03 June 2015

P.Pinang tubuh 'badan bertindak' bantu 6,000 staf MAS hilang kerja, umum Guan Eng

P. Ramasamy (kiri) akan mengetuai Badan Bertindak Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Staf MAS Yang Diberhentikan Kerja, umum Lim Guan Eng kepada wartawan di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menubuhkan badan bertindak demi membantu kira-kira 6,000 kakitangan yang baru menerima surat pemberhentian kerja daripada Penerbangan Malaysia (MAS) mendapatkan pekerjaan yang baru di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, badan bertindak yang ditubuhkan di bawah Career Asistance and Telant Centre (Penang CAT) turut menawarkan khidmat nasihat guaman secara sukarela kepada mereka yang berhasrat untuk mendapatkan pembelaan sebagai pekerja di mahkamah.

"Ini, sama ada untuk memastikan hak mereka terus terjamin atau untuk mencari pekerjaan yang lain di negeri ini supaya mereka boleh terus menyara keluarga mereka.

"Tentulah pekerja-pekerja ini adalah yang terbaikan, sebab itu diambil bekerja dengan MAS, dan tak perlulah saya sebut apa masalah pengurusan (majikan).

"Kerajaan Negeri ingin melahirkan solidariti dan rasa simpati kepada mereka...dan ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri untuk Malaysia," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan, di sini tengah hari tadi.

Menurut Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi, Prof. P. Ramasamy yang baru dilantik sebagai pengerusi badan bertindak tersebut melalui mesyuarat rasmi Kerajaan Negeri pada pagi tadi.

Ramasamy, tambahnya lagi, akan mengumumkan pasukan petugas sukarelawannya untuk kerja-kerja kebajikan tersebut pada hari Jumaat ini di sini, jam 11.00 pagi.

"Ia (badan bertindak) ini akan melibatkan peguam dan sukarelawan lain, dan pada masanya yang sama Kerajaan Negeri tentulah akan mengeluarkan sedikit berbelanjaan untuk membiayai badan bertindak ini

"Badan bertindak ini secara rasmi ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri, bukan sahaja untuk menyokong pekerja-pekerja (MAS) dari negeri ini, malah sumbangan kita untuk Malaysia juga," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut menyertai sidang media tersebut.

Beberapa hari kemudian, Ramasamy mengumumkan 18 individu yang menggotai Badan Bertindak Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Staf MAS Yang Diberhentikan Kerja.
Mereka, antaranya peguam merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Sumber Manusia Negeri Pulau Pinang, Dato' Ajit Singh Jessy, Khoo Boon Lim (Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang), Noor Azam Mohd. Nor (perunding sumber manusia bagi Pengerusi Syarikat Perusahaan Bebas, FREPENCA), Dato' Khoo Cheok Sin (Pengerusi Persekutuan Pengusaha-Pengusaha Industri Malaysia Pulau Pinang, FMM), "Encik Mazlan" (Pengurus Cawangan FMM Kedah), Low Sook Jen (Penolong Perangarah Jabatan Buruh), K. Veeriah (Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, MTUC), Eunice Cheng (Pengurus Penang CAT) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar InvestPenang) serta Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer, Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah), Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong), Ram Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Suhaily Razlan (Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri, Dr. Afif Bahardin) turut menganggotai jawatankuasa itu.

"Saya berharap mereka yang terbabit boleh mendaftarkan diri dengan Penang CAT, kita (Kerajaan Negeri) pun memerlukan maklumat daripada pekerja-pekerja terbabit untuk melakukan carian pekerjaan yang sesuai, selain memberikan khidmat (nasihat) perundangan kepada mereka jika diminta," jelas Ramasamy pada sidang media berasingan.
Terdahulu, terdahulu MAS menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya, sebagai langkah penstrukturan dan pemulihan semula syarikat penerbangan negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS baru, Christoph Mueller.

Daripada jumlah itu, katanya, 6,000 pekerja ditamatkan kontrak serta merta, manakala, baki 14,000 ditawarkan pekerjaan dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd. Group (MAS Bhd.).

Dilaporkan, Christoph Mueller mengaku bahawa unsur penyalahgunaan kuasaserta pembaziran wujud dalam MAS, sehingga memaksa beliau mengambil langkah drastik menstruktur semula syarikat tersebut.

Ekoran itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) memanggil lembaga pengarah MAS supaya menjawab tuduhan pembaziran yang didakwa Christoph Mueller.

Malah, Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin turut mendakwa pengurusan MAS bertindak kejam dengan memberhentikan anak kapal wanita yang sedang cuti bersalin, serta mereka yang daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan pasangan suami isteri yang bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut.

Manakala, Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) yang lantang membela nasib bekerja juga turut disebut-sebut akan dibubarkan, selepas penstrukturan semula MAS dimuktamadkan.

Khazanah Nasional Berhad sebagai pemilik kepentingan MAS dalam reaksi spontan menjelaskan bahawa "pakej pemberhentian" membabitkan 6,000 kakitangan terbabit berdasarkan formula yang sama seperti perjanjian bersama (CA) sedia ada mereka yang berkenaan.

RMK-11 abai rakyat Malaysia di P.Pinang, Guan Eng kecam layanan dingin pentadbiran Najib Razak

KETUA Menteri (kiri) dan Wong Hon Wai (kanan) menunjukkan dokumen rasmi RMK-11 yang didakwa mengabaikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang, pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat Malaysia di negeri ini, sungguhpun Kerajaan Negeri sebelum ini telahpun membentangkan permohonan projek-projek pembangunan negeri pada masa depan yang keseluruhannya bernilai hampir RM21 bilion.

Sambil mengecam layanan dingin Putrajaya, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri tetap akan meneruskan rancangan Pelan Induk Pengangkutan Awam serta beberapa projek lain di negeri ini, walaupun mengaku akan melalui saat yang sukar dalam tempoh lima tahun mendatang.

"Tentu kita (Kerajaan Negeri) meminta (peruntukan melalui RMK-11) untuk menangani kesesakan lalulintas dengan membina MRT (transit laju massa), LRT (transit aliran ringan) serta melebarkan jalan serta memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (di Bayan Lepas) yang saya rasa akan mencecah kapasiti (maksimum) pada akhir tahun ini.

"Tetapi, semua pemintaan ini langsung tidak dilayan dan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) tidak diberikan apa-apa pun (projek pembangunan) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, dan sekali lagi Pulau Pinang dilupakan, ini mengulangi lagi peristiwa rakyat Malaysia di Pulau Pinang dipinggirkan seperti dalam Bajet 2015.

“Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan program-program pembangunan dan program-program kebajikan untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang sungguhpun sukar, seperti melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Awam demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengatasi masalah kesesakan trafik.

"Tiada apa-apa (projek pembangunan) untuk Pulau Pinang dan itu sesuatu yang kita (Kerajaan Negeri) kecam kerana Kerajaan Barisan Nasional (Pusat) bermain politik sehingga mengabaikan kepentingan nasional di negeri ini,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Wong Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut hadir pada sidang media tersebut.

Justeru, Guan Eng memberitahu bahawa beliau yakin majoriti rakyat di negeri ini akan terus menolak pembangkang Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, ekoran layanan dingin Kerajaan Pusat terhadap warganegara Malaysia di bermastautin di negeri ini.

KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama Mohd. Rashid Hasnon (kiri sekali), P. Ramasamy (kanan sekali) dan Jaseni Maidinsa (tiga dari kiri) pada AGM Holdings Berhad di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut memberi respons pada laporan berita akhbar Nanyang Siang Pau pada melaporkan menyentuh mengenai sumbangan kutipan cukai mengikut negeri yang diserahkan kepada Kerajaan Pusat untuk pembangunan nasional di seluruh negara.

Laporan tersebut mendedahkan Pulau Pinang merupakan penyumbang cukai ketiga tertinggi, iaitu sebanyak RM6,302 juta di belakang Johor (RM8,575 juta) dan Kuala Lumpur (RM109, 612 juta).

“Walaupun kita sebagai penyumbang cukai ketiga tertinggi di Malaysia, tetapi langsung tiada apa-apa (projek pembangunan melalui RMK-11) untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

“Ini (menggambarkan) rakyat Malaysia di Pulau Pinang sekali lagi dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat walaupun mereka masing-masing membayar pelbagai cukai atas semangat dan kepentingan nasional,” tegas Guan Eng pada sidang media yang lain di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBA Holdings Berhad

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Ir. Jaseni Maidinsa (Pengurus Besar PBAPP) turut menyertai sidang media itu.

Terdahulu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut mempertikai RMK-11 yang mengumumkan peruntukan membina 653,000 unit rumah mampu milik di negara ini dalam tempoh lima tahun, tetapi langsung tiada projek seumpama itu di negeri ini.

Layanan dingin itu, katanya, seakan mengulangi sejarah Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah RM1.8 bilion untuk membina 80,000 unit perumahan mampu milik di tanah air, namun, langsung tiada pembangunan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini sehingga kini.

Mengapa Putrajaya abai TPM saran pecat Lembaga Pengarah 1MDB, tanya Guan Eng

KETUA Menteri diiringi Wong Hon Wai (kanan) baru-baru ini mendedahkan kepada wartawan di sini mengenai surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bertarikh 27 Februari 2014 yang memerintahkan pembatalan pertubuhan Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Saranan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memecat semua ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedah menangguh hutang kira-kira RM42 bilion, turut disokong oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Kerajaan Negeri mengikuti kontroversi isu 1MDB ini sejak tahun lepas lagi, gara-gara 1MDB didedah membeli sebidang tanah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam bernilai RM1.38 juta, lanjutan pada rancangan Kerajaan Persekutuan mengumumkan suatu pembangunan projek perumahan di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

"Mengapa masih belum ada tindakan atau siasatan polis walaupun sudah ada gesaan daripada Timbalan Perdana Menteri sendiri.

"Gesaan ini datang daripada orang nombor dua (Muhyiddin), sepatutnya ia diberi perhatian.

"Tiada tindakan sekaligus menunjukkan bahawa mereka (Putrajaya) sendiri begitu patuh dan setia kepada 'seseorang'," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Wong Hon Wai, iaitu ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut menyertai sidang media tersebut.

Muhyiddin sendiri sebelum ini dilaporkan mendedagkan mengenai status Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang membabitkan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang kini tidak berfungsi.

Guan Eng memberitahu bahawa Taek Jho juga turut dikaitkan dengan 1MDB.

Melalui Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang yang ditubuhkan pada Jun 2012, Guan Eng mendedahkan wang digunakan untuk aktiviti kempen politik menjelang PRU lepas pada 5 Mei 2013, dan dibatalkan pendaftarannya pada tahun lepas.

"Nasib baik saya menang di mana seorang Ketua Menteri tidak mudah ditewaskan dengan politik wang (pihak pembangkang Pulau Pinang)," seloroh Guan Eng.

Beliau turut mempertikai kredibiliti tiga pertubuhan pemberita yang didakwa mencemar etika kewartawanan masing-masing, apabila menerima dana berjumlah RM50,000 daripada Kelab Kebajikan 1Malaysai semasa itu.

GAMBAR sijil pendaftaran Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang yang sah ditubuhkan pada 29 Jun 2012, iaitu menjelang musim PRU13.
GAMBAR surat ROS memerintahkan pembatalan pertubuhan Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang bertarikh 27 Februari 2014.

DI BAWAH INI ADALAH SALINAN DOKUMEN YANG MENDEDAHKAN SENARAI AHLI LEMBAGA PENGARAH 1MDB YANG KREDIBILITI MEREKA DIPERTIKAI SENDIRI OLEH TIMBALAN PERDANA MENTERI TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN SENDIRI.

Salinan 1

Salinan 2

Salinan 3

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus