12 November 2014

Exco Kesihatan seru pembangkang pengaruhi Putrajaya bina hospital baru di Batu Kawan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pembangkang Pulau Pinang digesa mempengaruhi Kerajaan Pusat untuk membina sebuah hospital Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) baru, yang Kerajaan Negeri cadangkan di Batu Kawan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, ruang Hospital Sungai Bakap yang sedia ada dijangka tidak mampu menampung lambakan pesakit yang kian bertambah selari dengan kepesatan bandar di daerah berkenaan kelak.

"Dari segi bilangan katil memang mencukupi, tetapi, yang menjadi masalah di hospital-hospital Pulau Pinang ini adalah ruangan dalam wad.

"Sebab itulah, kita dapat melihat banyak katil-katil tambahan yang terpaksa diletakkan di ruangan-ruangan yang terdapat di dalam kawasan wad.

"Kerajaan Negeri bercadang bina sebuah hospital baru dibina di SPS, iaitu di Batu Kawan...saya harap disembah sana (Pembangkang) turut dapat menyeru Kementerian Kesihatan agar mempercepatkan projek-projek yang masih belum dilaksanakan ini," ujar Dr Afif pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, malam ini.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, Hospital Pulau Pinang mempunyai 1,107 katil, Hospital Seberang Jaya (314 katil), Hospital Bukit Mertajam (242 katil), Hospital Kepala Batas (108 katil), Hospital Sungai Bakap (105 katil) dan Hospital Balik Pulau (71 katil).

Memetik Rancangan Malaysia Ke-10, katanya, Kerajaan Pusat turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak dekat Jalan Residensi, serta blok bertingkat baru Hospital Sebarang Jaya.

Penjelasan Dr Afif itu sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man.

Buka pantai 'swasta' untuk awam, syor ADUN Pulau Tikus

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey mensyor beberapa kawasan pantai tertentu yang masih diswastakan kepada hotel mewah tertentu wajar dipertimbang untuk dibuka kepada orang awam.

Ini kerana, katanya, kebanyakan rakyat Pulau Pinang tidak mampu mendiami kondomonium mewah yang dilengkapi kolam renang atau menjadi ahli kelab eksklusif, seperti Penang Club, Penang Sports Club, Chinese Recreation Club dan Penang Swimming Club.

"Nama negeri kita Pulau Pinang, tetapi rakyat Pulau Pinang jarang mendapat peluang bermandi renang.

"Pantai adalah khazanah bumi negeri, tetapi, kebanyakan telah dijual dan diswastakan.

"Pantai dan Coastline (garis pantai)negeri Pulau Pinang seharusnya dijadikan kepunyaan awam," ujar Soo Huey di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini tadi.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri perlu berusaha untuk membuka garis pantai dari Persiaran Gurney ke pusat bandar George Town atau Strait Quey ke George Town untuk dinikmati oleh orang awam.

Bagaimanapun, beliau menyambut peruntukan RM3 juta untuk perkhidmatan perunding untuk membina sebuah kompleks kolam renang dekat Paya Terubong, sebagaimana diumum dalam Bajet 2015 Pulau Pinang.

Harga rumah seluruh negara naik, tetapi dikawal hanya di P.Pinang - Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Moratorium penjualan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah daripada tempoh lima tahun kepada 10 tahun daripada tarikh pembelian pertama diamalkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun lepas lagi demi menyejukkan pasaran hartanah di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, moratorium atau penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan jual beli secara persetujuan bersama itu turut dilaksanakan ke atas perumahan jenis mampu milik dalam tempoh lima tahun dari tarikh pembelian pertama.

"Fenomena (hartanah membelon) ini bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi di kawasan bandar utama di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan juga Johor.

"(Pun begitu,) Kerajaan Negeri melalui bajet tahun dahulu sahaja memperkenalkan beberapa kaedah mengawal harga rumah atau menyejukkan pasaran hartanah," ujar Jagdeep pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, petang tadi.

Ucapan penggulungan itu sekaligus menjawab pertikaian pihak Pembangkang Pulau Pinang kononnya hartanah perumahan di negeri sahaja melambung naik hatta tidak mampu dibeli oleh rakyat.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, Kerajaan Negeri turut mengawal kenaikan harga rumah dengan menetapkan harga siling mengikut garis panduan Pusat.

Menurut Jagdeep, harga siling seunit rumah berkeluasan 750 kaki persegi di bahagian pulau dan Seberang Perai masing-masing ditetapkan tidak melebihi RM200,000 dan RM150,000.

Tambah beliau, harga siling seunit rumah berkeluasan 850 kaki persegi di bahagian pulau dan Seberang Perai masing-masing ditetapkan tidak melebihi RM300,000 dan RM200,000.

Manakala harga siling seunit rumah berkeluasan 900 kaki persegi di bahagian pulau dan Seberang Perai masing-masing ditetapkan tidak melebihi RM400,000 dan RM250,000.

"Satu mekanisme mengawal kenaikan harga rumah iaitu penetapan siling harga untuk perumahan mampu milik (termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah).

"Ini berlainan sama sekali dengan agensi persekutuan seperti JKP Sdn. Bhd. dan PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) yang membina unit-unit perumahan dengan harga yang mencecah RM1.85 juta di kawasan pulau dan RM575,000 di kawasan Seberang Perai, yang dikatakan adalah perumahan mampu milik," jelas Jagdeep lagi.

ADUN Machang Bubuk syor Penasihat Undang-Undang kaji peranan KN isu usir penduduk

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Amalan tuan tanah mengusir penduduk melalui perintah mahkamah tanpa permohonan kebenaran merancang, sekaligus seakan menyekat campurtangan daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon berkata demikian berdasarkan pengalamannya mempertahankan kepentingan hak penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh dekat Bukit Mertajam, yang kini sedang dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

"Kerajaan negeri juga seolah-olah tidak berupaya untuk mengambil apa-apa tindakan disebabkan pihak tuan tanah tidak membuat permohonan kebenaran merancang.

"Saya memohon agar Penasihat Undang-undang kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan untuk mengkaji kes-kes seperti ini, agar hak penduduk yang sudah tinggal di sana lebih puluhan tahun dapat dijamin juga," ujar beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, semalam.

Syor Khai Loon semasa membahaskan Bajet 2015 Pulau Pinang tersebut dijangka akan direspons oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sesi penggulungan Jumaat ini.

Terdahulu, syarikat Distinct Class selaku tuan tanah Kampung Permatang Tok Subuh berkenaan berjaya mendapatkan penghakiman ingkar (summary judgment) daripada Mahkamah Sesyen Butterworth.

26 penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh berkenaan kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi, yang perbicaraannya dijadualkan pada November ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus