24 June 2015

Inovasi mampu jadikan JKSNPP 'jabatan pintar' contoh – TKM1

(Dari kiri) ABDUL Malik Abul Kassim, Mohd. Rashid Hasnon, Abdul Walid Abu Hassan dan Sazali Hussien bersama-sama menyempurnakan gimik pelancaran E-SIAP dan beberapa projek inovasi lain pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, inovasi berterusan dalam meningkatkan mutu pelanggan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) sekaligus mampu menjadi 'jabatan pintar' untuk dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengeai kejayaan JKSNPP menawarkan E-SIAP atau E-Shariah Instant Access Procedure yang berjaya meraih Anugerah Emas dalam pertandingan Mini Konvensyen Team Excerllence Wilayah Wilayah Utara pada 1 April lalu.

“Dengan kewujudan E-SIAP ini, kes-kes persetujuan bersama di Mahkamah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari bermula dari proses penyediaan pliding, pendaftaran kes sehinggalah pengeluaran Perintah Mahkamah, sesuai dengan motonya 'Hari Ini Setuju, Hari Ini Selesai',” kata Mohd. Rashid pada Majlis Pelancaran Sistem Elektronik JKSNPP di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Ketua Hakim Mahkamah Syarie di JKSNPP, Y.A.A. Dato' Abdul Walid Abu Hassan turut berucap pada majlis yang dilangsungkan di Mahkamah Rendah Shariah Daerah Seberang Perai Utara itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Dato' Sazali Hussien.

Justeru, beliau berharap, inovasi JKSNPP itu turut berjaya pada pertandingan dalam konvensyen peringkat wilayah yang akan dilangsungkan di Sabah pada bulan Ogos ini.

“Institusi agama dan Mahkamah Syariah harus terkehadapan dalam pengurusan, pentadbiran dan proses khidmat pelanggan kerana semua aspek itu akan menjadi syiar atau lambang keunggulan Islam.

“Kalau berjaya lagi, diharap inovasi JKSM ini boleh mendapat jemputan khas sebagai pemerhati pada saingan peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Gyeongnam, Korea Selatan pada penghujung tahun ini,” jelas Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Sebelum itu, Abdul Malik memberitahu, Kerajaan Negeri senantias komited dalam memartabatkan Islam di negeri ini, termasuk bersama-sama JKSNPP dalam menangkis pandangan serong masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah di negeri ini.

“Tanggapan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah ini kononya pengurusan terlalu lambat, tempat ikrar penceraian, institusi yang terlalu menyebelah kepentingan kaum lelaki mampu diubah sekiranya usaha memartabat Islam yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, turut digerakkan JKSNPP melalui beberapa projek inovasi berwajib,” jelas Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.

Abdul Walid pula menjelaskan, JKSNPP turut menyediakan beberapa projek inovasi berimpak tinggi yang lain, seperti E-DOD, E-STEP, E-CLAIM, E-PBSK, E-PAYMENT, HELPDESK dan sebagainya.

“Paling menarik adalah E-SIAP, iaitu sistem berimpak tinggi yang menggabungkan sistem sedia ada yang dibangunkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), iaitu E-Syariah, E-Sulh, E-Bicara, dengan inovasi sistem baru yang dibangunkan oleh JKSNPP, iaitu E-Pliding dan E-Judgement.

“Inovasi yang dilakukan JKSNPP Ini bukan sahaja untuk memastikan JKSM dilihat sebagai smart department, malah ini sebagai persediaan untuk penarafan institusi mahkamah syariah negeri tidak lama lagi (daripada tiga lapisan kepada lima lapisan),” jelas Abdul Walid.

Tutup jalan berjadual demi keselamatan pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, kata Exco Kerajaan P.Pinang

CHOW Kon Yeow (kanan) dan Lim Hock Seng (kiri) pada sidang media di sini, pagi tadi.
LIM Hock Seng (depan, paling kiri), Chow Kon Yeow (depan, dua dari kiri), A. Rajendran (depan, empat dari kiri) dan Ismade Ismail (depan, tiga dari kiri) pada majlis penerangan mengenai cadangan laluan lencongan sepanjang tempoh penutupan berjadual jalan berwajib di sin baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Cadangan penutupan laluan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di antara persimpangan Hilir Sungai Keluang 1 dan persimpangan Lebuhraya Kampung Jaya dekat Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas secara berjadual tiap-tiap hari dalam tempoh tujuh bulan akan diumumkan tidak lama lagi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, cadangan itu demi membolehkan kerja-kerja pemajuan bahagian rentasan utama atau rentang tuju (speacial span) lebuh raya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dilaksanakan.

"Menteri Kerja Raya (Datuk Fadillah Yusof) memberi kelulusan pada cadangan ini.

"Kita akan mengumumkan tarikh proses penguatkuasaan (penutupan jalan berjadual) ini, selepas semua proses berwajib diperolehi nanti," jelas Kon Yeow pada sidang media bersama-sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng pada pagi tadi.

Menurut Kon Yeow, cadangan penutupan jalan pada hari Isnin hingga pagi Jumaat dilakukan dalam dua sesi, iaitu mulai jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang dan 9.00 malam hingga 5.30 pagi.

Tambahnya, cadangan penutupan jalan sepenuhnya pula akan dilakukan mulai jam 9.00 malam pada hari Jumaat hingga 5.00 pagi pada hari Isnin.

"Jalan-jalan ini mesti ditutup semasa kerja-kerja pembinaan berat dijalankan atas faktor keselamatan kepada pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

"(Bagaimanapun,) kita tidak boleh menutup sepenuh masa (tiap-tiap pada hari bekerja) kerana kesesakan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas buat masa ini pun sebenarnya agak sesak," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Manakala, Hock Seng pula memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan kerja-kerja pemajuan kategori berat tidak akan dilaksanakan semasa jalan-jalan tersebut dibuka untuk akses awam.

Ini kerana, katanya, demi mengelak insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.

"Ini bukanlah cadangan terbaik untuk memastikan langsung tiada risiko di sini, tetapi, inilah cadangan yang kita ada buat masa ini.

“Kita merancang, Tuhan juga merancang dan kita berharap tiada insiden yang tidak diingin berlaku di tapak pemajuan sepanjang tempoh tujuh bulan itu nanti," jelas Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal.

Sebelum itu, Penolong Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.) masing-masing menjelaskan proses pemajuan "rentang tuju" tersebut, serta aspek-aspek keselamatan khusus untuk pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170 meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau 6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.

"Binaan ini setinggi tiga bangunan, kira-kira 13 kali ganda lebih berat dari (bahagian konkrit penyambung) yang runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dahulu.

"(Rantang tuju) ini adalah paling besar di Malaysia untuk jalan empat laluan, sebab ada satu (rentasan tuju) di Sarawak sepanjang 180 meter untuk jalan dua laluan sahaja," jelas Ismade.

Sepanjang tempoh pemajuan, kenderaan dari arah George Town dan Queensbay Mall menghala ke Batu Maung dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JK2PP) akan dilencongkan ke Lebuhraya Kampung Jawa, melalui Jalan Sultan Azlan Shah, Hilir Sungai Keluang 4, Hilir Sungai Keluang 2, Hilir Sungai Keluang 1, Lintasan Bayan Lepas dan kembali semula ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang berhampiran JK2PP.

Kenderaan dari arah Batu maung dan JK2PP menghala ke arah Queensbay Mall dan George Town pula akan dilencongkan ke Hiling Sungai Keluang 1, melalui Hilir Sungai Keluang 2, Hilir Sungai Keluang 4 dan Jalan Sultan Azlan Shah, seterusnya membuat pusingan U di Persimpangan Jalan Mayang Pasir dan kembali ke Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu, sama ada melalui Lebuhraya Kampung Jawa atau Bulatan Bayan Baru.

LAKARAN grafik lencongan alternatif yang dicadangkan sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan penutupan jalan berjadual untuk rujukan pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu nanti.

Nilai ringgit susut tuntut kajian semula had warga asing beli hartanah - Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) melawat salah sebuah gerai pameran perumahan, selepas berucap pada majlis pembukaan Ekspo Pelaburan & Hartanah 2015 di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, nilai Ringgit Malaysia (RM) yang kian menyusut belakangan ini dikatakan menggandakan dorongan warga asing untuk membeli hartanah di Pulau Pinang.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mengkaji garis panduan sedia ada mengenai penguatkuasaan had maksimum pembelian hartanah oleh warganegara asing, yang ditetapkan pada harga RM2 juta di bahagian pulau dan RM1 juta di bahagian Seberang Perai.

"Kami (Kerajaan Negeri) sangat mengambil berat mengenai harga hartanah yang kian melambung, dengan diburukkan lagi oleh pembelian rumah-rumah membabitkan warga asing ekoran pada nilai ringgit yang semakin lemah.

"Jika nilai ringgit kian merosot lagi, pasaran hartanah akan menjadi semakin 'panas' (di kalangan pembelian warga asing)," jelas Jagdeep Singh Deo pada majlis penutup Ekspo Pelaburan & Hartanah 2015 di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di sini baru-baru ini.

Jagdeep bagaimanapun memberitahu, dorongan warga asing membeli hartanah di negeri ini mestilah tidak sampai menafikan keperluan warganegara untuk membeli hartanah, khususnya rumah mampu milik di negeri ini.

"Walaupun kami (Kerajaan Negeri) percaya bahawa pasaran bebas serta galakan warga asing untuk membeli hartanah di sini (sedang berlaku), ia tidak boleh sampai mengorbankan keperluan penduduk tempatan daripada membeli harta di negeri asal mereka, jika harga hartanah terus meningkat," kata Jagdeep, sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri senantiasa fokus pada usaha mencukupkan unit rumah mampu milik pelbagai kategori untuk keperluan rakyat.

Pun begitu, katanya lagi, kenaikan harga hartanah membabitkan rumah mampu milik yang mewah turut menjejaskan proses pembelian membabitkan warganegara.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Negeri begitu mengawal harga rumah kos rendah dan kos sederhana bagi membolehkan penduduk tempatan membeli rumah pertama mereka masing-masing.

Selain itu, Jagdeep memberitahu langkah bank mengetatkan syarat permohonan pinjaman perumahan merupakan antara faktor yang mengakibatkan rumah mampu milik yang mewah tidak mampu dimilik oleh warganegara.

"Pihak bank perlu melonggarkan syarat pinjaman perumahan bukan sahaja untuk pembeli rumah mampu milik, tetapi juga pembeli unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah, kerana rakyat pelbagai lapisan masyarakat perlu memiliki rumah sendiri," jelas Jagdeep lagi.

Terdahulu, garis panduan had maksimum pembelian hartanah mewah di Pulau Pinang oleh warga asing mula dinaikkan daripada RM500,000 unit ke RM1 juta dengan nilai tertingginya RM2 juta mula dikuatkuasakan sejak 1 Julai 2012.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus