13 April 2015

Kupon MPSP baru seragam caj parkir, GST – Maimunah

MAIMUNAH Mohd. Sharif.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Sebernag Perai (MPSP) akan mengeluarkan kupon parkir yang baru tidak lama lagi, dengan diseragamkan secara langsung dengan caj tambahan daripada pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Justeru, Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, pembekal dan pengguna masih boleh menggunakan kupon sedia ada sehingga bulan Jun ini, sungguhpun Kerajaan Pusat menguatkuasakan GST sejak 1 April lepas.

“Kita semua tahu bahawa GST ini bermula pada 1 April dan kita masih menggunakan kupon parkir yang lama.

“Ini bertinya, MPSP lah yang menanggung kos GST daripada aspek kupon ini, demi menghabiskan stok sedia ada sehingga akhir bulan Jun.

“Mulai 1 Julai, kita (MPSP) akan menggunakan kupon parkir baru bersama dengan 6 peratus GST yang kita (MPSP) diminta kutip daripada pelanggan bukan untuk kita (MPSP), tetapi untuk diserahkan terus kepada Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).

“Kadar baru parkir sejam bersama GST selepas ini adalah 42.4 sen umpamanya, akan kita (MPSP) bundarkan menjadi 40 sen, maka, ini bererti caj 2.4 sen tersebut majlis (MPSP) akan serap dan bayar kepada Kastam nanti,” jelas Maimunah kepada wartawan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Ir. Rozali Mohamud pada sidang media sama berkata, kupon sedia ada tidak lagi boleh dijual atau ditebus dengan wang selepas 1 Julai nanti.

“Dalam tempoh tiga bulan ini (mulai April hingga Jun), kita (MPSP) minta semua agen jual sampai habis semua kupon (parkir) sedia ada.

“Selepas tiga bulan, akan dikenakan 6 peratus GST (dengan menggunakan kupon MPSP baru), maka, tidak boleh lagi menjual kupon sedia ada (yang lama),” jelas Rozali lagi.

Terdahulu, Maimunah mendedahkan MPSP dianggarkan memungut RM1.7 juta susulan penguatkuasaan GST sepanjang tahun ini untuk diserahkan kepada Kastam, manakala, RM4.96 juta lain akan ditanggung oleh PBT tersebut sebagai kos perolehan berwajib.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menggambarkan bahawa MPSP serta satu lagi PBT, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pun turut terbeban dek GST sebagaimana ditanggung oleh rakyat terbanyak kini, walaupun kedua-dua kerajaan tempatan tersebut jelas tidak melaksanakan aktiviti perniagaan komersial.

Guan Eng syor PIBG rayu GST dikecualikan di sekolah mubaligh

KETUA Menteri (tengah) diiringi barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain menyerahkan cek replika RM1,175,000 kepada para wakil PBIG pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kesemua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) bagi 20 sekolah mubaligh yang dipilih menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM1,175,000 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini disyor menghantar memorandum bersama bagi merayu pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas semua projek pembangunan infrastruktur di sekolah mereka masing-masing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu wajar memandangkan Putrajaya sebelum ini telahpun menggambarkan bahawa sektor pendidikan awam tidak akan dikenakan 6 peratus GST mulai 1 April lepas.

“Kerajaan Negeri yang melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan awam pun turut dikenakan 6 peratus GST yang membebankan, dan ini tidak adil. 

“Kamu (Kerajaan Pusat) tidak boleh memberi kepada kami dana bantuan sebagaimana dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini, itu tidak merisaukan, tetapi, janganlah diambil cukai (6 peratus GST) daripada projek pemajuan infrastruktur pendidikan di sekolah-sekolah mubaligh kami.

“Maka, saya ingin mencadangkan semua sekolah mubaligh bergabung secara bersama dan cuba untuk memanghantar satu memorandum kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, untuk mengelak GST ini,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih pada Majlis Penyerahan Cek Replika Dana Sumbangan Pendidikan Kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, bantuan pendidikan kepada sekolah agama bantuan kerajaan negeri, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, serta sekolah aliran mubaligh diagihkan berdasarkan keperluan berwajib, tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Turut berucap, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng.

“Saya berharap sumbangan Kerajaan Negeri ini dibelanjakan mengikut keutamaan, yang mana projek yang mesti didahulukan, mesti didahulukan, dan yang mana projek samping, maka, mesti dikemudiankan,” jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina & Mubaligh Pulau Pinang.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2010 memperuntukan RM850,000 kepada sekolah-sekolah mubaligh, diikuti, RM1,217,000 (2011), RM1,282,500 (2012), RM1,279,000 (2013), RM1,064,000 (2014) dan terbaru RM1,175,000 (2015).

Manakala, 20 sekolah mubaligh yang menerima sumbangan bantuan pendidikan pada kali ini adalah Sekolah Kebangsaan Assumption, Sekolah Kebangsaan Convent Butterworth, Sekolah Kebangsaan St. Mark Butterworth, Sekolah Menengah Convent Butterworth, Sekolah Kebangsaan Convent Green Lane, Sekolah Kebangsaan St. Mark Perai, Sekolah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan St. Xavier Jalan La Salle, Sekolah Kebangsaan Convent Lebuh Light, Sekolah Perempuan Methodist, Sekolah Kebangsaan Pyket Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Sekolah Menengah Convent Lebuh Light, Sekolah Kebangsaan St. Xavier, Sekolah Kebangsaan St. Xavier Cawangan, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Pulau Tikus, Sekolah Menngah Kebangsaan St. Mark Butterworth dan Sekolah Kebangsaan St. George Balik Pulau.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), A. Thanasekaran (ADUN Bagan Dalam), Dr. T. Jayabalan (ADUN Batu Uban), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan Sim Phoi Yong (Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina & Mubaligh Pulau Pinang) turut hadir pada majlis tersebut baru-baru ini.

P.Pinang sasar capai 40 peratus kitar semula antarabangsa menjelang 2020

CHOW Kon Yeow (paling kiri) menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Rising & Capacity Building On Organic Waste Management Stakeholder Workshop dekat Hotel The Light Seberang Perai, Permatang Pauh pada pagi tadi. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH - Kerajaan Negeri berharap 40 peratus kitar semula yang disasarkan bagi negara-negara maju peringkat antarabangsa mampu dicapai di Pulau Pinang menjelang tahun 2020.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, kadar tersebut mampu direalisasikan memandangkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak berapa tahun lepas telahpun berjaya mencapai sasaran kitar semula tahunan peringkat kebanggaan bagi tahun 2020, iaitu pada kadar 24 peratus.

Difahamkan, kadar kitar semula tahunan sekarang bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) masing-masing 28 peratus dan 34 peratus.

"Pulau Pinang sekarang adalah negeri tertinggi mengamalkan kitar semula dengan (kadar purata) 31 peratus, dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) merupakan PBT (pihak berkuasa tempatan) yang melakukan kitar semula paling tinggi di negara ini.

"Pulau Pinang sebenarnya telahpun berjaya mencapai sasaran kebanggaan (sejak) berapa tahun lalu, maka, kita (Kerajaan Negeri) sasar sasaran antarabangsa bagi negara-negara maju pula pada kadar 40 peratus (sisa pepejal) dikitar semula sebelum tahun 2020," ujar Kon Yeow dalam majlis Rising & Capacity Building On Organic Waste Management Stakeholder Workshop dekat Hotel The Light di sini, pagi ini.

Justeru, Kon Yeow berharap Pulau Pinang mendapat sokongan dana daripada badan-badan antarabangsa berwajib kelak, termasuk United Nation Environment Programme (UNEP) sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu rancangan MPSP untuk membuka tapak pelupusan baru di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) masih menunggu proses kelulusan berwajib daripada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Fasa tiga Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung masih menunggu kelulusan daripada EIA dan harap dapat dibuka, sebelum ketinggian sampah di tapak fasa satu dan fasa dua sampai pada tahap maksimum," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye dan Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud turut hadir pada majlis yang mendapat sokongan langsung daripada UNEP tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus