16 June 2014

Bayar balik TP1M Taman Pinang jika Pusat ikhlas, syor Exco Perumahan

“Senarai 40 permohonan tersebut sedang dipertimbang untuk diluluskan, dan belum diluluskan lagi sebenarnya. Kerajaan Negeri sendiri tidak dirundingi dalam pemilihan projek perumahan yang layak dipertimbang bantuan TP1M ini sebenarnya,” jelas Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri, sambil berharap Putrajaya tidak terus menganaktirikan kepentingan rakyat di Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL – Putrajaya disyor membayar balik 90 peratus daripada kos keseluruhan pembaikan bumbung Perumahan Taman Pinang kepada Kerajaan Negeri, memandangkan projek permohonan sama turut diluluskan pelaksanaannya di bawah Tabung Perumahan 1Malaysia (TP1M) bagi tahun 2014 baru-baru ini.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, permohonan Perbadanan Pengurusan Taman Pinang yang diluluskan lebih awal sebelum ini sebenarnya selepas Kerajaan Negeri mengambil kira kepentingan serta keselamatan penduduk rumah kos rendah swasta terbabit.

Jelasnya lagi, kelulusan tersebut atas dasar 20:80, iaitu RM31,000 disumbangkan oleh Perbadanan Pengurusan Taman Pinang dan baki RM124,000 lagi dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

“Kalau ikhlas, Kerajaan Pusat mesti bayar balik 90 peratus (dari keseluruhan kos RM155,000) seperti dijanjikan dalam TP1M supaya Kerajaan Negeri turut boleh memulangkan semula RM31,000 yang disumbangkan oleh badan pengurusan penduduk Taman Pinang terbabit sebelum ini,” ujar Jagdeep pagi tadi, selepas majlis penyerahan balik kunci rumah pasca baikpulih rumah kos rendah Blok 5 Mak Mandin 1 di sini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, syornya itu turut dipanjangkan oleh Penolong Pegawai Kewangan Negeri, Hashimah Mohamed Hashim dalam satu surat rasmi kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Pulau Pinang pada 9 Jun lepas.
           
Tambah Jagdeep, pihaknya tidak wajar dipersalahkan berhubung perkara berbangkit tersebut, memandangkan Kerajaan Negeri sendiritidak pernah dijemput berunding dalam proses pemilihan projek bantuan di bawah TP1M yang diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak bulan Januari 2010 lagi.

Di bawah TP1M, difahamkan, Kerajaan Pusat menanggung 90 hingga 70 peratus, manakala, 10 peratus hingga 30 peratus baki ditanggung oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk (PP).

Pentadbiran Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan turut mengumumkan pelancaran HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang demi memudahkan rakyat di negeri ini mendapat manfaat daripada peruntutan RM500 juta yang baru diumumkan Kerajaan Pusat tersebut.

Guan Eng dalam satu kenyataan mengumumkan, Kerajaan Negeri bersetuju membiayai 10 hingga 30 peratus yang sepatutnya ditanggung oleh JMB atau PP, dengan syarat permohonan TP1M berwajib terlebih dahulu diluluskan oleh Putrajaya.

Sehingga kini, direkodkan sebanyak 116 permohonan TP1M telahpun lengkap dihantar dari Pulau Pinang, manakala, hanya tiga projek diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dekat Putrajaya, iaitu Taman Sungai Batu, Taman Haji Mohd. Amin, dan terbaru Perumahan Sungai Pinang.

Bagaimanapun, ICU JPM dalam satu suratnya bertarikh 9 April lepas memberitahu bahawa 40 permohonan dari Pulau Pinang sedang dipertimbangkan untuk diluluskan.

“Senarai 40 permohonan tersebut sedang dipertimbang untuk diluluskan, dan belum diluluskan lagi sebenarnya. Kerajaan Negeri sendiri tidak dirundingi dalam pemilihan projek perumahan yang layak dipertimbang bantuan TP1M ini sebenarnya,” jelas Jagdeep lagi, sambil berharap Putrajaya tidak terus menganaktirikan kepentingan rakyat di negeri ini.

RM695,692 baik pulih flat demi rakyat – Exco Perumahan

JAGDEEP Singh Deo (kiri) menyerahkan kunci kepada Amirudin Kasha (tengah), sambil diperhati oleh Lim Hock Seng di sini, pagi tadi. | Foto: Buletin Mutiara
BAHAGIAN Blok 5 Mak Mandin 1 yang dicat semula adalah struktur yang baru dibaik pulih menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri, jelas Jagdeep Singh Deo (kiri) pagi tadi sambil menunjukkan kawasan-kawasan yang dimaksudkan, dengan diiringi Lim Hokc Seng (kanan) di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Jagdeep Singh Deo pagi ini menyerahkan kembali kunci rumah Blok 5 Mak Mandin 1 di sini kepada 33 keluarga selepas kerja-kerja membaik pulih struktur fizikal bangunan tersebut, yang menelan belanja RM695,691.92 peruntukan Kerajaan Negeri.

Malah, Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan turut bersetuju meluluskan permohonan peruntukan sehingga RM90,000 untuk tujuan mengecat semula flat rumah kos rendah tersebut, sebagaimana diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng pada majlis sama.

“Jumlah pembaikan ini telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri yang mementingkan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” ujar Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat kepada waratawan.

JAGDEEP Singh Deo (kiri) dan Lim Hock Seng (kanan) menunjukkan contoh keretakan pada salah satu flat di sini, yang menunggu giliran untuk dibaik pulih oleh Kerajaan Negeri kelak.
JAGDEEP Singh Deo (kiri) bersama-sama Lim Hock Seng pagi tadi menunjukkan kawasan keretakan pada Blok 5 Mak Mandin 1 yang baru dibaik pulih di sini.

Menurut Jagdeep, Bahagian Perumahan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memulakan kerja-kerja pembaikan keretakan dan lain pada Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 4 Jun lepas.

Selama tempoh itu, jelas Jagdeep, Kerajaan Negeri memperuntukan eain perpindahan sebanyak RM1,000 kepada 33 keluarga berkenaan, di mana RM500 untuk elaun perpindahan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar dan baki RM500 lagi dituntut apabila mereka kembali ke flat Mak Mandin kelak.

Mereka, katanya lagi, terdiri oleh 14 keluarga Melayu, Cina (15 keluarga) dan India (4 keluarga).

JAGDEEP Sing Deo
“Cuma, saya minta lima keluarga lagi datang ke Bahagian Perumahan untuk menuntut baki elaun (RM500) sesegera mungkin.

“Kerjasama yang diberikan oleh 33 keluarga terbabit untuk berpindah ke PPR Ampang Jajar dan kembali ke sini amat dihargai, saya harap ia menjadi ikutan kepada penduduk lain yang akan mengikuti projek membaik pulih kelak,” ujar Jagdeep.

Justeru, Jagdeep berharap semua penduduk berwajib dapat membayar yuran penyelenggaraan seperti biasa mengikut jadual yang dipersetujui, selain memelihara flat berkenaan supaya kelihatan bersih serta jauh dari aktiviti vendalisme.

AMIRUDIN Kasha.
Sementera itu, salah seorang penduduk, Amirudin Kasha, 62, melahirkan rasa gembira atas insiatif Kerajaan Negeri membaik pulih kawasan kediaman mereka, yang kini berusia lebih 20 tahun tersebut.

“Sebelum ini memang banyak masalah seperti saluran pembentungan tersumbat, lampu di koridor tidak berfungsi, keretakan (pada struktur bangunan) dan flat rosak.

“Tetapi, semua ini sudah dibaiki sekarang...tentulah saya sekeluarga seronok kerana boleh kembali ke rumah kami semula,” ujar Amirudin, yang juga pesara kontraktor pembersihan.


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus