YEW Tung Seang (tiga dari kiri) dan Abdul Munir Abdul Aziz (paling kiri) antara panel pada dialog dua hala dengan pengusaha-pengusahah hotel berwajib di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
GEORGE TOWN -
Pengendali hotel tanpa lesen khususnya di sekitar George Town Tapak
Warisan Dunia UNESCO hanya perlu mengemukakan pelan bangunan serta
mematuhi beberapa syarat asas keselamatan berwajib, demi mendapatkan
lesen sementara daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
CHOW Kon Yeow |
Tarikh akhir permohonan
lesen tahunan sementara adalah pada 31 Oktober depan, sebelum langkah
penguatkuasaan daripada MBPP serta agensi-agensi lain.
“Dengan syarat yang
lebih mudah ini, diharap mereka yang mengusaha hotel tanpa lesen yang
sah pada suatu hari nanti akan berjaya mendapatkan lesen yang sah.
“Inilah hasrat
pemutihan hotel yang sedang giat dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk
kali yang kedua pada hari ini, dan kali pertama dialog seumpama ini
diadakan di Dewan Bandaraya (dekat Padang Kota Lama) pada 31 April
tahun lepas,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Padang Kota di Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di
sini baru-baru ini.
Di bahagian pulau,
katanya, 155 hotel dikenalpasti menyalahi undang-undang, manakala, 25
hotel yang lain di sekitar Seberang Perai didapati beroperasi tanpa
lesen yang sah.
"Daripada 180 hotel
berkenaan, hanya 138 telah menyahut seruan untuk mendapatkan lesen
sementara (dalam tempoh) setahun yang dikeluarkan oleh Majlis
Bandaraya Pulau Pinang pada tahun ini," jelas Kon Yeow dalam
nada yang sederhana.
Dalam ucapannya, Kon Yeow
turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa PCCC di bawah
Penasihat Eksekutifnya, Tan Sri Tan Kok Ping dan Presidennya, Datuk
Seri Choot Ewe Seng atas penganjuran dialog tahunan bersama-sama para
pengusaha hotel bajet buat kali kedua itu.
Datuk Bandar MBPP, Dato'
Patahiyah Ismail, Ar. Yew Tung Seang (Pengarah Jabatan Bangunan
MBPP) dan Abdul Munir Abdul Aziz (wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat,
BOMBA) turut tampil sebagai panelis pada majlis interaksi awam
tersebut.
Sebelum itu, Tung Seang
memberitahu bahawa 42 daripada kesemua 180 pengendali hotel terbabit
masih belum memberikan respons pada tawaran mendapatkan lesen
sementara daripada MBPP.
"Pengenali (hotel)
tidak perlu mendapatkan (kelulusan pelan) kebenaran merancang
(daripada MBPP), tetapi, memadai dengan mengemukakan sesuatu pelan
bangunan.
"Sejumlah 95 hotel
yang tidak berlesen ini dikenal pasti berada dalam (George Town Tapak
Warisan Dunia UNESCO) sendiri," jelas Tung Seang dalam
ucapannya.
Tambah beliau, MBPP
sedaya upaya cuba meringankan prosedur permohonan lesen dengan
mencadangkan pengendali berwajib melantik arkitek untuk melukis
bangunan hotel mereka, sebelum diserahkan kepada PBT.
"Apabila suatu
perakuan pematuhan diperolehi, seseorang boleh meneruskan untuk
memohon lesen itu," kata beliau.
Katanya lagi, bayaran
lesen sementara untuk tempoh setahun adalah antara RM1,200 hingga
RM2,400, iaitu bergantung kepada jenis hotel yang diusahakan oleh
pengendali berwajib.
"Bagi mereka yang
tidak memenuhi pematuhan ini selepas tarikh akhir pada 31 Oktober
2015 nanti, saya ingin menegaskan bahawa langkah-langkah
penguatkuasaan yang ketat akan dikenakan terhadap pengusaha yang
melakukan kesalahan," tegasnya lagi.
Semenatara Choot Ewe Seng
pula dalam ucapannya berharap bahawa , daripada Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) berkenaan akan melanjutkan tempoh sah lesen sementara
daripada setahun kepada dua tahun.
Ini kerana, katanya,
birokrasi dalam permohonan lesen sementara serta kekangan kewangan
merupakan antara aspek terpenting yang mendorong para pengusaha tanpa
lesen masih menangguhkan langkah menyahut seruan pemutihan hotel yang
dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, seorang
pengusaha hotel yang hanya mahu dikenali sebagai “Kent”
membangkitkan isu peraturan yang berbeza-beza antara PBT dan
jabatan-jabatan penguatkuasaan berwajib mengakibatkan kos permohonan
lesen sementara sendiri akan menjadi berlipat kali ganda.
"Forum ini
sepatutnya dapat membantu kepada kita, tetapi, ia kelihatan
seolah-olah pengendali perlu membayar sejumlah besar wang untuk
mematuhi keperluan," respons beliau pada majlis dialog dua hala
yang berlangsung hampir tiga jam itu.
Seorang pengusaha lain
pula memberitahu bahawa pengubahsuaian pada masa depan seperti
penyediaan tangga luar bagi bangunan hotel bertingkat serta sistem
perlindungan kebakaran yang diwajibkan oleh Bomba, sekaligus akan
menjejaskan proses pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan di
George Town sendiri.
Abdul Munir dalam reaksi
spontan berkata, kegunaan cat kalis api pada permukaan lantai kayu
antara alternatif yang boleh digunakan demi memulihara hotel yang
beroperasi di dalam bangunan yang mempunyai nilai warisan.
"Peraturan-peraturan
khas untuk mengelak kebakaran sebenarnya telahpun dilonggarkan oleh
Bomba sendiri, maka, mustahil pengusaha (hotel) bangunan-bangunan
warisan ini tidak boleh memenuhi peraturan-peraturan semasa,"
katanya, sambil menjelaskan bahawa peraturan-peraturan semasa
tersebut sebenarnya dikeluarkan oleh Bomba di bawah Kerajaan
Persekutuan.
Selain itu, seorang wakil
daripada Jabatan Warisan Negeri memberitahu bahawa pihaknya akan
bekerjasama dengan Bomba demi memastikan bahawa langkah pemutihan
hotel ini tidak menjejaskan keaslian bangunan-bangunan yang mempunyai
nilai warisan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment