17 February 2016

Sembilan kematian, Guan Eng anggap denggi di Pulau Pinang 'krisis'

HASNAH Abdul Aziz (tengah) serta dua daripada lima anaknya, hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham Mohd. Raffei Ramli di kediaman mereka dekat Pangsapuri Ampang Jajar, Bagan Jermal baru-baru ini.

BAGAN JERMAL – Sembilan kematian akibat denggi yang direkodkan sehingga 13 Februari tahun ini berbanding dua kematian dalam tempoh sama pada tahun lalu dianggap sebagai 'krisis' di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bimbang demikian semasa melawat keluarga arwah Mohd. Raffei Ramli, 30, yang baru meninggal dunia akibat wabak pembunuh tersebut pada 10 Februari lalu.

"Keadaan denggi sekarang sampai satu tahap bokeh dianggap sebagai 'krisis'.

"19 kes (kematian) akibat denggi pada tahun lepas sudah (2015) cukup tinggi, berbanding sembilan kes dalam tempoh satu setengah bulan (sehingga 13 Februari).

"Sekali lagi saya merayu supaya segera berjumpa doktor apabila demam, dan bersama-sama menjaga kebersihan di sekeliling tempat tinggal kita," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di kediaman arwah dekat Pangsapuri Ampang Jajar di sini.

Guan Eng diiringi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng turut menyampaikan sumbangan kepada isteri Allahyarham, Hasnah Abdul Aziz, 34.

KETUA Menteri (paling kanan) diiringi Lim Hock Seng (paling kiri) menyampaikan sumbangan kepada Hasnah Abdul Aziz (tengah) sambil diperhati oleh dua tetamu lain di sini baru-baru ini.

Arwah meninggalkan lima anak, antara umur 11 hingga empat tahun.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif dan Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Pulau Pinang, Dr. Noorlia Yahaya.

Dr. Noorlia memberitahu, sehingga 13 Februari tahun ini, sebanyak 1,014 kes denggi dilaporkan berbanding 908 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 106 kes atau 11.7 peratus.

Katanya lagi, sembilan kematian akibat demam denggi bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak tujuh kes atau menyamai 350 peratus kematian.

Menurut beliau, terdapat 4 lokasi wabak tak terkawal, iaitu di Mutiara Idaman dan Taman Sri Pinang dari Daerah Timur Laut, Desa Wangsa (Daerah Barat Daya) dan Taman Impian Ria (Daerah Seberang Perai Tengah).

Tambahnya lagi, terdapat empat hotspot lain, iaitu di lokaliti Taman Impian, Flat Taman Sri Janggus dan Rumah Teres Taman Sri Janggus dekat Daerah Seberang Perai Tengah.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut melawat keluarga kepada Allahyarham Amzah Hassan, 65, yang juga meninggal dunia akibat denggi pada 23 Januari lalu, selepas demam berterusan selama enam hari.

“Sungguhpun peningkatan kes hanya 11 peratus, namun, angka kematian sangat tinggi berbanding tahun lalu.

"Kita (Kerajaan Negeri) perlu berusaha lebih keras menangani wabak ini yang semakin membimbangkan, bahkan, kita sekarang berada di kedudukan nombor dua di belakang (Negeri) Selangor.

“Ini, juga merupakan kes kematian pertama dicatatkan di daerah Barat Daya,” ujar Guan Eng dalam nada bimbang.

Beliau berkata demikian ketika melawat balu mangsa, Zubaidah Ibrahim, 54, di Pangsapuri Desa Wangsa dekat Permatang Damar Laut, dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung baru-baru ini.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Abdul Malik Abul Kassim (depan, paling kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zubaidah Ibrahim, sambil disaksikan oleh sanak-saudara dan jiran setempat lain di Pangsapuri Desa Wangsa dekat Batu Maung baru-baru ini.

Guan Eng diiringi ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Amzah.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Azrizal Tahir dan Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Barat Daya, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah.

Zubaidah yang ditemui kemudian memberitahu, suaminya yang bertugas sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 17 Januari ada mengadu sakit yang teruk hingga tidak mampu bangun.

“Dia ada mengadu sakit kepala, tetapi, tidak demam atau menunjukkan sebarang tanda-tanda denggi.

"Dia tidak boleh bangun atau duduk, kalau diangkat pun dia semacam hendak tumbang sampai terpaksa dipapah untuk ke tandas.

“Selepas dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang, suami dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disahkan meninggal pada 23 Januari,” ujar Zubaidah kepada pemberita.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus