13 January 2016

Air empangan tahan 100 hari, PBAPP harap mampu depani El Nino 'kuat' tanpa catuan

JASENI Maidinsa.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - El Nino 'kuat' yang turut melanda Pulau Pinang mungkin mampu didepani tanpa catuan air, jika keadaan kemarau pada kali ini adalah sama dengan fenomena yang pernah melanda negeri pada tahun 2014 dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Belakan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato' Ir. Jaseni Maidinsa bagaimanapun berkata, status amaran tetap diumumkan pada hari ini, supaya kepenggunaan bekalan air bersih lebih cermat.

"Empangan ini, kita (PBAPP) reka bentuk untuk menadah air selama 100 hari, jadi, sampai bulan April kita (Pulau Pinang) boleh bertahan.

"Selalunya hujan akan kembali turun pada hujung bulan Mac ini," jelas Jaseni pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini, petang tadi.

Hadir sama, Exco Perancagan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

(Dari kiri) JAGDEEP Singh Deo, Ketua Menteri dan Jaseni Maidinsa pada sidang media di sini, petang tadi.

Sehingga hari ini, Jaseni menjelaskan kapasiti air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada dalam keadaan 'sihat', dengan masing-masing pada tahap 87.6 peratus dan 83.2 peratus.

Ujarnya lagi, Empangan Mengkuang pula masih dalam proses pemajuan.

Katanya lagi, paras air di Sungai Muda yang direkodkan setinggi 2.53 meter pada hari ini membolehkan proses menimba air ke Empangan Mengkuang seperti biasa.

Difahamkan, fenomena El Nino 'kuat' mengakibatkan suhu melambung setinggi 40 darjah Celcius, sekarang.

Manakala, insiden terakhir hujang pada 29 Disember tahun lalu mencatatkan taburan 31.0 milimeter air di Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang (38 milimeter) dan Empangan Mengkuang (17 milimeter).

"Dua tahun lalu, semasa musim kemarau panjang pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014 melanda negeri ini, jumlah taburan hujan hanya 83.0 milimeter di Empangan Air Itam, 70.0 milimeter di Empangan Teluk Bahang dan 115.0 meter di Empangan Mengkuang," jelas Jaseni.

Tanam semula anak pokok bakau pulihara ekosistem marin, kata P. Ramasamy

SEORANG pekerja MPSP dilihat meneliti keadaan anak pokok bakau yang baru ditanam di sini, baru-baru ini.

PERAI – Sepanjang tebing Sungai Perai wajar dipulihara dengan penanaman semula anak pokok bakau, demi memelihara ekosistem marin di sini pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof P. Ramasamy berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penanaman Semula 530 Anak Pokok Bakau di perkarangan Tingkat Perusahaan 4A, Perai.

"Ini kerana, hutan persisiran muara sungai mempunyai habitat kepada kehidupan laut serta lanskap semula jadi yang berpotensi menjadi tarikan pelancong," jelasnya Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai kepada wartawan baru-baru ini.

P. Ramasamy (duduk, kanan) menanam salah satu anak pokok bakau pada Majlis Penanaman Pokok Bakau di sini baru-baru ini.
Justeru, beliau yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi memuji kerjasama antara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menjayakan projek penanaman semula anak pokok bakau itu.

Sebelum itu, Ahli Majlis, M. Satees dalam ucapannya memberitahu bahawa projek kehijauan tersebut menelan belanja kira-kira RM6,630.

Hadir sama, Ketua Jabatan Lanskap MPSP, Shaqhrony Md. Yusoff serta dua Ahli Majlis lain, P. David Marshel dan Tan Cheong Heng.

Difahamkan, dua spesis anak bakau di tanam di sini, iaitu bakau minyak dan bakau api-api di sini.

POKOK bakau kurap merupakan salah satu spesis anak bakau yang ditanam di persisiran muara sungai Tingkat Perusahaan 4A, Perai.

Anak pokok tin gamit pengunjung ke Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora

PENGGEMAR orkid sedang memilih pokok di salah sebuah gerai jualan di sini baru-baru ini.  | Gambar: Internet.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

MACHANG BUBUK - Anak pokok tin antara ribuan spesis tumbuhan yang dijual di Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora 2015 di hadapan pasar raya Tesco Alma di sini baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata beliau sendiri tidak sangka bahawa pokok tin yang turut disebut dalam Al-Quran rupa-rupanya begitu menggamit perhatian pengunjung ke karnival itu.

"Buah tin mungkin kita pernah makan sama ada semasa ia dibawa pulang ke tanah air, atau semasa kita mengerjakan haji.

"Tetapi, pokok tin mungkin jarang kita dapat lihat, walaupun kita yang melazimi bacaan Al-Quran seringkali bertemu dengan Surah At-Tin," jelas Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Beliau yang juga ADUN Pantai Jerejak turut menjelaskan  mengenai falsafah Al-Quran menyebut mengenai buah tin dan zaitun, serta hubungan antara Bukit Tursina dan Makkah yang menjadi tempat hidupnya kedua-dua pokok itu.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk dalam ucapannya merakamkan penghargaan kerana diberi peluang terlibat dalam penganjuran karnival tersebut.

"Tidak lupa juga kepada pihak MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah yang banyak membantu kami mengadakan ekspo ini,” katanya.

Difahamkan, karnival yang  berlangsung selama hampir 14 hari sehingga 31 Disember 2015 itu adalah anjuran MMK Keusahawanan, langsung di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri sendiri.

Selain bunga orkid dan anak pokok tin, buah-buahan segar, pameran ular serta pakaian turut dijual di sini.

Pemilik gerai buah-buahan, Azizi Ismail memberitahu kebanyakan orang percaya bahawa pokok tin sukar ditanam, namun hakikatnya ia mempunyai kaedah tersendiri dari segi penjagaannya.

“Memang kalau nak diikutkan cara penjagaannya berbeza daripada tanaman lain, tapi bila kena dengan caranya Insya-Allah ia akan berhasil,” katanya.

Katanya lagi, anak pokok Tin boleh dijual dengan harga  antara RM100 hingga RM150 sepokok, tetapi boleh dibeli dengan harga yang lebih murah di karnival tersebut.

Tin juga dikenali sebagai Ara atau nama saintifiknya, 'Ficus carica L'.

Tin  adalah sejenis tumbuhan penghasil buah-buahan yang dapat dimakan, berasal dari Asia Barat, dengan buahnya bernama sama.

Nama "Tin" diambil daripada bahasa Arab.

Belumpun TPPA dimeterai, tiada RM2 subsidi beras runsingkan pembekal Melayu?

Gambar hiasan. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

TASEK GELUGOR - Ura-ura subsidi beras kategori SST 5 peratus hancur tidak lagi diberikan kepada pembekal beras kecil-kecilan Bumiputera di Pulau Pinang,  sungguhpun Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) masih belum dimeterai sepenuhnya oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber, yang mahu dikenali sebagai "Lan Beliak" memberitahu, beliau sendiri runsing dengan isu berbangkit ini. 

"Sungguhpun harga pasaran masih dalam RM26 untuk beras kategori ini, harga kilang dinaikkan daripada RM21 (RM21.70) kepada RM23 kepada pembekal Melayu macam kami.

"Ertinya, tiada lagi subsidi kira-kira RM2 untuk tiap-tiap kampit beras 10 kilogram SST 5 peratus ini," jelas sumber.

Seorang lagi pembekal beras Bumiputera memberitahu pihaknya sendiri tidak pasti sama ada kenaikan harga borong ini berpunca oleh spekulasi pengilang padi atau subsidi berwajib benar-benar ditarik balik oleh Kerajaan Pusat.

"Saya tidak pasti, tetapi dengan keadaan kos operasi yang makin banyak, untung kasar yang lebih kecil memang dirasai.

"Seperti saya yang mengedar lebih kurang 10,000 beg (kampit beras), ertinya untung kasar (bulanan) saya berkurang RM20,000, jika purata (tanpa subsidi) RM2 ini," jelas sumber, peranakan Kelantan tetapi lama bermastautin di Tanjung.

Berkali-kali dilaporkan, Kerajaan Pusat memberitahu bahawa  TPPA tidak akan menjejaskan Dasar Padi & Beras Negara.

Menerusi TPPA, Datuk Mustafa Mohamad sendiri dilaporkan berdalih bahawa negara yang menyertainya diminta untuk memansuhkan duti import ke atas beras ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut berdalih, syarat yang dikenakan ke atas negara anggota TPPA sama sekali tidak menjejaskan Malaysia, berikutan negara ini sememangnya tidak mengamalkan duti import ke atas beras dari luar.

“Dalam TPPA, mereka nak kita mansuhkan duti import pada beras. Kita rasa ia tidak menjadi masalah berikutan mereka minta suatu perkara yang memang sudah kita buat.

“Ini kerana di negara ini, tiada sebarang duti import dikenakan apabila BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) membeli beras," katanya ketika Majlis Taklimat TPPA di Wisma Darul Aman, lapor Harian Metro.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim yang ditemui kemudian memberitahu bahawa Kerajaan Pusat sendiri perlu menjernihkan isu berbangkit tersebut.

"Tidak mungkin TPPA punca subsidi beras RM2 yang selama ini dinikmati oleh pembekal ditarik balik oleh Kerajaan Pusat kerana perjanjian antarabangsa itu masih dirahsiakan serta belum dimuktamadkan lagI. 

"Khabarnya (Perdana Menteri Malaysia memeterai TPPA) bulan Februari ini di New Zealand.

"Mungkin ya (tiada subsidi RM2), mungkin tidak kerana Najib sendiri ada menyatakan hasrat untuk semak semula Bajet 2016 yang telahpun diluluskan hujung tahun lalu (2015)...dia boleh jelaskan isu ini," jelas Zolkifly yang juga Ketua Kawasan AMANAH Parlimen Balik Pulau.

Zolkifly yang juga Pengasas NGO Muslim Economy Culture Affair (MECA) turut menyanggah dalih Mustafa, kononnya TPPA tidak menjejaskan kepenggunaan beras negara.

"Import beras dari Amerika Syarikat memanglah 0.23 peratus pada tahun 2013 dan 0.05 peratus pada tahun 2014, secara angkanya.

"Tanpa duti import pun, harga beras dari Amerika Syarikat RM9 hingga RM12 sekilogram, berbanding beras tempatan RM3 hingga RM4.

"Tetapi, perlu diingatkan Amerika Syarikat tidak mempunyai masalah daripada segi kewangan untuk membekalkan beras dengan harga yang lebih murah (serta) dalam kuantiti yang lebih besar dari itu, kerana TPPA seakan 'lesen masuk' ke Malaysia.

"Lagipun pentadbiran Najib yang mengamalkan rasionalisasi subsidi, sebenarnya usaha menghapuskan subsidi, tidak mungkin sanggup memperuntukkan subsidi yang lebih besar, untuk menghadapi lambakan beras import nanti," jelasnya lagi.

Memetik sumber, Najib berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key semasa mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 di sini.

Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama yang dilihat 'berdiam diri' dalam banyak skandal kewangan membabitkan pentadbiran Najib akan menjadi hos majlis tandatangan perjanjian itu.

Dikatakan, negara-negara yang terlibat TPP menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan ketiga kepada perdagangan global, dan Malaysia adalah antara yang terkecil mempunyai lebihan dagangan.

Manakala, APEC terdiri daripada 21 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Daripada 21 negara itu, 12 negara terlibat dengan TPP. Anggota APEC yang tidak terlibat dengan TPP ialah China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Taiwan dan Thailand.

Co-Op Bank Persatuan keluar zakat perniagaan RM454,713.40

TUN Abdul Rahman Abbas (tengah) diiringi Mohd. Rashid Hanson  (kanan) menerima cek replika zakat perniagaan  Co-Op Bank Persatuan daripada Yusra Sabar (kiri) di kediaman rasmi Seri Mutiara di sini baru-baru ini. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATO' KERAMAT - Koperasi Co-op Bank Persa­tuan Malaysia Berhad (Co-op Bank Persatuan) baru-baru ini mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM454,713.40 bagi haul 2015.

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar menyampai zakat tersebut kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP), melalui Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr.  Abdul Rahman Abbas di kediaman rasmi Seri Mutiara pada 30 Disember 2015.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hanson dan Dato' Mohd. Salleh Man (Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang turut menyaksikan majlis melafazkan serta serta penyerahan zakat korporat itu. 

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah ZPP, Dato' Dr. Mustaffa Kamal Yusof.

Difahamkan,  ibupejabat bank koperasi itu di Taman Selat, dekat Rope Walk Bagan, Butterworth

Baru-baru ini, bank koperasi itu baru-baru ini dilaporkan sedang giat mengembangkan operasinya ke seluruh negara termasuk pembukaan cawangan ke-18 di Kuala Terengganu.

Yusra dilaporkan melahirkan rasa optimis bahawa bank koperasi itu meraih keuntungan mencecah RM100 juta, dengan bayaran dividen 10 peratus menjelang tahun 2020.

Ketika ini, Co-op Bank Persatuan membayar dividen enam peratus dengan keuntungan yang dicapai berjumlah RM30 juta, dan bank berkonsepkan koperasi itu dikatakan mampu mencapai keuntungan maksimum.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus