02 July 2015

Mohd.Rashid Hasnon anjur seminar kejuruteraan jitu demi manfaat penggerak industri tempatan

TIMBALAN Ketua Menteri I Pulau Pinang (depan, tengah) merakamkan gambar bersama-sama para tetamu utama selepas menyampaikan ucapan pada Penang International Precision Engineering Conference 2015 di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berharap penggerak industri tekan tera (stamping industry) tempatan dapat menimba lebih banyak pengalaman dengan penyertaan para peneraju, sarjana dan penyelidik terkemuka dari Eropah dalam Penang International Precision Engineering Conference 2015 di sini baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) gembira dengan kehadiran pakar-pakar dalam industri stamping dari Jerman, Switzerland dan Singapura dan tidak dilupakan juga anak jati (bernama) Lee Tiong Li dari Amphenol TCS Pulau Pinang, yang saya difahamkan dilahirkan daripada industri tekan tera di Pulau Pinang juga dan di luar negara,” jelas Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak semasa menyampaikan ucaptama pada seminar di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Rashid, Kerajaan Negeri sentiasa gigih meningkatkan mutu infrastruktur negeri supaya Pulau Pinang terus menjadi sebagai destinasi pelaburan pilihan di tanah air ini.

“Dalam Kerajaan Negeri, memang saya ingin melakukan banyak perkara untuk rakyat Pulau Pinang, bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah, untuk meningkatkan produktiviti industri, supaya kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Seperti persidangan hari ini, adalah inisiatif pejabat saya sendiri untuk rakyat dan jaminan daripada saya bahawa akan ada lagi seminar seumpama ini pada masa akan datang,” jelas Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Difahamkan, seminar tersebut antara lain berbincang mengenai corak terkini dalam kejuruteraan jitu tinggi, tekan tera berprestasi tinggi, konsep pembuatan terkini dan sebagainya.

Selain Teong Li yang mengetuai persidangan tersebut, Ketua Pengarah Eksekutif Bruderer AG, Andy Fischer serta rakan sekerjanya, Josef Hafner, Daniel Knohl (Fibro Asia PTD Ltd.), Iris Chan (Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Wieland Logam Singapura), GesmbH Rainer Tatic (Jurutera Jualan bagi Stanzbiegetechnik), Ekkehard Fluck (Pengurus Akaun Otto Vision Technology) dan Thomas Heger (Pengurus Pemasaran Noxon Automation) turut menyertai persidangan antarabangsa tersebut.

Agilent rancang bina kilang baru, 50 tahun di P.Pinang dihargai Guan Eng

KETUA Menteri (tengah), Yap Soo Huey (dua dari kiri) dan Loo Lee Lian (paling kiri) bersama-sama Chai Meng Fee (empat dari kiri) serta seorang tetamu lain menyempurnakan upacara memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-50 Agilent Technologies di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Agilent Technologies baru-baru ini mengumumkan rancangan jangka masa panjang syarikat multinasional itu untuk membina fasiliti kilang pembuatan baru di negeri ini, demi menampung pertubuhan sains hayat serta perniagaan aksesori perubatan mereka.

Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 syarikat tersebut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan atas hasrat yang diluahkan oleh Presiden Agilent Technologies, Chai Meng Fee yang terus setia menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Sumbangan Agilent untuk ekonomi Pulau Pinang mesti dipuji, dan keberadaan syarikat itu sekaligus membuktikan sains hayat boleh berjaya menjana keuntungan lumayan serta menarik minta lebih ramai generasi muda Malaysia dan Pulau Pinang,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar InvestPenang, Loo Lee Lian dan Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang merupakan negeri perindustrian pertama di Malaysia, dengan kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang kira-kira 95 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2014, iaitu sebanyak RM67 bilion.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian pada sektor pembuatan yang menyumbang kira-kira 60 peratus pada KDNK Pulau Pinang. 

Tambah beliau, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula mendedahkan pelaburan ke negeri ini meningkat sebanyak 109 peratus menjadi RM8.2 bilion pada tahun 2014, berbanding 3.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan pelaburan langsung asing (FDI) telah didorong oleh daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan,” jelas Guan Eng lagi.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk surplas atau lebihan kewangan yang berjaya direkodkan dalam kewangan negeri pada tiap-tiap tahun sejak 2008.

Difahamkan, lebihan kewangan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga 2013 adalah sejumlah RM453 juta, dengan rekod terbesar dalam sejarah Pulau Pinang yang dicapai sebanyak RM138.31 juta pada tahun 2011 sahaja.

Dalam tempoh 2008 hingga 2013 juga, lebihan bajet terkumpul negeri yang berjumlah RM453 juta itu melebihi surplas negeri selama 50 tahun dahulu sejak 2007, iaitu sebanyak RM373.6 juta sahaja.

“Kita akan meneruskan lagi rancangan Kerajaan Negeri untuk generasi masa depan, terutamanya membina projek berkembar (iaitu) membina perumahan mampu milik serta menangani masalah pengangkutan.

“Sebanyak RM500 juta diperuntukan di bawah Tabung Perumahan Awam Rakyat Pulau Pinang, dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang merangkumi tanah dan rangkaian laut yang dianggarkan memerlukan dana RM27 bilion, termasuk membina sistem MRT (transit laju massa) demi menghubungkan kawasan pulau dan tanah besar (Seberang Perai) di negeri ini,” jelas Guan Eng lagi.

Sebelum itu, Meng Fee memberitahu bahawa rancangan membina kilang baru di Pulau Pinang turut dijadikan sebagai hub instrumen dan peralatan perubahatan khusus untuk mengesan tisu kanser pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri pun ada mencadangkan suatu tapak baru yang berpotensi di Batu Kawan untuk fasiliti pengeluaran baru ini, dan kami sendiri akan mengoptimumkan proses pembuatan itu nanti sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Kami berminat untuk mengambil lebih ramai ahli kimia dan biologi, selain jurutera, yang kini bilangan pekerja kami di Pulau Pinang kira-kira 530 orang.

“Industri berasaskan sains hayat dengan reka bentuk peralatan kimia dan pembuatan kian berjaya sejak lima tahun lepas dan produk yang dihasilkan di sini (Pulau Pinang) nampaknya telah memberi impak global sejak masa itu lagi,” jelas Mee Fee. 

Apa status 118 permohonan jika TP1M tiada dalam RMK-11, tanya Exco Perumahan

JAGDEEP Singh Deo (lima dari kiri), Zairil Khir Johari (empat dari kiri), Cheah Kah Peng (paling kanan) dan Lee Chun Kit (tiga dari kiri) serta dua pemimpin setempat pada majlis pelancaran projek mengecat dua blok Flat Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEBUN BUNGAH - Projek Penyelenggara 1Malaysia (TP1M) yang langsung tidak diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 21 Mei lepas menggamit tanda tanya, sama ada skim bantuan baik pulih rumah pangsa rakyat terpilih itu masih diteruskan pada masa depan atau sebaliknya.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, penjelasan itu penting untuk Kerajaan Negeri memandangkan baru 26 daripada keseluruhan 144 permohonan TP1M baru diluluskan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 2012.

“Kerajaan Persekutuan perlu memberi jawapan yang jelas kerana ini akan memberi kesan yang besar kepada mereka yang mendiami unit perumahan kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR),” jelas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat kepada wartawan, selepas menyertai majlis pelancaran projek mengecat dua blok Flat Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Chun Kit turut sertai majlis tersebut.

Menurut Jagdeep, RMK-11 yang langsung tidak menyebut mengenai TP1M sekaligus memberi gambaran seolah-olah projek kebajikan yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat itu telah dihentikan.

Jika sedemikian, katanya lagi, proses kelulusan baki 118 permohonan TP1M yang dilengahkan oleh Kerajaan Pusat sendiri seolah-olah mengakibatkan penduduk rumah pangsa berwajib menjadi mangsa pentadbiran Putrajaya.

Ditambah dengan penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) belakangan ini, katanya lagi, kelewatan Kerajaan Pusat mengakibatkan peruntukan berwajib bertambah menjadi kira-kira RM28 juta, untuk melaksanakan kesemua baki permohonan TP1M di negeri ini.

Sebelum itu, Zairil Khir Johari menasihatkan pentadbiran Najib supaya mengecualikan pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) ke atas projek TP1M, yang jelas tidak berorientasikan keuntungan perniagaan.

Katanya, kos mengecat kedua-dua blok rumah pangsa tersebut adalah RM216,240 , dan kira-kira RM24,480 terpaksa dibayar atas nama GST.

Justeru, beliau mempersoal rasional penguatkuasaan GST yang kononnya demi kebaikkan rakyat, tetapi dikenakan ke atas projek-projek TP1M yang jelas menyumbang pada manfaat rakyat.

“Kita (kerajaan) sedang melakukan projek untuk rakyat tetapi belum apa-apa terpaksa membayar GST (kepada Kerajaan Pusat),” jelas Zairil, sambil menyokong langkah Jagdeep menulis surat rasmi menuntut jawapan berwajib daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

TP1M diperkenalkan pada bulan Januari 2010, dengan Kerajaan Pusat menyediakan 90 peratus peruntukan penyelenggaraan KR atau 70 peratus KSR, manakala baki ditanggung oleh badan pengurusan projek (JMB) atau persatuan penduduk.

Lanjutan itu, pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang, demi membiayai baki kos yang sepatutnya ditanggung oleh JMB atau persatuan penduduk.

Pun begitu, 188 permohonan TP1M berbaki tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiada kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat, sehinggalah Jagdeep membangkitkan isu RMK-11 tidak menyebut mengenai projek kebajikan tersebut baru-baru ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus