CHOW Kon Yeow (kanan) dan Lim Hock Seng (kiri) pada sidang media di sini, pagi tadi. |
Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
GEORGE TOWN -
Cadangan penutupan laluan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di antara
persimpangan Hilir Sungai Keluang 1 dan persimpangan Lebuhraya
Kampung Jaya dekat Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas secara
berjadual tiap-tiap hari dalam tempoh tujuh bulan akan diumumkan
tidak lama lagi.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu,
cadangan itu demi membolehkan kerja-kerja pemajuan bahagian rentasan
utama atau rentang tuju (speacial span) lebuh raya bertingkat
yang merintangi Sungai Keluang dilaksanakan.
"Menteri Kerja Raya
(Datuk Fadillah Yusof) memberi kelulusan pada cadangan ini.
"Kita akan
mengumumkan tarikh proses penguatkuasaan (penutupan jalan berjadual)
ini, selepas semua proses berwajib diperolehi nanti," jelas Kon
Yeow pada sidang media bersama-sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan
Utiliti, Lim Hock Seng pada pagi tadi.
Menurut Kon Yeow,
cadangan penutupan jalan pada hari Isnin hingga pagi Jumaat dilakukan
dalam dua sesi, iaitu mulai jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang dan
9.00 malam hingga 5.30 pagi.
Tambahnya, cadangan
penutupan jalan sepenuhnya pula akan dilakukan mulai jam 9.00 malam
pada hari Jumaat hingga 5.00 pagi pada hari Isnin.
"Jalan-jalan ini
mesti ditutup semasa kerja-kerja pembinaan berat dijalankan atas
faktor keselamatan kepada pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.
"(Bagaimanapun,)
kita tidak boleh menutup sepenuh masa (tiap-tiap pada hari bekerja)
kerana kesesakan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas buat masa ini
pun sebenarnya agak sesak," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Manakala, Hock Seng pula
memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan kerja-kerja pemajuan
kategori berat tidak akan dilaksanakan semasa jalan-jalan tersebut
dibuka untuk akses awam.
Ini kerana, katanya, demi
mengelak insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua
Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya
tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.
"Ini bukanlah
cadangan terbaik untuk memastikan langsung tiada risiko di sini,
tetapi, inilah cadangan yang kita ada buat masa ini.
“Kita merancang, Tuhan
juga merancang dan kita berharap tiada insiden yang tidak diingin
berlaku di tapak pemajuan sepanjang tempoh tujuh bulan itu nanti,"
jelas Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal.
Sebelum itu, Penolong Pengarah
Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A.
Rajendran dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders
Bhd.) masing-masing menjelaskan proses pemajuan "rentang tuju"
tersebut, serta aspek-aspek keselamatan khusus untuk pengguna
Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.
Difahamkan, tiga bahagian
rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah
terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170
meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau
6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.
"Binaan ini setinggi
tiga bangunan, kira-kira 13 kali ganda lebih berat dari (bahagian
konkrit penyambung) yang runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang
dahulu.
"(Rantang tuju) ini
adalah paling besar di Malaysia untuk jalan empat laluan, sebab ada
satu (rentasan tuju) di Sarawak sepanjang 180 meter untuk jalan dua
laluan sahaja," jelas Ismade.
Sepanjang tempoh
pemajuan, kenderaan dari arah George Town dan Queensbay Mall menghala
ke Batu Maung dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JK2PP)
akan dilencongkan ke Lebuhraya Kampung Jawa, melalui Jalan Sultan
Azlan Shah, Hilir Sungai Keluang 4, Hilir Sungai Keluang 2, Hilir
Sungai Keluang 1, Lintasan Bayan Lepas dan kembali semula ke
Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang berhampiran JK2PP.
Kenderaan dari arah Batu
maung dan JK2PP menghala ke arah Queensbay Mall dan George Town pula
akan dilencongkan ke Hiling Sungai Keluang 1, melalui Hilir Sungai
Keluang 2, Hilir Sungai Keluang 4 dan Jalan Sultan Azlan Shah,
seterusnya membuat pusingan U di Persimpangan Jalan Mayang Pasir dan
kembali ke Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu, sama ada melalui Lebuhraya
Kampung Jawa atau Bulatan Bayan Baru.
No comments:
Post a Comment