26 January 2016

Respons pada Tok Pa minta tutup InvestPenang, InvestSelangor sebab anti TPPA

ANTI TPPA BUKAN BERMAKNA PULAU PINANG, SELANGOR ANTI PELABUR ASING

26 Januari 2016
George Town

Pelaburan ke Malaysia pada tahun 2014 sekitar 71.9 bilion sahaja.

Laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pada Februari tahun lalu mendedahkan, projek pelaburan ke Pulau Pinang yang diluluskan Kerajaan Negeri bagi tahun 2014 dicatatkan ketiga tertinggi, di belakang Johor dan Sarawak.

MIDA merekodkan keseluruhan pelaburan di Pulau Pinang berjumlah RM8.2 bilion (RM8,162,372,366), iaitu RM3,048,778,075 daripada pelabur domestik dan baki RM5,113,594,291 daripada pelabur asing.

Jumlah keseluruhan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2013 pula berjumlah RM3.9 bilion (RM3,912,256,265), iaitu RM2,117,861,775 daripada pelaburan domestik dan baki RM1,794,394,490 daripada pelaburan asing.

Berasaskan rekod dwi tahunan itu, sekaligus menunjukkan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2014 meningkat kira-kira 109 peratus berbanding tahun 2013.

Jika mengambil kira angka di atas, gambarannya Malaysia seakan hilang kira-kira 11.4 peratus nilai pelaburan.

Ini kerana, pelaburan ke Pulau Pinang akhirnya akan memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan rakyat Malaysia umumnya.

Itu, tidak termasuk RM7 bilion pelaburan ke Selangor, pada tahun 2014 jua.

Atas maksud di atas, apabila TPPA dipertikai, bukan bermakna usaha membawa pelabur ke tanah air ini dibantah oleh Pakatan Harapan.

Sepatutnya ancaman untuk menyekat pelaburan asing langsung  (FDI) ke Pulau Pinang atau Selangor tidak berlaku, sungguhpun pendirian Pakatan Harapan yang mendominasi kedua-dua Kerajaan Negeri membantah TPPA jelas dan ketara.

Portal berita The Malaysian Insider hari ini antara lain melaporkan, sekiranya pembangkang yang menguasai Selangor dan Pulau Pinang khuatir dengan pelaburan asing yang akan dibawa masuk ke dalam negara melalui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mereka perlu menutup program InvestPenang dan InvestSelangor, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi saya, kurang wajar seorang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan  Industri mengeluarkan kenyataan sebegitu, yang seakan anti semangat ke-Malaysia-an.

Sekali lagi disebut, pelaburan ke Pulau Pinang ketiga tertinggi, disusuli Selangor.

Mohon Mustapa yang lebih mesra dipanggil Tok Pa agar lebih terbuka.

ZAINULFAQAR YAACOB
Timbalan Pengerusi II
PasMa Pulau Pinang

0194241583
zainulfaqary@gmail.com
faqar.blogspot.com

5,000 buku berjaya dikumpul, ADUN Jawi buka Suduh Ilmu ke-2

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) diiringi Soon Lip Chee (paling kiri) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kiri) serta seorang anggota JKKK setempat menantuni salah seorang kanak-kanak di pusat sumber Sudut Ilmu Bukit Panchor di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Lebih 5,000 buku dikumpulkan untuk mewujudkan Sudut Ilmu serta memberi manfaat kepada komuniti setempat, kata Soon Lip Chee yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

"Sejak menjadi Ahli Majlis MPSP pada tahun 2009 lagi, saya dengan dibantu rakan-rakan mengumpulkan buku, sehingga kini lebih 5,000 buah dikumpulkan dari seluruh negara.

"Sudut Ilmu Bukit Panchor ini adalah yang kedua di KADUN Jawi, yang pertama di (dewan) JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Taman Bestari," jelas Lip Chee kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut berucap serta menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Sudut Ilmu Bukit Panchor tersebut.

Turut berucap, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif.

Kon Yeow dalam ucapannya memberitahu, masih terdapat banyak dewan orang ramai yang tidak dimanfaatkan semaksimum mungkin di bahagian Seberang Perai, sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan Soon Lip Chee.

"Kita (Kerajaan Negeri) berharap JKKK mempunyai perancangan untuk memohon dewan yang masih belum digunakan untuk aktiviti komuniti di kawasan masing-masing, selepas ini," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

Sebelum itu, Maimunah mendedahkan, di Seberang Perai terdapat 224 buah dewan dan 54 daripadanya tidak digunakan atau diurus oleh mana-mana pihak berwajib termasuk JKKK.

Daripada 58 buah dewan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), katanya, terdapat 13 dewan tidak digunakan.

Di Daerah Seberang Perai Tengah pula, katanya lagi, terdapat 102 dewan dan 25 daripadanya tidak digunakan.

"Di SPS (Seberang Perai Selatan), ada lebih 64 dewan dan 16 daripadanya masih belum digunakan oleh mana-mana pihak.

"Jadi, kita di MPSP sangat menggalakkan mana-mana sahaja pertubuhan berdaftar agar memohon untuk mengurus dan menggunakan dewan-dewan ini, dengan keutamaan diberikan kepada JKKK berwajib," jelas Maimunah.

Tambah beliau, pihak yang berminat untuk membuat permohonan dewan-dewan tersebut hanya perlu mengemukakan sijil pendaftaran pertubuhan, senarai ahli jawatankuasa (AJK) pertubuhan dan rancangan aktiviti tahunan, untuk dipertimbangkan oleh MPSP.

Kolam takungan banjir diperdalamkan, Kon Yeow puji CSR pemaju

TANAH rizab berhampiran kolam takungan banjir di Taman Linear Bandar Tasek Mutiara turut dimajukan atas nama CSR, dengan mewujudkan taman rekreasi mini serta mula dibuka untuk manfaat komuniti setempat di sini baru-baru ini.

KAWASAN kolam takungan banjir Taman Linear Bandar Tasek Mutiara, selepas siap dinaik taraf di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Atas keprihatinan pemaju Tambun Indah Land Berhad, kolam takungan banjir di Taman Linear Bandar Tasek Mutiara siap diperdalamkan, selain mewujudkan taman rekreasi mini untuk manfaat komuniti setempat di sini baru-baru ini.

Sambil memuji keprihatinan pemaju, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tabatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap, projek penarafan itu mampu mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar kawasan tersebut.

"Kita (Kerajaan Negeri) mengucapkan terima kasih kepada Tambun Indah (Land) atas keprihatinan dan inisiatif ini, iaitu mengurangkan impak sekiranya berlaku banjir kilat di sekitar kawasan ini," jelas Kon Yeow pada Majlis Perasmian Projek CSR Taman Linear Bandar Tasik Selatan.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan banjir serta pembinaan semula sistem parit monsun di sini menelan belanja RM1.42 juta.

Difahamkan, kolam takungan banjir tersebut seluas 16,375 meter persegi, diperdalamkan sehingga 2 meter, serta mampu menampung isipadu air sebanyak 32,750 meter kubik pada satu-satu masa berlaku bencana banjir.

Manakala, kos menyediakan bangku rehat, jejak joging dan alat senam terbuka serta kerja-kerja lanskap di kawasan taman rekreasi mini tersebut menelan belanja RM480,000, disumbang oleh Pengerusi Tambun Indah Land Berhad, Teh Kiak Seng atas nama program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ujar Kon Yeow, kos keseluruhan projek penarafan dan CSR di Taman Linear itu adalah sebanyak RM1.9 juta.

CHOW Kon Yeow (tengah) menerima cenderamata daripada Teh Kiak Seng (empat dari kiri) selepas Majlis Perasmian Projek CSR Taman Linear Bandar Tasik Selatan, sambil disaksikan oleh Mansor Othman (kanan sekali), Maimunah Mohd. Sharif (dua dari kiri) dan Jason H'ng Mooi Lye (kiri sekali) di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas mengenai risiko banjir yang pernah dialami penduduk di Taman Puteri Gunung di sini.

"Saya masih menunggu satu lagi keputusan yang sedang dibuat, iaitu di (Taman) Puteri Gunung, di mana kawasan banjir yang perlu diperdalamkan, tetapi kita (Kerajaan Negeri) menghadapi pencerobohan tanah atas rizab yang perlu diambil tindakan oleh Pejabat Daerah (Dan Tanah, Seberang Perai Selatan).

"Saya berharap jurutera MPSP pun dapat memantau," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, Bandar Tasek Mutiara khususnya di Taman Linear pernah mengalami kejadian banjir kilat yang teruk pada 28 November 2013.

ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Dato' Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) serta dua Ahli Majlis MPSP, Jason H'ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiaun antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis itu.

Masing-masing menyempurnakan acara penanaman pokok teduh, sebagai gimik pembukaan semula kawasan ini untuk manfaat komuniti setempat.

Labur RM1.5 juta, Arabica Estate bawa imej Pulau Pinang, kata Guan Eng

WAJAH kafe restoran Arabica Estate mencerminkan status tersendiri kepada pelanggannya, selain menawarkan minuman kopi yang berkualiti di sini. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG – Dengan pelaburan RM1.5 juta, Arabica Estate diharap bukan sahaja menghasilkan kopi yang berkualiti tinggi.

Bahkan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap, kopi jenama 100 peratus Pulau Pinang itu mampu membawa imej negeri ini ke seluruh negara hatta rantau Asia Tenggara suatu hari nanti.

"Saya berharap perniagaan yang terbaik buat syarikat Arabica Estate, serta sukses dalam membawa jenama Pulau Pinang agar lebih dikenali sebagai negeri pengeluar kopi yang berkualiti," jelas Guan Eng pada Majlis Pembukaan Kafe Restoran Arabica Estate di Automall dekat Persiaran Karpal Singh baru-baru ini.

Sebelum itu, Pengarah Urusan Arabica Estate, Cheah Chin Heng memberitahu bahawa pihak sebelum ini telahpun membuka kafe restoran di hentian R&R Gurun dekat Kedah dan di Kota Bharu dekat Kelantan.

Tambah beliau, kafe restoran di Pulau Pinang ini adalah cawangan yang ketiga.

Terdahulu, Guan Eng pernah memuji perniagaan makanan segera mee kari putih MyKuali yang juga jenama Pulau Pinang, dipasarkan ke seluruh negara dan beberapa negara Asia Tenggara.

Walaupun jenama MyKuali mula diperkenalkan pada Mei 2013, katanya, jualan mee segera itu mencecah 50,000 bungkus dengan pulangan kasar kira-kira RM1.5 juta tiap-tiap bulan sehingga November tahun sama.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus