17 December 2014

Laluan khas jika operasi 800 bas awam direalisasikan, kata Guan Eng

KETUA Menteri serta pemimpin Kerajaan Negeri lain menyempurnakan majlis pelancaran pembukaan Terminal B Rapid Penang di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENGKALAN KOTA - Kerajaan Negeri merayu agar operasi kesemua 550 buah bas yang dijanjikan Kerajaan Pusat pada tahun 2010 dapat direalisasikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pelancaran Terminal B Rapid Penang dekat Pengkalan Weld di sini baru-baru ini.

"Saya harap bahawa janji untuk menambahkan 200 buah bas tambahan ke atas 300 buah bas sedia ada, yang dibuat pada 2010 dalam pembentangan Belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dapatlah ditunaikan dan tidak lagi menghampakan rakyat Pulau Pinang dengan hanya 400 atau 450 buah bas ataupun ada laporan sampai 520 buah bas.

"Sekiranya ada 800 buah bas Rapid Penang yang bergerak dan beroperasi senantiasa (tiap-tiap) hari di atas jalan, Kerajaan Negeri akan memberikan laluan khas bas untuk Rapid Penang," ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd. Shukri Abdul Rahman turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Datuk Ar. Patahiyah Ismail serta beberapa Ahli Majlis MPP lain.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri telahpun mempunyai Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan belanja RM27 bilion, antara lain demi mengalih kecenderungan rakyat dari menggunakan kenderaan persendirian pada pengangkutan awam.

"RM27 bilion ini, saya rasa ini yang paling besar di bahagian Utara (Semenanjung Malaysia).

"Pada November 2014, jumlah bas yang disediakan untuk perkhidmatan bas CAT telah bertambah daripada tiga buah bas ke(pada) lima buah bas, dan masa perselangan pejalanan telah dikurangkan daripada 20 minit ke 10 minit.

"Penambahan bilangan bas CAT telah meningkatkan jumlah pengguna bas," ujar Guan Eng lagi.

Beliau turut memuji komitmen Kon Yeow yang acapkali menyuarakan isu-isu berbangkit berhubung rancangan memperbaiki mutu sistem pengangkutan negeri dalam mesyuarat exco Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, Mohd. Shukri turut memuji kerjasama Kerajaan Negeri dalam menjayakan projek pemajuan terminal tersebut.

"Ekspektasi saya, sistam yang kita (Rapid Penang) mahu sediakan di Pulau Pinang mesti mengatasi ekspektasi sistem pengangkutan di negara-negara maju seperti England dan Australia.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri," ujar Mohd. Shukri.

Rapid Penang ditubuhkan pada 31 Julai 2007 demi menyediakan sistem pengangkutan bas yang lebih efisyen, dan kini 242 buah bas beroperasi tiap-tiap hari.

Angka itu, tidak termasuk perkhidmatan percuma Bridge Express Shuttle Transit (BEST) di antara Seberang Perai dan Bayan Baru sebanyak 17 buah bas, dan lima buah bas Central Area Transit (CAT) di sekitar Tapak Warisan UNESCO George Town.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM239,000 tiap-tiap bulan untuk perkhidmatan bas percuma tersebut.

Terminal B Rapid Penang ini mula dimajukan pada Jun tahun lepas  di atas tanah (Perbadanan Ketua Menteri (CMI) yang seluas 3,515 meter persegi yang telah dipajak kepada Syarikat Prasarana Negera Berhad, mampu menampung operasi 12 buah bas dalam satu-satu masa.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus