05 December 2013

BN jual tanah 36 kali ganda tetapi hasil sedikit - Guan Eng

LIM Guan Eng (kiri) bergambar kenang-kenangan dengan pemilik gambar penuh dramatik peristiwa Penang International Triathalon & Duathlon (PgITD) 2013 lepas.

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Barisan Nasional menjual hampir 35 kali ganda tanah di Pulau Pinang berbanding yang dilakukan oleh pentadbirannya sejak enam tahun lepas.

Kerajaan Negeri era Barisan Nasional menjual kira-kira 3,661 ekar tanah dengan hasil keseluruhan berjumlah RM1.0586 bilion, manakala, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sekarang menjual 106.1 ekar tanah dengan hasil keseluruhan sebanyak RM1.1102 ekar.


Penjelasan Guan Eng itu sekaligus menolak tuduhan tanpa asas Naib Presiden MCA merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung sebagaimana dilaporkan dalam beberapa akhbar bahasa Cina baru-baru ini.

"Mereka (Barisan Nasional) menjual tanah (hampir) 36 kali ganda, tetapi kita (Pakatan Rakyat) dapat lebih untung kerana mengamalkan tender terbuka,” ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan pada tengah hari tadi di Komtar, George Town.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng dan Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan) turut hadir dalam sidang media itu.

Berdasar rekod Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional menjual 980 ekar tanah di Tanjong Tokong dengan harga RM1 sekaki persegi atau RM42.7 juta; 325 ekar tanah di Jelutong Expressway (RM20 sekaki persegi atau RM325 juta); 750 ekar tanah di Batu Kawan (dijual kepada Abad Naluri) (RM3.24 sekaki persegi atau RM106 juta) dan 1,606 ekar tanah di Butterworth (dijual kepada Rayson Consortium Sdn. Bhd.) (RM8.40 sekaki persegi atau RM584.9 juta).

Manakala, Kerajaan Negeri era Pakatan Rakyat pula direkodkan menjual 1.1 ekar tanah di Jalan Zainal Abidin (dekat Taman Manggis) (RM232 sekaki persegi atau RM10.2 juta) dan 105 ekar tanah di Bayan Mutiara (RM240 sekaki persegi atau RM1.1 bilion)  

“Penjualan tanah semasa Barisan Nasional (menjadi) Kerajaan Negeri (yang menyamai hampir) 36 kali berbanding PR, keseluruhan hasil penjualan lebih sedikit berbanding PR...ini cukup memalukan,” tegas Guan Eng.

Kempen Tandas Bersih perlu komitmen rakyat – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kanan sekali) menyampaikan sijil penyertaan dan sumbangan tunai serta plak kepada salah seorang pemenang Pertandingan Tandas Bersih Pulau Pinang 2013 sambil diperhati oleh Afif Bahardin (tiga dari kiri) di sini baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kempen Tandas Bersih yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri saban tahun tidak akan berjaya secara holistik sekiranya tidak mendapat komitmen daripada rakyat di negeri ini sendiri.

"Masalahnya ialah mentaliti rakyat tidak banyak berubah, walaupun usaha-usaha sedang dibuat untuk memperbaiki keadaan tandas di sini (Pulau dan Seberang Perai).

"Rakyat perlu komited untuk mengubah cara mereka," ucap Kon Yeow mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013 di Easten Hotel, Pantai Jerejak baru-baru ini.


Pengerusi Perhubungan Awam bagi Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Sharifah Suzana Simmonds turut memberi penerangan khas mengenai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 19 November saban tahun sebagai Hari Tandas Sedunia.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, John Loo (Penasihat QRAM Pulau Pinang), Ar. Ang Aing Thye (Setiausaha bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Adi Kasuma Kailan (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Timur laut).

Kon Yeow berkata, tandas yang bersih sebenarnya adalah salah satu aras tanda (banchmark) bahawa rakyat di negeri ini benar-benar mempunyai mentaliti komuniti pintar bertaraf antarabangsa atau sebaliknya.

Dua klip video kempen kesedaran turut dilancarkan bersempena majlis sambutan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan Choral Speaking dari murid Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa dekat Seberang Perai Selatan (SPS), iaitu johan Pertandingan Kokurikulum Akademik Kelompok R21.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menyempurna majlis penyampaian sumbangan tunai kepada pemenang Pertandingan Tandas Bersih dalam lapan kategori, iaitu Jabatan Kerajaan, Restoran, Kedai Makanan, Stesen Minyak, Pusat Membeli Belah, Tandas Awam Milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

MPPP tanam 80 lagi pokok teduh di Datuk Keramat

CHOW Kon Yeow (kiri sekali) menanam anak pokok teduhan, manakala, Mohamed Akbar Mustapha (kanan sekali) pula menyiram pokok tersebut sebagai gimik selesainya fasa dua Projek Menghijaukan Bandar di sini baru-baru ini.

MAJLiS Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) siap menanam 80 lagi pokok teduhan di sepanjang baki 400 meter Jalan Datuk Keramat sebagai kelangsungan fasa dua Projek Menghijaukan Bandar di sini baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, sebanyak 180 pokok teduhan pelbagai jenis telahpun ditanam di sini sebelum ini, di bawah fasa satu projek yang sama.


Kami (Kerajaan Negeri) bercita-cita mengubah George Town menjadi sebuah bandar yang hijau suatu hari nanti,” ujar Kon Yoew di sini bari, sambil memberitahu kos projek terbaru itu berjumlah RM225,120.

Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha turut serta dalam sidang media itu.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, MPPP akan menanam 5,000 lagi pokok renek di George Town demi mengindahkan pusat bandar Pulau Pinang tersebut.

Sebelum itu, Mohamed Akbar memberitahu, Simpoh Gajah, Mendulang Daun bujur , Nyatoh adalah empat jenis pokok teduhan yang ditanam di bawah fasa dua projek ini sejak awal November lepas.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow dan Mohamed Akbar masing-masing menanam anak pokok teduhan di pembahagi Jalan Datuk Keramat sebagai gimik menyempurna fasa dua projek tersebut.

Permuafakat bawa inkues guru KAFA terabai ke JAIPP secepat mungkin - Zulkeply

Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (Permuafakat) memberitahu, laporan inkues mengenai pengabaian kebajikan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) siap sepenuhnya.

Pengerusi Permuafakat, Zulkeply Ishak berkata, pihaknya sedang mendapatkan tarikh janji temu dengan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dalam masa terdekat.

"Inkues atau lebih tepat aduan-aduan daripada guru-guru KAFA ini akan kita panjangkan untuk tindakan lanjut JAIPP demi memartabatkan Islam sebagaimana yang dihasrat oleh Kerajaan Negeri," ujar beliau dalam satu sidang media di Seberang Jaya, semalam.

Awal bulan November lepas, dakwaan guru-guru KAFA diabaikan kebajikan menjadi salah satu isu pada dalam Ijtimak Permuafakat, termasuk kontroversi guru KAFA diminta bayar RM60 ganti cuti.

Ekoran itu, satu inkues tertutup dilangsungkan untuk mengetengahkan aduan-aduan berwajib kepada JAIPP.


Segera isi Borang Penyata Maklumat Harta MPPP – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kiri) dan Ang Aing Thye.
MAJLiS Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghantar borang Penyata Maklumat Harta kepada semua pemilik atau penyewa premis berwajib secara berperingkat bermula pada hujung Oktober lepas.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu demi mengemaskini maklumat lengkap pemilik dan pegangan-pegangan mereka yang berkenaan.

“Langkah ini juga sebenarnya bertujuan untuk menetapkan kadar baru Nilaian Tahunan 2015,” ujar Chow Kon Yeow dalam satu sidang media yang turut disertai oleh Setiausaha MPPP, Ar. Ang Aing Thye di Komtar, George Town baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, inisiatif yang dilakukan MPPP itu sebagai mengikut Seksyen 137 dan Seksyen 140, Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, pihaknya turut menyediakan panduan mengisi borang penyata maklumat demi memudahkan urusan pelanggan.

Tambahnya, satu kaunter khas turut dibuka di Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, MPPP, Tingkat 12, Komtar atas tujuan sama.

Info lanjut, hubungi nombor telefon 04-4592266 atau emel penilaian@mppp.gov.my.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus