20 May 2015

Iklim berubah, jimatkan air - Guan Eng

KETUA Menteri (paling kiri) turut mengambil kesempatan beraksi dalam permainan "dat", pada majlis keraian Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perubahan iklim serta pemanasan global belakangan ini sewajarnya mendorong pengguna air di Pulau Pinang supaya lebih berjimat cermat.

Justeru, beliau mengajak seluruh pengguna supaya mengurangkan lagi kegunaan air, demi memastikan sumber asasi itu terus mencukupi pada masa depan.

"Berbanding 10 tahun lepas, ia (iklim) kini lebih panas, berjerubu dan kering di Pulau Pinang pada masa-masa tertentu dalam setahun.

"Kita tidak boleh melawan iklim, maka kita perlu menyesuaikan diri dengan mengurangkan kegunaan air supaya kita senantiasa mempunyai sumber yang mencukupi untuk semua rakyat," ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Lagipun, katanya, kegunaan air secara berjimat-cermat membolehkan tiap-tiap pengguna menikmati tarif paling "mesra rakyat" atau terendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu RM0.32 bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama sebulan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang dianggarkan menelan peruntukan RM2 bilion penting untuk Pulau Pinang mendapatkan sumber air mentah kedua daripada Negeri Perak, selain sumber air mentah sedia ada Sungai Muda yang mengalir dari Kedah ke negeri ini.

Guan Eng memberitahu, sumber kedua itu sangat diperlukan untuk mendepani perubahan iklim sehingga tahun 2050 kelak, walaupun Pulau Pinang berjaya keluar daripada langkah catuan seperti di beberapa negeri pada krisis air lalu.

"Kerajaan Persekutuan dan (Kerajaan Negeri) Perak seakan membelakangi janji yang mereka buat sendiri untuk SPRWTS ini di mana Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak mahu untuk menjadi orang tengah untuk berbincang antara Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang.

"Sebaliknya, KeTTHA telah meminta kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) pula untuk berunding secara langsung dengan Perak dalam SPRWTS ini," jelas Guan Eng.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Water Watch Penang turut hadir pada majlis keraian tersebut.

'Penang Sky Cab' bukan ganti MRT Pusat, respons Guan Eng

ILUSTRASI 'Penang Sky Cab' yang dibina dari tapak Penang Sentral dekat Bagan bagi menghubungkan tanah besar Seberang Perai dengan bahagian pulau.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACON

GEORGE TOWN - Projek kereta kabel 'Penang Sky Cab' yang menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar Seberang Jaya sebenarnya adalah produk pelancongan masa depan Kerajaan Negeri, dan bukanlah ganti pada janji politik Kerajaan Pusat menjelang pilihan raya umum lepas untuk membina transit laju massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) atau monorel di negeri.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri tidak perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu memandangkan 'Penang Sky Cab' sebenarnya adalah di bawah kategori produk pelancongan negeri.

"Selepas menunggu selama beberapa tahun (untuk Kerajaan Persekutuan untuk mula membina MRT), kami (Kerajaan Negeri) akhirnya mengambil keputusan untuk membinanya (Penang Sky Cab) kita (Kerajaan Negeri) sendiri.

“Tentulah ('Penang Sky Cab') ini tidak ada kaitan dengan pengangkutan awam kerana ia hanya akan mengangkat 10 penumpang bagi satu kereta (kabin), dan ini perlu supaya kita boleh mengatasi masalah kesukaran mendapatkan lesen sekiranya ia satu sistem pengangkutan.

"Kalau kita lihat, sistem ini akan dianggap sebagai satu produk pelancongan yang pada masa yang sama memainkan peranan sebagai satu alternatif bagi pengangkutan awam yang 'lembut'," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Produk pelancongan 'Penang Sky Cab' diumumkan pada 15 April lepas oleh Guan Eng sendiri, selepas dicadangkan oleh syarikat kerajaan persekutuan, Penang Sentral Sdn. Bhd. (PPSB) dengan anggaran kos antara RM250 juta hingga RM300 juta, dan dijangka siap pada tahun 2018.

Guan Eng memberitahu, 'Penang Sky Cab' sebenarnya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, sementara menunggu Kerajaan Pusat merealisasikan pembangungan MRT, LRT atau monorel yang kononnya pada tahun 2030 nanti.

Tak boleh bina rumah mewah atas tanah untuk tujuan awam – Jagdeep

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri hari ini tidak akan meluluskan sebarang projek pemajuan rumah mewah yang dimohon oleh agensi Persekutuan seperti JKP Sdn. Bhd. (JKP) dan Lembaga Kemajian Wilayah Pulau Pinang (PERDA), jika membabitkan tanah yang diambil atas tujuan awam.

JAGDEEP Singh Deo
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang merangkap, Datuk Jahara Hamid.

“Melalui pengakuan mereka (pembangkang Pulau Pinang)sendiri, sekali lagi didapati bahawa daripada 15 projek yang dikemukakan, 11 akan dibina di atas tanah yang diperolehi melalui pengambilan tanah untuk tujuan awam.

“Undang-undang memperuntukan bahawa sekiranya tanah tersebut diperoleh melalui pengambilan balik, maka perumahan yang perlu dibina semestinya adalah perumahan awam, iaitu Kos Rendah (KR) dan Kos Sederhana Rendah (KSR),” tegas Jagdeep Singh Deo pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undang Negeri (DUN) Yang Ke-13 di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Jahara yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar menegaskan bahawa JKP dan PERDA sepatutnya dibenarkan membina rumah mewah demi menangguh subsidi-silang (cross-subsidise) memandangkan kedua-dua agensi persekutuan itu membina setiap unit KR berharga RM42,500, KSR (RM72,500 seunit) serta Rumah Mampu Milik (berharga RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 seunit).

Jagdeep berkata, dalih subsidi silang itu adalah tidak dapat diterima kerana Rumah Mampu Milik di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sehingga hari ini masih belum dibina di negeri ini, walaupun beberapa kali dijanjikan oleh Kerajaan Pusat.

“Melalui perumahan mampu milik PR1MA oleh Kerajaan Pusat sendiri, yang malangnya belum sampai ke Pulau Pinang...di mana kesemua perumahan yang dibinanya (oleh Kerajaan Pusat) adalah di antara RM100,000 dan RM400,000, serta tiada elemen subsidi silang.

“Ini (dalih Jahara) adalah justifikasi yang tidak boleh diterima kerana permohonan JKP dan PERDA tersebut dikatakan mereka sendiri untuk (pembinaan) rumah mampu milik, namun, setelah disemak melalui pengakuan mereka sendiri, didapati bahawa kebanyakan unit rumah yang ingin dibina mereka adalah jenis yang jauh melebihi (harga) siling Rumah Mampu Milik,” tegas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat.

Respons Jagdeep lagi, harga seunit rumah yang ingin dibina oleh agensi Persekutuan di atas tanah yang diambil untuk tujuan awam di bahagian Pulau dan Seberang Perai masing-masing didapati mencecah sehingga RM1,850,000 dan RM800,000.

Jagdeep berkata, kesemua 22,512 rumah atau 787 KR, 7,874 KSR dan 13,851 yang akan dibina di negeri ini adalah 100 peratus adalah perumahan awam, dengan harga tiap-tiap unit mengikut harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat sendiri.

'Middle Bank' bergantung pada maklum balas JAS, DEIA, respons Guan Eng

KETUA Menteri memberi respons kepada ADUN UMNO bagi Kawasan Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, pada sesi perbahasan DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Rancangan masa depan untuk projek tebus guna tanah laut seluas 607 hektar di Sungai Pinang yang dikenali sebagai “middle bank” masih belum diputuskan secara muktamat oleh Kerajaan Negeri, sungguhpun menggamit kebimbangan para pencinta alam di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hanya mengadakan Surat Pernyataan Hasrat (RFP) bagi mereka yang berminat dengan projek tersebut, selain masih menunggu maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA).

“Kami hanya adakan satu RFP di mana kami nak tengok sama ada ia boleh berjalan atau tidak. 

“Kalau laporan (JAS dan DEIA) nyatakan tidak boleh jalan, maka, kami tak akan buat. Sekarang belum ada keputusan dibuat,” jelas Guan Eng kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menegaskan bahawa rancangan tambakan yang dianggap menjejaskan ekosistem laut itu sebenarnya diluluskan oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional, dahulu.

"Saya berasa terkejut bila BN (Barisan Nasional) tak mahu ambil tanggungjawab bahawa ini semua termasuk dalam rancangan struktur negeri Pulau Pinang yang diluluskan mereka pada 2007. 

“Kami (Kerajaan Negeri hari ini) kena ikut rancangan struktur negeri, itu undang-undang. Tapi, kami pun tahu ia mesti berdasarkan kelulusan JAS dan DEIA.

"(Justeru,) jangan cakap kami luluskan bila masih di peringkat penilaian," tegas Guan Eng lagi sebagai menjawab beberapa persoalan berbangkit daripada ADUN pembangkang Pulau Pinang.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat BN pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 menggesa Kerajaan Negeri supaya melihat semula rancangan tebus guna tanah tersebut, yang dikatakan bakal memusnahkan kawasan penangkapan ikan.

ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah mendakwa projek tebus guna tanah tersebut dikatakan demi memberi laluan pada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu dijangka akan turut memusnahkan tapak pembiakan di kawasan pantai.

Ditanya berapa lama peringkat penilaian itu akan berlangsung, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri hari ini sendiri masing menunggu maklum balas JAS serta DEIA, sebelum membuat pertimbangan selanjutnya berhubung projek yang diluluskan sejak sebelum tahun 2008 itu.

RM1 juta bantuan bina 14 rumah luar bandar – Dr. Afif

DR. Afif Bahardin pada sesi penggulungan di DUN Pulau Pinang dekat George Town baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Sebanyak 24 buah rumah membabitkan golongan terpilih di kawasan luar bandar akan dibina pada tahun ini dengan peruntukan hampir RM1 juta (RM960,000), berbanding sejumlah RM467,000 yang telahpun dibelanjakan untuk pembinaan 14 rumah pada tahun lepas.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif memberitahu, Kerajaan Negeri dalam projek pembangunan luar bandar berwajib telahpun memperkenalkan kadar baru bagi membina sebuah rumah, daripada RM35,000 kepada RM40,000, memandangkan kos pemajuan semasa kian meningkat.

“Kerajaan Negeri prihatin dan komited di dalam memastikan pembangunan desa yang lestari dan membantu menambah baik taraf kehidupan penduduk desa,” ujar Dr. Afif pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkenaan berkata, sebanyak RM1,575,550 telahpun dibelanjakan pada tahun lalu untuk membaik pulih 155 buah rumah terpilih.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk perbelanjaan RM709,000 untuk projek baik pulih 54 buah rumah terpilih sejak bulan Januari hingga April lepas, dengan peruntukan baik pulih sebuah rumah dinaikkan daripada RM11,000 kepada RM15,000.

Selain itu, Dr. Afif mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri sehingga bulan Aprl tahun ini turut membelanjakan peruntukan sebanyak RM127,629.77 untuk pembekalan bantuan peralatan usahawan luar bandar.


“MMK Pembangunan Desa juga sedang rangka penyediaan Dasar Pembangunan Desa 2016-2018 agar suatu direktif lebih tersusun dan lebih berstrategi dirangka bagi membantu meningkatkan sosio-ekonomi penduduk luar Bandar,” jelas beliau sebagai menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Pembangkang Pulau Pinang.

Nicol raih Anugerah Perdana TYT P.Pinang

(Dari kiri) CHONG Eng, Ku Jin Keat, Wan Abdul Hamid Wan Mahmood dan Freederick Tan Teck An pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2014, di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Ratu skuasy negara, Dato' Nocol Ann David sekali lagi dipilih menjulang Anugerah Perdana T.Y.T. Pulau Pinang, sekaligus mengulangi rekod cemerlangnya selama tujuh musim sejak tahun 2004.

Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri menyerahkan anugerah tersebut kepada semua 11 penerima terpilih pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2014 yang dilangsungkan di Hotel The Light di sini baru-baru ini.

Nicol yang baru menamatkan saingan separuh akhir Terbuka British di Hull, England pada 16 Mei lalu, diwakili oleh ayahnya, Desmond David.

Manakala, penerjun negara, Ooi Tze Liang, 22, pula muncul sebagai olaharagawan baru negeri berdasarkan kejayaannya mencipta sejarah baru negara dengan membawa pulang pingat emas pertama dalam acara terjun kategori lelaki pada saingan Sukan Komanwel Glasgow, tahun lalu.

Tze Liang turut diwakili oleh ayahnya, Oooi Hong Cherng, 57, disebabkan beliau sedang menjalani latihan persediaan di China sempena kejohanan Sukan SEA nanti.

Nicol dan TZe Liang masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan 2014 dirangkul oleh dua atlet muda daripada sukan karate, Ooi San Hong, 15, dan skuasy, Nur Aliah Izzati Muhammad Anis, 15.

Mereka berdua turut membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Skuad Karate Do (Kata) muncul pasukan lelaki terbaik selepas menampilkan aksi membanggakan dengan meraih emas dalam kejohanan South East-Asian Karate (SEAKF) yang ketiga di Vietnam tahun lepas.

Sementara pasukan Skuasy yang dibarisi Nicol, Loo Wee Wern dan Vanessa Raj menjadi pasukan wanita terbaik menerusi pencapaian mereka dalam menggondol emas semasa Sukan Asia Incheon di Korea Selatan yang lepas.

Pemenang anugerah berkenaan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,500.

Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2015 pula diberikan kepada Mejar (B) Wan Abdul Hamid Bin Wan Mahmood, atas kewibawaannya dalam memajukan arena sukan tinju di peringkat negara dan negeri.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Chong Eng dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah.

"Diharapkan penghargaan, anugerah dan ganjaran yang diterima oleh semua atlet pada hari ini dapat membakar lagi semangat semua pihak agar lebih tekun memburu kejuaraan untuk tahun depan pula," jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim, Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Dato' Freederick Tan Teck An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) turut hadir pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan lain, Chong Eng turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja korporat, antaranya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Malaysia Trade & Transport Co Sdn Bhd, Modular Platinum Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Nusmetro City Sdn Bhd, Hunza Ventures Sdn Bhd, Eco Meadows Sdn Bhd, Nuwata Sdn Bhd, dan semua Persatuan Sukan Negeri dan orang perseorangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis anugerah yang berprestij ini.

11 penerima Anugerah Sukan Negeri 2014 adalah:

Anugerah Perdana TYT 2014
Dato' Nicol Ann David (Skuasy)

Anugerah Olahragawan 2014
Ooi Tze Liang (Terjun Air)

Anugerah Olahragawati 2014
Dato' Nicol Ann David (Skuasy)

Anugerah Olahragawan Harapan 2014
Ooi San Hong (Karate)

Anugerah Olahragawati Harapan 2014
Nur Aliah Izzati Bin Muhammad Anis (Skuasy)

Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik 2014
Pasukan Karate (Kata)

Anugerah Pasukan Wanita Terbaik 2014
Pasukan Skuasy

Anugerah Olahragawan Paralimpik 2014
Muhamad Suhaili Bin Abd. Hamid (Tenpin Boling)

Anugerah Olahragawati Paralimpik 2014
Rabiatul Adawiyah Binti Mohamad Azhar

Anugerah Jurulatih Terbaik 2014
Ku Jin Keat (Karate)

Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2015
Mejar (B) Wan Abdul Hamid Bin Wan Mahmood (Tinju)

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus