23 July 2013

50 rumah pam cegah banjir – Exco

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama-sama pengunjung lain melepaskan cecair memulihara kualiti air serta bola selut ke dalam tasik takungan air banjir dekat Rumah Pam Lahar Edin di sini baru-baru ini.

LEBIH 50 rumah pam yang sedia ada di Pulau Pinang, termasuk 24 di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) diharap mampu menangani kemungkinan banjir di negeri berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Program Pemuliharaan Kualiti Air dan Hari Terbuka Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) 2013 dekat Rumah Pam Lahar Edin, Kepala Batas baru-baru ini.

"Rumah-rumah Pam ini mampu berfungsi untuk mengepam air keluar dari kawasan banjir," ujarnya di depan lebih 100 hadirin.

Pengarah JPS Negeri, Kept. (B) Ir. Anuar Yahya dan Ir. Saiful Nizam Sanusi (Jurutera Daerah SPU) turut hadir pada majlis tersebut. 

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menyertai demontrasi sepasang pam air di sini yang didakwa paling besar di Asia Tenggara.

"Ini (Rumah Pam Lahar Edin) pam air terbesar di Asia Tenggara," ujarnya pada sidang media bersama-sama wartawan.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru rakyat supaya terus memulihara kualiti air sungai di negeri berkenaan memandangkan sumber air mentah tempatan adalah sangat terhad.

Katanya lagi, langkah pemuliharaan air sungai sebenarnya menelan kos yang lebih besar berbanding budaya memelilhara sumber semula jadi itu.

"Walaupun program (pemuliharaan) ini kerap diadakan, namun, ianya agak terhad kerana memerlukan kos yang tinggi sedangkan peruntukan yang diperolehi itu diagihkan untuk tujuan pembangunan yang lain," ujar beliau.

Kon Yeow bersama-sama hadirin lain turut menyempurnakan majlis melontar bola selut ke dalam tasik takungan air banjir di rumah pam air di sini sebagai langkah memulihara air tersebut.

RM2.94 juta untuk pertanian P.Pinang - KM

ABDUL Rahman (hadapan, tengah) bersama Majimor Shariff (dua dari kiri) dan Dr. Afif Bahardin (dua dari kanan) saling berinteraksi dengan peserta gerai pameran karnival di sini baru-baru ini

KERAJAAN Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyalurkan peruntukan RM2.94 juta untuk sektor penternakan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu antara lain menumpu pada pembangunan industri ternakan dan kawalan pencemaran yang berpunca oleh aktiviti penternakan sendiri.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengumumkan penubuhan empat Lot Zon Pemprosesan Makanan (ZPM) demi membimbing produktiviti kaum tani di negeri berkenaan.

“Pendekatan baru telah dilaksanakan dengan penubuhan empat Lot Zon Pemprosesan Makanan (ZPM).

“Jabatan Pertanian juga telah mewujudkan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan bertujuan melatih, membimbing peserta dalam peningkatan modal insan, pembangunan produk serta kualiti produk,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Majimor Shariff menyempurna majlis perasmian Hari Peladang, Penternak, Nelayan dan Karnival Koperasi 2013 di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Hadir bersama, Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd. Rashid Hasnon, Law Choo Kiang (Speaker Dewan Undangan Negeri), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) serta Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri).

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri turut merancang pemajuan kawasan Zon Industri Akaukultur (ZIA) di atas tanah seluas 206 hektar di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU).

Difahamkan, sehingga kini, terdapat 612 orang pengusaha akuakultur yang terlibat dalam semua sistem ternakan seperti kolam, sangkar, tangki, kerang-kerangan dan ikan hiasan.

“Projek yang dipergiatkan di kawasan ini (ZIA) adalah ternakan dan pembenihan ikan dan udang laut.

“Sasaran pengeluaran akuakultur Pulau Pinang pada tahun 2012 adalah sebanyak 39,400 tan metrik dengan nilai RM480 juta,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Baginya, inisiatif itu perlu memandangkan kajian Food And Agricultural Organization (FAO) menyebut sumber ikan laut dijangka akan pupus menjelang 2048 sekiranya langkah pembiakan tidak diambil.

Dianggarkan, lebih 10,000 pengunjung hadir ke tapak ekspo selama lima hari berkenaan.

200 terima zakat pendidikan RM142,050 - YDP MAINPP

MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) beramah mesra dengan waris penerima zakat pendidikan di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengagih zakat berjumlah RM142,050 kepada 200 pelajar terpilih di Seberang Jaya.

Yang di-Pertuanya, Datuk Mohd.Salleh Man berkata, pihaknya berharap bantuan pendidikan itu dapat mengurangkan beban ibu bapa menanggung kos anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke universiti.

Mohd.Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, MAINPP melalui Zakat Pulau Pulang (ZPP) pada tahun ini mengagihkan sebanyak RM1.1 juta bagi tujuan bantuan pemulaan ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Itu, tidak termasuk program bantuan persekolahan, biasiswa pelajar dalam dan luar negara, sekolah agama rakyat (SAR), KITAB, Press Class dan sebagainya yang berjumlah kira-kira RM8.2 juta.

"Kita (MAINPP dan ZPP) menjangkakan agihan pada tahun ini ialah sebanyak RM17.5 juta untuk bidang pendidikan ini," ujar Mohd. Salleh.

Dalam perkembangan sama, beberapa badan korporat seperti Maybank Islamic Bekas, Etiqa Takaful Berhad dan TH Travel Services Sdn. Bhd. masing-masing menunaikan zakat peniagaan mereka.

Pesawah rujuk Exco isu tambun tanah rizab pertanian

DR. Afif Bahardin (dua dari kiri) menerima penjelasan lanjut mengenai tiga masalah malar segar yang dihadapi oleh pesawah Kampung Permatang Nibong di sini baru-baru ini.

MASALAH pihak tertentu dikesan menambun tanah rizab pertanian di Kampung Permatang Nibong di sini yang didakwa untuk tujuan pemajuan komersial tanpa pengetahuan penduduk setempat mula dirujuk kepada Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Sekumpulan pesawah meluahkan rasa bimbang itu dalam satu interaksi dua hala dengan Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya baru-baru ini.

Mereka turut mengadu masalah penanaman padi sawah masing-masing kurang produktiviti belakangan ini serta terpaksa berkongsi jentera membajak dan mesin padi dalam satu-satu masa.

Mereka turut memanjangkan kebimbangan sama dengan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang hadir.

Dr. Afif dalam reaksi spontan berkata, tanah yang tidak rata hatta menyukarkan air disalir masuk ke petak sawah merupakan salah satu punca berlakunya masalah malar segar itu.

"Sehingga kini, para pesawah terpaksa berkongsi jentera peribadi dan menghadapi masalah apabila berlaku pertembungan waktu penggunaan jentera terbabit," ujarnya.

Hasil interaksi dua hala dengan pesawah, Dr. Afif berkata, pihaknya akan mengetengahkan ketiga-tiga masalah malar segar tersebut kepada pihak berwajib.

Mengapa projek Tuna Batu Maung rugi RM543.38 juta, tanya Guan Eng

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) didesak mendedahkan nilai kerugian sebenar projek Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) membabitkan Blindforce Sdn. Bhd. (Blindforce) di Batu Maung, Bayan Baru yang dikatakan bernilai RM543.38 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa hairan kerana Kerajaan Umno Barisan Nasional Pusat didedah menangguh kerugian ekoran mengeluarkan surat sokongan kelulusan membiayai projek mega itu.

"Macam mana kerajaan persekutuan tidak kerugian apabila projek dibiayai MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. 

"Bon RM240 juta mendapat surat sokongan kerajaan persekutuan,” kata Setiausaha Agung DAP itu pada malam tadi.

Lim berkata, OSK Investment Bhd yang mengeluarkan bon itu pula menuntut RM208.62 juta termasuk faedah menjadikan keseluruhan hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan ialah RM83.45 juta.

Beliau juga mendakwa persoalan berkaitan status perjanjian projek itu berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga gagal dijawab.

Konsesi bagi membangunkan kompleks perikanan tuna secara penswastaan di Batu Maung, Pulau Pinang ini diluluskan kerajaan pada 22 September 2004.

Perjanjian konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah selama 32 tahun termasuk tempoh pembinaan selama dua tahun ditandatangani antara LKIM dan MITP.
Ia melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 60 peratus dan LKIM bagi pihak kerajaan sebanyak 40 peratus. – 22 Julai, 2013.

Pendedahan ini dilakukan semasa kontroversi skandal lembu NFC bernilau lebih RM250 juta membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil masih terus menjadi tanda tanya.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus