Jamuan malam tadi bersama lebih 1,000 sukarelawan pilihan raya peringkat Parlimen Bagan dijadikan medan bagi penyandangnya Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkongsi pengalaman mengenai perit getir menentang politik wang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau sempat melawat satu Pusat Pembuangan Undi sahaja dekat DUN Bagan Dalam pada 5 Mei lepas.
Ini kerana, Guan Eng berkata beliau terpaksa bergegas ke DUN Air Putih yang ditandinginya demi membendung amalan politik wang dan politik ugutan serta gangsterisme membabitkan penyokong Barisan Nasional.
Menurut beliau, sekumpulan penyokong memakai baju 1Malaysia dikesan menyogok RM500 kepada warga setempat Air Putih demi mengalahkannya.
Malah, katanya, tiap-tiap pengundi berdaftar turut dijanji sogokan RM1,000 lagi selepas Guan Eng tewas.
"Asalkan anda pengundi di (kawasan) DUN Air Putih, dia (pembangkang Pulau Pinang) tak kira mengundi di mana-mana pun, dia bagi (beli undi) RM500 seorang.
"Kalau BN menang (kuasai Kerajaan Negeri dulu), dia tak bagi wang (kepada rakyat). Selepas BN kalah, baru wang diberi (disogok) dan janji beri RM1,000 selepas saya kalah.
"Dia (Barisan Nasional) ingat boleh kalahkan Guan Eng dengan (politik) wang, Guan Eng menang di sini (Air Putih) sejak tahun 2008 dulu sebab 'Kuasa Rakyat'
"(Sebenarnya) 'Kuasa Rakyat' ambil RM 500 itu sebab itu duit rakyat, tetapi, tak sokong dia (Barisan Nasional).
"Jangan ingat orang Melayu, orang Cina, orang India 'bodoh' (serta) boleh dibeli dengan wang. Ini orang Pulau Pinang lah," ujar Guan Eng di Jalan Raja Uda, Bagan.
Tiga ADUN dalam parlimen itu, iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) serta A.Thanasekaran (Bagan Dalam) turut hadir dan berucap dalam majlis keraian tersebut.
Justeru, Guan Eng berkata beliau memohon maaf kepada seluruh sukarelawan pilihan raya berwajib kerana terpaksa meninggalkan kawasan Parlimen Bagan pada hari itu.
Ucapannya itu disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut mengecam insiden gangsterisme pro Barisan Nasional berhampiran Pusat Buang Undi SPR di SRJK (C) Kong Ming pada hari kejadian, di sini.
Tiga sukarelawan Pakatan Rakyat dicedera oleh sekumpulan pemuda liar lengkap memakai baju T 1Malaysia, lapor saksi mata.
Ekoran itu, seorang suspek ditahan oleh polis.
Guan Eng yang datang kemudiannya - kira-kira jam 3 petang hari kejadian - tampil menasihat semua pihak termasuk rakyat supaya bertenang dan situasi tidak demokratik itu kembali reda.
"Apabila samseng-samseng ugut orang-orang kampung, satu kampung keluar lawan gangster-gangster ini.
"Cina BN yang tumbuk Cina itu celaka. Saya tidak kata Cina atau Cina BN itu celaka. Yang tumbuk orang itu celaka," kecam Guan Eng.
Pertandingan tiga penjuru di Parlimen Bagan menyaksikan Guan Eng, Chua Teik Siang (BN) dan Lim Kim Chu (PCM) masing-masing mendapat 46,466 undi, 12,307 undi dan 328 undi.
Guan Eng mendapat majoriti 22,070 undi di Parlimen itu.
Di DUN Air Putih pula, Guan Eng mendapat 9,626 undi menewaskan pencabarnya, Tan Ken Keong (BN) yang mendapat 1,882 undi sahaja.
Guan Eng mendapat majoriti 7,774 undi di DUN tersebut.
No comments:
Post a Comment