16 May 2013

Ekspektasi saya mengenai Forum Undi Popular PRU13 malam ini

Kurang sejam lagi, Forum Fakta Sebenar Pakatan Rakyat Menang Undi Popular PRU13 akan berlangsung di DOME Komtar, George Town.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat (PPPP) Dr Dzulkefly Ahmad, Rafizi Ramli (Strategis PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan) dan Dr Ong Kian Meng (Strategis DAP merangkap Ahli Parlimen Serdang) akan berkongsi pentas forum di bawah kendalian Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera).

Program anjuran Unit Penerangan Kerajaan Negeri itu akan dirasmi oleh Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Forum ini tentunya dinanti-nantikan untuk menjernih beberapa persoalan berbangkit berkaitan PRU13 baru-baru ini.

1. PRU13 ini Tsunami Cina atau Tsunami Malaysia?

2. Adakah berlaku pengherotan demokrasi apabila BN menang undi elektoral, manakala, PR pula memang undi popular?

3. Apakah pola pengundian PRU13 ikut saluran undi, jantina, geo-politik, sentimen kepartian serta isu-isu yang melatari iklim pilihan raya kali ini?

4. Apakah solusi atau jalan keluar di sebalik polemik tidak menentu pasca PRU13?

5. Akan berlakukah transisi politik daripada kepemimpinan lama - Tun Dr Mahathir Mohamad, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dll kepada personaliti baru sebagaimana diramal sebelum PRU13 lagi?

6. Apakah natijah tidak bertimbang antara keputusan elektoral dan undi popular memandu SPR untuk memperbaiki sistem pilihan raya negara, seperti inisiatif persempadanan semula?

7. Apa khabar 'kabinet berimbang' Najib Razak? Masih 1Malaysia atau polisi reaktif baru?

Semoga semua tanda tanya ini menemukan jawapan pada malam ini.

Selamat berforum!!!

ZAINULFAQAR YAACOB
Dome Komtar | 8.25 malam

Cina BN tumbuk Cina Air Puteh itu celaka :Guan Eng

Jamuan malam tadi bersama lebih 1,000 sukarelawan pilihan raya peringkat Parlimen Bagan dijadikan medan bagi penyandangnya Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkongsi pengalaman mengenai perit getir menentang politik wang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau sempat melawat satu Pusat Pembuangan Undi sahaja dekat DUN Bagan Dalam pada 5 Mei lepas.

Ini kerana, Guan Eng berkata beliau terpaksa bergegas ke DUN Air Putih yang ditandinginya demi membendung amalan politik wang dan politik ugutan serta gangsterisme membabitkan penyokong Barisan Nasional.

Menurut beliau, sekumpulan penyokong memakai baju 1Malaysia dikesan menyogok RM500 kepada warga setempat Air Putih demi mengalahkannya.

Malah, katanya, tiap-tiap pengundi berdaftar turut dijanji sogokan RM1,000 lagi selepas Guan Eng tewas.

"Asalkan anda pengundi di (kawasan) DUN Air Putih, dia (pembangkang Pulau Pinang) tak kira mengundi di mana-mana pun, dia bagi (beli undi) RM500 seorang.

"Kalau BN menang (kuasai Kerajaan Negeri dulu), dia tak bagi wang (kepada rakyat). Selepas BN kalah, baru wang diberi (disogok) dan janji beri RM1,000 selepas saya kalah.

"Dia (Barisan Nasional) ingat boleh kalahkan Guan Eng dengan (politik) wang, Guan Eng menang di sini (Air Putih) sejak tahun 2008 dulu sebab 'Kuasa Rakyat'

"(Sebenarnya) 'Kuasa Rakyat' ambil RM 500 itu sebab itu duit rakyat, tetapi, tak sokong dia (Barisan Nasional).

"Jangan ingat orang Melayu, orang Cina, orang India 'bodoh' (serta) boleh dibeli dengan wang. Ini orang Pulau Pinang lah," ujar Guan Eng di Jalan Raja Uda, Bagan.

Tiga ADUN dalam parlimen itu, iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) serta A.Thanasekaran (Bagan Dalam) turut hadir dan berucap dalam majlis keraian tersebut.

Justeru, Guan Eng berkata beliau memohon maaf kepada seluruh sukarelawan pilihan raya berwajib kerana terpaksa meninggalkan kawasan Parlimen Bagan pada hari itu.

Ucapannya itu disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut mengecam insiden gangsterisme pro Barisan Nasional berhampiran Pusat Buang Undi SPR di SRJK (C) Kong Ming pada hari kejadian, di sini.

Tiga sukarelawan Pakatan Rakyat dicedera oleh sekumpulan pemuda liar lengkap memakai baju T 1Malaysia, lapor saksi mata.

Ekoran itu, seorang suspek ditahan oleh polis.

Guan Eng yang datang kemudiannya - kira-kira jam 3 petang hari kejadian - tampil menasihat semua pihak termasuk rakyat supaya bertenang dan situasi tidak demokratik itu kembali reda.

"Apabila samseng-samseng ugut orang-orang kampung, satu kampung keluar lawan gangster-gangster ini.

"Cina BN yang tumbuk Cina itu celaka. Saya tidak kata Cina atau Cina BN itu celaka. Yang tumbuk orang itu celaka," kecam Guan Eng.

Pertandingan tiga penjuru di Parlimen Bagan menyaksikan Guan Eng, Chua Teik Siang (BN) dan Lim Kim Chu (PCM) masing-masing mendapat 46,466 undi, 12,307 undi dan 328 undi.

Guan Eng mendapat majoriti 22,070 undi di Parlimen itu.

Di DUN Air Putih pula, Guan Eng mendapat 9,626 undi menewaskan pencabarnya, Tan Ken Keong (BN) yang mendapat 1,882 undi sahaja.

Guan Eng mendapat majoriti 7,774 undi di DUN tersebut.

Menang PRU13 P.Pinang, Pusat tak sama :Guan Eng

Jangan samakan corak kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan Barisan Nasional peringkat pusat.

Ketua Menteri Pulau Pulang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri ditubuhkan hasil kemenangan Pakatan Rakyat meraih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak lengkap dengan memperoleh undi popular terbanyak rakyat.

Manakala, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik semula sebagai Perdana Menteri lalu menubuhkan Kerajaan Pusat tanpa mendapat undi popular rakyat.

"(Kemenangan PRU13) di Pulau Pinang tidak dipertikai oleh sesiapa pun kerana kita (Pakatan Rakyat) bukan sahaja menang undi popular, malah, kerusi pun (elektoral) paling banyak.

"Jangan samakan corak menang Pulau Pinang dengan corak menang Pusat," ujar Guan Eng dalam satu majlis jamuan bersama-sama lebih 1,000 sukarelawan pilihan raya peringkat Parlimen Bagan, malam tadi.

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam parlimen itu, iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) dan A.Thanasekaran (Bagan Dalam) turut hadir dalam majlis keraian tersebut.

Terdahulu, banyak pihak termasuk Guan Eng sendiri mempertikai wibawa pentadbiran Najib kerana menubuhkan Kerajaan Pusat tanpa mendapat undi popular rakyat.

Ekoran itu, Guan Eng dinasihat supaya menerima kemenangan Barisan Nasional sebagaimana beliau menerima kemenangan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

Dalam reaksi spontan, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata Kerajaan Pulau Pinang ditubuhkan dalam kondisi Pakatan Rakyat serentak menang undi popular dan undi elektoral (kiraan kerusi).

Pakatan Rakyat Pulau Pinang memenangi 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi berbaki disandang oleh Barisan Nasional.

Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat Pulau Pinang mendapat kira-kira 68 peratus undi popular rakyat, iaitu peratusan undi popular tertinggi berbanding rekod pilihan raya negeri-negeri lain baru-baru ini.

Pakatan Rakyat turut meraih 89 kerusi Parlimen dengan undi popular terbanyak, iaitu berjumlah 51.3 peratus.

Manakala, Barisan Nasional pula mendapat 113 kerusi Parlimen sungguhpun undi minoriti parti pemerintah itu hanya 48.7 peratus.

Namun, sistem elektoral yang diamalkan di negara ini telah memberi kelebihan kepada Najib untuk dilantik semula menjadi perdana menteri serta menubuhkan Kerajaan Pusat.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus