29 September 2015

Vaksin baru anti Rabies, Guan Eng syor tubuh pasukan logistik bersama Pusat


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - 40,000 vaksin anti Rabies baru yang dicadangkan oleh World Veterinary Services  (WVS) akan dinilai uji terlebih dahulu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (DVS) dalam tempoh maksimum tiga bulan, sebelum diagihkan ke semua negeri termasuk Pulau Pinang sesegera mungkin.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng petang tadi berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk membeli 5,000 vaksin baru itu, selain yang dibekalkan secara percuma oleh Kerajaan Pusat.

Malah, beliau mengesyorkan pasukan logistik untuk proses kelulusan vaksin baru ditubuhkan di peringkat negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat, demi kepentingan keselamatan habitat anjing dan manusia di negeri ini.

"Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dari segi logistik untuk menubuhkan satu pasukan logistik bersama-sama Pusat.

"Dalam tempoh ini, saya berharap pemilik anjing dapat menjaga anjing masing-masing tanpa (dikenakan) kompaun," jelas Guan Eng kepada wartawan, selepas selesai satu mesyuarat di sini.

Sebelum itu,  Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Biosekuriti dan SPS (Sanatary Phytho Sanitary), Dr. Rozanah Asmah  Abd. Samad memberitahu sebanyak 750 vaksin  baru telahpun sampai ke negera ini.

"Selalunya tempoh ujian satu-satu vaksin yang baru  mengambil masa tiga bulan, tetapi kita ambil masa sebulan kerana tempoh kecemasan dalam kes ini," ujar Dr. Rozanah.

Manakala, Ketua Eksekutif WVS, Luke Gamble memberitahu bahawa prosedur kelulusan proses membawa masuk satu-satu vaksin baru ke mana-mana negara selalunya mengambil masa sekitar enam bulan.

Sehingga semalam, difahamkan, bekalan vaksin sedia ada telahpun habis, dan Putrajaya dimohon untuk mempercepatkan proses kelulusan masuk vaksin yang baru ke negara ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani,  Pembangunan Desa dan Kesihatan), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan,  Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut sertai sidang media itu.

Hadir sama,  Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Dato' Mokhtar Mohd.  Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Dr. Siti Salmiah Tahir  (Pengarah DVS Negeri) dan Dr. Maswati Mat Amin (wakil Makmal Veterinar DVS Kawasan Bukit Tengah).

Terdahulu, Guan Eng mengarahkan tangkapan semua anjing terbiar di Pulau Pinang untuk dilupuskan, selepas dua kes Rabies akibat gigitan anjing gila disahkan positif baru-baru ini.

Tegasnya, Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 diwartakan di bawah subseksyen 42(4) Akta Binatang 1953 [Akta 647], demi membolehkan seorang Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan arahan itu.

Langkah itu mengundang kritikan banyak pihak,  antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save Our Starys Penang (SOS) dan badan antarabangsa Mission Rabbies.

Rabies adalah penyakit zoonotik atau virus yang merebak daripada haiwan kepada manusia, melalui gigitan atau pemindahan mukus (saliva) serta boleh mengakibatkan kematian.

Demam dan sakit otot merupakan petanda awam, sebelum berakhir dengan serangan sistem saraf yang mengakibatkan keresahan, insomnia, gangguan mental seterusnya bertindak agresif lalu kematian.

Kes Rabies mula dikesan di Negeri Perlis pada 17 Ogos lalu selepas disahkan oleh Veterinary Research Institute (VRI), disusuli kes serupa di Pulau Pinang pada 14 September lalu.

Sehingga kini,  kekal tiga kes Rabies positif di Pulau Pinang.


Arak murah perlu undang-undang kawalan, tegas pemimpin muda non-Muslim DAP P. David Marshel

P. David Marshel semasa diwawancara di Kompleks Ibupejabat MPSP, Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

ARAK MURAH bukanlah isu baru, malah sudah menjadi sebahagian punca masalah sosial di kalangan orang miskin di negeri.

Arak murah mengakibatkan punca penyakit kanser pada otak, lidah, mulut, esofagus, larink dan pundi kencing.

Selain itu, ketagihan minuman tidak sihat itu mampu merosakkan organ hati, seperti sirosis, steatosis dan hepatitis, Ulser, gastritis, serta kecederaan otak dan masalah saraf.

Logik pengharaman arak murah demi memelihara kesihatan turut dirakamkan dalam al-Quran sendiri.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Nabi Muhammad S.A.W) tentang khamar (arak) dan judi, katakanlah (kepada mereka): pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya'." [Surah al-Baqarah 2:219]

Maka, penubuhan Gerakan Anti Arak Murah oleh P. David Marshel, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak pertengahan tahun lepas tentunya memberi persepsi baru kepada masyarakat, khususnya komuniti Melayu dan umat Islam di negeri ini.

P. David Marshel dalam suatu klip video secara sederhana memujuk rakyat Malaysia supaya menyertai Gerakan Anti Arak Murah, dengan menurunkan petisyen sokongan pada pergerakan tersebut.

“Kesedaran (bahaya arak murah) ini memang ada dalam masyarakat kita, tanpa mengira kaum atau agama.

“Saya memang tidak minum arak kerana saya tahu kemudaratannya lebih besar berbanding manfaatnya.

“Arak murah lebih besar mudarat kerana mengandungi 20 hingga 42 peratus alkohol dan lebih bahaya daripada arak biasa.

“Sebotol 150 mililiter arak murah berharga RM1.50 sahaja di tempat-tempat awam, lebih murah daripada sebobol air miniral di stesen minyak yang berharga RM2.

“Bayangkan betapa mudahnya orang-orang miskin atau mereka daripada keluarga berpendapatan rendah terjebak dengan masa ini.

“Kerana itu, pergerakan ini ditubuhan dan dibantu oleh beberapa kawan seperti M. Satees (Ahli Majlis MPSP) kerana kita (Gerakan Anti Arak Murah) mahu Putrajaya mempertimbang cadangan untuk mengharamkan penjualan arak murah di negeri ini,” jelas David Marshel semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

P. David Marshel (kanan) bersama-sama seorang lagi pemimpin muda non-Muslim DAP, M. Satees dalam satu sidang media secara lantang mendesak dihapuskan aktiviti penjualan arak murah, sama ada berlesen atau sebaliknya, pada sidang media di sini baru-baru ini.

David Marshel adalah anak jati Machang Bubok, mempunyai lima adik-beradik, dan ayahnya seorang penoreh getah.

Pernah membuka perniagaan berasaskan kayu pallet sejurus tamat pelajaran dari Sekolah Tinggi Bukit Mertajam.

Ayah kepada dua anak itu dalam rancangan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda, selepas mendapat diploma eksekutif dalam bidang perniagaan.

Kini, David Marshel dilantik menjadi Ahli Majlis sejak tahun 2013.

P. David Marshel (tiga dari kiri) dan M. Satees (dua dari kiri) bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif (empat dari kiri), Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud (enam dari kiri) serta tiga Ahli Majlis lain, A. Tiagarajen (kiri sekali), Loh Joo Huat (lima dari kiri), dan Zulkifli Ibrahim pada sidang media mempromosi Larian Sihat Membasmi Arak Murah di sini, 31 Julai lalu.

Kempen Nilai
Larian Sihat Membasmi Arak Murah pada 11 Oktober depan, yang mensasarkan 8,000 penyertaan merupakan antara projek mega David Marshel pada tahun ini, demi mengumpulkan tanda tangan sokongan pada pergerakaan kempen nilai tersebut.

“Setakat ini, lebih 23,000 tandatangan telah berjaya dikumpulkan, dan kita berharap program (seumpama) Larian Sihat Basmi Arak Murah ini boleh menyumbang ke arah sasaran 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah pada penghujung tahun ini.

“Kita berharap kempen ini membawa isyarat yang jelas, iaitu Pulau Pinang tidak perlu lagi arak murah, lesen arak murah cukuplah, tak perlu ditambah lagi kerana arak murah berbahaya.

“Daripada 369 premis menjual arak murah (likuor) yang diberikan lesen, lebih 250 adalah di pasar raya dan kedai runcit, bayangkan betapa mudahnya minuman tidak sihat ini boleh dibeli di negeri ini sendiri,” jelas David Marshel.

Cabaran
Menurut David Marshel, komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) realitinya dibatasi oleh bidangkuasa Kerajaan Pusat, sebagaimana disebut dalam perlembagaan.

Pun begitu, beliau sebagai Ahli Majlis perlu melakukan apa yang wajar menurut ruang lingkup bidangkuasa sedia ada.

“Kastam lebih berpihak kepada sumber pendapatan di atas masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat sekarang ini.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar Akta Eksais 1976, penguatkuasaan hanya boleh dilakukan oleh Kastam.

“Sebagai Ahli Majlis mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, setelah berbincang dengan YB Chow Kon Yeow, kita membawa dasar baru, apa-apa yang berada di bawah lesen arak, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak boleh diambil tindakan, hanya kastam sahaja yang boleh melakukan langkah penguatkuasaan.

“Tetapi, saya melihat Kastam lebih berpihak kepada sumber pendapatan daripada penjualan arak ini, walaupun ada kemudaratan pada sosial masyarakat.

P. David Marshel (tengah) meneliti kompaun yang dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasa MPSP dalam operasi bersepadi di sini baru-baru ini.

Komitmen MPSP
“PBT tidak boleh menguatkuasa apa-apa di bawah Akta Eksais 1976, hanya pihak Kastam yang boleh menguatkuasaan berdasarkan akta itu.

Jadi, MPSP sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melihat masalah sosial disebabkan penjualan arak secara berleluasa ini dan kita ada membuat ulasan lanjut kepada agensi persekutuan di negeri ini serta Kastam sendiri.

“Tetapi kita (MPSP) tidak boleh mengambil apa-apa tindakan disebabkan akta tersebut.

“Di bawah Enakmen, RM250, kompaun dua hingga tiga kali, kita boleh batalkan lesen premis, apabilabila kita mahu membatalkan lesen premis, maka dia tidak boleh jual arak tanpa.

“Pihak Berkuasa Tempatan memang memberi ulasan mengenai masalah sosial yang berpunca (oleh) arak murah ini, tetapi keputusan muktamad adalah daripada agensi persekutuan, iaitu Kastam dan Lembaga (Hasil Dalam Negeri).

“Mengambil kira semua itu, akhirnya kita memasukkan semua syarat-syarat yang wajar semasa lesen premis dikeluarkan, kerana MPSP mempunyai hak untuk menguatkuasa berdasarkan bidang kuasanya ke atas lesen premis yang dikeluarkan.

“Sebagai contoh, lesen arak dikeluarkan untuk jual mulai jam 7.00 pagi hingga 9.00 malam, dalam syarat lesen premis kita membenarkan perjualan arak mulai jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, untuk menghindari mereka yang terbabit meminum arak murah sebelum ke tempat kerja.

“Maksudnya, operasi kedai mulai jam 7.00 pagi, tetapi, proses perjualan mesti mulai jam 10.00 pagi.

“Dalam Akta Eksais tidak disebut jarak secara terperinci antara kedai arak dengan kawasan-kawasan larangan seperti sekolah, dan pergerakan anti arak murah ada mencadangkan sekurang-kurangnya jauh 250 meter dimasukkan sebagai syarat-syarat lesen premis di bawah suatu enakmen di DUN,” jelas beliau.

Harapan
“Saya ingat dah cukup lah, tak perlu keluarkan lesen lagi kerana dasar Kerajaan Negeri iaitu 'Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat'.

“Sihat di sini bukan sekadar joging atau bersenam, tetapi perlu dilihat secara holistik,

“Selalu saya sebut bahawa arak juga sesuatu yang buruk kepada kesihatan, maka, patutlah dilihat mengenai penjualan arak secara berleluasa ini yang jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan Negeri.

“Saya harap kempen 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah ini mampu mempengaruhi Kerajaan Negeri untuk mengubal enakmen khusus.

“Kalau boleh kita nak Akta Eksais 1976 dipinda supaya membolehkan pengharaman terus penjualan arak murah ini.

“Kempen anti arah murah perlu, penguatkuasaan menyeluruhpun perlu,” jelas David Marshel.

27,500 unit rumah untuk rakyat jika Abdul Rahman Dahlan lulus 47 APDL, respons Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan keratan akhbar The Star yang melaporkan Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri mengaku pembangunan rumah mampu milik mampu memacu ekonomi, pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kira-kira 27,500 unit rumah mampu milik boleh dibina untuk rakyat Malaysia yang tinggal di Pulau Pinang sekiranya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan segera meluluskan baki 47 lagi permohonan Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL) ke negeri ini.

TEKAPAN skrin daripada portal berita The Star Online.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri senantiasa mengamalkan keterbukaan atas semangat federalisme, termasuk bersedia untuk saling bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan demi menyegerakan proses kelulusan semua permohonan APDL tersebut.

“Jika Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri dalam kenyataannya dalam akhbar The Star (21 September 2015) sendiri mengaku bahawa pembangunan rumah mampu milik mampu memacu pembangunan ekonomi, mengapa masih melengah-lengahkan proses kelulusan baki 47 APDL ini.

“Datuk Abdul Rahman wajar segera meluluskan kesemua projek ini kerana kami (Kerajaan Negeri) mahu perumahan yang mencukupi untuk rakyat, khususnya unit-unit rumah mampu milik.

“Kami bersedia untuk saling bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan sebaik mungkin demi merealisasikan harapan rakyat Malaysia di Pulau Pinang untuk memiliki rumah mampu milik mereka sendiri,” jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep Singh, 34 permohonan daripada keseluruhan 81 APDL telahpun diluluskan.

Justeru, Jagdeep dalam surat rasmi bertarikh 4 September lalu, sekali lagi meminta Abdul Rahman menjelaskan beberapa perkara berbangkit mengenai 47 lagi permohonan APDL yang dilengah-lengahkan proses kelulusan oleh kementerian.

“Saya memohon agar dimaklumkan sebab-sebab permohonan-permohonan tersebut masih belum diluluskan dan juga berapa unit-unit prumahan yang terlibat dalam keseluruhan permohonan yang belum diluluskan.

“Berapakah Nilai Pembangunan Kasar kesemua permohonan-permohonan yang masih belum diluluskan tersebut,” tanya Jagdeep lagi.

(Dari kiri) NG Wei Aik, Jagdeep Singh Deo dan Jeff Ooi Chuan Aun pada sidang media di KOMTAR.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik.

Terdahulu, Jagdeep dalam surat rasmi bertarikh 24 Jun 2015 kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek mengesa diperjelas punca kelewatan proses kelulusan DLAP berwajib.

Pada 13 Julai lalu, Jagdeep mengumumkan langkah Kerajaan Negeri untuk meneroka serta mengkaji langkah perundangan sewajarnya, demi mendepani layanan dingin daripada Putrajaya.

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan Surat Rasmi daripada Mohamad Yusoff Ghazali yang mendedahkan Kementerian mengaku menerima 81 permohonan DLAP dari Pulau Pinang, dalam sidang media terdahulu pada 12 Ogos 2015.

Ekoran itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negera, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali dalam satu surat rasmi bertarikh 27 Julai menjelaskan bahawa kementerian menerima 81 permohonan DLAP dari negeri Pulau Pinang dan sebanyak 34 permohonan telahpun diluluskan semasa itu.

Jagdeep Singh Deo dalam reaksi spontan pada 12 Ogos lepas berkata, Kerajaan Pusat dianggarkan mendapat sumber berpuluh bilion ringgit, sekiranya Kerajaan Pusat tidak melengah-lengahkan proses kelulusan kesemua 81 DLAP yang dimohon oleh pemaju berwajib.

GEMS Education labur RM55 juta, buka sekolah antarabangsa di Seberang Perai Selatan

KETUA Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (tengah) merakamkan gambar, selepas murid-murid selesai acara persembahan pentas sempena Majlis Pembukaan GEMS International School of Pearl City di sini, semalam. | Gambar: Ahmad Adil Mohamad (Buletin Mutiara)

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan pembukaan Sekolah Antarabangsa GEMS Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, semalam.

Guan Eng berkata, pelaburan RM55 juta oleh GEMS dalam pembangunan sekolah tersebut sekaligus adalah pelaburan untuk generasi masa depan di negeri ini.

“Untuk memenangi masa depan, anda perlu melabur dalam masa depan, terutamanya golongan muda.

“Kerajaan Pulau Pinang berpegang kuat dengan satu kepercayaan bahawa pelaburan dalam pendidikan bermakna melabur dalam masa depan,” jelas beliau pada majlis perasmian tersebut.

Turut berucap, Ketua Pengarah Eksekutif merangkap Ahli Lembaga GEMS Education, Tom Collin dan Dino Varkey (Pengarah Eksekutig Kumpulan merangkap Ahli Lembaga GEMS Education).

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Dato' Maktar Shapee (Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan).



KETUA Menteri (lapan dari kiri), P. Ramasamy (tujuh dari kiri) Tom Collin (10 dari kiri) dan Dino Varkey (sembilan dari kiri) serta tetamu kehormat lain pada acara gimik perasmian pembukaan GEMS International School of Pearl City, di sini.
Seperti GEMS Education, Guan Eng memberitahu, syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa terkenal, Hospital Columbia Asia dan gedung pasaraya IKEA pertama di Utara Semenanjung Malaysia turut melabur di kawasan 'bandar satelit' SPS, yang merangkumi lokasi segi tiga antara Batu Kawan, Cangkat dan Bukit Minyak, di sini.

“Di sini akan menjadi destinasi pelaburan yang penting untuk Pulau Pinang kerana itu pelabur seperti GEMS Education sendiripun memilih kawasan ini untuk pelaburan dalam bidang pendidikan mereka,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Manakala, Varkey dalam ucapannya memberitahu sekolah seumpama di di sini akan menyertai lebih 100 sekolah K12 di 19 negara, meliputi Timur Tengah, Amerika Utara, Eropah hingga ke Afrika dan Asia.

Rangkaian itu, katanya lagi, terdiri lebih 250,000 pelajar dari 151 negara, di bawah didikan lebih 20,000 tenaga pendidik profesional.

“Ini merupakan satu lembaran baru dalam sejarah Kumpulan GEMS Educational, khususnya sejarah GEMS Educational di Malaysia kerana sekolah ini adalah pertama daripada sebilangan sekolah rendah dan menengan atau K-12 yang ditubuhkan di pusat bandar dan pinggi bandar di seluruh negara pada dekad yang akan datang,” jelas beliau, sambil merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri.

Manakala, Tom Collin pula dalam ucapannya berharap penubuhan sekolah antarabangsa itu mampu menyumbang pada tarikan lebih ramai pengunjung dan pelabur ke negeri ini, khususnya di daerah SPS.

Difahamkan, sekolah antarabangsa GEMS Education pertama negara ini telahpun menerima hampir 200 pelajar daripada pelajar tadika sehinggalah tahun 9 di bawah bimbingan 28 pendidik profesional.

Sekolah itu didirikan di atas tanah berkeluasan lapan ekar, berhampiran Pearl City Business Park dekat Bandar Tasir Mutiara, Simpang Empat di sini.

Pelbagai kelengkapan infrastruktur bertaraf antarabangsa di sekolah tersebut, antaranya, kemudahan ICT bersepadu, perpustakaan, teater kotak hitam, makmal sains, bilik muzik dan kesenian, studio tarian, dua dewan sukan, padang bola, gelanggang bola keranjang, gelanggang bola sepak lima sebelah dan dua kolam renang.

Selain itu, ruang pembelajaran dalaman dan luaran yang dirancang rapi di sekolah tersebut sekaligus membezakan kampus bertaraf antarabangsa itu dengan sekolah-sekolah lain di negeri ini.

Maklum balas lanjut mengenai GEMS International School of Pearl City, Pulau Pinang, layari laman www.gemsinternatinalschool-pearl.com.

RUANG pembelajaran dalaman.
RUANG perpustakaan.
PADANG bola sepak.
RUANG pembelajaran luaran untuk pelajar tadika.

Husam Musa dedah isu balak PAS Kelantan lagi...

FAKTA-FAKTA ISU PENSWASTAAN TEBANGAN BALAK KPK

Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Pengasih

(2,000 ekar setahun untuk tempoh sepuluh tahun dengan harga bersih RM 1,370 se ekar)

01. Untung bersih mengikut harga pasaran sekarang bagi setiap tan balak adalah tidak kurang dari  RM 500 se tan.

02. Kawasan KPK mempunyai 8 tan - 12 tan minima balak se ekar (Mengambil kira had tebangan).

03. Ini bermakna keuntungan bersih se ekar sepatutnya adalah di antara RM 4,000 -  RM 6,000. (RM 500 x 8 tan = RM 4,000 atau RM 500 x 12 tan = RM 6,000)

04. Dengan itu, keuntungan bersih KPK  sepatutnya di antara RM 8 juta hingga  RM 12  juta setahun (RM 4,000 x 2,000 ekar = RM 8 juta atau RM 6,000 x 2,000 ekar = RM 12 juta)

05. Bagi tempoh 10 tahun (20,000 ekar) keuntungan yang patut dijana adalah antara RM 80 juta hingga RM 120 juta.

06. Sedangkan mengikut kertas cadangan Souncern yang dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah KPK pada bulan Disember 2014, bayaran bersih se ekar yang akan dibayar kepada KPK hanyalah sebanyak RM1,372.70 sahaja. (RM 1,370 dibahagi RM 500 = 2.74 tan se ekar)

07. Adakah munasabah kawasan KPK hanya mempunyai kurang dari tiga tan se ekar??

08. Ini bermakna, keuntungan yang akan diberikan oleh Souncern adalah hanya sebanyak RM 2.7 juta setahun.

09. Mengikut kertas itu juga, Souncern mencadangkan KPK memeterai perjanjian untuk tempoh 10 tahun, melibatkan kawasan sebanyak 20,000 ekar.

10. Bagi tempoh 10 tahun keuntungan yang dijanjikan hanya sebanyak RM 27.4 juta sahaja.

11. Berasaskan perkiraan ini, KPK akan mengalami kerugian keuntungan di antara RM 52 juta hingga  RM 92 juta bagi tempoh sepuluh tahun (Tidak termasuk 30% keuntungan tambahan yang dijanjikan kerana diragui ianya boleh terjadi  atau tidak).

12. Ini belum mengambil kira kemungkinan pengeluaran sebenar adalah lebih besar, kayu yang dikeluarkan bermutu tinggi dan harga kayu akan meningkat pada masa akan datang.

13. Angka keuntungan bersih RM 500 se tan dan pengeluaran purata KPK antara 8-12 tan se ekar, saya perolehi daripada maklumat dalaman dan orang yang arif  dengan kawasan KPK dan industri kayu.

Saya dimaklumkan, 6,000 ekar pertama kawasan yang diserahkan kepada Souncern telah pun di"tagging".

Ini bermakna KPK sudah pun mengetahui nilai sebenar yang ada di dalam kawasan berkenaan.

Nilainya lebih tinggi dari tawaran yang diterima.

14. Saya difahamkan KPK tidak melantik mana-mana penilai bagi pihaknya bagi urus niaga ini.

15. Souncern pula dikatakan melantik penilainya sendiri. Nilai yang diletakkan adalah RM1,950.00 se ekar kasar.

16. Bagi urus niaga sepenting ini, adalah sangat menghairankan mengapa KPK tidak melantik satu penilai bebas untuk menilai asetnya.

17. Souncern adalah syarikat yang dimiliki oleh Sern Kou Berhad, Syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

18. Tidak ada dalam pengetahuan saya KPK diberikan tawaran  saham dalam syarikat induk Souncern iaitu Sern Kou.

19.  Semakan saya menunjukkan harga saham Sern Kou telah meningkat daripada 40 sen se saham pada akhir Disember (tarikh KPD membuat keputusan) naik kepada 69 sen sebelum ditutup pada 65 sen se saham pada Hari Raya Korban 2015 baru-baru ini.

Bermakna, syarikat berkenaan mendapat faedah yang lebih besar dari khazanah KPK.

20. Saya hairan mengapa tidak ada susunan korporat yang lebih menyeluruh di mana KPK diberikan saham dalam Sern Kou untuk mendapat faedah yang maksima dari urus niaga ini.

21. Sebagai kesimpulannya, saya masih berpendirian keuntungan bersih yang ditawarkan kepada KPK adalah sangat rendah.

22. Saya berpendirian jika tawaran terbuka dilakukan, KPK boleh mendapat keuntungan yang lebih besar.

23. Adalah menjadi tugas saya selaku Adun yang berjuang atas nama Islam untuk menjaga kepentingan terbanyak rakyat yang memberikan amanah dengan cara yang saya fikirkan berkesan untuk menghentikan amalan melepaskan khazanah Negeri Kelantan di bawah nilai pasaran secara berterusan satu demi satu sekarang.

Husam Musa
Adun Salor
15 Zulhijjah 1436/29 September 2015


Ulamak rosak punca pemerintah jahat, kata Al-Ghazali


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus