MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) beramah mesra dengan waris penerima zakat pendidikan di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara |
MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengagih zakat berjumlah RM142,050 kepada 200 pelajar terpilih di Seberang Jaya.
Yang di-Pertuanya, Datuk Mohd.Salleh Man berkata, pihaknya berharap bantuan pendidikan itu dapat mengurangkan beban ibu bapa menanggung kos anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke universiti.
Mohd.Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, MAINPP melalui Zakat Pulau Pulang (ZPP) pada tahun ini mengagihkan sebanyak RM1.1 juta bagi tujuan bantuan pemulaan ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Itu, tidak termasuk program bantuan persekolahan, biasiswa pelajar dalam dan luar negara, sekolah agama rakyat (SAR), KITAB, Press Class dan sebagainya yang berjumlah kira-kira RM8.2 juta.
"Kita (MAINPP dan ZPP) menjangkakan agihan pada tahun ini ialah sebanyak RM17.5 juta untuk bidang pendidikan ini," ujar Mohd. Salleh.
Dalam perkembangan sama, beberapa badan korporat seperti Maybank Islamic Bekas, Etiqa Takaful Berhad dan TH Travel Services Sdn. Bhd. masing-masing menunaikan zakat peniagaan mereka.
No comments:
Post a Comment