18 December 2014

"Melayu nak 'senang', niaga," nasihat Wan Ibrahim Megat Zainol

WAN Ibrahim Megat Zainol (tengah) dan isteri merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Mohd. Rashid Hasnon (kanan) pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya peserta Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) 2014 di sini baru-baru ini.

BELiAU diiktiraf sebagai salah seorang daripada lapan usahawan yang berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya peserta Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) 2014 baru-baru ini.

Berbekalkan modal tambahan daripada pinjaman mikrokredit PTSR di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), kini, beliau berjaya mengembangkan potensi perniagaannya pada tahap sekarang.

WAN Ibrahim Megat Zainol.
Wan Ibrahim Megat Zainol, 42 tahun mula-mula menolak hasrat untuk diinterbiu atas alasan kejayaannya itu 'kecil sahaja' dalam dunia usahawan kecil di negeri ini

Tetapi, selepas dipujuk isteri, Norharfizah Razali, 35, tahun, akhirnya Wan Ibrahim bersetuju untuk berkongsi pengalaman berjaya dengan  fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB.

"Sebenarnya saya datang (dibesarkan) dalam keluarga yang hidup berniaga.

Seingat saya, abang sulung saya sahaja bekerja makan gaji dengan kerajaan, adik-beradik yang lain berniaga seperti saya," ujar beliau pada majlis penyampaian anugerah di Hotel Royale Bintang dekat Pengkalan Weld, Pengakalan Kota baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang diiringi oleh Timbalan Pengurus Besar PDC, Datuk Abdul Rahim Isahak yang menyempurnakan majlis penyerahan insentif sebanyak RM1,500 beserta sijil penyertaan penerima.

"Insentif ini besar maknanya kepada usahawan kecil seperti saya, mungkin rezeki anak-anak," ujar Wan Ibrahim yang kini menungguh detik menimbang cahaya mata keempatnya.


PENGALAMAN
Menurut Wan Ibrahim, guru terbaik adalah pengalaman.

Katanya lagi, pengalaman jua adalah ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang hingga membuahkan kejayaan.

"Sebenarnya, saya sudah berkecimpung dalam penternakan ikan keli ini sejak 28 tahun lepas.

"10 tahun saya bekerja dengan orang. Dari pengalaman itu, jadi ilmu hinggalah saya sendiri membuka kolam ternakan sendiri sejak 18 tahun lepas.

"Apabila saya dengar Kerajaan Negeri ada buat skim pinjaman (mikrokredit) yang lebih baik berbanding syarat-syarat bank, saya cuba memohon dan dapat masuk kali kedua," ujar beliau lagi.

Kini, ladang penternakan ikan keli beliau dekat pedalaman Kampung Sungai Duri dekat Sungai Bakap di atas tanah berkeluasan enam ekar.

"Satu kolam luasnya lebih kurang satu ekar...(keluasan ladang ternakan ikan keli) semuanya lebih kurang enam ekar.

"Alhamdulillah, kira sebelah sana, (ladang ternakan ikan keli) saya yang paling besar," ujar beliau sambil memuji Tuhan Yang Maha Pemurah.


NIAGA BERBALOI
Walaupun krisis kenaikan harga barang serta minyak sedang mewarnai lanksap ekonomi negara, beliau kini mengakui bahawa pendapat hasil penternakan ikan keli masih membawa keuntungan yang lumayan.

"Sekarang ini, berniaga pun tidak senang seperti dulu.

"Dulu, kos ternah kurang, tidak seperti sekarang yang kos barang dan (kos) utiliti agak tinggi.

"Nak untung banyak-banyak seperti dahulu dah tak dapat dah, tetapi, untung memang boleh untung,

"Cuma, 'sedikit' dan tak lah lumayan semacam dulu, disebabkan kos ternak dan urus niaga yang agak tinggi," jelas beliau.

Bayangkan, Wan Ibrahim tiap-tiap bulan memasarkan hasil ternakan ikan kelinya lebih 20 tan.

"Jual, boleh dikatakan di (Utara Semenanjung Malaysia), iaitu di Utara Perak, Kedah dan Pulau Pinang sendiri.

"Paling jauh, ternakan ikan keli ini (dieksport) sampai ke Thailand sekarang ini," jelas beliau lagi.

Walaupun dianggap antara pembekal terbesar ikan keli ternak di Utara Semenanjung Malaysia ini, beliau berkata, beliau masih menjual hasil ternakkannya kepada peraih kecil yang bertandang ke rumahnya.

"Yang runcit-runcit pun ada datang ambil sedikit-sedikit, dalam 100 kilogram hingga 200 kilangom tiap-tiap hari," ujar beliau sambil memuji rakan-rakan yang berani menceburi dunia perniagaan.


RISIKO
"Kerja Kerajaan pun ada risikonya seperti tidak naik pangkat apabila mutu kerja kita tidak memenuhi kemahuan ketua di pejabat.

"Ini lumrah...risiko paling besar dalam bidang penternakan ikan keli ini apabila ada haiwan lain termasuk dalam kolam hingga membunuh anak-anak ikan yang kita ternak.

"Tetapi, setakat ini Alhamdulillah, risiko ini boleh dikurangkan melalui ilmu dan pengalaman," ujar beliau sambil memberitahu bahawa apapun perniagaan perlu pada fokus.

Pun begitu, Wan Ibrahim tersenyum apabila diaju soalan mengenai hasratnya untuk menawarkan kursus ternak kepada mereka yang berminat dalam bidang ini.

Katanya, PDC lebih banyak pengalaman seperti menguruskan PTSR lebih layak untuk menyediakan kursus kepakaran ala-ala rancangan realiti televisyen The Apprentice.

"Setakat ini, saya masih tiada rancangan untuk membuat kursus penternakan secara formal di sini, saya ternak dan bekal sahaja. Tetapi, pada masa hadapan, boleh difikirkan.

"Salah satu sebab, mungkin kerana tempat penternakkan ikan keli saya sangat 'dalam' di pedalaman Kampung Sungai Duri, payah...susah untuk (pelatih) nak masuk belajar beramai-ramai untuk belajar.

"Tetapi, saya ingin mengucapkan terima kasihlah kepada PDC kerana banyak membantu saya dari segi (pinjaman) modal...PDC lebih pakar dalam membina potensi peniaga," ujar Wan Ibrahim lagi.


HARAPAN
Wan Ibrahim berkata, warga Pulau Pinang khususnya Melayu sepatutnya lebih berani menceburi dunia perniagaan, memandangkan Kerajaan Negeri turut menawarkan Tabung Usahawan Tani Muda yang sama fungsinya seperti PTSR.

Katanya lagi, sayur segar merupakan salah satu bidang pertanian yang mempunyai prospek perniagaan yang berpotensi di Utara Semenanjung Malaysia.

"Orang berniaga perlu fikir ke depan, agar dapat segera mencegah risiko di belakang.

"Ke depan ini, kalau boleh terus (dalam bidang penternakan ikan keli ini), kalau boleh saya nak buka kedai pameran ikan air tawar hidup...macam-macam ikan seperti ikan talapia dan ikan keling.

"Ini, pusat ternak ikan dan bukan pusat memancing...macam show room macam di kedai ikan, selain, saya sasar nak buat 20 kolam ternak lagi," jelas beliau.

Baginya, kalau Melayu nak berjaya dan kaya, salah satu perkara yang wajar dilakukan adalah terjun dalam dunia perniagaan.

"Kalau orang Melayu kita berniaga semua harap bagus, kena berani dan kena kreatif.

"Boleh untung sedikit, kalau tak boleh buat buat sepenuh masa, mula secara sambilan dahulu.

"Yang penting cari ilmu dan pengalaman...Melayu pun boleh 'senang' dengan jalan berniaga," jelas Wan Ibrahim.


______________
* Wan Ibrahim Megat Zainol boleh dihubungi di talian 0125848663.

Projek kurang risiko banjir di Taman Sri Nobong RM1.3 juta

LIM Guan Eng (dua dari kiri) bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri yang lain menyaksikan salah satu infrastruktur sistem perparitan yang telahpun siap dimajukan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap penarafan sistem saliran di Taman Sri Nibong bernilai RM1,305,141.60 yang siap dibina pada 24 September lepas dapat mengurangkan risiko bencana banjir di sini.

"Selain daripada mengatasi masalah banjir kilat, projek ini juga adalah bertujuan untuk membaiki dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada yang telah uzur," ujar Guan Eng pada Majlis Penyempurnaan Projek Menaik Taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Kilat di Taman Sri Nibong di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lim Chee dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP) dan Loh Joo Huat (Ahli Majlis MPSP).

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada 2013 dan 2014 masing-masing memperuntukkan sebanyak RM6,323,672.67 dan RM8,351,734 daripada sumber Wang Caruman Perparitan untuk projek tebatan banjir serta penarafan sistem perparitan berwajib di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk projek perancangan masa depan lain di ketiga-tiga daerah, yang dianggarkan menelan kos RM2.9 juta.

Sebelum itu, Maimunah memaklumkan bahawa lima projek penarafan pelbagai infrastruktur cegah banjir sedang dilaksanakan MPSP, yang menelan belanja RM5,505,592.52.

Kerja-kerja penarafan yang dimaksudkan, katanya, di Taman Siakap Seberang Jaya, Taman Seri Jaya dan Taman Sungai Rambai, di Kawasan Perindustrian Sungai Lokan, di Pintu Parit Monsun Taman Bagan dan Taman Machang Bubuk.

Terdahulu, Guan Eng bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri baru merasmikan ProjekTebatan Banjir bernilai 6,913,896 di Jalan Kampung Baru dekat kawasanParlimen Bukit Mertajam.

Manakala, dalam Bajet 2015 Pulau Pulau Pinang, Guan Eng mengumumkan tambahan RM10 juta menjadi keseluruhan peruntukan projek tebatan banjir serta penarafan sistem perparitan untuk tahun depan berjumlah RM23.9 juta.

KM, REHDA rayu yuran penyelenggaraan flat dikecualikan GST

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merayu Putrajaya supaya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan pada pertengahan tahun depan dikecualikan ke atas yuran penyelenggaraan penghuni rumah flat kos rendah dan kos sederhana rendah.

"Kebanyakan rakyat di negeri ini mampu membeli flat disebabkan mereka tidak mampu membeli rumah mampu milik, maka, kebanyakkan daripada 16 peratus populasi rakyat Malaysia di Pulau Pinang pun akan turut menanggung kesan berantai ini.

"Justeru, Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk merayu kepada Kerajaan Pusat (agar) pengecualian ke atas semua penghuni rumah flat di negara ini daripada membayar enam peratus GST (atas yuran penyelenggaraan), bukan di Pulau Pinang sahaja," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Jerry Chan (Pengerusi Persatuan Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang, REHDA) turut menyertai sidang media tersebut.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Jerry Chan.

"Jika GST dikenakan ke atas 100 unit umpamanya, tetapi yang berjaya dikutip (yuran penyelenggaraan) meliputi 60 hingga 70 penghuni flat sahaja, maka, penghuni bukan sahaja membayar pada kadar enam peratus (GST), malah, terpaksa membayar lebih daripada itu semata-mata untuk membiayai (GST atas keseluruhan 100 unit rumah pangsa tersebut," ujarnya lagi.

Tambah beliau, pengecualian GST ke atas yuran penyelenggaraan penghuni adalah wajar memandangkan penempatan mereka bukanlah membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, GST dikenakan terhadap syarikat pengurusan flat atas dalih perkhidmatan dan keuntungan yang diperolehi mereka.

"Bayaran yuran penyelenggaraan daripada penduduk dikenakan bagi tujuan perkhidmatan penyelenggaraan kondominium dan mereka mempunyai keuntungan daripada yuran berkenaan," jelas beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

REHDA: Lulus permit lewat jejas promosi hartanah P.Pinang

JERRY Chan (duduk, tiga dari kiri)  bersama-sana anggota REHDA pada sidang media di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG - Amalan Putrajaya melambat-lambatkan kelulusan lesen pemaju dan permit iklan (DLAP) di Pulau Pinang dikatakan salah satu punca lebih 30 pemaju lewat memasarkan hartanah masing-masing belakangan ini.

JERRY Chan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan berkata demikian, semasa berkongsi analisis mengenai Bajet 2015 yang baru diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

"Kami tidak pasti mengapa ada kelewatan dalam kelulusan (DLAP) yang biasa mengambil masa dalam dua minggu, selepas satu-satu permohonan dikemukakan kepada Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT).

"Kami difahamkan (kelewatan meluluskan DLAP) ini dilakukan kepada pemaju projek di negeri ini sahaja.

"Sebahagian pemaju yang turut aktif di negeri-negeri lain ada memberitahu kami bahawa hanya DLAP untuk projek di Pulau Pinang sahaja tertangguh," ujar Jerry Chan kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Dalam satu sesi interaksi dengan pihak berwajib terdahulu, katanya lagi, REHDA Pulau Pinang pernah diberitahu bahawa permohonan DLAP di negeri ini dikategorikan 'kes-kes khas'.

Implikasinya, beliau berkata, kos pengurusan projek akan meningkat, hingga mengekang proses mempromosi hartanah melalui majlis pelancaran, iklan serta kutipan wang tempahan berwajib.

"Setelah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk pembelian tanah, pinjaman bank, caj pembangunan sebelum pelancaran projek, kelewatan kelulusan DLAP ini telahpun menambah lagi kos mereka (pemaju)," ujar Jerry Chan.

Difahamkan, penjualan unit hartanah bergantung pada DLAP yang dimohon oleh pemaju susulan mendapat semua kelulusan di peringkat negeri.

Itu, katanya, belum mengambil kira rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dijadualkan mulai pertengahan tahun depan.

"Dijangkakan, kos pemajuan meningkat lima peratus, paling dikhuatiri terburuk (apabila) kos ini meningkat hingga 15 peratus," jelas Jerry lagi.

Selain itu, Jerry turut mensyor Kerajaan Negeri supaya mengkaji semula beberapa amalan pemajuan, seperti penjualan tanah pada nilai harga tertinggi, fi berwajib seperti sumbangan pembangunan, bayaran kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta utiliti, yang dikatakan turut menyumbang pada peningkatan kos pengurusan projek.

"REHDA merayu kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (serta) Agensi Kerajaan supaya memahami cabaran yang didepani oleh industri (pemajuan hartanah), dengan ketidaktentuan ekonomi di samping peningkatan kos pembinaan serta (fi) pematuhan.

"Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memahami komitmen kami dalam memajukan hartanah, terutama perumahan berkualiti di bawah harga (siling yang digariskan) oleh Kementerian," ujarnya lagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus