11 June 2014

Segera baiki aliran trafik ke AEON Bukit Mertajam - Khai Loon

LEE Khai Loon (duduk empat dari kiri), Tan Cheong Eng (duduk, paling kanan), Hong Leng Hong (berdiri, dua dari kanan) dan Rohaliza Harun (duduk, tiga dari kiri) pada satu sidang media di sini, petang tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK - Lampu trafik berhadapan pintu utama pasar raya AEON Bukit Mertajam dekat Jalan Rozhan akan dinyah fungsi mulai 13 Jun ini untuk satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak demi memperbaiki sistem aliran trafik di sepanjang jalan utama berkenaan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut meminta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membentangkan semula Kajian Impak Trafik (TIA) berwajib memandangkan pasar raya tersebut telahpun beroperasi.

LEE Khai Loon (kanan) dan Rohaliza Harun (kiri) saling berinteraksi mengenai pelan trafik di sekitar pasar raya AEON serta Jalan Rozhan di sini pada petang tadi

Beliau berkata demikian selepas berbincang dengan wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pasar Raya AEON sendiri.

"Banyak aduan diterima (menyebut) trafik sesak teruk pada waktu puncak, terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Saya telah meminta aliran trafik di sini segera diperbaiki, kalau boleh sebelum masuk bulan puasa (Ramadan) dan musim perayaan (Hari Raya Aidilfitri)," ujar beliau kepada pemberita pada petang tadi, sebelum meninjau kesesakan trafik di sini.

LEE Khai Loon (paling kanan), Ho Leng Hong (enam dari kiri), Micheal Tan Cheong Eng (lima dari kiri), Bernard Cheen (dua dari kiri) dan pemimpin setempat lain menunjukkan lampu isyarat di pintu masuk utama pasar raya AEON Bukit Mertajam yang akan dinyah fungsi pada Jumaat ini.

Penolong Pengurus Pasar raya AEON, Rohaniza Harun, Norhamiza Mohd. Rosli (Penolong Jurutera JKR Daerah Seberang Perai Tengah) serta dua Ahli Majlis bagi MPSP, Michael Tan Cheong Eng dan Ho Leng Hong turut menyertai perbincangan ringkas di sini.

Hadir sama, Pengasas MPSP Watch, Bernard Cheen, Mohd. Ikhwan Nasser Mohamad Isa (Pegawai Khas Lee Khai Loon), wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Taman Impian, Taman Impian Jaya, Taman Alma Jaya dan Taman Sri Kijang.

INILAH contoh kejuruteraan trafik yang tidak mesra pelanggan, hingga mendorong pengguna jalan raya membuat pusingan balik secara salah semasa keluar dari pasar raya AEON di sini.

Leng Hong pula menyesyorkan agar 1,619 petak letak kenderaan utama berdepan AEON dibuka lebih awal, demi mengelakkan pengunjung pasar raya berkenaan memilih untuk parkir di bahu jalan raya utama secara salah.

Malah, syor beliau lagi, pihak berwajib wajar menyediakan laluan melintas jalan yang lebih sempurna jika mahu memaksimakan penggunaan 222 petak parkir sementara lain milik AEON, berdekatan Kompleks MyDeport di sini.

INILAH 222 parkir sementara milik AEON berdekatan Kompleks MyDeprt yang dibuka percuma untuk kegunaan pengunjung pasar raya berkenaan serta penduduk setempat

Mengulas mengenai syor tersebut, Rohaniza menjelaskan, pihaknya memilih untuk membuka tapak parkir utama seawal jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam demi mengutamakan keperluan pekerja serta pelanggan sebenar AEON.

Bagaimanapun, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berwajib supaya isu kesesakan trafik di Jalan Rozhan yang berbangkit tersebut dapat diselesaikan segera demi kepentingan penduduk setempat.

Terdahulu, Khai Loon dalam mesyuarat penggal kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 baru-baru ini ada membangkitkan isu kesesakan trafik Jalan Rozhan.

Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan pasar raya AEON di sini mengakibatkan aktiviti peniaga kecil setempat rata-rata terjejas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bagaimanapun dalam sesi penggulungannya memberitahu, pembangunan komersial tidak semestinya menjejaskan aktiviti ekonomi setempat.

Sebagai contoh, katanya lagi, pembangunan bercampur termasuk gedung IKEA di Tapak Perindustrian Batu Kawan dekat Seberang Perai Selatan (SPS) akan turut menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Pulau Pinang.

Rekod hutang tak berbayar sifar, KPATSBB hasrat jumpa Guan Eng

ZOLKIFLY Md. Lazim (tujuh dari kiri) dan Nasoruddin Shah Mat (enam dari kiri) bergambar kenang-kenangan dengan pentadbiran serta penerima skim pinjaman mikrokredit tanpa riba KPATSBB di Ropewalk Bagan di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH - Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) Zolkifly Md. Lazim berkata, pinjaman maksimum mikro kerdit untuk anggotanya dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000 mulai tahun depan.

Menurut beliau, langkah itu berdasarkan kejayaan koperasi menguruskan skim pinjaman tanpa riba dengan sifar hutang tak berbayar (NPL) sejak dilancarkan tiga tahun lepas.

"Sehingga kini, 120 daripada 350 anggota koperasi mengambil skim ini...tiga lagi permohonan Melayu dan seorang India diluluskan pada hari ini," ujar Zolkifly pada sidang media bersama-sama Pengerusi  KPATSBB Nasorudin Shah Mat di Ropewalk Bagan,  semalam.

Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang memberitahu, hubungan sosial yang baik antara pentadbiran koperasi dan anggotanya merupakan faktor utama kejayaan NPL sifar.

"NPL boleh sifar bukan sebab (penguatkuasaan) undang-undang, tapi, malu-alah, saling mengenali dan sistem bayar balik (pinjaman) yang cukup mesra penjaja," ujar Zolkifly  yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh.

Difahamkan, skim ini diperkenalkan pada tahun 2010, selepas kejayaan mengena geran dana sebanyak RM50,000 daripada Tabung Modal Pusingan (TMP) di bawah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Manakala, proses bayar balik dilakukan tiap-tiap hari, selepas seminggu dari tarikh pinjaman diluluskan.

"Kutipan tiap-tiap hari RM10, tidak termasuk 50 sen upah kerani bagi setiap kali kutipan lebih mudah di sisi anggota koperasi yang sertai skim pinjaman tanpa riba ini," ujar Zolkifly.

Justeru, Zolkifly berkata, pihaknya berharap partisipasi Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng demi kepentingan penjaja kecil di negeri ini.

"Dengan NPL sifar yang berjaya kita capai dalam KPATSBB, kita yakin lebih ramai penjaja kecil akan turut mendapat manfaat melalui pengurusan PTSR (Pinjaman Titian Saksama Rakyat), dan, terbaru Tabung Usahawan Tani Muda," ujar Zolkifly lagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus