21 March 2016

Exco nafi tuduhan Menteri Perumahan kononnya agensi persekutuan dianaktirikan di P. Pinang

JAGDEEP Singh Deo (tengah) diiringi Jeff Ooi Chuan Aun (kanan) menyampaikan cenderamata kepada wakil penganjur Kejohanan Sepak Takraw Piala Jagdeep Singh Deo Peringkat KADUN Datuk Keramat, di sini, semalam.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JELUTONG - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menganaktirikan agensi persekutuan yang benar-benar berhasrat membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Sambil menolak tuduhan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Jagdeep berkata, enam daripada 15 projek perumahan yang dimohon telahpun diluluskan sebelum ini.

Siling harga maksimum rumah di bahagian Pulau ditetapkan RM400,000 seunit, manakala, RM250,000 sebuah di bahagian Seberang Perai.

"Dikatakan, 9,600 unit rumah mampu milik dan 100 peratus rumah mampu milik.

"Tetapi, apabila kita (Kerajaan Negeri) semak, di bahagian Pulau harganya RM1.8 juta (dan) di bahagian Seberang Perai, ada rumah RM800,000, apakah itu rumah mampu milik.

"Jadi, saya memberitahu JKP (dan) Perda bahawa ini sesuatu yang tidak boleh diterima, sehinggalah mereka mematuhi syarat-syarat pemajuan perumahan negeri Pulau Pinang.

"Daripada lapan (projek perumahan), enam telah diluluskan selepas pemaju (JKP) akur dengan ketetapan kita (Kerajaan Negeri) untuk mengurangkan siling harga, dan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah menganaktirikan (agensi persekutuan)," kata Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat kepada pemberita di sini, pagi semalam.

Sejak dua tahun lalu, difahamkan, JKP ada memohon kebenaran membina lapan projek perumahan daripada Kerajaan Negeri, manakala baki tujuh projek lain dimohon oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

20 Mac lalu, akhbar Mingguan Malaysia antara lain melaporkan Abdul Rahman mendakwa kedua-dua agensi persekutuan tersebut seringkali tidak diberi peluang dan ruang untuk membantu Kerajaan Pulau Pinang menyediakan rumah yalng lebih selesa untuk rakyat.

Menurut Jagdeep, laporan sama turut dipetik oleh beberapa portal berita atas talian, termasuk Bernama.

Berang dengan tuduhan itu, Jagdeep Singh menyifatkan tuduhan Menteri sebagai "isu lama" dan "kebudak-budakkan".

Sebelum itu, Jagdeep diiringi Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Jagdeep Singh Deo Peringkat KADUN Datuk Keramat.

Sejumlah 20 pasukan menyertai kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan, anjuran bersama Pejabat ADUN dan JKKK Kampung Dodol.

Kompaun RM100 jika guna pelekat kenderaan OKU palsu, tegas Ahli Majlis MPSP

TIUN Ling Ta (kanan) diiringi Heng Yeh Shiuan (tengah) serta Bee Eu Tan (kanan) menunjukkan kaedah mempamerkan kad OKU dari dalam kereta sekiranya memiliki pelekat kenderaan OKU yang dikeluarkan oleh POCAM, pada sidang media di Kompleks Renang Awam MPSP dekat Padang Lalang, pagi tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG - Mereka yang menggunakan pelekat kenderaan OKU palsu akan berdepan tindakan penguatkuasaan, termasuk kompaun tanpa diskaun RM100 daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta memberitahu, pelekat kenderaan  OKU yang diiktiraf di negeri ini antaranya yang berlogo MPSP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta yang dikeluarkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagi pelekat kenderaan OKU yang dikeluarkan oleh Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM) atau mana-mana pertubuhan OKU berdaftar pula, katanya lagi,  mereka wajib mempamerkan kad OKU pada dashboard dalam kereta ketika parkir.

"Sesetengah sanggup membeli pelekat OKU palsu, untuk kenderaan yang bukan dimiliki oleh OKU atau penjaga (OKU) yang sebenar.

"Kerana POCAM tidak menghadkan pembelian pelekat OKU dan MPSP tidak mahu penyalahgunaan pelekat kenderaan yang dikeluarkan oleh persatuan itu, mereka yang menggunakan parkir khas wajib mempamerkan kad OKU dari dalam kereta untuk mengelak risiko saman.

"Direktorat (Penguatkuasa MPSP) akan dilatih untuk mengenal pasti pelekat yang sah dan pelekat (palsu) yang dibeli," jelas Ling Ta kepada pemberita di Kompleks Renang Awam MPSP dekat Jalan Betik, pagi tadi.

Ahli Majlis lain, Heng Yeh Shiuan serta Bee Eu Tan (wakil firma perunding jurutera bangunan khas OKU) turut sertai sidang media itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ling Ta memberitahu pihaknya sedang berunding dengan pemilik tapak parkir persendirian seperti pemilik pasar raya TESCO dan AEON, supaya turut mencegah penyalahgunaan parkir OKU sebagaimana dikuatkuasakan oleh MPSP kini.

"Penguatkuasaan MPSP sendiri sebenarnya terbatas pada parkir awam sahaja, tidak parkir persendirian seperti di pasar raya.

"Kita (MPSP) pertimbang untuk memasukkan perkara menguatkuasakan parkir OKU ini dalam syarat permohonan bagi lesen (premis komersial), sekiranya penyalahgunaan parkir OKU di kawasan-kawasan yang dikenal pasti ini masih berlaku," jelas Ling Ta lagi.

Di Pulau Pinang, terdapat kira-kira 32,000 OKU berdaftar, tetapi sejumlah 722 pelekat kenderaan OKU sah dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Ling Ta memberitahu, 379 pelekat kenderaan dikeluarkan untuk pemandu OKU, manakala 342 pelekat lain dikeluarkan untuk penjaga OKU.

Di bahagian Seberang Perai, katanya lagi, MPSP menyediakan 59 petak parkir khas untuk OKU demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif.

"Berbanding dengan (722) jumlah pelekat kenderaan yang dikeluarkan, tempat letak kereta OKU yang disediakan hanya 8.17 peratus sahaja.

"(Bilangan parkir OKU) ini amat terhad dan lebih teruk lagi apabila ia disalahgunakan," tegas Ling Ta lagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus