29 September 2015

Arak murah perlu undang-undang kawalan, tegas pemimpin muda non-Muslim DAP P. David Marshel

P. David Marshel semasa diwawancara di Kompleks Ibupejabat MPSP, Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

ARAK MURAH bukanlah isu baru, malah sudah menjadi sebahagian punca masalah sosial di kalangan orang miskin di negeri.

Arak murah mengakibatkan punca penyakit kanser pada otak, lidah, mulut, esofagus, larink dan pundi kencing.

Selain itu, ketagihan minuman tidak sihat itu mampu merosakkan organ hati, seperti sirosis, steatosis dan hepatitis, Ulser, gastritis, serta kecederaan otak dan masalah saraf.

Logik pengharaman arak murah demi memelihara kesihatan turut dirakamkan dalam al-Quran sendiri.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Nabi Muhammad S.A.W) tentang khamar (arak) dan judi, katakanlah (kepada mereka): pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya'." [Surah al-Baqarah 2:219]

Maka, penubuhan Gerakan Anti Arak Murah oleh P. David Marshel, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak pertengahan tahun lepas tentunya memberi persepsi baru kepada masyarakat, khususnya komuniti Melayu dan umat Islam di negeri ini.

P. David Marshel dalam suatu klip video secara sederhana memujuk rakyat Malaysia supaya menyertai Gerakan Anti Arak Murah, dengan menurunkan petisyen sokongan pada pergerakan tersebut.

“Kesedaran (bahaya arak murah) ini memang ada dalam masyarakat kita, tanpa mengira kaum atau agama.

“Saya memang tidak minum arak kerana saya tahu kemudaratannya lebih besar berbanding manfaatnya.

“Arak murah lebih besar mudarat kerana mengandungi 20 hingga 42 peratus alkohol dan lebih bahaya daripada arak biasa.

“Sebotol 150 mililiter arak murah berharga RM1.50 sahaja di tempat-tempat awam, lebih murah daripada sebobol air miniral di stesen minyak yang berharga RM2.

“Bayangkan betapa mudahnya orang-orang miskin atau mereka daripada keluarga berpendapatan rendah terjebak dengan masa ini.

“Kerana itu, pergerakan ini ditubuhan dan dibantu oleh beberapa kawan seperti M. Satees (Ahli Majlis MPSP) kerana kita (Gerakan Anti Arak Murah) mahu Putrajaya mempertimbang cadangan untuk mengharamkan penjualan arak murah di negeri ini,” jelas David Marshel semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

P. David Marshel (kanan) bersama-sama seorang lagi pemimpin muda non-Muslim DAP, M. Satees dalam satu sidang media secara lantang mendesak dihapuskan aktiviti penjualan arak murah, sama ada berlesen atau sebaliknya, pada sidang media di sini baru-baru ini.

David Marshel adalah anak jati Machang Bubok, mempunyai lima adik-beradik, dan ayahnya seorang penoreh getah.

Pernah membuka perniagaan berasaskan kayu pallet sejurus tamat pelajaran dari Sekolah Tinggi Bukit Mertajam.

Ayah kepada dua anak itu dalam rancangan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda, selepas mendapat diploma eksekutif dalam bidang perniagaan.

Kini, David Marshel dilantik menjadi Ahli Majlis sejak tahun 2013.

P. David Marshel (tiga dari kiri) dan M. Satees (dua dari kiri) bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif (empat dari kiri), Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud (enam dari kiri) serta tiga Ahli Majlis lain, A. Tiagarajen (kiri sekali), Loh Joo Huat (lima dari kiri), dan Zulkifli Ibrahim pada sidang media mempromosi Larian Sihat Membasmi Arak Murah di sini, 31 Julai lalu.

Kempen Nilai
Larian Sihat Membasmi Arak Murah pada 11 Oktober depan, yang mensasarkan 8,000 penyertaan merupakan antara projek mega David Marshel pada tahun ini, demi mengumpulkan tanda tangan sokongan pada pergerakaan kempen nilai tersebut.

“Setakat ini, lebih 23,000 tandatangan telah berjaya dikumpulkan, dan kita berharap program (seumpama) Larian Sihat Basmi Arak Murah ini boleh menyumbang ke arah sasaran 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah pada penghujung tahun ini.

“Kita berharap kempen ini membawa isyarat yang jelas, iaitu Pulau Pinang tidak perlu lagi arak murah, lesen arak murah cukuplah, tak perlu ditambah lagi kerana arak murah berbahaya.

“Daripada 369 premis menjual arak murah (likuor) yang diberikan lesen, lebih 250 adalah di pasar raya dan kedai runcit, bayangkan betapa mudahnya minuman tidak sihat ini boleh dibeli di negeri ini sendiri,” jelas David Marshel.

Cabaran
Menurut David Marshel, komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) realitinya dibatasi oleh bidangkuasa Kerajaan Pusat, sebagaimana disebut dalam perlembagaan.

Pun begitu, beliau sebagai Ahli Majlis perlu melakukan apa yang wajar menurut ruang lingkup bidangkuasa sedia ada.

“Kastam lebih berpihak kepada sumber pendapatan di atas masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat sekarang ini.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar Akta Eksais 1976, penguatkuasaan hanya boleh dilakukan oleh Kastam.

“Sebagai Ahli Majlis mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, setelah berbincang dengan YB Chow Kon Yeow, kita membawa dasar baru, apa-apa yang berada di bawah lesen arak, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak boleh diambil tindakan, hanya kastam sahaja yang boleh melakukan langkah penguatkuasaan.

“Tetapi, saya melihat Kastam lebih berpihak kepada sumber pendapatan daripada penjualan arak ini, walaupun ada kemudaratan pada sosial masyarakat.

P. David Marshel (tengah) meneliti kompaun yang dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasa MPSP dalam operasi bersepadi di sini baru-baru ini.

Komitmen MPSP
“PBT tidak boleh menguatkuasa apa-apa di bawah Akta Eksais 1976, hanya pihak Kastam yang boleh menguatkuasaan berdasarkan akta itu.

Jadi, MPSP sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melihat masalah sosial disebabkan penjualan arak secara berleluasa ini dan kita ada membuat ulasan lanjut kepada agensi persekutuan di negeri ini serta Kastam sendiri.

“Tetapi kita (MPSP) tidak boleh mengambil apa-apa tindakan disebabkan akta tersebut.

“Di bawah Enakmen, RM250, kompaun dua hingga tiga kali, kita boleh batalkan lesen premis, apabilabila kita mahu membatalkan lesen premis, maka dia tidak boleh jual arak tanpa.

“Pihak Berkuasa Tempatan memang memberi ulasan mengenai masalah sosial yang berpunca (oleh) arak murah ini, tetapi keputusan muktamad adalah daripada agensi persekutuan, iaitu Kastam dan Lembaga (Hasil Dalam Negeri).

“Mengambil kira semua itu, akhirnya kita memasukkan semua syarat-syarat yang wajar semasa lesen premis dikeluarkan, kerana MPSP mempunyai hak untuk menguatkuasa berdasarkan bidang kuasanya ke atas lesen premis yang dikeluarkan.

“Sebagai contoh, lesen arak dikeluarkan untuk jual mulai jam 7.00 pagi hingga 9.00 malam, dalam syarat lesen premis kita membenarkan perjualan arak mulai jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, untuk menghindari mereka yang terbabit meminum arak murah sebelum ke tempat kerja.

“Maksudnya, operasi kedai mulai jam 7.00 pagi, tetapi, proses perjualan mesti mulai jam 10.00 pagi.

“Dalam Akta Eksais tidak disebut jarak secara terperinci antara kedai arak dengan kawasan-kawasan larangan seperti sekolah, dan pergerakan anti arak murah ada mencadangkan sekurang-kurangnya jauh 250 meter dimasukkan sebagai syarat-syarat lesen premis di bawah suatu enakmen di DUN,” jelas beliau.

Harapan
“Saya ingat dah cukup lah, tak perlu keluarkan lesen lagi kerana dasar Kerajaan Negeri iaitu 'Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat'.

“Sihat di sini bukan sekadar joging atau bersenam, tetapi perlu dilihat secara holistik,

“Selalu saya sebut bahawa arak juga sesuatu yang buruk kepada kesihatan, maka, patutlah dilihat mengenai penjualan arak secara berleluasa ini yang jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan Negeri.

“Saya harap kempen 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah ini mampu mempengaruhi Kerajaan Negeri untuk mengubal enakmen khusus.

“Kalau boleh kita nak Akta Eksais 1976 dipinda supaya membolehkan pengharaman terus penjualan arak murah ini.

“Kempen anti arah murah perlu, penguatkuasaan menyeluruhpun perlu,” jelas David Marshel.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus