17 July 2013

267 terima RM278,900 biasiswa Lembaga Wakaf Hindu

P.RAMASAMY (tiga dari kanan) menyerahkan biasiswa kepada P.Dhurga (paling kiri) sambil diperhati oleh A.Thanasekharan (dua dari kanan) dan K.Pulaventhiran (paling kanan) dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

LEMBAGA Wakaf Hindu (HEB) baru mengagihkan biasiswa berjumlah RM278,900 kepada 267 anak Pulau Pinang beragama Hindu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, sebanyak 300 mahasiswa layak dipilih menerima sumbangan bagi tahun 2013 sungguhpun pejabat HEB menerima kira-kira 1,300 permohonan.

"Kerajaan Negeri menyediakan biasiswa ini untuk tujuan pengajian sahaja. Keutamaan diberikan kepada pelajar yang miskin sahaja," ujar beliau di George Town baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N.Rayer, A.Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) dan Datuk K.Pulaventhiran (Pengerusi Persatuan Kebudayaan India Pulau Pinang) turut hadir pada majlis tersebut.

Ramasamy yang juga Pengerusi HEB berkata, Kerajaan Negeri melalui lembaga tersebut mengagihkan RM243,100 sumbangan biasiswa kepada 268 pelajar pada tahun lepas.

Pada tahun 2011, sebanyak RM227,000 biasiswa diagihkan kepada 149 pelajar, manakala, RM109,253 biasiswa diagihkan kepada 39 mahasiswa pada tahun 2010.

P.Dhurga, mahasiswi tahun dua jurusan farmasi di Universiti AIMST, Kedah yang ditemui kemudian melahirkan rasa terharu atas sumbangan pendidikan yang diterima daripada Kerajaan Negeri.

"(Biasiswa) RM3,000 ini akan digunakan untuk membayar yuran tahunan universiti," ujar beliau.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap masa depan semua anak Pulau Pinang, termasuk mahasiswa beragama Hindu.

MPSP anjur seminar lapor bangunan selamat 25 Julai

CHOW Kon Yeow (kiri) bersama Yew Tong Seang dalam satu sidang media tengah hari tadi.
MAJLiS Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan mengadakan Seminar Pemeriksaan Berkala Struktur dan Keselamatan Bangunan pada 25 Julai ini di Komtar (Auditorium A), George Town demi mengelak insiden rod penebat kilat runtuh dari bumbung Menara Umno Pulau Pinang dari berulang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Syeksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 secara mandatori menuntut empunya bangunan yang berketinggian melebihi lima tingkat serta berusia melebihi 10 tahun dari tarikh Sijil Kelayakan Menduduki supaya melantik jurutera bertauliah bagi mengemukakan laporan berwajib kepada MPPP.

"Ini untuk memastikan semua bangunan berada dalam keadaan selamat dari segi penyelenggaraan serta kekukuhan strukturnya.

"Kita berharap seminar ini dapat memberi kesedaran kepada mereka (peserta seminar)," ujar beliau tengah hari tadi di sini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, kumpulan sasaran seminar itu adalah pemilik bangunan, iaitu badan pengurusan (MC), badan pengurusan bersama (JMB), pemaju, arkitek dan jurutera.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Bangunan MPPP, Ir. Yew Tung Seang mendedahkan sebanyak 349 notis berkaitan telahpun dikeluarkan kepada empunya bangunan berwajib.

Dari jumlah itu, beliau berkata, MPPP hanya menerima 55 laporan sahaja.

"Kita pun nak mendengar penjelasan daripada peserta (mengenai) sebab-musabab mereka tidak boleh menyerahkan laporan pemeriksaan struktur dan keselamatan bangunan kepada MPPP," ujar Tung Seang.

Langkah progresif itu sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mewujudkan persekitaran selamat di Pulau Pinang demi kepentingan rakyat.

Ternak khinzir perlu 'Sediment Pond' RM7 juta Pusat - Exco

DR. Afif Bahardin menunjukkan sebahagian kawasan muara Sungai Kereh yang nyata kotor dengan sisa penternakan babi dan sampah-sarap ekoran tiadanya 'sediment pond'. 

KERAJAAN Pusat wajar mengeluarkan peruntukan kira-kira RM7 juta bagi membina kolam perangkap mendapan (sediment pond) di Sungai Kereh dekat Kampung Selamat di sini, sekiranya ikhlas mahu menyelesaikan masalah pencemaran sungai tersebut yang berpunca oleh kumbahan sisa dari 85 ladang ternak khinzir.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, inisiatif Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor) sebelum ini menyalurkan peruntukan Pusat berjumlah RM750,000 untuk kerja-kerja infrastruktur serta pelepasan mikrob berguna (UM) hanya solusi sementara bagi menurunkan kadar pencemaran di sungai tersebut.

Kerajaan Negeri sendiri, menurut beliau, memperuntukan RM10,000 pada tahun 2010 bagi melepaskan UM (useful microbe) ke sungai tersebut sahaja, diikuti, RM25,000 (2011), RM40,000 (2012) dan terbaru RM90,000 (2013).

Impaknya, beliau berkata, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai tersebut sejak tahun 2010 dilihat kian terpulihara pada kadar 3, berbanding sebelumnya pada kadar 5 (tercemar teruk).

Justeru, beliau berkata, IKA Sungai Kereh yang menyalir ke kawasan pertanian padi berkeluasan keseluruhan 351 hektar di Mukim 12 Kampung Tok Bedu, Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar, Kampung Datuk Keramat, Kampung Tasek Gelugor, Kampung Air Itam, Kampung Air Dalam, Kampung Matahari Naik dan Kampung Pokok Tampang tidak wajar dipersoal lagi kerana sumber air tersebut masih di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (LPS).

"Ini soalan yang dikitar semula di Parlimen (Dewan Rakyat) sahaja. Sekurang-kurangnya Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang baru (Shabudin Yahaya) kaji dahulu apa yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Nor Mohamed atas inisiatif beliau sebelum ini.

"Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri) masih tidak mempunyai solusi tetap bagi menangani masalah lama ini...kalau Pusat serius, bawalah peruntukan untuk bina sidement pond di Sungai Kereh," ujar beliau di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, semalam.

Penjelasan Dr. Afif itu sekaligus menolak tuduhan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang menyebut Kerajaan Negeri kononnya mengabaikan pencemaran Sungai Kereh dan beberapa sungai lain akibat dari kumbahan sisa khinzir.

"Masalah ini timbul sejak 15 tahun dulu, saya pun tak tahu apa Kerajaan Negeri (era Barisan Nasional) dulu buat.

"Janganlah isu ini dimainkan (atas sentimen) keagamaan pula (kerana) tidak mudah untuk ditutup sekarang kerana semua ladang tersebut mempunyai lesen yang sah.

"Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Kawalan Pencematan di bawah JPV telahpun mengawal kadar efluen ladang babi.

"Pihak JPV akan menahan permit pemindahan ternakan (ke atas) ladang (ternakan khinzir) yang melebihi tahap BOD (permintaan oksigen biokimia) 50," ujar beliau menuntut keikhlasan daripada Shabuddin dan Ismail Sabri.

Baginya, kira-kira 100,000 ekor khinzir yang diternak di kawasan tersebut sepatutnya dianggap sebagai jaminan keselamatan makanan (food security) bagi pelanggan bukan Islam di negeri berkenaan.

Tuntas itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk duduk semeja dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan operasi penternakan khinzir di kawasan berkenaan mengikut piawaian yang digariskan oleh kementerian berwajib.

Projek langgar Najib, anti TPPA di KL Jumaat ini!



RAKYAT melancarkan demontrasi sert perarakan aman pada Jumaat, 19 Julai kira-kira jam 2.00 petang dari perkarangan Masjid Wilayah ke Kompleks MiTi dekat Jalan Duta bagi membantah pelaksanaan Perjanjian Persefahaman Trans-Pasifik (TPPA).

Semua dijemput hadir!

Muhyiddin 'tazkirah' Kuala Besut RM343,000

TiMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun bertazkirah sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Besut serta mengumumkan peruntukan RM343,000 bagi menaik taraf Masjid Haji Ishak dekat Kampung Dengir.

Dalam tazkiah di depan kira-kira 200 jemaah solat taraweh, Timbalan Presiden Umno itu meminta rakyat mengundi 'calon Putrajaya' Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman.

"Peristiwa (pergolakan seperti di Syria dan Mesir) itu satu iktibar bagi rakyat Malaysia untuk merasa begitu bersyukur kerana berada dalam keadaan aman dan selesa di Malaysia.

"Sebab itu yang penting bagi kita ialah bagaimana untuk memupuk semangat persefahaman di kalangan umat Islam, walau tidak seteruk di negara luar, tetapi, kita bimbang disebabkan perbezaan politik telah menggugat semangat ukhuwah yang terjalin sekian lama," dalihnya di sini, semalam.

Hadir bersama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Idris Jusog (Menteri Pendidikan II) dan Fathul Bari Mat Jahaya (Pengerusi Sekretariat Ulamak Muda Malaysia).

Terdahulu, Muhyiddin memberi isyarat pemberian rumah percuma yang didakwanya 'Islamis' kepada 72 keluarga terpilih.

Beliau berdalih, insiatif itu bukan rasuah pilihan raya.

Itu, tidak termasuk pemberian RM200 kepada 1,091 pengundi Kuala Besut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus