01 September 2015

Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah ketiga terbaik di Malaysia

MASJID At-Taqwa Taman Bertam Indah.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah dalam Kawasan Parlimen Kepala Batas baru-baru ini diberi Anugerah Masjid Kariah Ketiga Terbaik Peringkat Kebangsaan 2014, yang dianjurkan oleh agensi persekutuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

ROSIDI Hussain
Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Rosidi Hussain berharap, pengiktirafan tersebut memberi galakan kepada jawatankuasa-jawatankuasa kariah lain untuk meningkatkan mutu pengurus masjid serta dakwah Islamiah di kawasan masing-masing.

“Masjid As-Salam Puchong Perdana dipilih menerima anugerah untuk tempat perdana, kedua, Masjid Saidina Abu Bakar (dekat) Bangsar, dan Masjid At-Taqwa dari Pulau Pinang mendapat tempat ketiga.

“Ertinga, ketiga-tiga masjid ini daripada negeri yang diperintah oleh Kerajaan 'Rakyat' Pulau Pinang dan Selangor

“Seperti di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tidak campur tangan dalam tadbir urus masjid, jawatan diberika kepada 'ahlinya' (yang layak), sama ada dipilih oleh ahli kariah atau lantikan majlis (MAINPP),” jelas Rosidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah semasa dihubungi wartawan.

Justeru, beliau menyeru semua ahli jawatankuasa kariah masjid supaya menyemarakkan ukhwah Islamiah serta saling bekerjasama dengan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Yang di-Pertua MAINPP, Dato' Mohd. Salleh Man dalam memperkasakan dakwah di negeri ini.

“Pembangunan masjid daripada segi fizikal, sama ada penambahbaikan atau pembinaan masjid baru kebanyakannya di bawah JAKIM dengan kerjasama ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan langsung dengan Jabatan Perdana Menteri, JPM).

“Tetapi, keutamaan kita (MAINPP) di peringkat Negeri ini adalah memperkasakan program kebajikan, dakwah Islamiah dan meingkatkan kualiti pengurusan masjid sendiri,” jelas Rosidi lagi.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan kemampuan Kerajaan Negeri melalui MAINPP dalam memartabatkan Islam di Pulau Pinang.

Jagdeep serah sumbang kepada 13 mangsa ribut

JAGDEEP Singh Deo (depan, paling kiri) melawat kawasan bencana pokok tumbang hingga menghempap sebuah rumah di Kampung Dodol, sebelum menyerahkan sumbangan kepada keluarga Yusni Md. Yusop terbabit di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyampaikan sumbangan sebanyak RM13,500 kepada 13 pemilik rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana ribut baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Yusni Md. Yusop, iaitu pemilik rumah yang ranap dihempap oleh sebatang pokok besar berusia kira-kira 100 tahun di Kampung Dodol di sini.

"Saya sendiri turut berbincang dengan kontraktor mengenai kos RM14,500 untuk membersihkan kawasan runtuhan ini,"

“Keluarga (Yusni Md. Yusop) ini turut diberi sumbangan RM5,000,” jelas Jagdeep selepas melawat kawasan bencana kediaman Yusni di Kampung Dodol.

Selain itu, Jagdeep turut memuji langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sokongan Pasukan Bomba & Penyelamat (BOMBA) kerana cepat bertindak menguruskan bencana di sini.

JAGDEEP Singh Deo (tujuh dari kiri) menyampaikan sumbangan cek kepada baki mangsa bencana ribut, dalam suatu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat KADUN Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Baginya, tragedi ribut selama kira-kira 10 minit tersebut kemungkinan kesan daripada perubahan iklim di negeri ini.

"Ramalan cuaca menunjukkan musim yang kering, tetapi, kawasan saya telah mengalami banjir kilat dua kali seminggu ini.

Ini adalah tidak dapat dinafikan kesan perubahan iklim dan kami perlu bersedia." tambah beliau.

Yusni yang ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur kerana kemusnahan rumahnya itu langsut tidak meragut nyawa anggota keluarganya.

“Nasib baik kami tidak ada di rumah semasa ribut melanda di sini, tapi, rumah kami musnah semuanya,” jelas Yusni.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut menyampaikan sumbangan kepada baki mangsa terbabit, dalam satu majlis sumbangan yang diadakan serentak dengan Program Rumah Terbuka Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Guan Eng harap GTF, Festival Pinggir Butterworth beri manfaat berganda untuk Seberang Perai

Seorang pengunjung kelihatan asyik menyaksikan koleksi gambar-gambar menarik dalam suatu 'pameran jalanan' di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berharap penganjuran Festival Pinggir Butterwoth (BFF) pada 15 dan 16 Ogos lalu di sekitar Jalan Jeti Lama di sini turut akan memberi manfaat berganda pada bahagian Seberang Perai, sungguhpun kebanyakan sub-program Festival George Town selama sebulan dilangsungkan di bahagian pulau.

“GTF atau Butterworth Fringe Festival 2015 diharap dapat dijadikan satu produk yang mempunyai multiplier effect bagi kawasan Butterworth khasnya, dan Seberang Perai secara umumnya.

“Dengan adanya BFF ini, dapat menjadikan Butterworth sebagai satu bandar yang bercorak kreatif dan inovatif,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Pada Majlis Pembukaan BFF 2015 di sini baru-baru ini.

ISAAC Hou (kiri) mempersembah tarian akrobatik unik, disaksikan oleh Ketua Menteri (paling kanan), Maimunah Mohd. Sharif (dua dari kiri) dan Rozali Mohamud (tiga dari kiri) di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif merakamkan penghargaan kepada penganjur Festival George Town 2015, Joe Sidek kerana berjaya membawa kelainan dalam BFF, yang didakwa mampu membantuk aspek pelancongan desa yang giat dipopularkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“(BFF) akan membawa kelainan dari segi konsep persembahan, iaitu 'projek jalanan' yang mana merupakan kesinambungan daripada Festival George Town yang berlangsung di George Town,” jelas beliau.

KETUA Menteri diiringi oleh para pemimpin Kerajaan Negeri lain turut mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan sebuah model klasik vespa di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Prof. P. Ramasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam), Dato' Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Tink City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed dan ketua operasinya, Dr. Neil Khor.

'Viva La Vespa', iaitu pameran koleksi motosikal moden dan klasik jenis vespa, tarian akrobatik unik oleh Isaac Hou, persembahan papet 'Bunraku' yang diterbangkan dari Jepun, serta pameran jalanan mengenai perkembangan perbandaran Butterworth lampau antara 15 sub program yang menarik sepanjang dua hari berlangsungnya festival tersebut.

George Town Festival saban tahun diadakan di negeri ini sejak tahun 2010, dengan temasya kebudayaan tempatan dan antarabangsa seumpama Butterworth Fringe Festival 2015 buat julung kalinya diadakan di bahagian Seberang Perai.

Guan Eng harap Seberang Perai antara 'liveable city' sebelum MPSP cecah usia 50 tahun

(Dari kiri) FARIZAN Darus, Chong Eng, Chow Kon Yeow, P. Ramasamy, Ketua Menteri, Maimunah Mohd. Sharif, Rozali Mohamud, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh pada majlis perasmian Galeri MPSP di sini baru-baru ini.
UPACARA perbarisan sempena Hari Majlis MPSP di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Seberang Perai mampu dikenali antara destinasi tempat tinggal pilihan di rantau ini sebelum Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencecah usia 50 tahun.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Majlis MPSP Ke-41, yang dianjurkan serentak dengan Hari Terbuka Aidilfitri peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini baru-baru ini.

“MPSP harus menggunakan peluang ini, menjelang ulang tahun ke-50, untuk mencapai matlamat menjadikan Seberang Perai di bawah kawal selia MPSP (sebagai) sebuah daerah atau sebuah kawasan perbandaran yang bukan sahaja indah permai, juga sebuah bandar moden yang dilengkapi ciri-ciri sebuah bandar bertaraf antarabangsa.

“MPSP harus terus gigih berusaha dalam menghidupkan Bandar Seberang Perai sebagai liveable city,” jelas Guan Eng di perkarangan Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tabatan Banjir, Chow Kon Yeow serta Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis keraian tahunan tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Chong Eng, (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP), beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Majlis MPSP lain.

Guan Eng dalam ucapan perasmiannya turut merakamkan penghargaan kepada MPSP atas inisiatif mengadakan acara perbarisan kehormat buat julung-julung kalinya diadakan, yang disertai oleh 33 direktorat penguatkuasa serta tiga pegawai PBT.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Galeri MPSP, yang sarat dengan info mengenai rekod pengiktirafan yang berjaya dicapai oleh PBT berkenaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas diucapkan sekali lagi kepada MPSP yang telah dianugerahkan Sijil The Malaysia Book Of Records (MBR) pada 13 April 2015 yang lalu atas pencapaian sebagai 'Pihak Berkuasa Tempatan' pertama di Malaysia yang mendapat lima pensijilan bagi sistem pengurusan berteraskan kualiti.

“Saya berharap dengan pensijilan MBR yang diterima oleh MPSP ini akan menjadikan organisasi ini bertambah cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Naik taraf Astaka Kota Selera Padang Kota Lama RM500,000, selepas 37 tahun operasi

SHAHUL Hameed Syed Mohammed (berdiri) menyantuni Ketua Menteri di meja tetamu kehormat utama pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Astaka Selera Kota di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG KOTA - Astaka Kota Selera dekat Padang Kota Lama kini dinaiktaraf selepas kira-kira 37 tahun beroperasi serta menjadi salah satu destinasi pelancongan makanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Ewein Berhad serta anak syarikatnya, The Esplanade Park Sdn. Bhd. kerana menyumbang RM500,000 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sumbangan SCR yang disampaikan oleh Dato' Ewe (Swee Keng, Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Berhad) ini menyerlahkan sokongan sektor korporat pada perubahan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap lebih ramai pihak tampil bersama-sama Kerajaan Negeri melakukan perubahan yang lebih baik untuk keselesaan mutu hidup rakyat di negeri ini,” jelas Guan Eng pada majlis perasmian pembukaan semula astaka makanan tersebut di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam selepas itu turut menyempurnakan majlis menandatangani plak, serta menanam beberapa anak pokok hankerchief tree di perkaraan pintu masuk utama ke astaka tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow turut berucap pada majlis tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong), Teh Lai Heng (ADUN Komtar) dan Lim Siew Khim turut antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri, Dato' Abu Jamal Nordin, Dato' Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Dato' Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli (Pengerusi Zanith Berhad), Woo Choo (Konsulat Jeneral China ke Pulau Pinang) dan Shahul Hameed Syed Mohammed (Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Astaka Kota Selara Padang Kota Lama).

Tarian 'Overtura', iaitu gabungan tarian kebudayaan Melayu, Cina dan India oleh anggota Majlis Kebudayaan Negeri merupakan antara persembahan pentas yang menarik pada majlis tersebut.

Semua tetamu turut disajikan pelbagai juadah terkenal seperti mee sotong, coconut shake dan pasembur.

Astaka Kota Selara dekat Padang Kota Lama selepas penarafan akan dibuka mulai jam 11.00 pagi dan tutup lewat jam 8.00 malam.

ATM, Polis antara 85 kontinjen perbarisan Hari Kebangsaan 2015 P. Pinang

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) siap sedia sementara menunggu semakan perbarisan oleh Tun Abdul Rahman Abbas diiringi oleh Lim Guan Eng dan Law Choo Kiang pada Hari Kemerdekaan 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, 31 Ogos lalu. | Foto: Ahmad Adil Mohamad & Darwina Mohd. Daud

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - 180 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 85 kontinjen yang menyertai acara perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 Peringkat Negeri Pulau Pinang bertemakan “Sehati Sejiwa” pada pagi 31 Ogos lepas.

Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Seri Hajjah Majomor Shariff, diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang turut menyaksikan acara perbarisan yang buat julung-julung kalinya diadakan di jalan utama berhadapan Kompleks Ibupejabat Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dan isteri K. Kalaiarasi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus dan isteri, Datin Hamidah Mat Daud, serta barisan Exco Kerajaan Negeri, para ADUN dan Ahli Parlimen.

Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri dalam kenyataan bertulisnya berkata, pihaknya berharap sambutan kali ini dapat menyemarak lagi semangat cintakan tanah air, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang suatu hari nanti akan menjadi pemimpin generasi akan datang.

“Penglibatan kesemua kaum dalam acara sambutan ini menjadi perpaduan bangsa, terus kekal kukuh dan bersepadu,” jelas Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun.

Menurut berliau, sambutan Hari Kebangsaan 2015 melibatkan 5,106 peserta, dengan 4,235 orang menyertai acara perbarisan.

Daripada jumlah itu, katanya, 2,090 peserta daripada orang awam, 90 peserta dalam lapan pancaragam, 540 peserta daripada kontinjen ko-kurikulum sekolah.

Itu, katanya, termasuk 1,259 penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta serta Universiti Awam, selain 156 lain yang menyertai 11 kontinjen perarakan kenderaan.

Terdahulu, tema “Sehati Sejiwa” yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat akhirnya terpaksa digunapakai di negeri ini, gara-gara ketidakmatangan dua Menteri mempertikai tema kemerdekaan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ketetapan itu dibuat selepas larangan pihak sekolah serta ATM menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan 2015 dikeluarkan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pertahanan, Dato Seri Hishammuddin Tun Hessein sepatutnya tidak mempolitikkan tema “Bersih, Cekap, Amanah” yang dipilih melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus