01 February 2016

Guan Eng harap gelanggang sepak takraw lahir 'bintang', wadah penyatu rakyat

KETUA Menteri (lima dari kiri) diiringi Soon Lip Chee (empat dari kiri) serta Jason H'ng Mooi Lye (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pemimpin tempatan Kampung Bagan Buaya, selepas majlis perasmian pembukaan gelanggang sepak takraw tersebut di sini baru-baru ini.

WAJAH Gelanggang Sepak Takraw Kampung Bagan Buaya, Changkat di Parlimen Nibong Tebal di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap lebih banyak 'bintang baru' dalam sukan sepak takraw dilahirkan dari negeri ini, seperti tekong negara Shahir Rosdi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Gelanggang Berbumbung Sepak Takraw Kampung Bagan Buaya dekat Changkat, yang diadakan serentak dengan Sepak Takraw Piala Soon Lip Chee di sini baru-baru ini.

"Apabila kita memajukan satu-satu projek, kita (Kerajaan Negeri) nak lihat ia sebagai wadah penyatu semua penduduk.

"Di Pulau Pinang suatu ketika dahulu Pulau Pinang terkenal dengan sukan bola sepak, tahun ini selepas lebih 10 tahun akhirnya Pulau Pinang telah masuk ke Liga Super.

"Dan, saya berharap Kampung Bagan Buaya suatu hari nantipun akan terkenal dengan kejohanan sepak takraw," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada majlis tersebut di sini, semalam

Menurut Guan Eng, lebih RM100,000 peruntukan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri, susulan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih memuji Lip Chee kerana berjaya menganjurkan kejohanan sepak takraw dengan penyertaan 47 pasukan, termasuk dari Perak, Sabah dan Sarawak.

"Kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu menjadi kerajaan untuk 68 peratus undi popular yang kita dapat semasa pilihan raya umum lalu, kita mahu menjadi kerajaan untuk semua 100 peratus rakyat Pulau Pinang.

"YB Soon telah membuktikan kemampuan Kampung Bagan Buaya akan terkenal suatu hari nanti, dengan menganjurkan suatu kejohanan yang disertai sebanyak 47 pasukan," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Sebelum itu, Lip Chee dalam ucapannya merakamkan penghargaan kerana pemimpin Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian pada rancangan pembangunan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), khususnya Parlimen Nibong Tebal dan KADUN Jawi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jason H'ng Mooi Lye turut sertai majlis perasmian tersebut.

Shahir Rosdi adalah anak jati Air Itam, hantaran luar biasa tekong tersebut dikatakan antara faktor Malaysia berjaya menundukkan jaguh Thailand dengan agregat 2-0 hasil kemenangan 21-7 dan 21-9, dalam Kejohanan ISTAF Super Series di Melaka pada Februari tahun lalu.

AL-DALALAH MENURUT JUMHUR MUTAKALLIMIN

Ad-Dalalah menurut Jumhur Mutakallimin secara umumnya berbeza dengan metodologi usul Ulama Hanafi.

Jumhur Mutakallimin membahagikan Ad-Dalalah kepada dua bahagian.

1. Mantuq 
2. Mafhum

1. Mantuq
Iaitu, hukum yang ditunjukkan oleh ucapan lafaz itu sendiri.

Mantuq terbahagi kepada 2 bahagian.

Mantuq Soreh
Iaitu, petunjuk lafaz kepada seluruh pengertian yang dikehendaki atau sebahagiannya sahaja.

Contoh:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksud:
"...padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

[Surat Al-Baqarah: 275]

Ulasan:
Ayat di atas membawa petunjuk lafaz yang jelas serta dapat difahami, iaitu jual beli adalah halal dan perbuatan riba adalah haram.

Mantuq Ghayr Soreh
Iaitu, petunjuk lafaz atas sesuatu ketentuan hukum yang diperoleh dengan melihat hubungan dan kaitan yang tidak boleh dipisahkan dari Mantuq.

Contoh:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksud:
"...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya..."

[Surat Al-Baqarah: 233]

Ulasan:
Daripada ayat di atas, difahami bahawa nasab dikaitkan kepada bapa, bukannya ibu. Atas sebab itu, nafkah anak adalah kewajipan bapa dan bukanlah ibu.

2. Mafhum
Hukum yang tidak ditunjukkan oleh ucapan lafaz itu sendiri, tetapi daripada pemahaman terhadap ucapan lafaz tersebut.

Seperti Mantuq, Mafhum jua terdiri oleh dia bahagian, iaitu Mafhum Muwafaqah dan Mafhum Mukhalafah.

Mafhum Mukhalafah itu sendiri ada dua bahagian, iaitu Fahwal Khitab dan Lahnul Khitab.

Manakala Mafhum Mukhalafah pula ada lima pecahan lain, iaitu Mafhum Al-Sifah, Mafhum Al-Syart, Mafhum Al-Ghayah, Mafhum Al-'Adad & Mafhum Al-Laqab / Al-Ism.

Terperinci, seperti di bawah:

1. Mafhum Muwafaqah
Iaitu, petunjuk lafaz nas ke atas penetapan sesuatu hukum bagi perkara yang disebutkan, di antara keduanya terdapat kesesuaian, sama ada dalam bentuk nafi atau isbat kerana terdapat persamaan 'illat.

Mafhum Muwafaqah ada dua bahagian:

Fahwal Khitab
Iaitu, apabila yang difahami itu lebih utama hukumnya daripada yang diucapkan.

Contohnya, haram memukul orang tua (iaitu ayah dan ibu) berdasarkan dalil:

فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ

Maksud:
"...janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Ha'..."

[Surat Al-Isra' 23]

Ulasan:
Kalau kata 'uhhh' pun tak boleh, memukul lebih-lebih lagi lah tak boleh.

Satu lagi contoh, diharamkan memegang anjing.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ

Maksud:
“Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuhnya sebanyak tujuh kali basuh."

[Muslim, Bab hukum jilatan anjing, hadis no : 279]

Ulasan:
Bagi Ulama Mazhab Syafie yang mengambil Fahwal Khitab melihat haram memegang badan anjing seperti menyentuh lidah anjing yang basah itu.

Bagi mereka, jika air liur anjing pun sudah wajib dibasuh, sudah pasti kewajipan itu lebih lagi dilakukan jika terkena badan anjing (yang biasa dijilat-jilat oleh anjing itu sendiri.

Mazhab Maliki pula menganggap proses menyucikan najis itu sekadar menghilangkan tiga perkara, iaitu bau, rasa dan warna. Untuk menghilangkan tiga perkara ini, tidak semestinya dengan tujuh kali basuh, malahan dengan sekali atau dua kali basuh pun, kadangkala sudah tercapai maksud bersihkan najis. Makanya, mereka meletakkan tanggapan bahawa hukum membasuh itu sunat sahaja

Di luar Jumhur Mutakallimin, iaitu merujuk pada Mazhab Hanafi pula, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamerkan jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak pada badannya. Maka, menyentuh tubuh anjing (kecuali lidah dan kawasan basah yang dijilatnya) adalah harus.

Lahnul Khitab
Iaitu, apabila yang tidak diucapkan adalah sama hukumnya dengan yang diucapkan.

Contohnya, tindakan membakar harta anak yatim adalah haram berdasarkan dalil:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."

[Surat An-Nisa' 10]

Hukum:
Membakar harta anak yatim termasuk maksud memakan harta anak yatim yang hukumnya haram, sungguhpun amalan membakar harta anak yatim itik tidak disebut dalam zahir nas.

2. Mafhum Mukhalafah
Iaitu, penetapan satu-satu hukum yang tidak disebut dalam nas dan berlawanan dengan yang disebut dalam nas.

Ada lima pecahannya:

(a) Mafhum Al-Sifah
Iaitu, petunjuk lafaz yang disifatkan dengan sesuatu sifat di mana hukumnya akan berlainan ketika atau apabila ketiadaan sifat tersebut.

Contoh: Kahwini hamba
(zaman moden sekarang sudah tiada sistem perhambaan)

وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ مِنْكُمْ طَوْلًا أَنْ يَنْكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ۚ

Maksud:
"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki..."

[Surat An-Nisa' 25]

Ulasan:
Ayat di atas menunjukkan keharusan mengahwini hamba sekiranya mereka beragama Islam. Secara Mafhum Al-Sifah, dapatlah difahami sifat Islam yang diletakkan pada mereka itu menjadikan haram berkahwin dengan hamba-hamba kafir.

(b) Mafhum Al-Syart
Iaitu, petunjuk lafaz yang bergantung padanya satu-satu hukum dengan suatu syarat di mana tiada hukum tanpa syarat tersebut.

Contoh: Tanggungjawab selepas talak isteri yang sedang mengandung

وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ

Maksud:
"...dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya..."

[Surat At-Talaq 6]

Ulasan:
Mengandung itu adalah salah satu syarat yang melayakkan seorang muslimah yang ditalakkan mendapat nafkah zahir daripada bekas suaminya. Maka, secara Mafhum Mukhalafahnya, perempuan itu tidak berhak untuk mendapat nafkah zahir jika tidak mempunyai syarat itu (mengandungi).

(c) Mafhum Al-Ghayah
Iaitu, petunjuk lafaz menunjukkan hukum sampai kepada ghayah (batas dan tujuan). Hukum yang terdapat sesudah perkataan yang menunjukkan adanya batas, akan berlainan dengan hukum sebelumnya.

Contoh: Waktu makan di bulan Ramadan

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ

Maksud:
"...dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)..."

[Surat Al-Baqarah: 187]

Ulasan:
Ayat ink menjelaskan harus makan dan minum sebelum masuk waktu Subuh. Secara Mafhum Mukhalafahnya ialah haram makan dan minum sehinggalah selepas sampai tujuan batas waktunya, iaitu apabila masuk Maghrib.

(d) Mafhum Al-'Adad
Iaitu, petunjuk lafaz yang mengaitkan padanya sesuatu hukum dengan sesuatu bilangan tertentu, di mana ia menafikan selain bilangan itu.

Contoh: Bilangan sebatan atas pasangan zina

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ

Maksud:
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat..."

[Surat An-Nur: 2]

Ulasan:
Secara Mafhum Mukhalafahnya, ayat ini menjelaskan bilangan sebatan selain daripada jumlah 100 kali itu adalah haram, sama ada melebihkan bilangan sebatan atau mengurangkannya.

(e) Mafhum Al-Laqab / Al-Ism
Iaitu, petunjuk lafaz yang mengaitkan padanya sesuatu hukum dengan sesuatu laqab atau ism jamid, di mana ia akan menafikan selain daripada laqab atau ism jamid itu.

Contoh: Hukum nikahi ibu

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُم

Maksud:
"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu..."

[Surat An-Nisa' 23]

Ulasan:
Secara Mafhum Mukhalafahnya, ayat ini menjelaskan bahawa selain daripada Al-Laqab atau Al-Ism yang disebutkan adalah tidak termasuk dalam hukum tersebut.

Dalam Mantuq ayat ini, haram hukumnya mengahwini ibu kandung yang melahirkan kita. Maka, Mafhum Al-Laqabnya itu ketentuan itu tidak berlaku bagi ibu-ibu yang lain selain ibu kandung (seperti ibu angkat atau bekas ibu tiri dll).


Zainulfaqar Yaacob 
Seberang Jaya 
28 Januari 2016 | 10.03 malam

RM41,340 tempatkan AED di 10 tempat awam, selamatkan mangsa serangan jantung

KETUA Menteri diiringi Dr. Afif Bahardin dan Maimunah Mohd. Sharif menyaksikan  demonstrasi CPR serta teknik menggunakan AED di sini pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Penempatan alatan Automated External Defibrillator (AED) di 10 tempat awam yang dikenal pasti, meliputi kawasan Pulau dan Seberang Perai menelan belanja RM41,340.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berharap, orang awam dapat melaksanakan teknik asas resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta menggunakan alatan tersebut demi menyelamatkan nyawa seseorang akibat serangan jantung.

"Teknik-teknik yang dipelajari ini bakal menyelamatkan nyawa seseorang pada bila-bila masa ketika kecemasan berlaku," jelas Guan Eng pada Majlis Pelancaran AED Bersempena Penang-Heart-Safe Programme' dan Perhimpunan Korporat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, pagi ini.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama menempatkan AED di tempat-tempat awam.

Difahamkan, lima AED disumbangkan oleh Kerajaan Negeri, manakala lima buah lagi disumbangkan oleh Zul Corporation atas program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Manakala, Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif pula dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng kerana menempatkan empat buah AED di bahagian Seberang Perai, termasuk di sini.

Selain itu, Maimunah turut mengumumkan penubuhan satu unit baharu iaitu Unit Butterworth di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, sejak bulan Mei tahun lalu.

Menurut beliau, Unit Butterworth bersama-sama satu unit lain, Unit Eco-City antara lain berfungsi untuk memantapkan lagi pentadbiran MPSP, selain memandu dan mengawal pembangunan berskala besar di Batu Kawan.

Tambah beliau, penubuhan unit itu adalah kelangsungan pada usahasama MPSP dan Think City Sdn. Bhd. dalam tempoh lima tahun mulai tahun ini untuk meremajakan lagi beberapa lokasi yang mempunyai nilai warisan tersendiri, termasuk Pekan Lama Butterworth.

Tidak cukup dengan itu, Maimunah memberitahu MPSP turut menubuhkan satu pasukan kerja bersama-sama Yokohama City Council, Yokohama University, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jepan International Cooperation Agency (JICA) demi mengkaji dan merancang reka bentuk Bandar Bukit Mertajam.

Beliau turut membentangkan pelan tindakan bagi 9 Fokus MPSP 2016, iaitu Kebersihan, Keselamatan & Lalulintas, Penguatkuasaan, Kawalan Banjir, Pengindahan, Kehijauan & Kemudahan Awam, Penglibatan Komuniti, Pembinaan Kapasiti, Pengukuhan Fiskal dan Kecekapan Proses Kerja.

"Pelan sstrategik ini dicapai menjelang 2018 nanti. Fokus 2016 mempunyai embilan fokus, 57 program dan 106 aktiviti yang telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun ini," jelas Maimunah.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus