdalih, tindakan umat Islam yang mempertikaikan keputusan itu mencerminkan akidah dan syariat serta keji dari segi akhlak.

Bekas Musti Johor itu berkata, kafir dan murtad seseorang itu "jatuh" sekiranya individu tersebut melakukan dalam keadaan sengaja dan waras.

"Kalau takdirnya yang mempertikaikan itu umat Islam, mereka boleh menjadi kafir dan murtad sekiranya (kenyataan mempertikaikan) itu dilakukan dengan sengaja," kata Nooh Gadut (gambar kiri) yang dipetik Utusan.online


Nooh dalam reaksi spontan dilaporkan berkata, mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu (baca: bukan Mahkamah Syariah) itu juga seolah-olah mempersoalkan apa yang termaktub dalam kitab suci al-Quran, iaitu ALLAH kononnya hanya untuk orang Islam.

"Kalau jatuh murtad, gugurlah amalan mereka di dunia dan akhirat. Segala amalan kebaikan tidak akan diterima.

"Oleh itu, mereka wajib segera bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah dan berjanji tidak akan mengulangi dosa itu lagi," katanya lagi.

ADUN panggil lima pihak dialog isu banjir Kg. Padang Lalang

CHONG Eng (paling kiri) mengetuai dialog mengenai isu banjir di Kampung Padang Lalang di sini baru-baru ini, sambil disaksikan oleh ‘Encik Zakri’ (tengah).
Seorang wakil penduduk Kampung Padang Lalang berdiri mengemukakan sebab-musabab desa berkenaan kerap kali dilanda banjir dalam dialog interaktif di sini baru-baru ini.

ARUS pembangunan yang didakwa menghimpit kesejahteraan Kampung Padang Lalang mengakibatkan sistem perparitan di desa tersebut tidak diselenggara dengan baik, hatta, mengakibatkan kerap berlakunya bencana banjir.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng memanggil Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk berdialog dengan penduduk berwajib di sini baru-baru ini.

MMC-Gamuda selaku syarikat yang memajukan projek keretapi berkembar di sini turut dipanggil bersemuka dengan penduduk setempat.

“Adalah penting buat penduduk-penduduk mengetahui, siapakah yang harus mereka hubungi jika masalah-masalah seperti ini (banjir) berulang.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan kes tolak-menolak atau siapakah yang harus dipertanggungjawabkan, jika, terjadi masalah seperti ini lagi,” ujar Chong Eng dalam majlis dailog interaktif di perkarangan Masjid Al-Munawwarah di sini baru-baru ini.

Pengerusi Qaryah yang dikenali sebagai ‘Encik Zakri’ dan ‘Encik Abdul Ghani’ (wakil Kelab Rukun Tetangga Padang Lalang) turut menyertai dialog tersebut.

Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya berharap isu sistem perparitan tidak diselenggara tersebut segera ditangani oleh pihak berwajib.

Sebelum itu, ‘Encik Abdul Ghani’ menjelaskan, bencana banjir di sini berpunca dari projek pelebaran Jalan Utama Padang Lalang serta projek landasan keretapi berkembar yang didakwa mengakibatkan sistem perparitan sedia ada tidak diselenggarakan.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai ‘Puan Amelia’ pula melahirkan rasa terkilan kerana tidak diberi pampasan oleh pemaju berwajib atas sebab keretakkan struktur fizikal rumahnya pada tahun 2010, yang didakwa berpunca dari projek pembinaan di sini.

Dalam perkembangan lain, Chong Eng mengumumkan pemberian satu set komputer untuk kegunaan tadbir urus Masjid Al-Munawwarah, di sini. 

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri menggerakkan semua pihak berwajib untuk menangani bencana banjir yang dianggap masalah malar segar di Kampung Padang Lalang.

Yayasan Islam P.Pinang umum bina Sekolah Islam Antarabangsa RM6 juta

MANSOR Othman (lima dari kiri) menerima geran tanah berwajib daripada Alex Oii (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Lim Guan Eng (empat dari kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri), Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali) dan Yap Soo Huey (kiri sekali) selepas sidang media di Komtar, George Town, tengah hari tadi.

KERAJAAN Negeri melalui Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) akan bekerjasama dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (Tunas Muda) bagi merancang pembinaan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang di atas sebidang tanah berkeluasan 4.863 ekar dekat Sungai Ara, Bayan Lepas.

Tapak projek yang dicadangkan itu di Jalan Persiaran Relau berhampiran Sekolah Kebangsaan Relau, Sungai Ara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat pengumuman sedemikian selepas menyaksikan Pengerusi Pemaju Ideal Property Group, Datuk Alex Ooi menyerahkan geran tanah kepada Kerajaan Negeri, melalui Pengerusi YIPP, Datuk Mansor Othman.

“Projek ini dijangka akan bermula pada tahun hadapan dengan kos pembinaan sebanyak RM6 juta yang akan ditanggung oleh pihak Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad.

“Sama ada, ada perubahan (mengenai status pihak yang menanggung kos pembinaan), saya serah kepada Datuk Mansor dan Datuk Abdul Malik lah,” ujar Guan Eng di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Yap Soo Huey (ADUN Pulau Tikus) turut hadir pada sidang media tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, perancangan terbaru itu sekaligus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini.

“Projek ini juga nanti akan dapat mempromosi Pulau Pinang sebagai hub pendidikan di rantau ini memandangkan inilah satu-satunya sekolah Islam bertaraf antarabangsa di kawasan Utara (Semenanjung) Malaysia,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Sementara itu, Mansor berkata, YIPP masih dalam proses menyusun modul akademik bagi Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang dengan mengkaji beberapa modul pendidikan dari negara Singapura, Thailand (Patani) dan terbaru, dari Pakistan. 

“Di bawah bahagian pendidikan dan dakwah (YIPP), tanah ini kita perolehi hasil usaha Kerajaan Negeri juga untuk kita membangunkan kompleks ini (Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang).

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Alex kerana bekerjasama dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad untuk membangunkan sekolah ini. 

“Selepas itu, perjalanan (akademik) sekolah ini akan kita (YIPP tetapkan) di bawah pengawasan Kerajaan Negeri,” ujar Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal. 

Nada yang sama turut diperjelaskan oleh Abdul Malik.

“Ini merupakan antara sebahagian usaha kita (Kerajaan Negeri) untuk pendidikan Islam di Pulau Pinang, dari peringkat tadika (pra-sekolah) sehinggalah peringkat universiti,” ujar Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.

Manakala, Mohd. Rashid pula berkata, projek terbaru itu diharap dapat melonjak perkembangan dakwah Islamiah di negeri ini.

“Saya harap, ini menjadi satu lagi langkah kemajuan untuk perkembangan dakwah Islam di Pulau Pinang,” ujar Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak. 

Idea penubuhan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang sebenarnya dicetuskan oleh Mansor sendiri semasa masih menjadi timbalan ketua menteri I, pada penggal pentadbiran Kerajaan Negeri lepas.

Bandar Sunway perintis Kitar Semula Industri

MAJLiS Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengadakan interaksi dua hala dengan pemilik-pemilik premis perniagaan sekitar Bandar Sunway di Seberang Jaya ke arah merealisasikan projek perintis Kitar Semula Industri.

Ahli Majlis bagi MPSP, Amir Md. Ghazali berkata, projek perintis itu dimulakan peringkat industri selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mewujudkan banyak program kitar semula membabitkan persatuan komuniti dan sekolah-sekolah sekitar Seberang Perai.

“Program Komuniti Mampan berjaya mendapat kerjasama daripada banyak persatuan penduduk. Begitu juga program Green School berjaya disertai banyak sekolah di Seberang Perai ini.

“Bandar Sunway ini dipilih sebagai projek perintis supaya kejayaan yang membabitkan pemilik-pemilik premis perniagaan di sini dapat diperluaskan di kawasan-kawasan komersial lain,” ujar beliau dalam satu majlis interaksi di Perpustakaan Pulau Pinang di sini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyempurna perasmian majlis, manakala, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod pula menyampaikan informasi mengenai kaedah pelaksanaan projek perintis tersebut.

Tiga Ahli Majlis MPSP lain, Tan Cheong Heng, Ahmad Tarmizi Abdullah dan Rezal Huzairi Md. Zaki turut hadir pada majlis interaktif tersebut.

Tambah Amir, projek perintis ini antara lain menumpu pada usaha mengurangkan hasil sisa pepejal, kebersihan kawasan komuniti perniagaan serta menggalakkan aktiviti kitar semula.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Seberang Jaya pula berkata, projek perintis Kitar Semula Industri jika berjaya di Bandar Sunway, sekaligus, dapat mengurangkan belanja hangus MPSP yang kini direkodkan mencecah 40 peratus dari belanjawan keseluruhan PBT tersebut.

“Untuk nak indah di sini (Bandar Sunway), perlu duit. Kita boleh ada sumber duit kalau kurang kos belanja sampah yang bernilai RM66 juta atau 40 peratus daripada bajet.

“Itu yang kita nak buat di Jalan Todak Bandar Sunway...saya yakin pemilik premis yang datang hari ini akan jadi pemangkin pada projek perintis ini,” ujar Dr. Afif. 

Dalam perkembangan lain, Dr. Afif berkata, gaya hidup bersih lagi sihat di Bandar Sunway mampu mengelak insiden empat orang meninggal akibat termakan ayam basi dalam satu kenduri di negeri dari berulang di sini.

Insiatif terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen MPSP dan kepemimpinan Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus