21 October 2015

Fatwa ikut syariat, untuk kesejahteraan umat, respons Mufti Pulau Pinang

SOHIBUS Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

KEBENARAN menggunakan pembesar suara untuk tujuan azan dan iqamah sahaja di Pulau Pinang mengundang pelbagai reaksi.

Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang terbabit dalam isu berbangkit tersebut turut digambarkan tunduk pada kemahuan politik Kerajaan Negeri.

Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Sohibus Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini ada menjelaskan mengenai gambaran sebenar mengenai satu-satu fatwa itu dikeluarkan.

“Satu-satu fatwa ini dihasilkan oleh sebuah Jawatankuasa Fatwa, yang keanggotaannya terdiri oleh mereka yang kita anggap sebagai pakar dalam bidang masing-masing.

“Sebenarnya kita (Jawatankuasa Fatwa) memang diberikan kebebasan untuk berbincang mengenai satu-satu perkara baharu membabitkan umat Islam.

“Dalam isu azan ini, Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) sendiri pun baru tahu sahaja, itupun melalui akhbar sahaja, sama seperti Exco Hal Ehwal Agama Islam (Dato' Abdul Malik Abul Kassim).

“Ini, menunjukkan bahawa perkara ini adalah tidak ada kena-mngena dengan mana-mana ahli politik, kerana Majlis Fatwa mempunyai kebebasan tersendiri untuk memberikan penjelasan mengenai satu-satu perkara, di bawah perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertua Agong,” jelas Wan Salim semasa ditemubual di Pejabat Mufti Negeri dekat Komtar baru-baru ini.

Fatwa Ikut Syariat
Wan Salim memberitahu, Rasulullah S.A.W pernah melarang seorang sahabat yang sedang membaca Al-Quran dengan meninggikan suaranya sampai mengganggu orang lain. (hadith sahih riwayat Abu Daud)

Katanya lagi, apabila Al-Quran dibaca, hendaklah didengar atau diam untuk mendapat Rahmat Allah S.W.T.. (rujuk Surah Al-Aa'raf: 204)

“Fatwa mesti ikut syariat, bukan ikut orang politik, dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahas isu berbangkit ini kerana ada aduan.

“Selain melihat dari aspek fiqh, Majlis Fatwa akan meneliti aduan-aduan daripada banyak pihak, seperti ada orang sakit atau kanak-kanak kecil nak tidur, ada yang nak berehat di rumah selepas penat bekerja dan sebagainya.

“Pokoknya, tujuan fatwa atau Irsyad Hukum ini dikeluarkan adalah untuk memelihara imej Islam sebagai agama yang sensitif serta menjaga kesejahteraan semua pihak, supaya tidak terpalit dengan sikap sesetengah pihak yang tidak melihat semua yang disebutkan ini,” tegas Wan Salim lagi.

Agenda umat
WAN Salim memberitahu bahawa ketiadaan agenda umat yang besar merupakan salah satu faktor penyumbang pada umat Islam terus saling prasangka sesama sendiri.

“Pertama, kita tak perlu melenting atau melatah dengan fatwa-fatwa seumpama ini, kerana isu azan dan iqamah ini adalah syiar dan juzuk yang kecil daripad juzuk-juzuk Islam yang lebih luas.

“Sepatutnya umat Islam perlu sensitif dengan perkara-perkara yang lebih besar, seperti agenda memartabatkan ekonomi umat Islam, menyemarak integriti dalam diri, kerana banyak pemimpin Islam dikaitkan dengan unsur rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Umat Islam ini adalah umat yang besar, kalau nak dinisbahkan kepada kaum Melayu pun, masih besar.

“Umat yang besar wajar memikirkan agenda-agenda yang besar, antaranya agenda dakwah dari satu rumah ke satu rumah untuk mengajak memakmurkan Rumah Allah (masjid).

“Syiar atau syariat Islam yang mana mampu didahulukan untuk kita buat, kita buat tanpa perlu diheboh-hebohkan.

“Dan yang mana mampu dilaksanakan secara beransur-ansur, maka, dilaksanakan secara sabar dan berterusan.

“Macam syariat membaca Al-Quran, jangan terlalu kuat sampai mengganggu orang lain yang sedang mendirikan solat umpamanya, lazimi membaca Al-Quran secara belajar dan menghayati maksudnya.

“Jangan kita malas membaca Al-Quran serta menghayati isi kandungnya, sehinggakan kita membuka kaset bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara secara terlalu kuat sampai mengganggu privisi orang lain, sedangkan ada syariat menyuruh kita membaca Al-Quran dengan nada yang rendah atau diam mendengar kalam suci Allah,” jelas beliau lagi.


Takfiri dan budaya pelampau
Selain itu, Wan Salim turut menasihatkan semua pihak supaya menjauhkan institusi masjid daripada budaya takfiri atau saling mengkafir disebabkan faham melampau dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Sepatutnya konsep 'Islam Rahmat Ke Seluruh Alam' ini mesti sampai dihidupkan dalam masjid, jangan berlegar di Komtar sahaja kerana itu tema tema Maal Hijrah 1437H.

“Ustaz dan ustazah serta para Alim Ulamak perlu memainkan peranan ini, bagaimana umat manusia boleh dekat dengan masjid dengan konsep Islam Rahmatan Lil 'Alamin ini.

“Mimbar masjid janganlah dijadikan medan untuk menyebarkan politik kebencian sesama umat Islam.

“Jangan ucapan-ucapan kita yang tidak enak atau tidak ilmiah atau melampaui batas di mimbar-mimbar masjid ini pula membawa keburukkan pada imej Islam sebagai agama rahmat untuk semua manusia,” jelas beliau lagi.

“Apa guna kita membuli mana-mana golongan yang lemah walaupun atas nama agama, tetapi akhirnya orang Islam sendiri akan takut dengan budaya pelampau kita.

“Sesungguhnya 'Islam Rahmat Ke Seluruh Alam' yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W bukan menakut-nakutkan masyarakat di sekelilingnya, tetapi disegani oleh bukan Islam.

“Orang awam akan tertarik atau mungkin peluk Islam apabila akhlak Rasulullah S.A.W disegani oleh mereka.

Harapan
Wan Salim berkata, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) hatta Jabatan Mufti sendiri melakukan sesuatu yang lebih baik ke arah memartabatkan Islam dan umat di negeri ini, dan, di sinilah Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Pulau Pinang harus memainkan aspek dengan menilai semua segi secara bebas dan adil.

“Kadang-kadang Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan JHEAIPP sendiri menjadi serba-salah untuk mencegah sesetengah penceramah yang buruk perkataannya di atas masjid, kerana kita mahu masjid menjadi medan ilmu dan medan untuk umat Islam berbeza pendapat.

“Apabila ada ustaz tertentu menyemarakkan faham takfiri (mengkafirkan) ke atas satu-satu pihak secara sentimen politik, elok ada suatu garis panduan untuk memelihara imej Islam dan institusi masjid ini sendiri.

“Keghairahan umat Islam tanpa dipandu oleh ilmu akhirnya melahirkan budaya pembodohan atau melampau, hingga memburukkan imej Islam sebagai agama yang adil untuk orang Islam dan bukan Islam.

“Selain isu kebenaran menggunakan pembesar suara luar masjid untuk tujuan azan dan iqamah sahaja, masih banyak cabaran yang harus didepani oleh umat Islam, dan di sini lah peranan Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu memberi pendapat demi kesejahteraan umat,” jelas Wan Salim.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus