06 May 2015

Moratorium demi menjayakan pelan pemutihan hotel – Kon Yeow

YEW Tung Seang (tiga dari kiri) dan Abdul Munir Abdul Aziz (paling kiri) antara panel pada dialog dua hala dengan pengusaha-pengusahah hotel berwajib di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pengendali hotel tanpa lesen khususnya di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO hanya perlu mengemukakan pelan bangunan serta mematuhi beberapa syarat asas keselamatan berwajib, demi mendapatkan lesen sementara daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

CHOW Kon Yeow
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetejuan bersama itu dapat menggamit minat para pengendali hotel tanpa lesen untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan pelan pemutihan hotel di negeri ini.

Tarikh akhir permohonan lesen tahunan sementara adalah pada 31 Oktober depan, sebelum langkah penguatkuasaan daripada MBPP serta agensi-agensi lain.

“Dengan syarat yang lebih mudah ini, diharap mereka yang mengusaha hotel tanpa lesen yang sah pada suatu hari nanti akan berjaya mendapatkan lesen yang sah.

“Inilah hasrat pemutihan hotel yang sedang giat dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk kali yang kedua pada hari ini, dan kali pertama dialog seumpama ini diadakan di Dewan Bandaraya (dekat Padang Kota Lama) pada 31 April tahun lepas,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di sini baru-baru ini.

Di bahagian pulau, katanya, 155 hotel dikenalpasti menyalahi undang-undang, manakala, 25 hotel yang lain di sekitar Seberang Perai didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.

"Daripada 180 hotel berkenaan, hanya 138 telah menyahut seruan untuk mendapatkan lesen sementara (dalam tempoh) setahun yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun ini," jelas Kon Yeow dalam nada yang sederhana.

Dalam ucapannya, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa PCCC di bawah Penasihat Eksekutifnya, Tan Sri Tan Kok Ping dan Presidennya, Datuk Seri Choot Ewe Seng atas penganjuran dialog tahunan bersama-sama para pengusaha hotel bajet buat kali kedua itu.

Datuk Bandar MBPP, Dato' Patahiyah Ismail, Ar. Yew Tung Seang (Pengarah Jabatan Bangunan MBPP) dan Abdul Munir Abdul Aziz (wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat, BOMBA) turut tampil sebagai panelis pada majlis interaksi awam tersebut.

Sebelum itu, Tung Seang memberitahu bahawa 42 daripada kesemua 180 pengendali hotel terbabit masih belum memberikan respons pada tawaran mendapatkan lesen sementara daripada MBPP.

"Pengenali (hotel) tidak perlu mendapatkan (kelulusan pelan) kebenaran merancang (daripada MBPP), tetapi, memadai dengan mengemukakan sesuatu pelan bangunan.

"Sejumlah 95 hotel yang tidak berlesen ini dikenal pasti berada dalam (George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO) sendiri," jelas Tung Seang dalam ucapannya.

Tambah beliau, MBPP sedaya upaya cuba meringankan prosedur permohonan lesen dengan mencadangkan pengendali berwajib melantik arkitek untuk melukis bangunan hotel mereka, sebelum diserahkan kepada PBT.

"Apabila suatu perakuan pematuhan diperolehi, seseorang boleh meneruskan untuk memohon lesen itu," kata beliau.

Katanya lagi, bayaran lesen sementara untuk tempoh setahun adalah antara RM1,200 hingga RM2,400, iaitu bergantung kepada jenis hotel yang diusahakan oleh pengendali berwajib.

"Bagi mereka yang tidak memenuhi pematuhan ini selepas tarikh akhir pada 31 Oktober 2015 nanti, saya ingin menegaskan bahawa langkah-langkah penguatkuasaan yang ketat akan dikenakan terhadap pengusaha yang melakukan kesalahan," tegasnya lagi.

Semenatara Choot Ewe Seng pula dalam ucapannya berharap bahawa , daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan akan melanjutkan tempoh sah lesen sementara daripada setahun kepada dua tahun.

Ini kerana, katanya, birokrasi dalam permohonan lesen sementara serta kekangan kewangan merupakan antara aspek terpenting yang mendorong para pengusaha tanpa lesen masih menangguhkan langkah menyahut seruan pemutihan hotel yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, seorang pengusaha hotel yang hanya mahu dikenali sebagai “Kent” membangkitkan isu peraturan yang berbeza-beza antara PBT dan jabatan-jabatan penguatkuasaan berwajib mengakibatkan kos permohonan lesen sementara sendiri akan menjadi berlipat kali ganda.

"Forum ini sepatutnya dapat membantu kepada kita, tetapi, ia kelihatan seolah-olah pengendali perlu membayar sejumlah besar wang untuk mematuhi keperluan," respons beliau pada majlis dialog dua hala yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Seorang pengusaha lain pula memberitahu bahawa pengubahsuaian pada masa depan seperti penyediaan tangga luar bagi bangunan hotel bertingkat serta sistem perlindungan kebakaran yang diwajibkan oleh Bomba, sekaligus akan menjejaskan proses pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan di George Town sendiri.

Abdul Munir dalam reaksi spontan berkata, kegunaan cat kalis api pada permukaan lantai kayu antara alternatif yang boleh digunakan demi memulihara hotel yang beroperasi di dalam bangunan yang mempunyai nilai warisan.

"Peraturan-peraturan khas untuk mengelak kebakaran sebenarnya telahpun dilonggarkan oleh Bomba sendiri, maka, mustahil pengusaha (hotel) bangunan-bangunan warisan ini tidak boleh memenuhi peraturan-peraturan semasa," katanya, sambil menjelaskan bahawa peraturan-peraturan semasa tersebut sebenarnya dikeluarkan oleh Bomba di bawah Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, seorang wakil daripada Jabatan Warisan Negeri memberitahu bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Bomba demi memastikan bahawa langkah pemutihan hotel ini tidak menjejaskan keaslian bangunan-bangunan yang mempunyai nilai warisan di negeri ini.

RM54,000 naik taraf Masjid Telaga Air siap

KETUA Menteri (lima dari kiri), Mohamad Sabu (lapan dari kiri) dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain merakamkan gambar bersama-sama Razuan Hashim (tujuh dari kiri) selepas melawat Masjid Telaga Air yang siap dinaik taraf tersebut di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Kerja-kerja penarafan dewan serta beberapa kelengkapan keselamatan lain bagi Masjid Telaga Air dekat kawasan Parlimen Bagan yang menelan belanja sebanyak RM54,000 telah siap sepenuhnya di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri berharap inisiatif itu dapat memberi lebih keselesaan kepada anggota kariah yang menunaikan solat serta aktiviti kemasyarakatan di masjid berkenaan.

“Dulu, ini kawasan yang terbuka, tetapi, kita (Kerajaan Negeri) telah menaik taraf dengan membina dinding untuk menutup kawasan ini, hingga menjadi dewan yang sempurna serta lebih selamat daripada unsur provokasi, seperti insiden sebelum ini.

“Saya beri peruntukan RM54,000 supaya kita (Kerajaan Negeri) boleh melakukan usaha awal untuk keselesaan ahli-ahli kariah di sini,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan, selepas melawat masjid tersebut baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Tuan Haji Mohamad Sabu (Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Hadir sama, tiga Ahli Majlis MPSP, Tan Chong Hee, Dahalan Fazil dan Ahmad Tarmizi Abdullah.

Semua pemimpin Kerajaan Negeri tersebut disambut oleh Pengerusi Kariah Masjid Telaga Air, Razuan Hashim serta ahli kariah yang lain.

Terdahulu, pentadbiran Guan Eng digambarkan tidak memelihara sensitiviti umat Islam di negeri ini, apabila berlakunya insiden balingan sebungkus daging babi ke perkarangan Masjid Telaga Air.

Dalam tempoh tiga bulan, difahamkan, lebih sembilan insiden serupa berlaku di masjid tersebut, tidak kira pada waktu malam mahupun siang.

Hasil intipan dan kerjasama anak-anak kariah dengan pihak polis, akhirnya dalang insiden tersebut berjaya dikesan dan diberkas.

Lantas itu, Guan Eng memuji dan memberi ganjaran berupa wang kepada dua anak kariah, Muhamad Nazri Hashim, 44 dan Muhd. Hasmadi Ahmad Tuah, 24, atas kesabaran hingga berjaya menangkap dalang insiden tersebut.

Manakala, hasil siasatan polis pula melaporkan bahawa dalang insiden adalah seorang lelaki berbangsa Cina dan dikenal pasti mempunyai masalah mental.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri, polis dan komuniti umat Islam dalam menangani insiden berunsur provokasi di negeri ini.

MP Batu Kawan gesa BORR segera bina pagar pembahagi jalan

P. Kasthuriraani (dua dari kiri) pada sidang media selepas melawat kawasan kejadian yang meragut seorang pekerja asing berwarganegara Nepal di sini baru-baru ini. | Foto: internet  

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menggesa pengendali Lingkaran Luar Butterworth (BORR) supaya segera membina pagar di sepanjang pembahagi jalan raya berwajib di sini.

Kasthuriraani berkata demikian semasa melawat lokasi kejadian, yang meragut nyawa seorang lagi pekerja asing berwarganegara Nepal baru-baru ini.

"Walaupun terdapat dua jejambat dibina untuk pejalan kaki melintas jalan di sini, mereka tidak digunakan (kemudahan tersebut) kerana ia tidak terletak di lokasi yang strategik.

"Dalam tempoh dua tahun ini, saya difahamkan lima kemalangan maut telah berlaku di kawasan ini dan terbaru pada Sabtu lepas (11 April 2015), apabila seorang pekerja asing dilanggar sebuah kenderaan semasa melintas jalan ini," jelas Kasthuriraani kepada pemberita.

Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Chai Leng telah beberapa kali membangkitkan isu tersebut, tetapi seakan tidak diendahkan oleh pengendali.

"Ia (pembinaan pagar di pembahagi jalan) adalah kewajipan moral bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji ciri-ciri keselamatan untuk kesejahteraan pengguna jalan raya.

"Surat terkini (daripada JKKK Taman Chai Leng) adalah pada 25 September tahun lepas, tetapi jawapan yang diberikan oleh BORR tidak memuaskan," katanya.

Justeru, Kasthuriraani berkata bahawa beliau akan membawa perkara itu di Parlimen.

Pengerusi JKKK Taman Chai Leng, M. Turaisingam dan setiausahanya, Lee Eng Leong turut melawat lokasi kejadian tersebut.

Difahamkan, pejalan kaki yang rata-rata adalah pekerja asing seringkali melintas terus jalan raya tersebut tanpa menggunakan jejantas yang ada apabila tiada kenderaan kerana ia lebih mudah, sama ada untuk ke Taman Emas atau Taman Chai Leng di sini.

Seorang penduduk Taman Emas, Tan Bak Sun, 64, dilaporkan berkata bahawa pengurusan BORR sepatutnya segera menyelesaikan masalah ini tidak lama dahulu.

"Setakat ini, lima orang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di sini.

"Adakah mereka menunggu lebih kematian," tanya Bak Sun, dipetik dari sebuah akhbar elektronik arus perdana.

Ahli Perniagaan SP Devan, 64, pula dilaporkan berkata pengurusan BORR sepatutnya lebih serisu untuk membina sebuah jejambat strategik di tempat yang betul, untuk kemudahan rakyat di sini.

BORR yang menelan belanja RM480 juta dibina pada tahun 2003 dan mula dibuka empat tahun kemudian kepada orang ramai, demi kemudahan trafik dari Bukit Mertajam ke Butterworth.

Naik taraf surau DUN P.Pinang siap - Exco Agama

(Dari kiri) DR. Afif Bahardin, Abdul Malik Abul Kassim, Maktar Shapee dan Mohd. Rashid Hasnon semasa menyaksikan dewas solat utama Surau Lelaki bangunan DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang siap dinaik taraf secara rasminya dibuka kepada semua pada hari pembukaan Mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-13 di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim memberitahu kos penarafan untuk surau lelaki dan perempuan DUN Pulau Pinang yang mencecah hampir RM100,000.

“Alhamdulillah, kerja-kerja naik taraf surau untuk muslimin dan muslimat ini siap seperti yang dirancang, dan secara rasminya dibuka pada hari ini,” kata Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dato' Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Masyarakat merangkap ADUN Seberang Jaya) turut menyertai majlis tersebut.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Pulau Pinang merangkap ADUN Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid dan Sr. Mohamad Farid Saad (ADUN Pulau Betong) pada mesyuarat DUN penggal lepas masing-masing membangkitkan isu keadaan surau yang sedia ada, dikatakan sesak bercampur antara muslimin dan muslimat, terutama pada waktu puncak solat.

Malah, mereka mendakwa bahawa Kerajaan Pulau Pinang hari ini seakan tidak sensitif dengan keperluan umat Islam di negeri ini, khususnya di bangunan DUN tersebut.

Sambil menolak dakwaan tidak benar tersebut, Abdul Malik dalam reaksi spontan memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan kerja-kerja penarafan surau DUN akan siap sebelum pembukaan mesyuarat penggal DUN akan datang.

"Selepas lima penggal YB Jahara menjadi ADUN Air Tawar (Jahara), masalah surau tidak pernah dibangkitkan, semalam dia bangkit dan hari ini kita (Kerajaan Negeri) buat keputusan," ujar Abdul Malik pada sesi penggulungan di DUN Pulau Pinang di sini, petang tadi.

Semasa itu, Abdul Malik berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telahpun dipanggil melakarkan pelan naik taraf surau yang baru, dan kerja-kerja menaik taraf surau sedia ada dijangka bermula pada bulan Februari tahun depan.

Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang ke-13 pada 30 April lepas, manakala persidangan dijadualkan bermula pada 11 hingga 15 Mei ini.

PR1MA: Jangan kelirukan Permatang Pauh, nasihat Exco kepada Menteri Perumahan

JAGDEEP Singh Deo

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Masalah rumah mampu milik yang didakwa tidak mencukupi di Pulau Pinang termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh sebenarnya disebabkan keengganan Kerajaan Pusat sejak tahun 2008 untuk membina walaupun seunit kediaman di bawah Projek Perumahanan 1Malaysia (PR1MA) untuk rakyat di negeri ini.

Malah, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kenyataan mengelirukan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sempena musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sekarang berkemungkinan untuk menutup kelemahan agensi-agensi Kerajaan Pusat, seperti JKP Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang dibuktikan membina rumah mewah di atas tanah untuk tujuan perumahan awam di negeri ini.

“Sehingga hari ini, tidak ada satu pun permohonan secara resmi dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan sedemikian (pembinaaan rumah PR1MA).

“Apabila diteliti, permohonan oleh agensi-agensi Persekutuan tersebut sendiri, didapati bahawa projek yang dicadangkan mereka tersebut adalah untuk seunit perumahan yang mencecah RM1.8 juta di bahagian Pulau dan RM800,000.00 di bahagian Seberang Perai.

“Apakah harga RM1.8 juta dan RM800,000.00 di bahagian Pulau dan Seberang ini, adalah merupakan perumahan mampu-milik ala BN,” tanya Jagdeep kepada Abdul Rahman.

Menurut Jagdeep, sepatutnya peruntukan RM1.3 bilion dana awam untuk membina 80,000 unit PR1MA wajar turut meliputi kepentingan Pulau Pinang, memandangkan rakyat di negeri ini menyumbang cukai ketiga tertinggi kepada Kerajaan Pusat.

“Adalah jelas bahawa BN telah gagal sama sekali dan menganak-tirikan Negeri Pulau Pinang berkenaan penyediaan perumahan mampu-milik di Negeri Pulau Pinang,” tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam kenyataan bertulisnya baru-baru ini.

Sebelum itu, Jagdeep menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sudahpun merancang untuk menyediakan sebanyak 22,512 unit perumahan mampu-milik untuk warga Pulau Pinang di kesemua lima daerah di Negeri ini. 

Malahan, daripada kesemua rancangan perumahan tersebut, Jagdeep menjelaskan bahawa tiga projek telahpun dimula (commencement-of-work), iaitu, Fasa 1 Bandar Cassia di Sebarang Perai, Teluk Kumbar dan SP Chelliah di sebelah Pulau, masing-masing pada Disember 2013, Julai 2014 dan Disember 2014.

Ketiga-tiga projek itu masing-masing dijangkakan disiap pada tahun 2016, 2017 dan 2018 masing-masing.

Berikut adalah butiran terperinci mengenai unit-unit perumahan mampu-milik yang bakal akan dibina oleh Kerajaan Negeri di Pulau Pinang:-


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus