05 September 2013

Waris atlet sepak takraw terima sumbangan RM1,000 Exco

AFIF Bahardin (dua dari kiri) bersama-sama Pegawai Khas bagi Chong Eng, Khairul Ishak (kiri sekali) menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Soleha Omar (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh Zolkifly Md. Lazim (tiga dari kiri), Sarimah Ghazali (kanan sekali) dan dua anak arwah Fauzi Ghazali di sini, petang semalam. | Foto: Buletin Mutiara.

EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menyerah cek sumbangan RM1,000 kepada waris keluarga bekas tekong sepak takraw kebanggaan dan negeri, Fauzi Ghazali, 33.

Sumbangan itu diserah melalui pegawai khasnya Khairul Ishak dan diterima oleh balu arwah, Soleha Omar, 30.

"YB merakamkan ucapan takziah. Diharap keluarga arwah bersabar.

"Kita akan cuba menghubungi dan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan sumbangan lain untuk keluarga arwah," ujar Khairul semasa berkunjung ke rumah ibu arwah di Kampung Belah Dua dekat Permatang Pauh, petang semalam.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin turut hadir dalam majlis kunjungan kasih di kediaman arwah Fauzi.

Hadir bersama, Penasihat badan bukan kerajaan (NGO) Infak Kebajikan Ummat Takaful (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.

Mereka disambut oleh saudara kandung Fauzi, Khairul Anuar Ghazali, 40, Sarina Ghazali, 47, dan Sarimah Ghazali, 45.

Sebelum itu, Soleha melahirkan rasa sebak atas sumbangan langsung yang diterimanya.

"Sebelum meninggal, arwah ada sebut nak bina akademi takraw di sini (perkarangan rumah pusaka dekat Permatang Pauh) untuk mencari bakat baru...takraw ini macam jiwa dia.

"Saya bersyukur kerana saya senantiasa di sisi arwah sepanjang diuji dengan sakit ini, arwah meninggal di atas tangan saya," ujar Soleha yang juga suri rumah.

Difahamkan, Fauzi sejak hampir 10 bulan lepas dikesan mengidap barah jenis Non-Hodgkins Lymphoma sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.

Arwah meninggalkan lima anak kecil antara usia 10 bulan hingga tujuh tahun.

KN tubuh jawatankuasa kebajikan, keselamatan pelajar Mesir

ABDUL Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) saling berinteraksi dengan seorang mahasiswa (kiri sekali) mengenai pengalaman belajar di Mesir sebelum ini, sambil diperhati oleh Mohd. Salleh Man (dua dari kiri) di sini baru-baru ini.  | Foto: Buletin Mutiara

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau tahap keselamatan serta kebajikan anak Pulau Pinang yang melanjutkan pelajaran di Mesir, ekoran situasi tidak menentu negara tersebut belakangan ini.

"Jawatankuasa ini akan bekerjasama dan berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Wisma Putra dan Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir bagi menjamin keselamatan pelajar negeri ini di Mesir," ujar beliau dalam satu majlis di perkarangan Masjid Seberang Jaya di sini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man turut serta pada majlis itu.

Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung berkata, Kerajaan Negeri turut akan memberi khidmat sokongan kepada pelajar-pelajar yang telah pulang ke negeri ini serta tidak dapat menyambung pengajian mereka di negera tersebut.

Terdahulu, kira-kira 200 pelajar dari seluruh negara pada 28 Ogos lepas sekitar jam 5.50 pagi dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka menyertai penerbangan khas Air Asia dari Kaherah, Mesir.

Dari jumlah itu, seramai 30 anak Pulau Pinang dibawa pulang dengan sebuah bas khas serta disambut dalam satu majlis sederhana oleh Kerajaan Negeri, di sini.

Abdul Malik berkata, seramai 56 anak Pulau Pinang lain direkodkan memilih untuk tidak pulang serta meneruskan pengajian seperti biasa di Mesir, sekarang.

Tambah beliau, waris pelajar-pelajar berwajib boleh menghubungi jawatankuasa di talian 04-2637200 / 013-4057719 / 018-4696634 untuk mendapatkan info lanjut mengenai insiatif berwajib ini. 

Kreativiti, inovasi pelajar kunci kejayaan - Hon Wai

WONG Hon Wai (lima dari kiri) menyempurna majlis perasmian pembukaan Pameran Graduasi Akademi Seni Equator, di sini baru-baru ini.

PELAJAR Akademi Seni Equator Pulau Pinang dinasihat supaya lebih berfikiran kreatif, kritis serta inovatif jika mahu berjaya dalam dunia kerjaya profesional kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata demikian semasa berucap pada majlis Pameran Graduasi Akademi Seni Equator, George Town.

“Pelajar seni dan reka bentuk mempunyai masa depan yang cerah kerana dunia kini bergerak menuju inovasi.

“Saya percaya (Akademi Seni) Equator sudah memberi asas yang kukuh untuk menempuh cabaran seterusnya dengan penuh keyakinan,” ujar beliau baru-baru ini.

Menurut beliau, golongan pelajar sekarang kian berminat untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan seni dan reka bentuk, berbanding era 1980-an yang secara umumnya menyaksikan mereka lebih berminat pada jurusan sains dan perakaunan serta bidang-bidang profesional lain.

Sebelum itu, pengetua akademi berkata, pihaknya senantiasa berusaha membentuk serta merangka program akademik khusus yang sesuai dengan keperluan industri pasaran masa kini.

Itu, katanya, termasuk pendedahan mengenai falsafah akademi yang menggabungkan latihan tradisional dan konsep kontemporari lengkap dengan aplikasi perisian komputer moden demi meningkatkan bakat pelajar-pelajar akademi sebelum menempuh alam kerjaya.

“Saya ingin menasihati generasi baru yang bakal memasuki alam pekerjaan, diharap dapat mempelajari dan memperoleh pengalaman kerja dan pengetahuan, bukan sahaja mengharapkan gaji yang tinggi," ujar beliau.

Astronomi prospek pelancongan Bukit Bendera - Ahli Akademik USM

CHONG Hon Yew (kanan sekali) melancarkan salah satu roket air di sini baru-baru ini.

KAWASAN peranginan Bukit Bendera mungkin bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan pilihan, bahkan, mempunyai prospek terbaik bagi aktiviti berkaitan asronomi kelak.

Penasihat Kelab Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Chong Hon Yew mencadangkan demikian pada satu program lawatan pelajar-pelajar sekolah di puncak Bukit Bendera.

“Kebanyakkan acara (astronomi) seperti ini sebelum ini banyak tertumpu di Pulau Langkawi (Kedah), tetapi, bagi saya, Pulau Pinang mempunyai prospek terbaik (seperti di) Bukit Bendera untuk menjalankan aktiviti seperti ini,” ujar Ahli Akademik berkenaan baru-baru ini.

Wakil Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Baharin Annuar Abu Bakar berkata, cadangan Hon Yew itu sekaligus akan meningkatkan lagi kadar pelancong ke kawasan tanah tinggi tersebut.

“Acara (astronomi) seperti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke Bukit Bendera," ujar Baharin Annuar yang juga Pengurus Promosi dan Pemasaran, PBBPP.

Beliau berkata demikian semasa Bukit Bendera baru menerima kehadiran pelancong paling tinggi pada hari kedua raya Aidilfitri lepas, iaitu seramai 10,301 pengunjung.

Angka itu, sekaligus, memecah rekod kunjungan pelancong sejak Bukit Bendera mula dibuka pada tahun 1923.

Sebelum itu, Hon Yeow memaklumkan bahawa pelajar-pelajar yang menyertai program kendalian kelabnya berpeluang bermalam serta mencerap bintang, bulan dan meteor menggunakan 10 unit teleskop milik USM dari puncak pusat peranginan Bukit Bendera.

Tambah beliau, pelajar-pelajar berkenaan turut berpeluang menyertai demontrasi melancarkan satu roket air, di sini. 

Exco cadang JKKK anjur program cegah biak aedes

EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mencadangkan semua 291 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini supaya menganjurkan program cegah pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai mengenai dua kes kematian tahun ini berbanding satu kematian pada tahun lepas yang direkodkan berpunca oleh wabak denggi.

"Perkara ini agak membimbangkan kerana mencatatkan peningkatan 100 peratus (bilangan kematian)," ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu bagaimanapun berkata, laporan Jabatan Kesihatan Negeri sehingga minggu ke-34 tahun ini yang dipetik menyaksikan penurunan 12.3 peratus kes berkaitan denggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pun begitu, katanya lagi, kes denggi yang direkodkan dalam tempoh dua minggu baru-baru ini menyaksikan peningkatan.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang mengalami demam, sakit-sakit sendi, hilang selera makan, muntah dan ruam supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan lanjut di hospital atau klinik kesihatan berdekatan.

Tidak cukup dengan ini, beliau berkata, Unit Kawalan Vektor Negeri akan menjalankan preventive fogging di lokasi-lokasi yang dikenal pasti bahaya dek wabak denggi. 

Malaha, beliau berkata, mereka yang dikenal pasti sebagai penyebab pada pembiakan nyamuk aedes bakal berdepa dengan kompaun maksimum RM500 hatta RM10,000 bagi kesalahan sama yang berulang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Flat Seri Delima di Daerah Barat Daya dan Lebuh Sungai Pinang 1, George Town dekat Timur Laut dikenal pasti sebagai dua lokasi aktif wabak denggi dengan empat kes direkodkan baru-baru ini.

Berikut adalah senarai kawasan sensitif wabak denggi:
  1. Taman Sri Damai, Batu Lanchang
  2. Taman Sri Pinang / Flat PPR Jalan Veterinari
  3. Island Park / Jalan Gangsa
  4. Taman Berjaya, Pulau Tikus
  5. Desa Mawar, Ayer Itam
  6. Taman Tun Sardon, Gelugor
  7. Perumahan Kastam, Gelugor 
  8. Sri Ivory, Ayer Itam
  9. Jalan Choong Lye Hin, Tanjong Tokong
  10. Gold Coast Condo, Persiaran Bayan Indah
  11. Bandar Baru Teluk Kumbar
  12. Kampung Tersusun Sungai Ara
  13. Gerbang Sungai Ara
  14. Taman Chai Leng, Perai
  15. Taman Emas, Perai
  16. Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya
  17. Lorong Tenggiri, Seberang Jaya
  18. Casa Prima, Seberang Jaya

Buka tender urus memmogram percuma hingga 30 Sept.

ALAT Memmografi.
KERAJAAN Negeri baru mengumumumkan tender terbuka kepada mana-mana hospital swasta, klinik-klinik atau pusat kesihatan yang berminat untuk bersama mengendali Program Pemeriksaan Mammogram Percuma di egeri berkenaan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, tender itu ditawarkan sehingga 20 September depan sahaja.

"Kerajaan Negeri berharap program ini dapat meningkatkan kualiti kesihatan kaum wanita di negeri ini dengan slogan 'Sayangi Wanita Pulau Pinang'," ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) turut hadir pada sidang media itu.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, makluman penuh tawaran tender tersebut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Kerajaan Negeri.

Tambah beliau, Briged Wanita melalui Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Khidmat Penyelaras DUN (KADUN) akan memainkan peranan penting bagi menjayakan salah satu janji Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

"Amalan pemerintahan yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah mengukuhkan lagi kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.

"Hasil penjimatan ini dikongsi dan dimanfaatkan bersama seluruh rayat Pulau Pinang tanpa mengira agama, bangsa atau faham politik," ujar beliau. 

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus