20 May 2015

Iklim berubah, jimatkan air - Guan Eng

KETUA Menteri (paling kiri) turut mengambil kesempatan beraksi dalam permainan "dat", pada majlis keraian Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perubahan iklim serta pemanasan global belakangan ini sewajarnya mendorong pengguna air di Pulau Pinang supaya lebih berjimat cermat.

Justeru, beliau mengajak seluruh pengguna supaya mengurangkan lagi kegunaan air, demi memastikan sumber asasi itu terus mencukupi pada masa depan.

"Berbanding 10 tahun lepas, ia (iklim) kini lebih panas, berjerubu dan kering di Pulau Pinang pada masa-masa tertentu dalam setahun.

"Kita tidak boleh melawan iklim, maka kita perlu menyesuaikan diri dengan mengurangkan kegunaan air supaya kita senantiasa mempunyai sumber yang mencukupi untuk semua rakyat," ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Lagipun, katanya, kegunaan air secara berjimat-cermat membolehkan tiap-tiap pengguna menikmati tarif paling "mesra rakyat" atau terendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu RM0.32 bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama sebulan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang dianggarkan menelan peruntukan RM2 bilion penting untuk Pulau Pinang mendapatkan sumber air mentah kedua daripada Negeri Perak, selain sumber air mentah sedia ada Sungai Muda yang mengalir dari Kedah ke negeri ini.

Guan Eng memberitahu, sumber kedua itu sangat diperlukan untuk mendepani perubahan iklim sehingga tahun 2050 kelak, walaupun Pulau Pinang berjaya keluar daripada langkah catuan seperti di beberapa negeri pada krisis air lalu.

"Kerajaan Persekutuan dan (Kerajaan Negeri) Perak seakan membelakangi janji yang mereka buat sendiri untuk SPRWTS ini di mana Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak mahu untuk menjadi orang tengah untuk berbincang antara Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang.

"Sebaliknya, KeTTHA telah meminta kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) pula untuk berunding secara langsung dengan Perak dalam SPRWTS ini," jelas Guan Eng.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Water Watch Penang turut hadir pada majlis keraian tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus