22 April 2017

Komuniti Sikh sambut Vasakhi di Port Cornwallis, Guan Eng anggap kepelbagaian jadikan P.Pinang istimewa



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

PADANG KOTA - Festival Vasakhi Peringkat Negeri Pulau Pinang di Fort Cornwallis pada malam ini menerima kehadiran hampir 3,000 orang, kebanyakan komuniti Sikh.

Ketika berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu Pulau Pinang dilihat begitu istimewa kerana rakyatnya yang majmuk meraikan kepelbagaian dengan semangat kesederhanaan dan muhibah.

"Dan sebab itulah George Town diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO kerana nilai penduduk di sini bukan setakat damai dan harmoni, malah kita saling bertoleransi dan begitu menghormati nilai perbezaan antara kita.

"Nilai kepelbagaian ini menjadikan sumbu kejayaan Pulau Pinang," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam sambil merakamkan penghargaan kepada komuniti Sikh di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer; Ahli Parlimen Bukit Gelugor; Ram Karpal, serta barisan pemimpin komuniti Sikh turut sertai keraian tersebut.

Menurut Guan Eng, mendiang Karpal Singh adalah bagaikan "tiang seri Malaysia" dalam menyuburkan semangat demokrasi berperlembagaan di tanah air ini; dan sumbangan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu wajar menjadi kebanggaan komuniti Sikh di tanah air ini.

Selain itu, Guan Eng menyeru barisan pemimpin semua agama di Pulau Pinang supaya membantu Kerajaan Negeri menyemarak kesederhanaan tulen serta menghakis sentimen perkauman dan fahaman melampau dalam kalangan rakyat yang majmuk.

Nyanyian lagu, pelbagai tarian kebudayaan serta juadah makanan tradisi masyarakat Sikh antara yang menarik sebagai menghargai semua pengunjung ke sini.

Pesta Gawai, Keamatan tahun ke-4 di P.Pinang serentak 13 Mei

SUASANA perayaan berkembar di Pulau Pinang pada tahun lepas.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 

GEORGE TOWN - Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sekali lagi akan menganjurkan Pesta Gawai Peringkat Negeri pada 13 Mei depan, serentak dengan sambutan Keamatan.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata ini adalah keraian tahunan kali keempat dan Kerajaan Pulau Pinang mungkin satu-satunya di tanah air ini yang menganjurkan perayaan seumpama itu di luar negeri Sabah dan Sarawak. 

"Di Pulau Pinang sahaja terdapat 30,000 orang pemastautin yang berasal dari Sabah dan Sarawak dan mereka terdiri daripada  tiga sektor utama  iaitu penjawat awam, perkilangan dan penuntut di universiti.

"Tahun lepas sahaja 6,000 tetamu yang hadir dan kita jangkakan tahun ini lebih dari itu.

"Jadi, kita jemput semua lapisan masyarakat untuk memeriahkan Pesta Gawai Keamatan kali ke-empat anjuran Kerajaan Negeri pada 13 Mei 2017, jam 6:00 petang hingga 10:30 malam yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng," jelas Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di sini pada pagi tadi. 

Pengerusi Penganjur, Joe Nyuin turut sertai sidang media itu.

Joe memberitahu, antara acara menarik pada program sambutan berkembar kali ini adalah penyediaan makanan tradisi Sarawak dan Sabah, seperti mi kolok, laksa Sarawak, ayam pansoh, bosou (ikan diawet), hinaba (salad ikan mentah) dan lain-lain lagi.

"Tidak ketinggalan juga persembahan kebudayaan kedua-dua negeri, Unduk Ngadau, Kumang, Keling (menonjolkan  kepahlawanan) dan bermacam lagi. Makanan halal turut disediakan untuk yang beragama Islam," jelas beliau lagi.

RM200,000 projek 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal' di Batu Feringghi siap, umum Mohd. Rashid



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

TANJUNG BUNGAH - Kerja-kerja penarafan dan baik pulih dewan kayu berusia hampir 30 tahun di Batu Feringghi menjadi gelanggang futsal tertutup dengan kos kira-kira RM200,000 mengambil masa hampir dua bulan dan siap sepenuhnya pada Januari lepas lagi.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini melaksanakan projek-projek seumpama itu meliputi semua kelima-lima daerah, di bawah program 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal'.

"Kerajaan Negeri memang nak mewujudkan 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal dan ini satu lagi kejayaan projek naik taraf infrastruktur awam untuk manfaat penduduk daerah ini," jelas Mohd. Rashid pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Dan Gelanggang Futsal Tertutup JKKK Batu Feringghi di sini pada awal pagi ini.

Serentak dengan majlis perasmian itu, Mohd. Rashid yang juga Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat turut merasmikan Kejohanan Liga Futsal Piala Timbalan Ketua Menteri I Peringkat Daerah Timur Laut, melibatkan saingan 10 pasukan.


Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Syerleena Abd. Rashid yang mewakili Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Feringghi, Ahmad Jasin.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rashid memuji pentadbiran Pejabat Daerah Barat Daya kerana memberi kepercayaan serta menyerahkan tanggungjawab mengurus gelanggang futsal di sini kepada pihak JKKK setempat.

"Seperti gelanggang futsal awam (bagi Daerah Barat Daya) di Sungai Nibong itu ketika ini masih diuruskan oleh MBPP, memang ada permohonan daripada JKKK Sungai Nibong Pantai untuk menguruskan gelanggang futsal itu seperti di Batu Feringghi ini.

"Sekarang, tempahan gelanggang di sana (Sungai Nibong) secara atas talian mesti dibuat tiga hari lebih awal, bayaran RM80 untuk dua jam (kos sewa gelanggang) pun dibuat secara online langsung kepada MBPP.

"Setakat permohonan (ambil alih pengurusan gelanggang) yang JKKK (Sungai Nibong Pantai) ini hantar telahpun ditolak, saya harap pengurusan gelanggang futsal di sana pun dipermudahkan di bawah JKKK jua, seperti di Batu Feringghi ini," jelas Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.


Ahmad pada sidang media sama memberitahu yuran RM80 sejam kerana gelanggang futsal di sini adalah secara tertutup serta menggunakan lebih tenaga elektrik, berbanding gelanggang futsal terbuka di Sungai Nibong.

"Hasil sewaan gelanggang futsal JKKK Batu Feringghi ini akan dipulangkan kepada komuniti setempat dalam bentuk bantuan dan sumbangan kebajikan seperti membeli lampin pakai buang atau barang-barang keperluan dapur kepada golongan terpilih di sini juga," respons Ahmad kepada pemberita.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Rashid memberitahu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 16 April lalu mengumumkan kelulusan peruntukan RM2.3 juta untuk membaikpulih dewan orang ramai Taman Guar Perahu, Penanti serta projek pembinaan dua gelanggang futsal awam untuk komuniti penduduk daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Katanya, inisiatif program 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal' sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri hari ini cakna dengan gaya hidup sihat yang diimpian rata-rata anak muda di Pulau Pinang.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus