08 October 2015

Peruntukan tahunan SAR kekal RM1.75 juta, Guan Eng respons fitnah pembangkang

KETUA Menteri (enam dari kiri) diiringi oleh pemimpin Kerajaan Negeri yang lain merakamkan gambar dengan para penerima cek replika sumbangan Bantuan Pendidikan SAR di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri tidak pernah mengurangkan peruntukan tahunan RM1.75 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), sebagaimana difitnah oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sentimen anti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang disemarakkan oleh pihak tertentu belakangan ini berkemungkinan demi menutup skandal rasuah membabitkan syarikat pelaburan Kerajaan Pusat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Adalah fitnah untuk menyatakan bantuan kepada SAR dihentikan atau dikurangkan kerana RM1.75 juta tetap dibayar setiap tahun.

“Jelas sekali golongan politik yang anti-kerajaan negeri Pakatan Harapan, sedang giat membakar sentimen perkauman dan ekstrimis agama, dengan apa-apa pun fitnah jahat untuk cuba menutup skandal rasuah kewangan RM42 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion (ke) dalam akaun peribadi Perdana Menteri,” jelas beliau di sini pada 7 Oktober lalu.

Menurut Guan Eng, Peruntukan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2009 direkodkan berjumlah RM37.25 juta, diikuti, RM39.60 juta (2010), RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (RM2013) dan RM52.21 (2014).

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang peruntukan ke Sekolah Rendah Agama Al-Ansor (SRIA), sebagaimana dituduh oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof yang mengendali sekolah tersebut.

“Kerajaan Negeri kesal apabila ditohmah kononnya telah menghentikan sumbangan kepada semua institusi pendidikan milik ahli PAS.

“Tohmahan itu tidak berasas, terdapat banyak sekolah di bawah pentadbiran ahli dan kepimpinan pas yang menerima sumbangan kerajaan negeri ini,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung pada sidang media berasingan.

Abdul Malik turut menjelaskan mengenai pengambilan balik surat jemputan ke Majlis Pemberian Sumbangan Pendidikan SAR 2015 daripada Muhammad Fauzi.

“Surat jemputan umum menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan oleh Ketua Menteri pada 5 September 2015 telah disampaikan secara tangan pada 3 September kepada 176 daripada 240 buah SAR yang terlibat.

“Pihak JHEAIP hanya menyedari berlaku kesilapan teknikal pada hari yang sama setelah surat diserahkan kepada pihak SRIA yang tidak tersenarai dalam sumbangan kerajaan negeri pada tahun ini, maka, surat itu telah diambil kembali pada hari yang sama,” jelas Abdul Malik lagi sambil mendakwa wujud kekeliruan berhubung isu yang dibangkitkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Direkodkan, RM1.75 juta peruntukan berwajib diagihkan kepada 176 institusi pendidikan agama berwajib pada tahun ini.

Tujuh buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) menerima sumbangan RM435,500.00, diikuti, RM249,500.00 untuk 11 Sekolah Bantuan Kerajaan (SABK), RM381,100.00 untuk tujuh buah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) sepenuh masa, RM178,200.00 untuk 27 Maahad Tahfiz, RM388,800 untuk 104 KAFA Integrasi, RM26,900 untuk 14 Tadika Islam (TADIS) dan RM90,000 untuk enam buah “sekolah pondok”.

Terdahulu, Guan Eng bersama-sama Abdul Malik mengagihkan vaucer sumbangan Bantuan SAR kepada penerima berwajib di Masjid Bayan Baru baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh), Dato' Abdul Halim Hussein (Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Haji Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara, AMANAH) turut menyertai majlis sumbangan tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus