18 October 2017

Bagaimana Menangani Isu Pengangguran Warganegara?

PENULiS di pejabat, Komtar.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob

#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial 


Wacana Ekonomi | Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Kerajaan Persekutuan sedia pertimbang syor pengambilan 100 peratus buruh asing yang diperlukan kilang di tanah air ini, lapor Sinar Harian pada 10 Oktober 2017.


Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Sdr. Faiz Fadzil pula dalam reaksi spontan menganggap hasrat Kerajaan Persekutuan itu akan parahkan lagi masalah pengangguran yang membabitkan warganegara, lapor portal berita atas talian Malaysiakini pada 12 Oktober 2017.


Umum mengetahui bahawa kerahan buruh asing dalam sektor pembuatan dan kilang, antaranya kerana kos buruh yang lebih murah. 


Di Pulau Pinang pun ada begitu banyak kilang menggunakan buruh asing dengan kadar upah termurah.


Hatta, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sendiri pun pernah mempertimbang syor mewujudkan kawasan penempatan khusus untuk pekerja bukan warganegara.


Hasrat pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sebenarnya murni, demi mengekalkan ketenteraman komuniti setempat berstatus warganegara, di Pulau Pinang. 


Di Macallum, pernah saya bertanya kepada beberapa warganegara - mengapa tidak sanggup bekerja di kilang yang majoritinya adalah buruh asing?


Rata-rata memberi dua alasan. Pertama, mereka tidak selesa jika iklim di kilang sesak dengan buruh asing.


Kedua dan faktor major adalah kos upah buruh yang begitu murah - kurang daripada RM1,000 sebulan, sebenarnya.


Mereka yang saya bertanya ini semuanya adalah graduan universiti awam. Tentulah mengimpikan gaji pokok bulanan sekurang-kurangnya RM1,800 sehingga RM2,500 untuk hidup selesa di George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.


Salah seorang responden, pemegang ijazah dalam bidang senibina dari Universiti Malaya memberitahu saya, “daripada menjadi pekerja kilang lebih 8 jam sehari, lebih berbaloi menjadi guru tuisyen secara sambil dengan upah yang lebih lumayan kira-kira RM2,000 sebulan.” 


Ini, maklum balas secara rawak.


Naikkan Levi Buruh Asing?


Ini, cadangan seorang kawan.


Boleh lah Kerajaan menaikkan levi buruh asing sehingga 49 peratus, untuk meregulasi sektor pembuatan supaya tidak begitu mengerah lebih ramai pekerja asing dengan kos upah buruh yang lebih murah.


Kerana, kenaan cukai yang lebih tinggi oleh Kerajaan antara tujuannya adalah menyusun semula jurang sosial agar lebih sihat.


Kenaan levi buruh asing yang tinggi akan mendorong pengambilan semula pekerja daripada kalangan warganegara, dan mungkin juga sebaliknya.


Ini kerana, kebiasaannya pemilik kilang tidak akan menyerap semua kos kenaan levi yang tinggi ini, melainkan ditanggung secara tidak langsung oleh pekerja buruh asing itu sendiri.


Jika ini terjadi, ertinya kenaan lebih tinggi kadar levi buruh asing seakan tidak menelurkan kejayaan secara holistik, selagi buruh asing sanggup dikerah bekerja di tanah air ini.


Paling membimbangkan, warganegara sendiri masih enggan mengisi peluang pekerjaan yang dikosongkan oleh buruh asing, kerana majikan terpaksa menawarkan kos upah murah yang sama - antara RM890 hingga RM1,000 sebulan.


Kalau ditanya, tentu pemegang ijazah sarjana muda senibina tadi akan terus memilih menjadi guru tuisyen kerana hasilnya lebih lumayan, RM2,000 sebulan.


Ertinya, kenaan levi buruh asing yang lebih tinggi sebenarnya tidak menyelesaikan isu pengangguran warganegara secara holistik.


Setuju? Jawapannya, tentu Ya!


RM1,500 Gaji Minimum?


Faiz Fadzil yang berkata Pakatan Harapan berhasrat menaikkan gaji minimum menjadi RM1,500 sebulan, lapor Malaysiakini pada 12 Oktober 2017.


Sebenarnya hasrat itu boleh direalisasikan oleh mana-mana parti yang mempunyai majoriti sokongan dalam Parlimen serta menguasai Kerajaan Persekutuan.


Pun begitu, upah buruh minimu setinggi RM1,500 sebulan ini mampu dilaksanakan oleh pemodal industri jika produktiviti sektor pembuatan kian berkembang dan sihat.


Jika produktiviti kilang di takuk yang sama, regulasi undang-undang sebegitu bukan sahaja akan membebankan pemodal industri, bahkan mungkin akan memaksa mereka memindahkan operasi kilang ke negara-negara jiran yang menawarkan upah buruh yang lebih berpatutan. 


Senario sebegini, secara implisit bukan sahaja menguncupkan lagi saiz pelaburan sektor pembuatan negari dan negara.


Malah, pemegang ijazah sarjana muda senibina tadi tentu sanggup menjadi guru tuisyen dengan hasil pendapat bulanan RM2,000 berbanding pekerja kilang dengan kos upah yang sama dan murah.


Ertinya, gaji minimum RM1,500 ini sebenarnya seakan tidak menyelesaikan isu pengangguran warganegara secara holistik.


Setuju? Jawapannya, tentu Ya!


Materialisme, bukan retorik kosong!


Hari ini, Pakatan Harapan mendesak rejim kleptokrasi supaya melaksanakan gaji minimum RM1,500, atau juga kenaikan levi buruh asing ini.


Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kalau Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan ditubuhkan kelak pun, percayalah bahawa isu pengangguran warganegara ini tetap di takuk yang sama.


Di takuk sama, disebabkan sektor pembuatan dan pengilangan sedia ada ini adalah dalam struktur ekonomi yang lama - produktiviti tidak meningkat berlipat kali ganda, tapi upah buruh dituntut tinggi.


Maka, struktur ekonomi yang lama ini tidak boleh menawarkan kos upah buruh yang lebih tinggi, seperti yang disebut sebelum ini.


Memerah pemodal untuk membayar upah buruh yang lebih tinggi kepada warganegara ketika jumlah produktiviti pada takuk sama, dalam struktur ekonomi lama ini, sama lah seperti memaksa ayam jantan bertelur seekor anak babi. 


Hampir mustahil!


Industrilisasi Kapital?


Perlu struktur ekonomi yang baharu, antaranya Kerajaan sama ada peringkat persekutuan atau negeri atau tempatan mengambil bahagian melaksanakan program pemodalan besar-besaran (industrialization capitalsm) di tanah air ini.


Dalam struktur ekonomi baharu ini mestilah secara material dan ternyata boleh dipegang; bukan lagi retorik kosong seperti “ekonomi akan pulih jika rejim kleptokrasi jatuh di PRU14!”


Justeru, Pakatan Harapan tidak salah untuk menimba pengalaman progresif daripada beberapa projek infrastruktur awam negara, yang telahpun berjaya dilaksanakan oleh rejim kleptokrasi hari ini.


Contohnya, projek fasa II MRT Kajang dengan kos kira-kira RM21 bilion.


RM21 bilion itu adalah hutang korporat, dan tidak direkodkan sebagai hutang terkumpul persekutuan. 


Kerana, Kementerian Kewangan menubuhkan 'syarikat RM2' bernama Dana Infra Limited Co. dan firma milik 100% persekutuan itulah yang menerbitkan Bon Jaminan Kerajaan, untuk satu lagi syarikat subsidiari Pusat bernama Prasarana sendiri membina projek MRT tersebut.


Ertinya, projek infrastruktur awam itu siap dibina tanpa menambah angka hutang Kerajaan Persekutuan.


Jangan percaya bahawa Malaysia akan bankrap jika hutang terkumpul negara (dalam Ringgit Malaysia) melebihi siling 55 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Banyak negara di dunia begitu dinamik dengan membesarkan saiz ekonomi dengan membina begitu banyak peojek infrastruktur awam rakyat melalui hutang korporat, seperti projek fasa II MRT Kajang ini, kerana mereka tidak percaya negara akan bankrap jika kerajaan berbelanja lebih dalam mata wang negara.


Untuk rekod, badan dunia ASEAN Corporate Watch pada 26 November 2015 mendedahkan 257 peratus hutang korporat Singapura berbanding GDP negara bagi tahun 2014 merupakan angka paling tinggi di dunia.


Pada tahun 2017, adalah Singapura telahpun bankrap disebabkan pemerintah negara ini industrilisasi ini, dengan melaksanakan program-program infrastruktur pengangkutan awam atau ‘pemumahan mampu sewa selesa’?


China yang lebih terkehadapan dalam melaksanakan industrilisasi kapital pun, peratus hutang korporat per GDP tidak setinggi Singapura. 


Hutang korporat China berbanding GDP adalah 166 peratus. China bankrap?


Untuk rekod, Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 mendedahkan hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM648.475 bilion dan menyamai 52.7% KDNK 2016, lapor akhbar The Edge pada 27 Mac 2017 lalu.


Sumber sama turut mendedahkan 'corporate debt to GDP' Malaysia adalah kira-kira 107.9 peratus atau berjumlah RM1.3624 trilion.


Masih percaya Malaysia akan bankrap jika hutang terkumpul Pusat atau hutang korporat melebihi 55 peratus berbanding GDP?


Solusi? 


Kenapa industrilisasi kapital ini boleh menangani isu pengangguran warganegara?


Secara materialisme, mari kita kembali melihat kejayaan projek fasa II MRT Kajang ini.


Projek itu tentulah memerlukan jurutera, juruteknik, jurunilai, pegawai perkhidmatan, khidmat guaman dan banyak lagi, dengan upah buruh yang lebih tinggi.


Semua peluang pekerjaan ini sudah tentu perlu diisi oleh warganegara, khususnya lepasan Universiti Awam seperti pemegang ijazah sarjana muda senibina tadi.


Jika Pakatan Harapan melihat peri penting industriliasi ini, tentulah mereka akan mengemukakan lebih banyak lagi program-program infrastruktur negara, untuk menggamit sokongan rakyat. 


Bukan sekadar berhimpun atas nama “anti-kleptokrasi”. Mesti ada manifesto yang material!


Pakatan Harapan juga tidak akan menentang projek ECRL melibatkan kerjasama bilateral dengan China, kerana syarikat-syarikat berkaitan kerajaan Malaysia yang terlibat dalam projek itu majoritinya adalah warganegara dan profesional Melayu.


Melawan projek ECRL atau fasa III MRT kelak, ertinya Pakatan Harapan mengajar tenaga mahir berbangsa Melayu sendiri untuk kembali menyokong rejim kleptokrasi pada PRU14. Ini mungkin tidak semua kita nampak.


Patut Pakatan Harapan mengemukakan dasar industrilisasi kapital seperti melaksanakan sendiri Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai RM47 bilion di Pulau Pinang, melalui birokrasi kewangan yang lebih dinamik - terbit hutang korporat umpamanya.


Tidak cukup dengan itu, Pakatan Harapan juga berjanji untuk melaksanakan program ‘perumahan mampu milik selesa’ dengan birokrasi kewangan yang dinamik.


Cadangkan penubuhan bank-bank pembangunan 100 peratus dikuasai oleh syarikat berkaitan kerajaan, untuk menyokong serta merealisasikan semua projek pembangunan infrastruktur awam tersebut.


Tegaskan kepada semua lapisan rakyat di seluruh negara bahawa semua projek infrastruktur pengangkutan awam serta program ‘rumah mampu sewa selesa’ ini tentu memerlukan lebih banyak tenaga mahir berstatus warganegara, seperti rekod pengambilan begitu banyak warganegara untuk siapkan projek fasa II MRT Kajang sebelum ini.


Ertinya, manifesto projek infrastruktur awam yang dikemukakan Pakatan Harapan ini ada kepentingan secara material untuk disokong oleh rakyat.


Nampak tak secara material (bukan retorik politik kosong) - bagaimana solusi isu pengangguran warganegara?


END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus