04 August 2015

Jangan lengahkan bayar balik GST kepada peniaga, tegas Guan Eng

KETUA Menteri menunjukkan kepada wartawan mengenai satu keratan akhbar yang melaporkan pelaksanaan GST menjejaskan jualan peniaga pada musim perayaan Aidilfitri kali ini, di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Pusat didesak segera membayar balik wang daripada sumber kutipan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) kepada peniaga-peniaga berwajib mengikut jadual, seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, peniaga yang membayar GST secara online sepatutnya mendapat bayaran balik dalam tempoh 14 hari, manakala 28 hari bagi mereka yang memohon secara manual atau offline.

“Mengapa peniaga-peniaga yang tidak membayar GST mengikut jadual akan didenda dan dibicarakan.

“Tetapi, apabila Kerajaan (Pusat) lewat untuk membayar balik dalam masa dua minggu sepertimana yang dijanjikan, mengapa mereka (Kerajaan Pusat) tidak dikenakan hukum atau masuk penjara.

“Ini tidak adil untuk peniaga-peniaga,” ,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang media di sini baru-baru ini

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merayu kepada Kerajaan Pusat supaya melihat realiti jualan kaum peniaga dekat Bazar Chowrasta menjelang musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, yang dilaporkan merosot secara mendadak melebihi 50 peratus berbanding tahun-tahun lepas.

Sumber berita tersebut melaporkan, seorang peniaga songkok, Syed Hamzah Syed Ahmad mengaku bahawa beliau yang lazim berjaya menjual hampir 500 songkok selepas 20 hari Ramadan, namun, keadaan berbeza pada musim perayaan kali ini.

“Jualan merosot kerana orang ramai fikir harga barang jualan tahun ini meningkat selepas pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun bukan semua barangan dinaikkan harga,” katanya dipetik dari sebuah akhbar arus perdana.

Syed Hamzah yang telah berniaga lebih 30 tahun di situ berkata, harga songkok yang dijualnya masih kekal antara RM12 hingga RM15 manakala harga kopiah sekitar RM7.

Nada sama turut diluahkan oleh seorang peniaga jubah, Ali Idris.

“Pelanggan fikir peniaga di sini kenakan GST tetapi sebenarnya tidak malah harga barangan yang kami tawarkan sama sahaja seperti tahun lepas.

“Selain itu, saya melihat pelanggan tahun ini juga berkurangan dan saya rasa faktor kewujudan banyak pasar lambak yang diusahakan peniaga dari Kemboja di kawasan utara sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan kami,” katanya dipetik dari sumber akhbar sama.

Kembalikan kapal mewah Star Cruises ke Pulau Pinang, Guan Eng desak Menteri Pengangkutan

KETUA Menteri menunjukkan kepada wartawan mengenai satu keratan akhbar yang melaporkan para pelabur mendesak agar kapal pelancongan mewah Star Cruises kembali berpoerasi di Pulau Pinang, di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut melahirkan rasa bimbang dengan berita penutupan operasi kapal Star Cruises di Pelabuhan Swettenham dalam lingkaran George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini baru-baru-baru ini.

Justeru, beliau menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil langkah yang lebih proaktif supaya operasi kapal mewah SuperStar Libra boleh kembali singgah ke negeri ini.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut berharap kementerian dapat memberi jaminan kepada para pelabur bahawa beberapa kapal pelancongan mewah lain tidak turut menutup operasi masing-masing di negeri ini pada masa depan, sebagaimana Star Cruises.

“Saya berharap pihak kementerian boleh mengambil langkah-langkah untuk mendapat balik kapal mewah Star Cruises ini, supaya dapat memberikan peluang perniagaan dalam industri pelancongan negeri.

“Sehingga sekarang, kita (Kerajaan Negeri) masih belum melihat apakah langkah-langkah yang akan dibuat oleh Menteri Pengangkutan untuk memulihkan keadaan dan menarik balik kapal sebesar Libra, dengan harapan Pulau Pinang tidak akan kehilangan kapal-kapal lain,” jelas Guan Eng Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada wartawan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak berupaya untuk bertindak ke atas pengendali kapal persiaran milik SuperStar Libra itu, memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

"Kami tidak berdaya dalam hal ini kerana membawa pelayaran tidak berada di bawah (bidang kuasa) kerajaan negeri, tetapi, Putrajaya boleh melakukan lebih banyak perkara untuk menarik semula kapal-kapal pelayaran ke negeri ini, melalui pemberian insentif untuk mengekalkan minat mereka ke negara ini," katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan Pusat diharap tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan warganegeri ini, memandangkan industri pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi Pulau Pinang, selain sektor pembuatan dan pelaburan.

“GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) memang banyak menyusahkan rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) hanya boleh bergantung pada pelaburan dan pelancongan dan dalam sektor pembuatan,” jelas Guan Eng yang juga yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Difahamkan, pelayaran Star Cruises milik Superstar Libra ke Krabi dekat Thailand tidak lagi singgah ke Pulau Pinang sejak pertengahan bulan Julai lepas, dan memilih China sebagai destinasi perhentian terbarunya.

Pada satu-satu pelayaran ke negeri ini dahulu, kapal pelancongan mewah tersebut membawa sehingga 1,480 penumpang, termasuk 740 anak kapal.

Terdahulu, SuperStar Libra pada 13 Julai lepas mengumumkan bahwa Star Cruises akan memindahkan pelabuhannya ke Xiamen dekat China, selain melancarkan dua jadual perlayaran baru dari Xiamen ke Penghu dekat Taiwan serta ke Miyakojima dan Naha dekat Okinawa, Jepun.

Mengapa tertuduh kes mati akibat kemalangan kena hukuman ringan, tanya Kasthuriraani

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani mempertikai hukuman denda RM4,000 ke atas tertuduh yang mengaku bersalah dalam kejadian kemalangan jalan raya pada 12 Mac lalu hingga mengakibatkan kematian mangsa, Aw Boon Huat dua hari kemuadiannya.

P. Kasthuriraani (depan, kanan) dan Eu Pek Boi (depan, tengah)
bersama tiga lain pada sidang media di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, ketetapan ke atas tertuduh adalah ringan, serta seakan tidak mencerminkan keadilan hakiki ke atas keluarga Boon Huat.

Hasil daripada pendakwaan ini adalah tertuduh telah mengaku bersalah, hanya denda sebanyak RM4000 dikenakan ke atas kesalahan yang begitu berat ini pada 11 Jun 2015 yang lalu.

Mengapa tertuduh didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan bukan Seksyen 41(1) Akta yang sama, walaupun tertuduh telah menyebabkan kematian dalam kemalangan jalanraya,” tanya Kasthuriraani pada sidang media bersama-sama isteri mangsa, Eu Pek Boi di sini baru-baru ini.

Kasthuriraani meminta penjelasan berwajib itu daripada Timbalan Pendakwaraya, Tuan Charanjit Singh a/l Mahinder Singh, Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang serta Peguam Negara sendiri.

Seksyen 43(1) menyebut, Seseorang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum denda tidak kurang daripada empat ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan.

Manaka Seksyen 41(1) pula menyatakan, Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang, setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu) merbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Justeru, beliau mendesak seorang Peguam Negara menggunakan budi bicaranya sebagaimana diperuntukan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam isu berbangkit ini.

Perkara 145(3) menyatakan, Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

"Dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 12 Februari 2015 dari meja Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, iaitu berkenaan dengan sabitan dan hukuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara menjelaskan bahawa budi bicara tersebut hendaklah dijalankan berdasarkan pada fakta dan hal keadaan kes dan bukan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam erti kata lain, bagi saya mengikut Perkara 145(3) kuasa Peguam Negara adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk oleh mahkamah.

Maka, keputusan untuk menggunakan satu seksyen yang jauh lebih ringan hukumannya berbanding dengan hukuman yang lebih berat keatas kecuaian jalanraya yang telah mengakibatkan maut,” Kasthuriraani lagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus