Skip to main content

Naik taraf sistem saliran Taman Siakap hujung tahun - Exco

AFIF Bahardin (kiri) bersama LIm Hock Seng meninjau beberapa sistem perparitan di sekitar Taman Siakap dekat Seberang Jaya baru-baru ini yang dikatakan kawasan punca berlakunya bencana banjir kilat.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menaik taraf sistem saliran di kawasan bencana banjir kilat sekitar Taman Siakap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, projek pemajuan itu dijangka bermula pada tahun ini juga memandangkan proses tender terbuka dilakukan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

"Kita harap projek (naik taraf) ini boleh mula dijalankan dalam tahun ini juga," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut serta dalam lawatan kerja tersebut.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan berkata, Taman Siakap, khususnya di Lorong Siakap 11 direkodkan sebagai kawasan tumpuan banjir kilat sejak lebih sedekad lepas.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap inisiatif ini memberi kesenangan kepada lebih 5,000 penduduk setempat, termasuk lebih 60 unit rumah di sini.