Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
KEBUN BUNGAH -
Projek Penyelenggara 1Malaysia (TP1M) yang langsung tidak diumumkan
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dalam Rancangan
Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 21 Mei lepas menggamit tanda tanya, sama
ada skim bantuan baik pulih rumah pangsa rakyat terpilih itu masih
diteruskan pada masa depan atau sebaliknya.
Exco Perancangan Bandar &
Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, penjelasan itu penting
untuk Kerajaan Negeri memandangkan baru 26 daripada keseluruhan 144
permohonan TP1M baru diluluskan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 2012.
“Kerajaan Persekutuan
perlu memberi jawapan yang jelas kerana ini akan memberi kesan yang
besar kepada mereka yang mendiami unit perumahan kos rendah (KR) dan
kos sederhana rendah (KSR),” jelas Jagdeep yang juga ADUN Datuk
Keramat kepada wartawan, selepas menyertai majlis pelancaran projek
mengecat dua blok Flat Padang Tembak di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng, Ahli Parlimen Bukit
Bendera, Zairil Khir Johari, dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya
Pulau Pinang (MBPP), Lee Chun Kit turut sertai majlis tersebut.
Menurut Jagdeep, RMK-11
yang langsung tidak menyebut mengenai TP1M sekaligus memberi gambaran
seolah-olah projek kebajikan yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat itu
telah dihentikan.
Jika sedemikian, katanya
lagi, proses kelulusan baki 118 permohonan TP1M yang dilengahkan oleh
Kerajaan Pusat sendiri seolah-olah mengakibatkan penduduk rumah
pangsa berwajib menjadi mangsa pentadbiran Putrajaya.
Ditambah dengan
penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) belakangan ini,
katanya lagi, kelewatan Kerajaan Pusat mengakibatkan peruntukan
berwajib bertambah menjadi kira-kira RM28 juta, untuk melaksanakan
kesemua baki permohonan TP1M di negeri ini.
Sebelum itu, Zairil Khir
Johari menasihatkan pentadbiran Najib supaya mengecualikan
pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) ke atas projek
TP1M, yang jelas tidak berorientasikan keuntungan perniagaan.
Katanya, kos mengecat
kedua-dua blok rumah pangsa tersebut adalah RM216,240 , dan kira-kira
RM24,480 terpaksa dibayar atas nama GST.
Justeru, beliau
mempersoal rasional penguatkuasaan GST yang kononnya demi kebaikkan
rakyat, tetapi dikenakan ke atas projek-projek TP1M yang jelas
menyumbang pada manfaat rakyat.
“Kita (kerajaan) sedang
melakukan projek untuk rakyat tetapi belum apa-apa terpaksa membayar
GST (kepada Kerajaan Pusat),” jelas Zairil, sambil menyokong
langkah Jagdeep menulis surat rasmi menuntut jawapan berwajib
daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kerajaan Persekutuan di
negeri ini.
TP1M diperkenalkan pada
bulan Januari 2010, dengan Kerajaan Pusat menyediakan 90 peratus
peruntukan penyelenggaraan KR atau 70 peratus KSR, manakala baki
ditanggung oleh badan pengurusan projek (JMB) atau persatuan
penduduk.
Lanjutan itu, pentadbiran
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan HAPPY!
atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang, demi membiayai baki kos
yang sepatutnya ditanggung oleh JMB atau persatuan penduduk.
Pun begitu, 188
permohonan TP1M berbaki tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiada
kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat, sehinggalah Jagdeep
membangkitkan isu RMK-11 tidak menyebut mengenai projek kebajikan
tersebut baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment