Skip to main content

Pinjaman mikro kredit PTSR di Pulau Pinang kini RM9.48 juta, 83.4 peratus Melayu

MOHD. Rashid Hasnon (lima dari kanan hadapan) bergambar kenangan bersama-sama 30 peminjam PTSR lain di Kompleks PDC baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK – Sehingga kini Kerajaan Negeri melalui Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) telah mengeluarkan pinjaman mikro kredit sebanyak RM9.48 juta kepada 2,179 orang.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Melayu merupakan penerima pinjaman mikrokredit terbanyak, iaitu sebanyak 83.4 peratus.

"Kerajaan Negeri bersama PDC telah memberikan pinjaman kepada 2,179 orang usahawan seluruh negeri bersamaan 83.4 peratus Melayu, 8.4 peratus Cina dan 8.2 peratus India.

“Namun kita terkilan apabila masih terdapat 18 peratus peminjam masih gagal melunaskan bayaran balik. Jumlah ini keseluruhan bernila RM1.57 juta,” ujar Mohd. Rashid kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkenaan berkata demikian pada Majlis Penyampaian PTSR di Kompleks Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Phan Gaik Cher (Ketua Pegawai Kewangan PDC).

MOHAMMAD Hafiz Afandi
Semasa ditemui kemudian, Muhammad Hafiz Afandi yang juga penerima pinjaman kali yang kedua mengaku bahawa PTSR banyak membantu beliau mengembangkan modal perniagaan kuih-muih.

Kata beliau lagi, kaedah pembayaran balik secara mingguan dengan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sendiri datang mengutip wang di premis perniagaan, diakui memudahkan urusannya.

“Ini merupakan kali kedua saya melakukan pijaman ini setelah merasakan pinjaman ini begitu mudah dan membantu, dengan syarat kita harus mendisiplinkan diri untuk membuat bayaran balik.

“Pinjaman kali kedua ini akan digunakan untuk membeli sebuah mesin membuat karipap dan membeli peti ais sejuk beku untuk kegunaan perniagaan saya,” ujar Muhammad Hafiz.

Difahamkan, kali pertama Muhammad Hafiz menerima pinjaman mikro kredit itu pada dua tahun lalu.

PTSR merupakan usahasama Kerajaan Negeri, PDC dan Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2009 dalam membantu usahawan kecil di negeri ini.

Pada Disember 2010, PDC telah mengambil alih PTSR sepenuhnya daripada pihak USM yang menguruskan pinjaman sebelum itu.