Skip to main content

Exco cadang JKKK anjur program cegah biak aedes

EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mencadangkan semua 291 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini supaya menganjurkan program cegah pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai mengenai dua kes kematian tahun ini berbanding satu kematian pada tahun lepas yang direkodkan berpunca oleh wabak denggi.

"Perkara ini agak membimbangkan kerana mencatatkan peningkatan 100 peratus (bilangan kematian)," ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu bagaimanapun berkata, laporan Jabatan Kesihatan Negeri sehingga minggu ke-34 tahun ini yang dipetik menyaksikan penurunan 12.3 peratus kes berkaitan denggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pun begitu, katanya lagi, kes denggi yang direkodkan dalam tempoh dua minggu baru-baru ini menyaksikan peningkatan.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang mengalami demam, sakit-sakit sendi, hilang selera makan, muntah dan ruam supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan lanjut di hospital atau klinik kesihatan berdekatan.

Tidak cukup dengan ini, beliau berkata, Unit Kawalan Vektor Negeri akan menjalankan preventive fogging di lokasi-lokasi yang dikenal pasti bahaya dek wabak denggi. 

Malaha, beliau berkata, mereka yang dikenal pasti sebagai penyebab pada pembiakan nyamuk aedes bakal berdepa dengan kompaun maksimum RM500 hatta RM10,000 bagi kesalahan sama yang berulang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Flat Seri Delima di Daerah Barat Daya dan Lebuh Sungai Pinang 1, George Town dekat Timur Laut dikenal pasti sebagai dua lokasi aktif wabak denggi dengan empat kes direkodkan baru-baru ini.

Berikut adalah senarai kawasan sensitif wabak denggi:
  1. Taman Sri Damai, Batu Lanchang
  2. Taman Sri Pinang / Flat PPR Jalan Veterinari
  3. Island Park / Jalan Gangsa
  4. Taman Berjaya, Pulau Tikus
  5. Desa Mawar, Ayer Itam
  6. Taman Tun Sardon, Gelugor
  7. Perumahan Kastam, Gelugor 
  8. Sri Ivory, Ayer Itam
  9. Jalan Choong Lye Hin, Tanjong Tokong
  10. Gold Coast Condo, Persiaran Bayan Indah
  11. Bandar Baru Teluk Kumbar
  12. Kampung Tersusun Sungai Ara
  13. Gerbang Sungai Ara
  14. Taman Chai Leng, Perai
  15. Taman Emas, Perai
  16. Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya
  17. Lorong Tenggiri, Seberang Jaya
  18. Casa Prima, Seberang Jaya