02 August 2013

P.Pinang rai 41 pelajar cemerlang SPM 2012

SITI Alia Izzani Ismail (dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama ahli keluarganya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2012 Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

41 daripada lebih 1,000 pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2012 menerima anugerah khas berupa sumbangan pendidikan RM300, sijil penghargaan beserta trofi daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) dan Prof. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) sendiri meraikan kecemerlangan kira-kira 500 pelajar yang hadir pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (SPM) Tahun 2012 di Dewan Tunku, Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Pauzi Omar (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Peperiksaan yang mewakili Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang).

Rata-rata penerima yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas insiatif Kerajaan Negeri itu.

Farhana Afaq Ahmed (gambar), 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas yang mendapat keputusan 9A+ melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pencapaiannya itu.

“Kini, saya dalam sesi persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang bioteknologi dan inshaAllah,” ujarnya bekas pelajar aliran sains tulen berkenaan di sini.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Siti Alia Izzani Ismail, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah dekat Kepala Batas yang memperoleh keputusan 8A+ dan 1A.

“Saya amat beryukur," ujar beliau yang kini bergelar penuntut bidang perubatan Kolej MARA dekat Banting, Selangor.

Rodrick Kelvin Gondipen, 18, Lim Soon Siong, 18, dan Keong Tze Zern, 18 yang belajar di Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bungah turut merakamkan penghargaan kerana kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPM tahun lepas diraikan.

Tahun lalu, seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM dengan pertambahan 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 15,793 calon berjaya memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran.

Pulau Pinang menduduki tangga kedua berdasarkan perolehan pangkat semua A+ dalam seluruh mata pelajaran dan tempat keempat bagi kombinasi A (iaitu A+, A, A-) untuk semua mata pelajaran.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus