02 September 2014

Husam Musa nasihat PAS jangan percaya Umno di Selangor


SAYA ditanya tentang desas desus pembentukan Kerajaan PAS-UMNO-Ex PKR di Selangor.

Saya katakan, bukan sahaja sukar tetapi mustahil.

Baik dari sudut bilangan, prinsip, pelaksanaan dan kesan jangka pendek dan panjang serta dinamisma parti-parti yang terlibat.

Untuk Ex PKR diterima menjadi ahli PAS bagi mencukupkan bilangan untuk digabungkan dengan 12 ADUN UMNO menjadikan bilangannya 29 bagi membentuk kerajaan minoriti, perlu diputuskan oleh AJK PAS Pusat.

Saya tidak nampak keahlian mereka akan diluluskan oleh PAS Pusat. Banyak sebab asas kenapa saya berpandangan demikian tetapi rasanya tidak perlu dihuraikan di sini.

Pokoknya, keahlian mereka tidak akan diterima.

Untuk permohonan mereka diangkat ke dalam mesyuarat PAS Pusat, mereka mesti terlebih dahulu secara rasmi keluar dari parti mereka.

Saya tidak fikir, jika ada, mana-mana pemimpin PKR akan mengambil risiko sedemikian.

Kalau ada orang bertanya kenapa mustahil bagi PAS Pusat menerima keahlian bakal Ex PKR, jawabnya sama seperti disebut oleh Presiden PAS sendiri semasa merasmikan Nekad hari ini (2 September) - itulah PAS. PAS berbeza dari parti-parti lain.

Saya tahu ada usaha terancang dari setengah kalangan UMNO untuk menyerapkan agenda mereka ke dalam PAS. Khususnya dari team TPM.

Team ini berpendapat, dengan menguasai institusi tertentu dalam PAS, PAS akan bergerak mengikut kehendak mereka. Mereka gagal memahami PAS adalah parti yang berbeza dengan UMNO.

Dalam UMNO, jika Presiden menetapkan satu agenda tertentu, MKT akan bersetuju dan perhimpunan Agung UMNO hanya akan menunggu untuk mengangguk.

PAS tidak sama.

Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi. Majlis Syura sekalipun tidak boleh mengatasi Muktamar.

Tidak mudah untuk UMNO menguasai 2/3 kawasan-kawasan PAS seluruh negara untuk menguasai Muktamar. Hasrat utama team ini adalah mencapai dua pertiga di Parlimen dan seterusnya meluluskan tambahan kerusi Parlimen yang kononnya memperkuat kuasa politik Melayu.

Selangor adalah umpan terdekat mereka.

Pelbagai helah dicari untuk memisahkan ikatan PR. Jika PAS sudah berpisah, fikir mereka, mudahlah UMNO masuk meminang.

Masalah utama strategi mereka adalah tidak cukup bilang.

Dulu PAS mempunyai lima belas ADUN dan UMNO ada 12. Jumlahnya 27. Campur TSKI, komplot ini hanya memerlukan tambahan satu orang ADUN sahaja lagi.

Melengah-lengahkan penyelesaian di Selangor memungkinkan satu dua orang lagi dapat dipancing.

Namun, trend yang kuat wujud supaya dua ADUN yang membuat kenyataan terbuka menolak TSKI dan mengambil keputusan memperkuat kerajaan PR di Selangor untuk dipecat.

Malah, secara tidak rasmi, mereka sudah tidak dibilang sebagai ADUN PAS. Dengan itu, dari lima belas, bilangan ADUN PAS susut menjadi tiga belas.

Gagalnya TSKI mengajak rakan ADUN yang lain memerlukan calon alternatif.

Untuk mengekalkan TSKI, mustahil untuk mendapatkan Azmin. Ia ibarat mendapatkan khutub utara, terlepas khutub selatan.

Team UMNO tadi cuba meneroka untuk mencicirkan TSKI dan memancing tokoh lain PKR.

Jika PAS hendak dilihat menerajui Selangor, UMNO kena mengizinkan tokoh bakal EX PKR itu menyertai PAS.

Saya telah jelaskan tadi, ia akan buntu. Mereka tidak akan diterima sebagai ahli PAS. Jika mereka tidak diterima sebagai ahli PAS, pilihan mereka adalah samada berdiri sebagai ADUN bebas atau menjadi ahli UMNO.

Jika Ex PKR dibiar berdiri sebagai ADUN bebas, sukar bagi PAS dan UMNO untuk menjelaskan kepada orang ramai bagaimana mereka boleh mendokong ADUN bebas sebagai MB sedangkan parti mereka mempunyai kerusi yang lebih banyak.

Jika mereka menjadi ahli UMNO, terlepaslah peluang PAS mendapat post MB Selangor dan tiga belas ADUN PAS Selangor terpaksa berketuakan UMNO dalam sekelip mata.

Rasanya, pengundi mereka dan ahli PAS akan mengutuk mereka dan hiduplah mereka terlaknat sepanjang masa.

Dari sudut bilangan dan strukturnya sahaja pun, ia sudah mustahil.

Apa lagi, dari segi hukum dan amalan demokratik, tiga belas ADUN PAS harus diberikan kebebasan, dalam situasi itu, sama ada untuk sama bersekongkol dalam persepakatan pintu belakang seperti itu atau membebaskan diri mereka.

Jika kebebasan diberi, rasanya bilangan tiga belas itu boleh susut tinggal separuh.

Kerajaan Bebas-PAS-UMNO atau Kerajaan UMNO-PAS tadi akan runtuh sekelip mata juga.

Kerana itu, saya ingin meyakinkan rakyat Selangor dan Malaysia amnya, tidak ada mana-mana pemimpin PAS akan terfikir perkara itu.

Ia sebahagain dari khayalan UMNO dan itu pun team tertentu dalam UMNO.

Team ini masih dalam rangka agenda dalaman mereka sesama UMNO.

Itulah sebabnya team PM tidak berminat sepenuhnya dengan apa yang cuba diatur.

Mendapatkan PAS melalui pintu belakang Selangor bermakna akan berlaku garis pemisah politik Malaysia yang sangat menakutkan.

UMNO mendapat tambahan sokongan pengundi Melayu dengan dukungan PAS melalui pencabulan moral politik itu. Tetapi kesannya adalah akan menjarakkan lagi sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN.

Pengundi bukan Melayu terpaksa terus menyokong PR tanpa PAS. Malaysia terbelah dua.

PAS akan menjadi parti yang malang kerana Islam yang universal untuk melindungi semua kaum dan menjadi teraju utama politik Malaysia akan memencilkan dirinya kembali di dalam politik kemelayuan sempit untuk dekad-dekad yang panjang.

Serangan T Mahathir terhadap Najib ada asasnya. Selain skandal 1MDB yang telah terperangkap dalam hutang bukan untuk kepentingan negara sebanyak berbillion-billion ringgit, Najib gagal memulihkan kepercayaan majoriti rakyat Malaysia sampai hari ini.

Setakat yang saya ikuti perbincangan pelbagai kumpulan strategik UMNO, masalah terbesar UMNO kini bukan sangat parti-parti PR tetapi telah menjadi satu trend umum bahawa UMNO ditolak oleh rakyat atas nama dan sifat mereka sebagai UMNO. Rakyat yang menolak UMNO.

Najib gagal pada mata Tun M.

Jika UMNO mahu diselamatkan, Najib kena diundurkan.

Dalam rangka itu juga lah sesetengah team dalam UMNO melihat peluang dari keadaan di Selangor sekarang. Tinggal lagi, mereka gagal memahami PAS sepenuhnya dalam rangka gerakan strategi mereka.

Jika Tun M melepaskan semua pelurunya, Najib tiadk mungkin dapat bernafas panjang.

Apa pula pendirian pimpinan PAS?

Kerajaan Selangor adalah sebahagain dari kerajaan PAS juga. Exco-exco dari PAS mendapat gaji dan elaun dari Kerajaan Selangor. Hingga kini mereka masih berada dalam kerajaan.

Untuk bekerjasama dengan UMNO, ia akan melanggar sekian banyak prinsip, kaedah, cara dan proses.

Secara mudah, ia telah dijelaskan melalui kenyataan akhbar SUP Presiden PAS bahawa usaha mewujudkan Kerajaan PAS-UMNO-Azmin tidak wujud.

Kita bertolak dari jaminan Presiden PAS itu kerana orang Islam, seperti kata Nabi Muhammad s.a.w, tidak akan sama sekali berbohong.

Kini, semua parti dalam PR perlu duduk bersama menguruskan isu di Selangor. Lupakan UMNO.

Ia perlu diurus.

Tanpa diurus, dua ADUN PAS misalnya telah mengambil pendirian sendiri. Saya difahamkan, sepanjang masa itu Perhubungan PAS Selangor tidak pun bersidang.

Dalam pengalaman PAS Kelantan, lazimnya dalam situasi sebegini, semua ADUN diuruskan.

Hari-hari yang tinggal, jika tidak diuruskan dengan baik, memungkin segala kemungkinan, termasuk pembubaran DUN Selangor.

Jika DUN Selangor dibubar, semua parti khususnya PAS mesti melihat unjuran politik yang bakal diterimanya. Saya tidak ingin menghuraikan unjuran itu di sini.

Dalam pendekatan politik Islam, tidak ada pelepasan perasaan, atau dalam bahasa lain, memuaskan nafsu geram dan marah, sehingga mengundang mudharat dan menolak maslahah.

Jika atas apa jua sebab syar’ie PAS tidak boleh mencadangakan calon MB dan mengambil langkah menyerahkan kepada budi bicara Tuanku Sultan sehingga PAS terkesan kehilangan Selangor, pada hemat saya, ia jauh lebih tidak syar’ie lagi.

Malah rekod kepimpinan PAS kerana gagal menguruskan isu ini dengan cara yang sebaik-baiknya, termasuk saya, akan kekal hitam untuk tempoh yang lama.

Bagi Saudara Azmin, sekalipun namanya saya sebutkan di sini untuk tujuan perbincangan, saya terkesan dengan kata-kata ringkas semasa pertemuan sebelum mesyuarat PR pada 17 Ogos lalu: ‘Saya nak pastikan Kerajaan Pakatan Rakyat kekal.’

Saya kagumi sikap dan pendirian beliau.

Sebenarnya bukan untuk kita, tetapi untuk perjuangan kita yang masih panjang di hari muka.

HAJI HUSAM MUSA

Pro Abdul Hadi jangan lupa ijtihad Fadhil Noor bela Anwar Ibrahim lonjak kemenangan PAS

Al Marhum Ustaz Fadhil Noor:
PILU MENGENANG MU..

Tampak ada kerinduan kepada sosok penggerak perubahan Almarhum Ustaz Fadzil Noor ketika Dr Dzulkefly Ahmad menuturkan nama beliau. Setiap kali nama Fadzil Noor disebut, mata Dr Dzul nampak berkaca, dan ada senyum yang tersorok di bibirnya.

Dr Dzulkifli Ahmad bertanding buat kali pertama 1999, setelah menyertai PAS setahun sebelumnya, iaitu sewaktu gerakan Reformasi sedang rancak. Beliau tidak isi borang Parti Keadilan kerana katanya memang pemikirannya Islamis.

“Ketika itu sosok transformasional PAS adalah Fadzil Noor. Arwahlah sumber ketokohan, dengan pemikiran yang baik dan progresif. Saya dan kawan-kawan tertarik.”

Ketika itu PAS baru mahu bertukar katanya. “Kami waktu itu golongan profesional, termasuklah si Hasan Ali dan yang lain-lain, mahu membuat perubahan besar dalam PAS.”

“Kita mahu mengarusperdanakan PAS, Hasan Ali pun datang dengan pelbagai idea; tak mahu PAS jadi parti tok lebai dan parti orang kampung. Itu yang diminta oleh Ustaz Fadzil,” ujar Pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu.

Pencetus penglibatan Dr Dzul serta lebih penting lagi kemenangan besar PAS pada pilihanraya umum tahun 1999 memang gerakan rakyat pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menurut beliau itulah yang PAS kerap lupa.

Menurut Dr Dzul, PAS kerap lupa bahawa kemenangan pada tahun 1999 adalah hasil daripada peristiwa pemecatan, serta penolakan orang Melayu terhadap politik Umno dan kebobrokannya.

“Sebab itu ketika PAS silap menanggapi sebab kemenangan 1999, ada yang mengatakan bahawa umat Melayu Islam sudah bersedia menjadikan negara ini negara Islam. Itulah pembacaan paling salah terhadap situasi tersebut.”

“Dan kita pada pilihanraya 2004 telah diberikan satu pengajaran supaya bijak, teliti, dan cermat membaca politik negara,” ujarnya.

PAS pasca 1999

Selepas pilihanraya 1999, PAS diangkat mengetuai blok pembangkang setelah memenangi 27 kerusi. PAS juga dilihat sebagai parti yang berupaya menyaingi Umno. Namun amat malang sekali apabila pemikiran politik arus perdana tidak ‘masuk’ dengan kedudukan PAS di pentas utama.

Setelah sekian lama tersekat kiprahnya di negeri lingkaran Melayu, keupayaan dan sumbangan PAS membina Barisan Alternatif adalah pengalaman PAS yang sangat besar.

“Namun ia tidak berkekalan kerana dari sudut ideologi, PAS tidak mengalami satu perubahan minda dan worldview,” kata beliau.

Menurutnya, PAS sendiri mungkin terkejut dengan keupayaan memenangi kerusi sebanyak itu. Dan apabila hilang tokoh transformasi Fadzil Noor, segera PAS kembali beberapa langkah ke belakang apabila perubahan besar yang meletakkan PAS dalam politik arus perdana itu mengalami gendala dari sudut doktrin dan perubahan fikrahnya.

Sejurus selepas itu, PAS menampilkan Dokumen Negara Islam walaupun, menurut Dr Dzul, Almarhum Ustaz Fadzil Noor mahukan PAS menampilkan dokumen yang berbeza, iaitu sebuah memorandum rakyat bertemakan pemerintahan dalam politik alaf ke-21 yang berteraskan Islam.

“Memang benar mereka menolak politik kezaliman dan kebobrokan (pada tahun 1990). Tetapi untuk mendakap dan menerima seluruhnya politik Islam secara PAS itu bukan sesuatu yang semestinya.”

“Alangkah baik sekiranya PAS mengambil langkah-langkah yang lebih cermat seperti yang dicadangkan oleh Ustaz Fadzil Noor.”
Namun bagi beliau politik ini sangat kompleks, ia tidak semudah membaca sains politik di dewan kuliah.

“Politik itu perlu dilalui dan didepani dengan pelbagai situasi dan gendala serta perhitungan.”

Ketika PAS mengalami kekalahan dalam PRU tahun 2004 satu post-mortem secara lebih besar dilakukan, dipengerusikan oleh Datuk Mustafa Ali, manakala Dr Dzul setiausahanya.

Menurut beliau, post mortem itu sangat baik, bermaklumat dan menginsafkan. Post mortem tersebut menjelaskan bahawa antara punca besar kekalahan 2004 ialah pelancaran Dokumen Negara Islam “yang dilancar tetapi tidak diurus pencerahan dan penerangannya.”

Akibat daripada situasi tersebut sebahagian besar daripada pengundi, khususnya yang bukan-Islam dan bukan-Melayu merasakan PAS sudah kembali kepada asal dan mahu menekankan Islam ke atas semua. Kononnya juga PAS mahu menjadikan negara ini negara Islam, maka yang bukan-Islam jadi rakyat kelas kedua dan menjadi kafir dzimmi.

“Inilah akibat daripada tidak mengurus penerangan itu dalam jangkamasa antara 2002 sehingga 2004. Walaupun dengan konflik dan perbalahan waktu itu menenggelamkan isu negara Islam, tetapi orang ramai telah melekatkan dalam kepala mereka bahawa PAS ini kalau diberikan kuasa akan menubuhkan negara Islam dan bukan negara demokrasi berprinsip Islam.”

Hal itulah yang menjadi ketakutan, sehinggalah tahun 2008 apabila PAS dengan beraninya membuat transformasi kali kedua yang, menurut Dr Dzul, “kali ini dibuat secara sedar.”

Transformasi sedar PAS kali kedua

“Transformasi pertama pada tahun 1999 itu dibuat secara kurang sedar. Ia hanya wujud dalam peribadi diri tokoh arwah presiden itu sahaja yang membawa perubahan-perubahan itu.”

Dalam pergerakan sosial, kerap kali gagasan tercetus dahulu, baru datang pergerakannya. Namun ada kalanya terbalik. Contohnya sewaktu Revolusi Industri, ideolog yang membawa faham liberalisme bercakap tentang posisi individualisme dan hak memiliki harta itu semua datang sebagai justifikasi kepada revolusi tersebut.

Manakala Marx pula datang membawa pencerahan yang jelas mengapa kapitalisme itu mesti dirombak dan diperangi kerana manusia seandainya diberikan hak dan kebebasan individu akan mengumpul segala kuasa dan wang ringgit untuk menindas yang lain.

“Di sini Marx sebagai ideolognya menurunkan idealismenya itu sebelum berlaku revolusi.”

“Justeru apa yang saya maksudkan sekarang ini ialah perubahan perlu didahului idea dan penjelasan tentang apa yang sebenarnya yang perlu ditampilkan oleh gerakan Islam dan Islam politikal.”

Beliau mengira bahawa perbezaan Ikhwanul Muslimin dan Rashid Ghannouchi adalah sangat ketara dan perlu diambil perhatian oleh PAS.

“Ghannouchi, ketika mengambil suaka politik di UK, menulis dan memperturunkan pemikirannya tentang demokrat Islam dan sebagainya, dan berlaku pencerahan tentang bagaimana Islam yang politikal akan berperanan dalam perjuangan seterusnya.”

“Sebaliknya kita lihat Ikhwan di Mesir sekadar membawa idea-idea Al-Banna yang lama; yang tidak ada pencerahan atau perubahan besar dari sudut menggarap demokrasi dan cabarannya.”

Inilah dia yang beliau kira satu kelompangan. Namun PAS berbeza dengan gerakan Islam yang lain kerana diletakkan dalam satu negara yang sifatnya sangat plural.

“Kemajmukan itu adalah cabaran yang berbeza jika dibanding dengan Morsi, Ghannouchi, PKS di Indonesia dan juga yang lainnya.”

“Di sini, pemikir-pemikir gerakan Islam perlu menurunkan, antara lain, cara-cara untuk memahamkan Islam dalam bentuk ‘PAS for All’.”

Baginya slogan “PAS for all” itu sangat memerlukan pengisian; dan baginya juga penterjemahan itu ada dalam tahalluf siyasi bersama DAP dan PKR.

“Langkah tahalluf itu bukan sahaja satu kemudahan politik tetapi juga jalan untuk menterjemahkan ‘PAS for All’.”

“Kalau PAS mampu untuk bersama dalam satu muafakat politik bersama DAP yang punya ideologi yang berbeza dan PKR yang juga tidak mempunyai ideologi yang sama, bermakna ia sudah pun mampu berhubung dengan pemain-pemain politik yang satu hari nanti akan mampu mengambil alih negara.”

Namun dalam keadaan sekarang ketika kelihatan seolah-olah ada pihak dalam PAS yang tidak selesa dengan “PAS for All” dan tahalluf-nya. Dr Dzul mengharapkan supaya berlaku dalam PAS sendiri satu proses kesedaran dan keinsafan untuk memahami apa itu Islam yang politikal, dalam konteks cabaran, perjuangan, dan tuntutan, termasuk tuntutan tahalluf sebuah pakatan politik.

“Mesti ada satu tinjauan semula ilmu dan ditafsirkan ke dalam konteks perjuangan hari ini. Kalau tidak, banyak halangan-halangan dan hujah ‘tidak boleh’ dari segi akomodasi politik dalam tahalluf.”

“Ini yang sedang berlaku sekarang ini apabila begitu mudah orang mengatakan ‘kalau tahalluf siyasi tidak menguntungkan PAS, kita akan keluar.’ Persoalannya, apa maksud ‘menguntungkan’, apa yang bercanggah, apa yang bertembungan dengan prinsip dan apa pula prinsip yang bertembung.”

Baginya, semua ini tidak melalui satu diskursus ideologi yang memerlukan gandingan ulama dan pemikir serta ilmuan Islam.

“Saya kira Ghannouchi sangat ke depan dalam hal ini, dan PAS memerlukan itu. Inilah dia lompangnya.”

“Kita tidak boleh menangani cabaran perjuangan hari ini dengan kembali kepada fikrah 60-an dan 70-an. Perlu ada ijtihad-ijtihad baru.”

Facebooker dedah info MH370 bukan digodam, tapi dihantar ke IP Negara China?

Dakwaan Cyber Security Malaysia (CSM) kononnya 30 komputer penyiasat kes MH370 telah digodam adalah palsu.

Seorang facebooker  yang dikenali sebagai Jai mendedahkan, kesemua info sulit itu dicuri dan dihantar ke alamat IP Negara China.

Mohon tanya Menteri masa sidang parlimen nanti...

Elok PAS tidak sendirian, amanat Fadhil Noor yang dilupai pro Abdul Hadi

Sebelum Geng Bas Sekolah terus buat onar agar PAS diusir keluar daripada Pakatan Rakyat, cermati dulu ucapan bekas Presiden PAS Datuk Fadhil Mohd Noor (2000) seperti di bawah:

"Senario politik Malaysia beserta dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syara' utk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai suatu model pelaksanaan Islam yg sentiasa berpegang kepada prinsip, di samping cukup peka dan sensitif terhadap perubahan dan peredaran zaman.

"Berpandukan kedudukan kaum Melayu-Islam dan juga demografi Malaysia Timur, maka adalah tidak wajar untuk mengharapkan PAS dengan cara bersendirian untuk memenangi pilihanraya di peringkat persekutuan, bahkan di beberapa negeri di pantai barat. Disinilah akan teruji kematangan dan kebijaksanaan kepemimpinan jemaah.

"Kepemimpinan perlu memecahkan isu ini dgn sifat terbuka, telus, dan berani mengambil risiko yg diperhitungkan (calculated risk) dengan berbekalkan ulum syara' dan bacaan politik semasa.

"Dalam suasana cabaran inilah akan teruji dakwaan pembudayan politik berasaskan ilmu pengetahuan dan maklumat atau dalam kata lainnya k-politics" (UCAPAN DASAR ALMARHUM USTAZ FADHIL NOOR, Pemimpin Perpaduan, 2000)

ULASAN BJ FAQAR
Kaedah fiqh ada menyebut, ma la yutimmu al-wajib illa bihi fahuwa bi al-wajib

Maksud: Tidak sempurna satu-satu kewajipan melainkan suatu perkara, maka perkara sesuatu itu pun adalah wajib.

Datuk Fadhil Noor telahpun menjelaskan kewajipan menumbangkan kezaliman Umno BN melalui pilihan raya mustahil boleh direalisasikan, melainkan perlukan tahalluf siyasi dengan semua pihak yang komited untuk menghentikan kezaliman Umno BN.

Geng Bas Sekolah pakai kaedah fekah ini semasa nak doktrin rakyat Malaysia untuk sertai PAS serta time 'rompak duit' masjid atas nama jihad saja.

Sutuju?

Pamer surau taraf 5 bintang dalam risalah pelancongan negeri - Exco Agama

ABDUL Malik Abul Kassim.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa penilai untuk memberi penarafan kepada 150 surau awam di negeri ini.

Menurut beliau, surau awam yang diberi penarafan cemerlang dengan lima bintang akan diberi keistimewaan, antaranya dimuat cetak serta dipamerkan dalam risalah pelancongan terbitan negeri kelak.

"Surau-surau yang menepati piawaian tertinggi akan diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap surau berkenaan.

"Surau-surau itu akan disenaraikan dalam risalah Kerajaan Negeri, termasuk risalah pelancongan," ujar Abdul Malik kepada wartawan di sini, pagi ini.

Abdul Malik menjelaskan, proses penilaian dalam tempoh 10 hingga 26 September lepas bagaimanapun tidak termasuk surau kariah masjid yang diwujudkan di taman perumahan dan kampung. 

Justeru, katanya, enam pasukan penilai daripada enam pentadbiran agama telahpun ditubuhkan untuk melaksanakan program penarafan surau di negeri ini.

Kesemua pasukan penilai tersebut dianggotai oleh wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan panel bebas.

"Kesemua surau dinilai berdasarkan 3 komponen utama, iaitu, 50 peratus dari segi kemudahan fasiliti, 40 peratus dari segi kebersihan dan keceriaan, serta baki 10 peratus lagi adalah penilaian dari segi pengurusan," ujar Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Difahamkan, penarafan lima bintang diberikan kepada surau yang mempunyai markah antara 90 peratus peratus 100 peratus, diikuti empat bintang (80 peratus hingga 89.9 peratus), tiga bintang (70 peratus hingga 79.9 peratus), dua bintang (60 peratus hingga 69.9 peratus), satu bintang (50 peratus hingga 59.9 peratus) dan tanpa bintang (markah di bawah 49 peratus).

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan insiatif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan pengurusan institusi berkaitan Islam di negeri ini.

Guan Eng gesa Putrajaya gandakan kempen P.Pinang selamat, bukan politikkan status PPS

LIM Guan Eng menyampai ucapan pada majlis jamuan malam amal anjuran Tokong Hang dekat Jalan Raja Uda di sini, malam tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng menggesa Putrajaya supaya segera memberi jaminan keselamatan dengan menjejaki dalang serangan bom buatan sendiri jenis molotov cocktail di kediaman peribadi beliau  pada pagi selepas ambang Hari Kemerdekaan Ke-57 baru-baru ini, bukannya asyik tunduk pada permainan ahli politik tertentu negara dengan mempertikai aktiviti kesukarelawan Pasukan Peronda Keselamatan (PPS) di negeri berkenaan.

"Dulu, ada pihak sekadar cuba memburuk-burukkan nama baik saya sekeluarga, tetapi, sudah ada unsur nak bunuh saya pula sekarang.

"(Justeru,) polis perlu gandakan rondaan supaya Pulau Pinang selamat, serta keluarga saya pun kekal selamat daripada serangan berunsur pembunuhan ini," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis jamuan amal dekat Jalan Raja Uda di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut hadir dalam majlis anjuran Tokong Hang, yang disertai lebih 3,000 tetamu.

Menurut Guan Eng, aktiviti kesukarelawan PPS akan di'rehat'kan serta-merta, sehinggalah mahkamah berbuat deklarasi mengenai kesahihan pertubuhan yang diwujudkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri berkenaan. 

"Walaupun mereka (Kerajaan Pusat) mempunyai kuasa besar, tetapi, kita (Kerajaan Negeri) tetap akan mempertahankan bidang kuasa yang kita ada habis-habisan," tegas Guan Eng, sambil menasihatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tidak tunduk pada pemain politik Umno BN dari Putrajaya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Lanjutan itu,seramai 156 anggota PPS termasuk ketuanya merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh ditahan reman di IPD Polis Daerah Timur Laut sejurus selesai upacara perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri pada 31 Ogos lepas, sebelum dibebaskan secara berperingkat pada hari berikutnya.

Guan Eng dalam reaksi spontan mengulangi ketegasan pendirian Kerajaan Negeri bahawa dakwaan Khalid itu adalah tidak logik memandangkan PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebagaimana penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini dan seluruh negara.

“Seperti JKKK, ia (PPS) ditubuhkan oleh di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

"Kalau PPS yang ditubuhkan di bawah kuasa Kerajaan Negeri dianggap tidak sah, maka JKKK di seluruh negara pun boleh dianggap tidak sah kerana ia (JKKK) ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan,” ujar Guan Eng pada satu sidang media berasingan baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian selepas menghadiri dwi perbicaraan kes ‘Umno Celaka’ di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. di sini. 

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus