16 February 2016

Kon Yeow puji Gurney Plaza sedia rak basikal awam

SEKUMPULAN ahli Kelab Basikal MBPP merakam gambar kenangan di rak basikal baru berhampiran Plaza Gurney di sini baru-baru ini.

PULAU TIKUS - Rak basikal awam yang disediakan oleh pengusaha Gurney Plaza di belakang pasar raya  berkenaan di sini mendapat pujian Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow. 

Menurut Kon Yeow,  langkah pengusaha Gurney Plaza berkenaan sebenarnya adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu Pulau Pinang dikenali sebagai 'Bandar Berbasikal' di rantau ini. 

“Terima kasih kepada pengurusan Plaza Gurney yang selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berbasikal.

“Apabila laluan basikal disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pemaju-pemaju, tidak salah jika pihak lain dapat menyediakan kemudahan lain seperti rak yang unit ini,” ujar Kon Yeow di sini baru-baru ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian semasa Majlis Perasmian 10 Rak Basikal Berlanskap, anjuran Gurney Plaza.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Ong Ah Teong (Ahli Majlis bagi MBPP), Ar. Yew Tung Seang (Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBPP), serta Pengerusi Kelab Berbasikal Bike On Friday (BOF), Dr. Lim Seh Guan.

Majlis diserikan dengan kehadiran konvoi basikal oleh BOF dan Kelab Basikal MBPP.

Dalam perkembangan berkaitan,  Kerajaan Negeri melalui MBPP sehingga tahun 2020 baru-baru ini mengumumkan untuk menyiapkan laluan basikal berdedikasi sepanjang 33 kilometer (km) yang bernilai RM30.6 juta, dengan dibiayai oleh beberapa pemaju swasta serta bukan dana pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan semata-mata.

Difahamkan, laluan tersebut akan menyelusuri persisir pantai dari Tanjung Tokong ke tepian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dekat Bayan Lepas.

Laluan berbasikal itu turut akan melalui tempat-tempat pelancongan dalam kawasan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sehingga kini, laluan sepanjang 12.5 km telah pun untuk kegunaan awam.

Tuntutan saman RM244 juta gagal, MPSP 'selamat' daripada risiko bankrap

DUA Ahli Majlis, M. Satees  (kiri) dan P. David Marshel depan perkarangan Kompleks Ibupejabat MPSP, selepas selesai sidang media di sini pada pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Mungkin Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini berdepan dengan risiko bankrap sekali lagi seperti dulu, sekiranya diarah membayar tuntutan saman RM243,630,810 untuk suatu kes yang difailkan oleh Plaintif kira-kira 18 tahun lalu.

Namun, Plaintif yang menuntut ganti rugi sebanyak itu berhubung kes penarafan loji kumbahan di Sungai Nyior dan Mak Mandin kira-kira pada tahun 1997 pula diarah membayar kos lepas RM50,000 kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, ketetapan ke atas plaintif, NEG Engineering Sdn. Bhd. itu diputuskan pada 28 Januari lalu oleh Pesuruhjaya Kehakiman, YAA Colin Lawrence Sequerah, selepas perbicaraan pada 14 dan 15 Disember tahun lalu  di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

"Permohonan MPSP untuk membatalkan saman Plaintif kerana kegagalan meneruskan tindakan (want of prosecution) telah ditolak dengan kos RM5,000.

"Kos-kos diimbangi antara satu sama lain dan Plaintif hendaklah membayar kos berjumlah RM45,000 kepada MPSP.

"Kita (MPSP) ada mohon (batal saman Plaintif) kerana kes ini didaftar pada tahun 1997 (11 Mei) lagi, mengapa selepas 18 tahun, baru tuntutan RM243,630,810 ini dikemukakan ke atas MPSP pada tahun 2015," soal Maimunah pada sidang media di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perdana,  pagi ini.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (empat dari kiri) serta para pemimpin MPSP lain merakamkan gambar, selepas sidang media di sini pada pagi tadi.

Jelas Maimunah lagi, MPSP hari ini turut merujuk beberapa maklumat dalam perbicaraan di mahkamah mengenai tingkah laku ahli majlis tertentu dalam tahun 1994/1995, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Setiausaha Majlis bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis lain turut sertai sidang media itu.

Ahli Majlis, P. David Marshel yang ditemui kemudian  memberitahu tuntutan Plaintif itu boleh mengakibatkan MPSP berdepan risiko bankrap sekali lagi, sebagaimana sebelum tahun 2008.

Malah, katanya lagi, syarikat plaintif tersebut dikesan mempunyai kaitan dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Pulau Pinang hari ini. 

"Ini kes 18 tahun lalu, mengapa dibawa sekarang, melainkan ia suatu konspirasi tidak langsung pihak pembangkang Pulau Pinang.

"Kalau MPSP tewas, mesti hadapi risiko bankrap," respons beliau.

Nada yang sama turut ditegaskan  oleh seorang lagi Ahli Majlis MPSP, M. Satees. 

"MPSP mungkin bankrap jika diarah membayar jumlah tuntutan saman Plaintif ini,  senanglah untuk pembangkang Pulau Pinang sendiri untuk menunjukkan kelemahan Kerajaan Negeri hari ini," katanya.

Pun begitu, menurut sumber Jabatan Undang-Undang MPSP, Plaintif pada masa ini disahkan sebagai "syarikat tidak aktif".

"MPSP berpandangan bahawa Plaintif tidak mempunyai keupayaan kewangan dan kebolehan meneruskan projek ini. 

"Lagi pun, Plaintif gagal membuktikan kerugian yang didakwa berjumlah RM243,630,810 dengan bukti-bukti yang mencukupi.

"Tidak ada dokumen-dokumen sokongan atau saksi-saksi bagi menyokong jumlah kerugian yang dikatakan ini," jelas Jabatan Undang-Undang MPSP.

Loji rawatan kumbahan Sungai Nyior terletak di Lot 1261, 1608, 1918 dan 2642 dekat Jalan Chain Ferry, serta dimiliki oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Manakala, loji rawatan kumbahan Mak Mandin di atas tanah Lot 111, 112 (sebahagian) dan 2680 dan 2680 pula dimiliki oleh MPSP.

Plaintif pada 18 Februari 1994 mengemukakan permohonan projek penarafan di atas tapak kedua-dua loji kumbahan menjadi loji rawatan mekanikal, dengan mewujudkan projek pembangunan komersial di situ.

Projek pembangunan yang dicadangkan antaranya, blok pejabat, medan selera, bazaar, surau dan hentian bas.

Bagi Plaintif, perjanjian usahasama yang dimuktamadkan dengan MPSP tidak memerlukan Kebenaran daripada Kerajaan Negeri.

Menurut Plaintif, perjanjian usahasama itu adalah "pelaksanaan suatu kontrak antara pihak-pihak adalah satu formaliti semata-mata."

Maka, menurut Plaintif, dalam perjanjian usahasama tersebut, persetujuan Kerajaan Negeri bukan satu keperluan, berdasarkan Seksyen 101 (r) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Bagi MPSP pula, tiada sebarang material bersifat kontrak atau hubungan perundangan berhubung cadangan Plaintif untuk melaksanakan projek penarafan loji-loji rawatan kumbahan tersebut.

"Perbincangan antara Plaintif dan MPSP adalah untuk tujuan jualan secara terus tanah-tanah di Mak Mandin dan Sungai Nyior, dan tidak pada setiap masa material ianya merupakan suatu usahasama  (joint venture).

"Defendan menegaskan bahawa sama ada ianya satu usahasama atau jualan secara terus, keperluan Seksyen 101 (r) Akta 171 mesti dipatuhi, iaitu persetujuan Kerajaan Negeri diperolehi oleh MPSP untuk jualan atau pindah milik harta tak alih.

"Menandatangani suatu perjanjian atau kontrak adalah suatu keperluan dan bukan formaliti semata-mata.

"Cadangan Plaintif mengesahkan bahawa Plaintif tahu dari awal-awal lagi bahawa semua undang-undang dan peraturan munisipal mesti dipatuhi," jelas sumber.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus