02 August 2013

Mengapa projek Tuna Batu Maung rugi, tanya Guan Eng

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) didesak mendedahkan punca kerugian sebenar projek Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) membabitkan Blindforce Sdn. Bhd. (Blindforce) di Batu Maung, Bayan Baru yang dikatakan bernilai RM543.38 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa hairan kerana Kerajaan Pusat didedah menanggung kerugian ekoran mengeluarkan surat sokongan kelulusan membiayai projek mega itu.

"Macam mana kerajaan persekutuan tidak kerugian apabila projek dibiayai MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.

"Bon RM240 juta mendapat surat sokongan kerajaan persekutuan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu baru-bru ini.

Guan Eng berkata, OSK Investment Bhd yang mengeluarkan bon itu pula menuntut RM208.62 juta, termasuk bayaran faedah menjadikan keseluruhan hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan berjumlah RM83.45 juta.

Beliau juga turut mempersoal status perjanjian projek itu yang dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa masih menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, namun, gagal dijawab.

Konsesi bagi membangunkan kompleks perikanan tuna secara penswastaan di Batu Maung, Pulau Pinang ini diluluskan kerajaan pada 22 September 2004.

Perjanjian konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah selama 32 tahun termasuk tempoh pembinaan selama dua tahun ditandatangani antara LKIM dan MITP.

Projek mega itu melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 60 peratus dan LKIM bagi pihak kerajaan sebanyak 40 peratus.


Pendedahan ini dilakukan semasa kontroversi skandal lembu NFC bernilau lebih RM250 juta membabitkan keluarga seorang menteri masih belum menemukan jawapan.

Guppy, MPSP ke 34 sekolah SPT pula


MAIMUNAH Mohd. Sharif (lapan dari kiri) menerima sumbangan pasu dan pokok bunga daripada Rohani Basiri (enam dari kiri) sebagai gimik pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2013 Peringkat SPT di sini baru-baru ini.

34 lagi sekolah sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2013 anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing menerima sumbangan pasu bunga daripada Guppy Plastic Industries Sdn. Bhd. (Guppy).

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, Guppy sebelum ini turut menyumbang sejumlah pasu dan pokok bunga kepada sekolah-sekolah terpilih sekitar Seberang Perai Utara (SPU) atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sebanyak 80 sekolah menyertai pertandingan kehijauan sekolah peringkat Seberang Perai bagi tahun ini.

“Saya berharap sekolah-sekolah yang terlibat akan menjaga pokok yang disumbangkan dengan penuh kasih sayang dan markah akan diberikan semasa pengauditan dibuat," ujar beliau di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Heng dan Rohani Basiri (Pengurus Kanan Pentadbiran Guppy) turut hadir pada majlis di Kompleks MPSP Cawangan SPT di sini.

Maimunah berkata, syarikat Guppy terpanggil untuk menyertai program CSR itu selepas melihat keghairahan pelajar di sekolah tertentu dalam menjayakan Program Keceriaan Sekolah.

“Saya berharap sekolah-sekolah yang terlibat akan menjaga pokok yang disumbangkan dengan penuh kasih sayang dan markah akan diberikan semasa pengauditan dibuat yang merangkumi 10 kriteria.

“Antara kriteria yang akan dinilai ialah kebersihan kawasan sekolah, penjimatan air, dan aktiviti-aktiviti lain yang kreatif,” kata Maimunah.

Justeru, katanya, program ini diharap dapat menjadikan Seberang Perai semakin bersih dan hijau berikutan kriteria amalan hijau yang dipraktikkan oleh sekolah-sekolah yang terlibat.

Pemaju beritahu Exco sPICE siap 37 peratus

REPLIKA sPICE tanpa dua blok hotel dari sisi pandang depan yang dipamerkan pada sidang media di sini baru-baru ini.

CHOW Kon Yeow
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pemajuan Subterranian Penang International Conference & Excibition (sPICE) di sini bagi memastikan pemaju Kumpulan SP Setia Bhd. mampu menyiapkan projek tersebut siap mengikut jadual pada tahun 2016.

Pengarah Projek pemaju, Ir. A.Anilarasu berkata, projek menaik taraf tersebut umumnya berjalan lancar dengan 37 peratus perancangan pemajuan telah siap.

“Secara keseluruhannya, 37 peratus projek sPICE telah siap dan kerja-kerja penaik tarafan pada sesetengah tempat kita sudah boleh lihat hasilnya," ujar Anilarasu dalam satu sidang media bersama-sama Kon Yeow di sini baru-baru ini.

A.Anilarasu
Menurut Anilarasu, kerja-kerja menaik taraf yang telahpun siap sepenuhnya meliputi kawasan lobi utama arena orang kenamaan (VIP), parkir bawah tanah, bilik mesyuarat VIP, sistem pendingin hawa serta arena utama stadium.

“Siling dan bumbung stadium telah ditukar akibat mengalami kebocoran...sistem pembesar suara dalam stadium turut dinaik taraf,” jelas beliau.

Tambah beliau, kerja-kerja naik taraf yang masih dilakukan meliputi kawasan kolam renang dan lot-lot kedai komersial.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kerja-kerja awalan menaik taraf di kawasan pintu masuk utama yang bakal menempatkan dewan konvensyen.

"Pusat konvensyen ini akan mengutamakan ciri yang moden dan hijau di mana di atasnya akan dibina taman untuk pengunjung beriadah.

"Fasa terakhir projek ini turut akan menempatkan dua buah blok hotel berkembar bertemakan 'kubik' yang menarik serta berbentuk futuristik dan dijangka sedikit lewat dari projek di zon lain," ujar Anilarasu.

Pemajuan sPICE sekarang adalah di atas tapak Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

TKM1 lawat mangsa rumah terbakar

MOHD. Rashid Hasnon (dua dari kiri) menerima maklum balas lanjut daripada keluarga mangsa kebakaran di sini baru-baru ini.
TiMBALAN Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini mengadakan lawatan kecemasan ke Kampung Bukit Kechil dekat Sungai Nibong, Pantai Jerejak yang menyaksikan sebuah rumah pusaka hangus terbakar.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, mangsa, Hashim Mohd. Arif, 54, memberitahu, insiden itu berlaku sekitar jam 5.45 pagi hari kejadian.

Menurut Mohd. Rashid, mangsa mengaku bahawa beliau menyedari percikan api berlaku di ruang tamu luar rumahnya serta tidak menolak kemungkinan bahawa kebakaran tersebut mungkin berpunca oleh litar pintas.

"Apa yang lebih menyedihkan, mereka sekeluarga kehilangan rumah pusaka isterinya yang berusia 200 tahun dan didiami sejak lebih 50 ahun lalu," ujar Mohd. Rashid di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Hashim dilaporkan mengaku bahwa RM15,000 wang simpanan tunai hangus dijilat api.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kelengkapan menyambut Hari Raya Puasa yang bernilai sekitar RM4,000 serta dokumen-dokumen penting berwajib yang lain.

Mohd. Rashid berkata, pihaknya menyampaikan bantuan segera dalam masa 24 jam.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negeri akan menyampaikan sumbangan dari Tabung T.Y.T sejurus proses taksiran kerugian kebakaran selesai.

Exco minta Pusat bekal pelajar OKU 'Braille'

EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng (gambar) meminta Kerajaan Pusat membekalkan mesin Braille kepada setiap pelajar cacat penglihatan di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada inisiatif waris pelajar-pelajar istimewa berkenaan mengadu bahawa anak-anak mereka langsung tidak lagi dibekal mesin taip Braille secara individu selepas waktu sekolah seperti dahulu.

“Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan mesin Braille kepada murid-murid cacat penglihatan semasa waktu persekolahan dan membekalkan mesin berkenaan secara individu selepas waktu sekolah, tetapi, sekarang tidak lagi.

“Kini, pelajar tidak akan diberi kemudahan tersebut selepas waktu persekolahan,” 

“Kerajaan persekutuan tidak boleh mengabaikan hak murid-murid cacat penglihatan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Dari maklum balas yang diterima oleh waris pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma dekat Bukit Mertajam, Chong Eng berkata, kesulitan itu mengakibatkan orang kurang upaya (OKU) berkenaan tidak mampu menyiapkan kerja-kerja sekolah di rumah.

Malah, beliau berkata, waris pelajar OKU turut mengaku bahawa mereka pernah memanjangkan masalah anak-anak mereka kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Namun, katanya lagi, maklum balas yang diterima daripada kedua-dua kementerian Pusat itu tidak memuaskan.

Justeru, beliau memohon kepada pihak kerajaan persekutuan untuk mengurangkan beban murid-murid pendidikan khas berwajib dengan membekalkan semula mesin Braille secara individu selepas waktu sekolah.

Buka puasa dekatkan Padang Tembak, KN – ADUN

BERITA BERGAMBAR

CHEAH Kah Peng (kiri sekali) bersama-sama Zairil Khir Johari (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima zakat di sini baru-baru ini.

BERBUKA PUASA... Hampir 50 warga setempat menyertai jamuan berbuka puasa bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tembak, Cheah Kah Peng di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut menyertai majlis penyerahan sumbangan hamper Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada asnaf terpilih.

Keraian itu dilangsungkan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Padang Tembak.

Kah Peng berkata, pihaknya berharap program keraian sempena menyambut Hari Raya Puasa itu dapat mendekatkan warga penduduk Padang Tembak dengan kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

KM cadang Penfurnex teroka potensi ‘perabot hijau’

KETUA Menteri (dua dari kiri) memalu gong sebagai simbolik pada perasmian Penfurnex sambil diperhati oleh Abdul Malik Abul Kassim (kiri sekali) dan dif kehormat lain di PISA baru-baru ini. 

PENGANJURAN Pameran Perabot Kali Ke-13 Tahun 2013 (Penfurnex) di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru baru-baru ini diharap dapat melonjak lagi potensi industri berkenaan melalui penerokaan dunia 'perabot hijau'.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya berharap penganjuran ekspo selama tiga hari itu dapat menarik 30,000 pengunjung dengan sasaran jualan kasar mencecah kira-kira RM12 juta.

“Para pengeluar juga digesa agar meneruskan pembangunan mampan dan kaedah dengan mengambil kesempatan daripada peralihan pasaran ke arah 'perabot hijau'. 

"Keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi dan kemampanan adalah penting untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang industri perabot,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim turut hadir pada majlis perasmian Penfurnex 2013 itu.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Malaysia berada pada ranking kesepuluh sebagai pengeksport terbesar dunia dengan nilai eksport mencecah kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran industri itu.

Tambah beliau, eksport perabot bagi tahun lepas sahaja mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus atau sebanyak RM8 juta, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM7.67 juta sahaja.

Sebelum itu, pengerusi penganjur Penfurnex, Richard Ooi berkata, penganjuran ekspo kali ini menerima 110 penyertaan berbanding tahun lepas, iaitu sebanyak 80 peserta pameran sahaja.

Itu bermakna, katanya, berlaku peningkatan penyertaan pameran sebanyak lima peratus sungguhpun senario ekonomi domestik dirasai sedikit menguncup belakangan ini.

“Ini merupakan satu berita gembira kerana tawaran dalam industri perabot dan barang hiasan dalaman telah meningkat melibatkan semua jenis perabot dan barang hiasan.

“Ia merupakan sebuah pusat sehenti tahunan untuk para penggemar dan pengumpul perabot dan hiasan dalaman untuk datang dan membeli barang-barang yang mereka kehendaki di bawah satu bumbung dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan,” ujarnya.

P.Pinang rai 41 pelajar cemerlang SPM 2012

SITI Alia Izzani Ismail (dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama ahli keluarganya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2012 Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

41 daripada lebih 1,000 pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2012 menerima anugerah khas berupa sumbangan pendidikan RM300, sijil penghargaan beserta trofi daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) dan Prof. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) sendiri meraikan kecemerlangan kira-kira 500 pelajar yang hadir pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (SPM) Tahun 2012 di Dewan Tunku, Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Pauzi Omar (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Peperiksaan yang mewakili Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang).

Rata-rata penerima yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas insiatif Kerajaan Negeri itu.

Farhana Afaq Ahmed (gambar), 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas yang mendapat keputusan 9A+ melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pencapaiannya itu.

“Kini, saya dalam sesi persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang bioteknologi dan inshaAllah,” ujarnya bekas pelajar aliran sains tulen berkenaan di sini.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Siti Alia Izzani Ismail, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah dekat Kepala Batas yang memperoleh keputusan 8A+ dan 1A.

“Saya amat beryukur," ujar beliau yang kini bergelar penuntut bidang perubatan Kolej MARA dekat Banting, Selangor.

Rodrick Kelvin Gondipen, 18, Lim Soon Siong, 18, dan Keong Tze Zern, 18 yang belajar di Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bungah turut merakamkan penghargaan kerana kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPM tahun lepas diraikan.

Tahun lalu, seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM dengan pertambahan 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 15,793 calon berjaya memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran.

Pulau Pinang menduduki tangga kedua berdasarkan perolehan pangkat semua A+ dalam seluruh mata pelajaran dan tempat keempat bagi kombinasi A (iaitu A+, A, A-) untuk semua mata pelajaran.

Kembang bakat 600 siswa melalui KN - TKM1

MOHD Rashid Hasnon (duduk depan, dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama kepemimpinan MPMPP di Komtar, George Town baru-baru ini.

TiMBALAN Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon berharap lebih 600 mahasiswa yang menyertai Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang (MPMPP) dapat mengembangkan bakat masing-masing melalui program-program rasmi yang dianjur bersama Kerajaan Negeri.

"Tidak ada gunanya 'kerajaan hari ini' sekiranya lebih 600 pelajar pra universiti dan mahasiswa yang menyertai MPMPP tidak boleh mendapat apa-apa manfaat.

"Selain fokus pada kecemerlangan akademik, jangan takut menempuhi kesibukan melalui program-program kemasyarakatan kerana pengalaman itu adalah guru terbaik untuk mengembangkan bakat mahasiswa nanti," ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Hasrat itu disampaikan dalam satu majlis interaksi dua hala dengan kepemimpinan MPMPP.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan MPMPP mengadakan program Ihya' Ramadan Bubur Lambuk, Jamuan Berbuka Puasa bersama Timbalan Ketua Menteri I (TKM1), lawatan sambil belajar MPMPP ke Tanah Tinggi Cameron, Karnival Kerjaya serta Kursus Pra Perkahwinan.

Perkuasakan Briged Wanita Batu Maung – ADUN

WARGA Batu Maung menunggu giliran menerima sumbangan emas Kerajaan Negeri daripada Abdul Malik Abul Kassim dalam satu program baru-baru ini.

AHLi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihaknya mahu memperkuasa fungsi wanita melalui Briged Wanita Pulau Pinang yang ditubuh oleh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, pihaknya berharap pergerakan Briged Wanita mampu turut membantu pemeriksaan mamogram percuma kepada golongan hawa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Dalam masa terdekat ini juga, DUN Batu Maung, akan segera menubuhkan Briged Wanita bagi membantu golongan hawa," ujar beliau di Pusat Khidmat Kampung Naran di sini baru-baru ini.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut menyerahkan sumbangan emas kepada 100 penerima di sini baru-baru ini.

Mereka yang menerima sumbangan terdiri oleh 20 anak emas baru lahir, 48 warga emas dan 12 waris warga emas meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata, Pusat Dialisis CAT baru dibuka di kawasan Parlimen Balik Pulau dengan menawarkan perkhidmatan dialisis serendah RM30 per sesi rawatan.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus