06 August 2013

Untung di negari sendiri, pengalaman di negara orang - Nurashikin

NURASHIKIN Abdullah
"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri."

ITULAH kata-kata adik Nurashikin Abdullah, 21, pelajar tahun tiga di Universiti Tonto, Mesir semasa ditemu ramah oleh Faqar baru-baru ini.

Beliau bercuti belajar sejak 10 Julai lepas dan akan terbang kembali ke negara ‘tamadun dunia’ itu selepas menyambut Hari Raya Puasa bersama-sama keluarga.

Nurashikin merupakan anak sulung. Beliau mempunyai sepasang adik-beradik, lelaki dan perempuan.

Ayahnya, Abdullah Baha merupakan pesara tentera, manakala, ibu, Hashimah Ahmad adalah suri rumah sepenuh masa.

Sejak dibangku sekolah - Sekolah Kebangsaan Sungai Ara dekat Bayan Lepas - lagi, pesanan ibu, “kalau orang lain boleh buat, kita pun boleh buat (berjaya)” menjadi bekalan hidup.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka sebelum menyertai kursus pra perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada tahun 2011, Nurashikin mengambil langkah berani terbang ke Mesir berbekalkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sungguhpun masih belum mendapat tajaan atau biasiswa daripada mana-mana pihak.

"Memang dari kecik tak pernah ubah cita-cita, nak jadi doktor.

"Memang berminat nak sambung pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Pohon dan Alhamdulillah dapat.

“Macam saya, pergi mohon dan pergi ke Mesir dahulu. Selepas itu, baru dapat biasiswa,” ujar beliau.

Tawakal terbang ke Mesir tanpa biasiswa
Berkat tawakal kepada Allah, beliau selepas setahun belajar di Universiti Tonto memohon tajaan biasiswa dari Hospital Bersalin Muslimah (D’BM Hospital) dekat Permatang Pauh dan berjaya.

"Kawan ayah yang perkenalkan biasiswa ini. Saya diinterbiu melalui Skype. Saya bersyukur kerana mendapat biasiswa pendidikan daripada D'BM Hospital di bawah Presidennya, Zolkifly Md. Lazim.

"Istimewa biasiswa ini, JPA dan MARA kena bayar balik, tetapi, pemberi biasiswa ini menawarkan kita bekerja dengan mereka selepas tamat belajar nanti.

“Malah, jika mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran pun, mereka pertimbang untuk taja sekali lagi. Ini lah istimewanya.

“Tetapi ada syaratnya (iaitu) selepas keluar. Jadi doktor pelatih selama dua tahun, bekerja di hospital kerajaan selama dua tahun dan boleh melapor diri di D'BM Hospital,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa beliau mendapat biasiswa sekitar RM34,000 setahun.

Rahsia belajar
Nurashikin ketawa apabila calon doktor digambarkan sebagai ulat buku.

Beliau berkata pelajar yang cemerlang masing-masing mempunyai teknik belajar tersendiri.

Ada yang tekun dan ada yang sebaliknya, tetapi, masih cemerlang berbanding rakan-rakan yang lain.

Seperti dirinya sendiri, Nurashikin mengaku bahawa beliau memberi tumpuan 100 peratus dalam kelas. Selebihnya, ulang kaji pada musim peperiksaan.

“Tiada apa-apa rahsia. Cara belajar, saya tak boleh nak cakap sebab lain orang lain caranya.

“Ada kawan yang santai dalam belajar, tetapi, masih cemerlang. Macam saya, tumpuan 100 peratus dalam kelas, itu penting.

“Kalau nak ikut tawaran JPA atau MARA, saingan sangat sengit, kena mendapat semua gred A+. Ada yang dapat semua gred A+ dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun ada yang tak dapat tawaran dalam bidang perubatan.

“Tetapi, mereka ambil perubatan melalui jalan-jalan lain juga,” jelas beliau.

Minat Berpersatuan
Pada masa lapang atau masa rehat dari mengejar kewajipan akademik, Nurashikin menghabiskan masa dengan berpersatuan dengan warganegara Malaysia lain yang belajar di Mesir.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu hidup di tanah air sendiri, khususnya dalam dakapan keluarga tercinta.

Jadi, katanya lagi, calon doktor juga seperti mahasiswa lain yang mempunyai aktiviti berpersatuan tradisi sendiri, bukan ‘ulat buku’ sepanjang masa. Seloroh beliau.

"Saya bukanlah ulat buku sepenuh masa meskipun pelajar-pelajar dalam jurusan ini digambarkan begitu.

"Saya terlibat dalam aktiviti kemahasiswaan di sini, layari internet pada masa rehat serta readah seperti remaja-remaja lain sungguhpun iklim masyarakat di sini jauh berbeza dengan di tanah air kita.

"Hujung minggu, selalu mengikut aktiviti persatuan mahasiswa di sini,” jelas beliau.
  
Polemik Mesir & ‘Arab Baik’
Terlanjur berbincang mengenai kehidupan mahasiswa di Mesir, tidak dapat tidak, Nurashikin sendiri mengaku menerima bahang kebangkitan rakyat pro Presiden Dr Morsi dan pesaingnya, iaitu tentera.

Beliau berkata, cerita polemik di Mesir yang sampai kepengetahuannya juga menerusi media masa tempatan, sebagaimana rakyat di Malaysia mengakses dunia Mesir menerusi media baru.

Ini kerana, katanya, kedudukan Tonto tempat Nurshikin belajar adalah jauh dengan tempat berlakukan polemik, iaitu Kaherah yang merupakan ibunegara Mesir.

“Saya belajar di Tonto dan kebangkitan rakyat Mesir (berlaku) di Kaherah, kedudukannya agak jauh macam jauh Ipoh ke Kuala Lumpur.

“Bahang kebangkitan rakyat di sini tentu dirasai sungguhpun jauh jika diukur secara geografi.

"Orang Arab Mesir tak ganggu pun pelajar Malaysia. Politik kebangkitan di sini (Mesir) hanya melibatkan warganegara Arab sahaja, bukan kita.

"Orang Arab sendiri sangat baik, nasihat kami supaya tidak sebarangan keluar rumah. Jika nak fotostat nota pengajian pun, mereka minta dihubungi untuk membantu.

“Hubungan pelajar dengan Kuala Lumpur di Mesir melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Harapan
Nurashikin melahirkan rasa tidak sabar untuk kembali ke Malaysia sejurus tamat pengajian dalam bidang perubatan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia akan lebih menghargai keamanan hidup di negara sendiri apabila menyaksikan situasi tidak menentu seperti di Kaherah, Mesir.

Mujur, katanya, Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri cakna dengan kebajikan serta keselamatan penuntut seperti beliau di Mesir.

“Pejam celik pecam celik, sudah tiga belajar di sini (Mesir). Saya bersyukur semuanya masih selamat.

“Terima kasih kepada KPT. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan penaja biasiswa saya (iaitu) D’BM Hospital.

"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri," ujar beliau.  

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus