06 August 2013

Untung di negari sendiri, pengalaman di negara orang - Nurashikin

NURASHIKIN Abdullah
"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri."

ITULAH kata-kata adik Nurashikin Abdullah, 21, pelajar tahun tiga di Universiti Tonto, Mesir semasa ditemu ramah oleh Faqar baru-baru ini.

Beliau bercuti belajar sejak 10 Julai lepas dan akan terbang kembali ke negara ‘tamadun dunia’ itu selepas menyambut Hari Raya Puasa bersama-sama keluarga.

Nurashikin merupakan anak sulung. Beliau mempunyai sepasang adik-beradik, lelaki dan perempuan.

Ayahnya, Abdullah Baha merupakan pesara tentera, manakala, ibu, Hashimah Ahmad adalah suri rumah sepenuh masa.

Sejak dibangku sekolah - Sekolah Kebangsaan Sungai Ara dekat Bayan Lepas - lagi, pesanan ibu, “kalau orang lain boleh buat, kita pun boleh buat (berjaya)” menjadi bekalan hidup.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka sebelum menyertai kursus pra perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada tahun 2011, Nurashikin mengambil langkah berani terbang ke Mesir berbekalkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sungguhpun masih belum mendapat tajaan atau biasiswa daripada mana-mana pihak.

"Memang dari kecik tak pernah ubah cita-cita, nak jadi doktor.

"Memang berminat nak sambung pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Pohon dan Alhamdulillah dapat.

“Macam saya, pergi mohon dan pergi ke Mesir dahulu. Selepas itu, baru dapat biasiswa,” ujar beliau.

Tawakal terbang ke Mesir tanpa biasiswa
Berkat tawakal kepada Allah, beliau selepas setahun belajar di Universiti Tonto memohon tajaan biasiswa dari Hospital Bersalin Muslimah (D’BM Hospital) dekat Permatang Pauh dan berjaya.

"Kawan ayah yang perkenalkan biasiswa ini. Saya diinterbiu melalui Skype. Saya bersyukur kerana mendapat biasiswa pendidikan daripada D'BM Hospital di bawah Presidennya, Zolkifly Md. Lazim.

"Istimewa biasiswa ini, JPA dan MARA kena bayar balik, tetapi, pemberi biasiswa ini menawarkan kita bekerja dengan mereka selepas tamat belajar nanti.

“Malah, jika mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran pun, mereka pertimbang untuk taja sekali lagi. Ini lah istimewanya.

“Tetapi ada syaratnya (iaitu) selepas keluar. Jadi doktor pelatih selama dua tahun, bekerja di hospital kerajaan selama dua tahun dan boleh melapor diri di D'BM Hospital,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa beliau mendapat biasiswa sekitar RM34,000 setahun.

Rahsia belajar
Nurashikin ketawa apabila calon doktor digambarkan sebagai ulat buku.

Beliau berkata pelajar yang cemerlang masing-masing mempunyai teknik belajar tersendiri.

Ada yang tekun dan ada yang sebaliknya, tetapi, masih cemerlang berbanding rakan-rakan yang lain.

Seperti dirinya sendiri, Nurashikin mengaku bahawa beliau memberi tumpuan 100 peratus dalam kelas. Selebihnya, ulang kaji pada musim peperiksaan.

“Tiada apa-apa rahsia. Cara belajar, saya tak boleh nak cakap sebab lain orang lain caranya.

“Ada kawan yang santai dalam belajar, tetapi, masih cemerlang. Macam saya, tumpuan 100 peratus dalam kelas, itu penting.

“Kalau nak ikut tawaran JPA atau MARA, saingan sangat sengit, kena mendapat semua gred A+. Ada yang dapat semua gred A+ dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun ada yang tak dapat tawaran dalam bidang perubatan.

“Tetapi, mereka ambil perubatan melalui jalan-jalan lain juga,” jelas beliau.

Minat Berpersatuan
Pada masa lapang atau masa rehat dari mengejar kewajipan akademik, Nurashikin menghabiskan masa dengan berpersatuan dengan warganegara Malaysia lain yang belajar di Mesir.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu hidup di tanah air sendiri, khususnya dalam dakapan keluarga tercinta.

Jadi, katanya lagi, calon doktor juga seperti mahasiswa lain yang mempunyai aktiviti berpersatuan tradisi sendiri, bukan ‘ulat buku’ sepanjang masa. Seloroh beliau.

"Saya bukanlah ulat buku sepenuh masa meskipun pelajar-pelajar dalam jurusan ini digambarkan begitu.

"Saya terlibat dalam aktiviti kemahasiswaan di sini, layari internet pada masa rehat serta readah seperti remaja-remaja lain sungguhpun iklim masyarakat di sini jauh berbeza dengan di tanah air kita.

"Hujung minggu, selalu mengikut aktiviti persatuan mahasiswa di sini,” jelas beliau.
  
Polemik Mesir & ‘Arab Baik’
Terlanjur berbincang mengenai kehidupan mahasiswa di Mesir, tidak dapat tidak, Nurashikin sendiri mengaku menerima bahang kebangkitan rakyat pro Presiden Dr Morsi dan pesaingnya, iaitu tentera.

Beliau berkata, cerita polemik di Mesir yang sampai kepengetahuannya juga menerusi media masa tempatan, sebagaimana rakyat di Malaysia mengakses dunia Mesir menerusi media baru.

Ini kerana, katanya, kedudukan Tonto tempat Nurshikin belajar adalah jauh dengan tempat berlakukan polemik, iaitu Kaherah yang merupakan ibunegara Mesir.

“Saya belajar di Tonto dan kebangkitan rakyat Mesir (berlaku) di Kaherah, kedudukannya agak jauh macam jauh Ipoh ke Kuala Lumpur.

“Bahang kebangkitan rakyat di sini tentu dirasai sungguhpun jauh jika diukur secara geografi.

"Orang Arab Mesir tak ganggu pun pelajar Malaysia. Politik kebangkitan di sini (Mesir) hanya melibatkan warganegara Arab sahaja, bukan kita.

"Orang Arab sendiri sangat baik, nasihat kami supaya tidak sebarangan keluar rumah. Jika nak fotostat nota pengajian pun, mereka minta dihubungi untuk membantu.

“Hubungan pelajar dengan Kuala Lumpur di Mesir melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Harapan
Nurashikin melahirkan rasa tidak sabar untuk kembali ke Malaysia sejurus tamat pengajian dalam bidang perubatan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia akan lebih menghargai keamanan hidup di negara sendiri apabila menyaksikan situasi tidak menentu seperti di Kaherah, Mesir.

Mujur, katanya, Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri cakna dengan kebajikan serta keselamatan penuntut seperti beliau di Mesir.

“Pejam celik pecam celik, sudah tiga belajar di sini (Mesir). Saya bersyukur semuanya masih selamat.

“Terima kasih kepada KPT. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan penaja biasiswa saya (iaitu) D’BM Hospital.

"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri," ujar beliau.  

Naik taraf sistem saliran Taman Siakap hujung tahun - Exco

AFIF Bahardin (kiri) bersama LIm Hock Seng meninjau beberapa sistem perparitan di sekitar Taman Siakap dekat Seberang Jaya baru-baru ini yang dikatakan kawasan punca berlakunya bencana banjir kilat.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menaik taraf sistem saliran di kawasan bencana banjir kilat sekitar Taman Siakap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, projek pemajuan itu dijangka bermula pada tahun ini juga memandangkan proses tender terbuka dilakukan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

"Kita harap projek (naik taraf) ini boleh mula dijalankan dalam tahun ini juga," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut serta dalam lawatan kerja tersebut.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan berkata, Taman Siakap, khususnya di Lorong Siakap 11 direkodkan sebagai kawasan tumpuan banjir kilat sejak lebih sedekad lepas.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap inisiatif ini memberi kesenangan kepada lebih 5,000 penduduk setempat, termasuk lebih 60 unit rumah di sini.

Tapak Arkeologi Guar Kepah 'pelancongan penyelidikan' - TKM1

MOHD. Rashid Hasnon meninjau kawasan strategik serta menerima maklum balas lanjut daripada pemimpin setempat mengenai cadangan pemajuan pelancongan penyelidikan di kawasan Tapak Arkeologi Guar Kepah di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon mengadakan lawatan kerja ke Tapak Arkeologi Guar Kepah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga di sini.

Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Saodah Nawawi turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak diberi taklimat prosek ekskavasi di tapak warisan dunia itu di bawah kendalian Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).

"Ini (Tapak Arkeologi Guar Kepah) adalah tidak ternilai kerana dari maklum balas yang diterma mendapati telah ada lima pentarikhan yang kesemuanya sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun dahulu," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, beliau menyambut baik hasrat USM untuk membangunkan pelancongan penyelidikan di kawasan bersejarah tersebut.

Parkir teksi Megamal Perai jadi rebutan pro Melayu, India

18 tapak parkir teksi di perkarangan Megamall Perai kini menjadi perebutan dua koperasi hatta diselubungi isu perkauman sejak malam tadi.

206 ahli Koperasi Kenderaan Maju Jaya Seberang Perai Berhad - majoriti Melayu - mengaku bahawa tapak komersial itu diurus oleh mereka sejak tahun 2003.

Manakala, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi India Seberang Perai pula yang berjaya mengambil alih tapak komersial itu didakwa tidak mengikut prosedur.

"Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bangunkan tapak parkir itu dari tiada apa-apa pada tahun 2002 sebelum diserah kepada Koperasi," ujar salah seorang pemandu teksi di sini.

Sumber berkata, Koperasi Kenderaan Maju Jaya Seberang Perai Berhad mendapat hak mengurus parkir mengikut prosedur daripada MPSP, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan IPD Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Melalui satu panggilan telefon seorang bergelar YB (Yang Berhormat), parkir itu boleh dirampas dan diserah kepada Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi India Seberang Perai.

"Semua surat kebenaran daripada MPSP, polis, JPJ dan sebagainya tidak laku kerana tak ikut prosedur pun boleh rampas parkir," ujar beliau.

Satu sumber lain memberitahu, langkah tidak mengikut prosedur tersebut sebenarnya membabitkan Ahli Majlis MPSP 'baru', bukan YB.

"Boleh semak, dua Ahli Majlis ini ikut prosedur atau tidak," ujar sumber.

Beberapa pertubuhan berlatar belakang bangsa Melayu-India sejak lewat petang tadi mula turun dan saling meninjau kawasan parkir tersebut.

Berita lanjut, menyusul kemudian.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus